iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Wednesday, November 30, 2016

Novel : Kasut Hitam Topi Pink[6]

Bila cinta yang berkuasa, benci pun boleh jadi suka...


“Mulia nak buat apa dengan duit sebanyak itu?”

“Mulia nak beli handphone baru mak. Kawan-kawan Mulia semua pakai handphone canggih-canggih, Mulia sorang saja yang masih pakai handphone macam ni. Mereka selalu ejek Mulia, pakai handphone buruk. Ketinggalan zaman.” Adunya sungguh-sungguh. Biar emak turuti kehendaknya. Penuhi kehendaknya.

“Alah pedulikanlah apa orang nak kata Mulia.”

“Tak mau, Mulia tak kira, Mulia nak juga tukar handphone baru. Mak…”

“Mulia… Mak bukan ada duit, ayah kamu baru saja meninggal. Mak pula tak berkerja. Kak Chom seorang saja yang dah berkerja. Mulia kan dah besar, sepatutnya boleh berfikir akan keadaan mak ni. Tak akan tergamak Mulia nak susahkan mak lagi. Tak kasihan ke pada mak?”

“Mak tu yang sepatutnya tanya dekat diri sendiri. Tak kasihan ke mak pada Mulia ni?”

“Astaghfirullahalazim, kenapa Mulia cakap macam tu? Mak kasihkan anak mak. Apa maksud Mulia sebenarnya ni?” Terkejut bila anak bujangnya itu mengherdik secara tiba-tiba. Memang diakui, semenjak mendapat tawaran belajar di sebuah kolej swasta terkemuka di ibu negara, perangai anak lelakinya itu banyak berubah. Suka memberontak kalau tak dapat apa yang dia ingini.

“Yalah mak tak malu ke? Mak ayah orang lain semua mampu berikan apa yang anak dia nak, anak dia minta. Tapi mak… langsung tak. Mulia rasa malu sangat dengan kawan-kawan Mulia sebab ada keluarga macam ni, yang langsung tak mampu membelai Mulia. Mulia minta berapa ratus ringgit je pun payah mak nak beri. Bukan banyak mana pun. Tu belum lagi Mulia minta belikan kereta atau apa ke.”

“Ya ALLAH kamu sedar tak kamu cakap apa ni Mulia? Kamu sedar tak keluarga kita ni macam mana sampai kamu nak samakan dengan keluarga orang lain?”

“Semua ni salah mak dengan ayah. Kalau mak dan ayah tak malas kerja dulu, mesti kita tak susah macam ni tau.”

“Mulia!”

“Mulia tak salah cakapkan? Mak tak payah nak herdik-herdik Mulia, saya dah besar tau tak? Bukannya budak kecil lagi!” Bentaknya kembali. Sedikit pun tidak rasa gentar atau takut dengan nada keras yang keluar daripada mulut emaknya itu.

“Sampai hati kamu cakap macam tu. Kalau arwah ayah kamu masih ada, mesti dia kecewa dengan sikap kamu Mulia. Ayah dah berusaha sehabis mungkin untuk mencari rezeki untuk kita semua. Mengubah nasib keluarga kita ni.” Sebak hati. Hampir luruh air mata dengan sikap biadab yang ditonjolkan oleh Mulia itu.

“Sudahlah mak, tak payah mak nak berlakon menangis depan Mulia. Mulia benci nak tengok.” Dia mencebik bibir. Langsung tak ada terbit rasa bersalah bila melihat air mata Mak Ati yang tumpah keluar itu.

“Kamu…”

“Apa yang bising-bising dari luar ni?”

“Kamu dah balik Chomel?” Cepat-cepat mengesat air mata yang mula jatuh ke pipi itu.

“Ya mak, eh mak kenapa? Menangis?” Hairan dia melihat riak keruh yang tertera di wajah tua Mak Ati itu.

“Tak adalah… mata masuk habuk.” Laju dia menafikan. Dia tak mahu Chomel tahu yang hatinya terhiris luka dengan perangai Mulia itu kala ini.

“Oh… ha Mulia, kamu nak ke mana pula tu?” Tegurnya. Hairan melihat Mulia sepertinya sedang bergegas.

“Nak balik kolej, ada keluarga pun macam tak ada. Langsung tak boleh diharap!” Tanpa pamitan dan tanpa bersalam dengan emaknya, Mulia berlalu. Tersentak Chomel melihat perlakuan tidak beradab adik lelaki nombor duanya itu. Berkerut dahi. Mula mengesan ada perkara yang tidak kena telah berlaku.

“Mak?” Panggilnya, ingginkan penjelasan atas sikap luar biasa yang ditonjolkan oleh Mulia itu.

“Biarlah dia… Dia tengah marah. Salah mak.” Perlahan, hampir tak kedengaran Mak Ati memberitahu.

“Sabarlah mak.” Pujuknya. Bukan dia tak faham perangai adik yang seorang itu. Mesti ada yang dia minta pada emak yang tak dapat dipenuhi. Sedari dulu dia memang tak berkenan dengan perangai adiknya yang seolah tak pernah nak faham akan kesempitan hidup keluarga mereka. Suka sangat meminta-minta benda yang bukan menjadi keperluan.

