iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Friday, July 27, 2012

Novel : Tiga Bulan [12]

Dalam benci ada rindu yang mengisi,
Dalam marah ada sayang yang mula bercambah.


“Aku terima nikahnya Nuriz Binti Abdullah dengan mas kahwin lima ratus ringgit tunai.”

Serentak,  terasa kepala dihempap oleh bebanan batu-bata bertan-tan beratnya tatkala dia mendengar ungkapan sah yang dilafazkan oleh saksi-saksi yang berada di majlis pernikahan mereka itu.

Wahai diri tenanglah, wahai jiwa sabarlah menghadapi segala bentuk ujian dariNYA ini, wahai perasaan kuatlah, jangan mudah mengalah dengan ujian yang kecil ini. Bisik hatinya perlahan memujuk dirinya sendiri.

Dunianya, segalanya kini terasa seperti kosong. Dia menadah tangan mengaminkan doa tika kadi membacakannya namun fikirannya melayang-layang jauh entah ke mana, hanya jasad saja yang masih berada di situ. Tinggal tanpa semangatnya.

Segalanya asing di sini. Dia tak kenal siapa-siapa, dia perasan banyak mata yang asing asyik tidak jemu-jemu merenung dirinya, mungkin menaakul sikapnya, kelakuannya dan segalanya tentangnya sehinggakan dia merasakan sangat rimas. Ikutkan kata hatinya sudah lama dia berlalu meninggalkan majlis ini, namun apakan dayanya ini majlis untuk dirinya. Mesti keadaan menjadi ribut, kalut andai dia menghilangkan diri. Dia masih lagi rasional tak mahu memanjangkan lagi masalah yang sememangnya masih tak berpenghujung. Masih tak nampak jalan penamatnya.

“Mir... aku takut.” Tangan Mirna yang setia berada disisinya digenggam erat.

“Jangan takut Riz, aku ada sentiasa di sini. Kan aku dah janji akan temankan kau, menyokong kau walau apa pun yang terjadi pada kau. Ingat aku anggap kau bukan saja kawan aku tapi saudara aku dunia akhirat.”

Nuriz diam, tubir mata bergenang lagi. Hai kenapalah aku jadi sangat mudah terusik sejak akhir-akhir ni? Tak sangka banyak betul stok air mata dalam badan aku ni, yalah dah banyak sangat rasanya aku menangis tapi kenapa airnya tak pernah nak kering-kering juga pun?

“Syii.. jangan menangis ok. Tu tengok, semua orang tengah pandang kau.” Bisik Mirna perlahan di telinganya. Cuba memujuk.

Nuriz mengangkat perlahan wajahnya, untuk melihat keadaan sekeliling dan tanpa diduga oleh hati dan perasaannya, dia berlaga pandangan dengan Wan Nazariel. Tajam sekali pandangan lelaki itu padanya, seolah pandangan lelaki itu mampu menikam tembus pada hati, jantung dan dadanya. Dia menelan air liur. Terasa pahit berpasir.

“Riz.. Zariel nak datang tu untuk batal air sembahyang, kau tenang ya. Jangan tunjuk sangat muka kau yang tengah sedih tu.”

Nuriz membetulkan duduknya. Segalanya serba pantas, perkenalan dalam masa yang singkat bertemu dalam keadaan yang tak dijangka, bertekak sentiasa dan berselisih pendapat selalu akhirnya mereka bersatu juga bersama, dalam keadaan masing-masing tak pernah redha.

            “Riz kau tak nak sambut ke tangan dia tu?” Tegur Mirna perlahan bila melihat Nuriz hanya duduk diam kaku tanpa sedikit pun menggerakkan tangannya untuk menyambut tangan yang sekian lama dihulurkan oleh Wan Nazariel itu.

Nuriz tersentak. Cepat-cepat dia menyambut tangan lelaki itu, digenggam perlahan sebelum dia tunduk untuk mengucup tangan lelaki itu. Ah air muka lelaki itu dan keluarganya tetap mesti dijaga. Al-maklumlah mereka tu orang kenamaan, mesti akan menjadi buah mulut orang nanti andai mereka melihat kepincangan yang berlaku pada majlis ini nanti.

“Kau jangan harap aku akan bagi kebahagiaan kepada kau.” Bisik lelaki itu keras tetapi tetap dalam nada yang terkawal pada telinganya ketika lelaki itu tunduk mengucup dahinya membuatkan Nuriz tersentak. Mereka berlaga pandangan dan dia tahu mereka yang berada di sekeliling tidak sedar tentang perang dingin yang berlaku diantara mereka berdua.

“Huh jangan nak perasanlah, ingat saya ingin sangat ke nak bernikah dengan awak tu?       Tolonglah.. saya cuma tak mahu kes kita ni berlarutan ok.” Dia membalas juga dalam keadaan berbisik.

“Kau!!!” Wan Nazariel menggetap bibir, geram dengan kelancangan mulut gadis dihadapannya itu.

“Apa?? Ha cakaplah kenapa berhenti pula??” Sengaja lagi dia memprovokasi. Ingin menguji sejauh mana lelaki itu mampu mengawal kemarahan dalam dirinya itu pada waktu ini.

“Sudah-sudahlah tu berbisik dari tadi. Hai kesian kami ni dari tadi asyik tengok drama sepasang suami isteri meluahkan bicara cinta... romantik gitu.” Tegur seorang wanita yang mungkin lingkungan 30-an usianya itu. Mungkin dalam kalangan keluaraga Wan Nazariel barangkali.

Terhenti terus pertengkaran senyap antara mereka. Gamat seketika suasana dengan tawa nakal yang tercetus dek teguran wanita itu.

Wan Nazariel tiba-tiba menghulurkan tangan kepadanya sehingga membuatkan dia terpinga-pinga. Isk untuk apa huluran tangan tu? Dia hairan.. Aduhh, Mirna tiba menyinggul bahunya. Apa dia ni singgul-singgul orang ni..?

“Oi kau tak nak sambut tangan dia tu ke?”

“Hah?? Perlu ke?”

“Perlulah.. Apahallah kau ni lampi sangat semenjak dua tiga menjak ni Riz?”

Wajah lelaki itu sudah mula berkerut, memerah kulit yang telah sedia putih itu. Mungkin menahan amarah yang semakin membuak-buak dalam dirinya barangkali. Akhirnya tangan lelaki itu disambut lambat-lambat. Mereka beriringan berjalan berpimpin tangan menuju ke arah sanak-saudara, bersalam-salaman. bertukar senyuman, walaupun sekadar senyuman palsu.

“Apasal tangan kau sejuk sangat ni?” Soal lelaki itu perlahan.

“Err mungkin sebab aircond tu rendah sangat suhunya, tu yang sejuk.” Heyys banyak tanyalah lelaki ni.

“Yelah tu... ke kau takut dengan aku sebenarnya?” Soal lelaki itu lagi siap menjungkitkan kedua keningnya lagi.

“Takut??? Mana ada.. heh tak ada maknanya saya nak takut dengan awak tu.”

“Dah-dah budak berdua ni memang tak menyempat-nyempat, kut iya pun nak berborak ke apa ke, tunggulah dulu majlis ni selesai.” Tegur Dato' Wan Nazri yang semakin hilang sabar melihat gelagat dan kerenah mereka berdua.

*******

            Penatnya. Tak sangka pula aku dan mamat ni akan jadi suami isteri. Macam dalam mimpi pula rasanya. Eeii aku tak sukalah dengan dia ni. Sungguh.. aku tak dapat nak bayangkan kalau aku kena hidup berdua dengan dia. Nuriz mengeluh. Tubuhnya direbahkan ke atas katil mewah yang telah dihias indah itu. Dia berbaring telentang, baju kurung putih kain sutera yang dipakai pada majlis pernikahan tadi masih lagi melekat pada tubuhnya. Dia belum ada keinginan untuk menukar pakaiannya itu.

Bagaimana agaknya hidup aku selepas ni? Sabarkah aku nanti dalam melayan kerenah dia yang sentiasa menguji sabar aku ni, dia mengeluh. Sedangkan jumpa beberapa jam di pejabat pun buatkan empangan sabarnya hampir pecah berderai, terlerai inikan pula kena berjumpa dan bertemu setiap hari. Mahu hancur musnah lebur melerai.

Pintu bilik dikuak dari luar agak kasar. Tanpa salam diberi hingga membuatkan Nuriz sedikit tersentak. Hisy siapa pula ni? Takkan pula Mirna, mustahil... Mirna dah lama balik sebaik saja majlis selesai sebentar tadi walaupun puas dipujuk agak gadis itu tinggal bermalam di sini untuk menemani dirinya.

Bulat matanya bila melihat kelibat Wan Nazariel melangkah masuk. Hamboi masamnya muka dia macam baru lepas tertelan sekilo asam jawa saja gayanya.

Cepat-cepat tubuhnya dialihkan, kini berbaring di tengah-tengah katil pula siap mendepakan kedua tangannya lagi. Yalah dia tak mahu lelaki itu berkongsi katil dengannya.

“Amboi seronok nampak landing atas katil aku.?”

“Eh katil awak ke? Tak nampak pun tanda namanya.” Dia menoleh kiri dan kanan. Siap selak-selak lagi cadar tilam kononnya untuk mencari kut ada nama lelaki itu tertera di mana-mana, tak ada pun. Dia mencebik.

“Malas nak layan kau.”

Wan Nazariel dilihatnya berjalan menuju ke arah almari pakaiannya, dengan selamba tanpa sedikit berselindung dia menanggalkan baju melayunya.

“Eeeiii.. tak malulah awak ni, pergilah masuk bilik air kalau nak tukar baju pun." Nuriz menegur geram. Tak senonoh punya perangai dia ni.

“Eh suka hati akulah.. bilik aku, yang kau pergi tengok kenapa? Gatallah tu.”

Ewah-ewah aku pula yang dikatanya gatal. Tak betul, betul dia ni! Dia memejamkan matanya rapat-rapat.

“Tepilah sikit.” Terasa tubuhnya ditolak sedikit kuat.

“Hei awak ni kenapa?” Nuriz membentak marah.

“Aku nak tidurlah, yang kau buat katil tu macam hak milik kau seorang diri saja tu kenapa?” Marah lelaki itu.

Nuriz diam, namun dia tetap membatukan dirinya. Tidak berganjak dari pembaringannya, tak mahu berkongsi dengan lelaki itu.

Berang dengan kedegilan yang dipamerkan oleh Nuriz itu, Wan Nazariel menolak gadis itu sekuat hatinya.

Bukkk!!!...

“Aduh sakitah!” Nuriz mengaduh kesakitan sebaik saja dia jatuh bergolek ke lantai.

            “Padan muka, cakap elok-elok tak nak dengar.” Balas lelaki itu selamba sedikit pun tiada nada rasa bersalah.

Cakap elok-elok?? Hai bila ke masanya dia cakap elok-elok dengan aku? Rasanya mana pernah pun selama ni. Nuriz menggetap bibir geram memandang lelaki itu yang sudah mula menyelesakan dirinya di atas katil.

“Kau kalau nak tidur nanti jangan lupa offkan lampu. Aku tak suka tidur dalam keadaan terang. Tak lena tidur aku nanti.” Pesan lelaki itu.

Tak guna punya lelaki, tak gentleman sungguh. Isk aku nak tidur mana pula malam ni?? Memanglah dekat sini banyak bilik, tapi aku tak beranilah nak pandai-pandai sendiri. Karang apa pula kata keluarga dia.

Ah tidur atas sofa sajalah. Dia membuat keputusan, tak ingin aku nak tidur sekatil dengan lelaki tu... Buatnya dia mengigau entah apa-apa macam hari tu nanti.. kan ke haru biru jadinya.

Wednesday, July 25, 2012

Novel: Tiga Bulan [11]

Dalam benci ada rindu yang mengisi,
Dalam marah ada sayang yang mula bercambah.


“Kau nak termenung sampai bila Riz? Dahlah cukuplah menangis tu. Aku tahu dugaan yang kau tanggung kali ni berat tapi kau kena belajar menerimanya. Mesti kau rasa dunia ni macam tak adil kan? Kejam kerana menduga kau dengan bermacam-macam.” Semenjak pulang dari hospital semalam hanya itulah yang dilakukan oleh Nuriz.. termenung, menangis, termenung menangis.. hanya dua perkara.

Sebentar tadi keluarga Wan Nazariel ada datang bertandang dan nampaknya keputusan mereka adalah nekad untuk menyatukan mereka berdua. Mirna sendiri pun tak mampu nak kata apa, terpaksa akur bagi pihak perempuan.

“Aku nak bersendirian Mir…” memang dia mahu bersendirian. Perlu masa untuk diri sendiri. Perlukan waktu untuk menyembuhkan luka yang menggaris dalam jiwanya.

“Aku tak mahu kau jadi macam ni. Hilang semangat macam orang putus harapan. Jalan hidup kau masih jauh, kalau kau hanya duduk meratapi nasib kau sampai ke bilanya takkan sudah. Kau kena bangun balik, buktikan kat mamat tu yang kau sikit pun tak terbeban dengan dugaan kali ini.”

“Macam mana aku tak jadi macam ni Mir? Dia tuduh aku saja-saja buat pengsan sebab nak perangkap dia. Sumpah demi ALLAH, walaupun aku tak suka dia tapi dalam hati ni tak pernah terniat pun nak kenakan dia sampai macam tu sekali…” masih tengiang-ngiang lagi kemarahan lelaki itu yang dihamburkan kepadanya sebaik dia sedar dari pengsannya.

“Perempuan sundal!! tak habis-habis nak menyusahkan. Hei aku tak tahulah kenapa kau ni sial sangat hah? Tak sampai sebulan aku jumpa kau dah macam-macam benda berlaku dekat aku ni!” Bentak lelaki itu kasar, sikit pun tidak ada belas dengan keadaannya yang sedang terlantar tidak bermaya.

“Hei nasib baiklah papa aku halang semalam kalau tak dah lama agaknya kau mampus aku kerjakan. Hisy kecik-kecik tak nak mampus dah besar menyusahkan orang saja!”

Nuriz hanya diam sungguh dia langsung tak mampu untuk mempertahankan diri, pengsan kemudian diserbu. Hai macam dah dirancangkan saja, dan yang menjadi tertuduh adalah dia, dirinya. Siapalah dia untuk mengatakan tidak,  mesti lelaki itu takkan menerima bulat-bulat apa jua yang cuba dikatakan olehnya.

Matanya dipejamkan rapat... Sehina itukah dia di mata lelaki itu? Sehingga sebegitu sekali tohmahan yang dilemparkan oleh lelaki itu kepadanya. Sungguh setiap kali dia teringatkan kembali kata-kata lelaki itu air matanya pasti melimpah kembali, bertakung di tubir mata dan akhirnya pasti berjuraian jatuh di pipinya. Dia teresak-esak akhirnya. Pilu mengenangkan kembali hala tuju nasib dirinya itu.

“Sabar Riz…” Mirna merangkul erat tubuh temannya erat, cuba menenangkan gadis itu yang nampak benar berat penanggungannya.

Tiba-tiba Nuriz menolak tubuhnya, tersentak Mirna bila melihat gadis itu yang bangun tiba-tiba. Seolah-olah telah mendapat semangat yang baru. Nuriz dilihatnya menuju kearah almari pakaiannya. Beg pakaiannya dikeluarkan dari dalam almari.

“Eh kau nak ke mana ni Riz?” Dia menyoal hairan.

“Aku nak pergi.. aku nak keluar dari sini, pergi jauh daripada lelaki itu.”

“Jangan Riz, tolonglah jangan bertindak terburu-buru.. Cuba bawa bertenang sikit. Jangan ikutkan sangat hati kau yang tengah berserabut tu.”

“Habis kau nak aku tunggu, tinggal di sini, pasrah menerima apa yang diaturkan dan berkahwin dengan lelaki yang tak boleh terima diri aku ni? Mir kau tak berada di tempat aku sekarang ni. Kau tak rasa apa yang aku tanggung ni. Berat, sakit kalau ikutkan nafsu aku yang membabi buta ni, memang dah lama aku bunuh diri ni. Aku lebih rela mati dari hidup dengan lelaki tu.”

“Ya ALLAH Riz.. sampai macam tu sekali kau fikir. Bawa mengucap Riz, cuba kau buat solat istikharah minta pertunjuk dariNYA. Kau mesti ingat yang DIA takkan menduga hambaNYA lebih daripada apa yang mampu ditanggung oleh hambaNYA. Fikirkan balik apa yang aku kata ni. Cuba ajarkan hati kau jadi redha Riz. Percayalah kau akan rasa tenang bila hati kau redha, kau akan berasa lapang bila kau terima ujianNYA dengan berlapang dada. Tentu semuanya akan ada hikmahnya yang tersendiri Riz. Kalau pun kau lari jauh belum tentu-tentunya masalah kau selesai. Lagi bertambah adalah, lambat laun masalah yang kau cuba tinggalkan tu akan dapat kejar kau balik Riz. Kau kena berani menghadapi kenyataan. Melarikan diri bukan jalan penyelesaian yang baik..."

Nuriz diam, dugaanMU kali ni memang kurasakan seperti ku tak mampu menanggungnya ya ALLAH. Berat seolah tak termampu digalas oleh bahuku ini. Sukar, seolah tak berdaya jiwa ini menanggungnya. Tolong kuatkan semangatku ALLAH, tenangkan jiwaku TUHAN.

            “Mir tolong Mir, tolong bagi semangat kau kepadaku Mir.. aku tak kuat, aku tak tahu nak buat apa sekarang Mir, semua nampak serabut. Sampaikan aku dah tak boleh nak bezakan mana yang rasional mana yang tak.” Akhirnya itu yang terkeluar daripada dua ulas bibirnya setelah agak lama mengunci mulutnya. Berdialog dalam hatinya sendiri.

Sebak Mirna mendengar pemintaan temannya itu, nampak sangat memerlukan dirinya kala ini disisinya.

“Insya-ALLAH Riz, aku akan sentiasa ada di sisi kau. Kau janganlah risau aku sentiasa ada untuk kau, selalu ada…”

Mereka berdua akhirnya berpelukan kembali, hinggalah Nuriz terlena dibahunya. Nampak berat benar yang ditanggung oleh temannya kali.. Ya jelas sekali terpapar di raut wajah temannya itu gundah dan resah yang bertanda. Semoga DIA sentiasa disisimu membantu kau keluar daripada lorong liku ini. Aku percaya pasti ada jalan penyelesaiannya. Jalan penyelesaian yang terbaik yang mampu membuatkan kau tersenyum bahagia. Kau bersabarlah sedikit Riz. Pasti ada kemanisan di penghujung yang pahit nanti.


***Assalamualaikum warahmatullah... insya-ALLAH selepas habis novel ini saya akan postkan kembali Novel : Dendam Cinta Semalam. Mungkin sudah ada yang lupa tapi tak apa, saya akan postkan kembali dari permulaannya***

Thursday, July 19, 2012

Novel : Tiga Bulan [10]

Dalam benci ada rindu yang mengisi,
Dalam marah ada sayang yang mula bercambah.


Kenapa mereka berdua tak datang serentak ya? Dia duduk termenung di mejanya. Duduk sambil menongkat dagunya berfikir. Semenjak kejadian beberapa hari lepas, langsung dia tak dapat melihat rupa jejaka pujaan hatinya. Bercuti panjang nampaknya. Bila soalan diajukan pada setiausaha lelaki itu, hanya jungkitan bahu saja yang dia dapat sebagai jawapan kepada soalanya.

-Tulah kau, buat lagi benda bodoh tu, aku rasa mereka berdua tentu tengah seronok mengulit bahagia sekarang ni. Engkau apa dapat? Menganga sajalah nampaknya dapat hampas! Hati kecil mengejek jahat.

 -Ah diamlah kau, kau apa tau tentang mereka? Kau ingat Wan Nazariel tu suka ke dengan perempuan tu? Daripada renungan matanya aku dah tau dia bencikan perempuan tu tau. Perempuan tu bukan taste dia, tak layak pun dengan dia. Kalau nak dibandingan dengan aku ni, aku ni yang lebih layak daripada dia.

- Eleh, jangan perasanlah lebihlah. Kau sebenarnya dah susah hati. Rancangan bodoh kau tu akhirnya memakan diri. Mereka dapat bersatu kau dapat apa?

“Arghhhh diam! Mereka tak akan dapat bahagia selagi aku ada di sini, hidup di sini!” Bentak dia kuat. Tangannya menghentak meja kuat. Marahnya menghambur keluar. Marah! Pada hati kecil yang nakal membakar amarahnya.

“Eh you kenapa ni Doryn?? Terpekik siang-siang buta seorang diri, mengigau ke apa?” Maria menegur kehairanan. Seram pula rasanya. Takut Dorina tersampuk hantu siang. Kalau betul pasti haru harinya yang sememangnya sudah haru biru semenjak bossnya si Wan Nazariel mengambil cuti kecemasan.

“Err tak ada apa-apa cik Maria.” Merah wajahnya menahan malu ditegur dek kerana keterlanjuran tingkah lakunya tanpa sedar tadi.

“Ha baguslah kalau tak apa-apa, I pun risau gak ni tengok you terbentak-bentak seorang diri mengigau ke apa? Buat kerja awak tu. Telefon di atas meja tu I dengar berdering-dering dari tadi, kenapa you tak sambut? Ke you tak dengar? Dari tadi meracau apa entah fikiran tu, sampai tak dengar telefon tu berdering ke apa?” Bebel Maria perlahan. Dia yang sememangnya anti dengan perangai Dorina itu sempat mengambil kesempatan menyindir gadis itu sekali. Entah gadis lagi entah tidak. Tiap-tiap minggu aku tengok berlainan lelaki yang selalu jemput dia keluar makan. Haisyh.

“Eh ada bunyi ke tadi? Kenapa I tak dengar apa-apa pun?” Soal Dorina terpinga-pinga.

“Macam mana nak dengar kalau dah fikiran tu duduk mengarut saja.” Sindir Maria sinis.

Maria menggeleng-gelengkan kepala. Entah kenapa dia langsung tak berkenan dengan perangai ‘rakan sepejabatnya’ yang nan seorang ni. Dari mula gadis itu masuk bertugas dia langsung tahu dia memang tak boleh ‘masuk’ dengan perangai gadis itu.

“Errr cik Maria…”

Mati langkahnya bila Dorina memanggilnya. Lambat-lambat dia memusingkan tubuhnya ke arah gadis itu.

“Ya?” Soalnya sambil menjungkitkan keningnya.

“Errr… boss cuti sampai bila ek? Errr you tau tak kenapa dia cuti? Eh perasan tak semenjak boss cuti, Nuriz pun cuti sekali, agaknya kenapa ya?” Sudah mula bermukadimah menyebar gossip dan mengorek rahsia kut-kut Maria tahu sebab-musabab mengapa Wan Nazariel dan Nuriz bercuti serentak walaupun hakikatnya dia sudah tahu sebabnya cuma… dia akan lebih berpuas hati kalau dapat mengetahui cerita yang lebih sahih!.

“Oh… Dorynn… I ni cuma setiausaha Encik Zariel saja, bukan isterinya atau kekasihnya yang boleh tau sebab-sebab apa yang sebenarnya dia bercuti. Lagipun ni kan company dia, suka hati dialah nak cuti berapa lama pun. Eh yang you sibukkan kenapa Dorynn? Mendatangkan masalah ke kalau dia tak masuk office? You bayar gaji dia ke? Lagi satu, you jangan gatal mulut nak gosipkan dia dengan si Nuriz pula ya, mungkin kebetulan saja yang mereka cuti serentak. You macam tak tau pula yang Encik Zariel dengan Nuriz bukannya boleh berjumpa. Macam anjing dan kucing saja. Ada saja benda nak digaduhkan.”

“Eh I bukannya nak bergosiplah cik Maria. Cuma…”

“Cuma apa Dorynn?”

“I bukan apa cik Maria, cuma risau, takut boss kita tu sakit teruk ke. Kalau ya boss kita tu sakit teruk, bolehlah I datang melawat dia, tolong jagakan dia sekali ke..”

“Tak perlulah you nak risaukan boss tu. Boss kita tu bukannya budak kecik lagi nak dirisaukan pun. Eh lagipun dia ada keluarga yang boleh jaga dia kalau pun betul dia tak sihat ke.” Risau konon, eleh macamlah aku tak tau yang kau tu dah sasau sebab dah lama tak nampak Encik Zariel tu. Eh satu office taulah kau tu ada hati dengan boss tu. Maria mencebik bibir, jelik dengan perangai gadis dihadapannya itu.

“Er excuse me…” Tak tahan dileteri Maria, Dorina berdiri tiba-tiba.

“Hah you nak ke mana pula tu Dorynn?” Soal Maria hairan. Tak akan kena leter sedikit dah merajuk, biasanya minah ni telinga tebal.

“I mau pergi ladies kejap, cair dah make-up I ni dengar you berleter cik Maria. So nak kena touch up balik.” Ujarnya melenggang-lengguk berjalan meninggalkan Maria yang masih tegak berdiri tidak jauh daripadanya tadi.