“Kamu dah makan ke Chom? Kalau belum makan mak ada masak asam pedas ikan kembong. Pergilah makan dekat dapur sana.”

“Belum mak.” Dia menghempaskan duduk pada sofa separuh usang yang terdapat di ruang tamu sempit rumahnya itu. Melepaskan lelah di situ.

Keletihan menjalari segenap ruang tubuh. Agaknya macam inilah yang arwah ayah rasa dahulu. Berkerja sehingga malam demi menyara kami sekeluarga. Tak apalah ayah…. Rehatlah dengan tenang di sana. Chom akan jaga keluarga kita. Ayah janganlah risau.

“Chom… Haisyh termenung pula dia. Kita bercakap dengan dia.”

“Ya mak? Maaf apa dia?”

“Mak kata pergilah makan kamu tu. Nanti perut tu masuk angin. Sakitkan susah.”

“Baik mak… Mak dah makan ke? Kalau belum jomlah makan dengan Chom ni. Dah lamakan kita tak makan sekali.”

“Kamu makanlah dulu Chom. Mak nak tidurkan si Chantik ni. Meragam saja adik kamu ni hari ni. Merengek saja dari tadi. Rindukan ayah dia kut.”

******

“Lya tolonglah jangan buat macam ni.” Hilang sudah rasa malu. Walaupun sakit hati dengan perbuatan gadis itu masih tak hilang, dia cuba ketepikan dahulu perasaan itu. Dia cuba buang ego. Cuba juga meraih kembali kasih gadis itu yang sudah sirna terhadapnya.

Catilya hanya mematungkan diri seolah pujukan lelaki itu sedikit pun tak menggoyahkan keputusan yang dia telah buat. Dia duduk sambil memeluk tubuh. Membuang pandang ke arah luar restoran. Tembus pandangannya pada dinding kaca jernih itu. Rintik-rintik hujan yang jatuh dari dada langit yang gelap diperhati. Sama langit itu menangis seperti mana hati dan jiwanya yang sedang menangis. Tersepit antara kasih dan belas. Tersepit antara cinta dan ihsan.

“I dah tak ada apa dengan you Zaif.”

“Tak akan semudah itu you buang kasih yang selama 3 tahun you semai untuk I Lya? Sekelip mata Lya…. Tega you kan?”

“Tega? You sepatutnya tanya balik dekat diri you Zaif, sebelum you ajukan soalan tu pada I. Cukuplah….” Sungguh dia rasa terdera dengan tuduhan lelaki itu. Ah lelaki itu memang tak akan pernah mahu sedar yang segalanya datang dari diri dia sendiri. Asyik-asyik mahu letakkan salah pada aku saja.

“Cukuplah? Maksud you?” Seolah tak faham dia bertanya.

“Cukuplah 3 tahun masa I terbazir dengan you Zaif.”

“Terbazir? Macam tu sekali sanggup you kata? Eh Lya you sengajakan nak sakitkan hati I?” Nada bertukar menjadi keras.

“Tak I…. Biar I berterus terang. 3 tahun I harap sangat masa mematangkan you. 3 tahun I harap sangat you berubah tapi hampa. Sebaliknya, you semakin tak terkawal. Perangai cemburu buta you tu betul-betul menjerut hati I ni. Benda kecil pun kadang tu you buat bahan untuk you bebelkan I sepanjang hari, malah bukan sehari bahkan kadang tu berlanjutan berhari-harian sampaikan I kena merayu dengan you supaya you maafkan I macam kesalahan yang I buat terlalu besar sampai tak terampun oleh you.”

“Lya I….”

“Zaif kita belum ada apa-apa ikatan tapi I dah betul-betul terseksa dengan perangai you ni. I tak akan dapat nak bayangkan andai kita dah berumah tangga nanti. Agaknya macam mana layanan you pada I hurmmm?”

“I akan berubah. I minta maaf. Tolong terima permohonan I ni Lya.”  

Kotak kecil berbalut kemas berwana purple yang disembunyikan di dalam saku jacket kulit hitamnya dikeluarkan. Disorong ke hadapan Catilya. 

“I tak akan berganjak kali ini Zaif. Maaf.” Kotak Pandora di hadapannya dipandang kosong tanpa sedikitpun rasa teruja. Jika sebelum ini dia pasti penuh gembira menerima segala pemberian lelaki itu, tetapi tidak pada hari ni. Dia akui lelaki itu memang pemurah bila dengan insan yang lelaki itu sayang.

“I tak dapat bayangkan hidup I tanpa you Lya.”

“…. Dan I pula tak mampu nak bayangkan jika I terpaksa teruskan hidup bersama dengan you Zaif.” Laju Catilya membalas.

“Lya sekali lagi I kata. I boleh berubah Lya, you kena bagi I peluang.” Tak jemu-jemu merayu.

“Peluang untuk you dah tertutup Zaif. Tolonglah mengerti. Tolonglah faham dan janganlah you rayu I lagi.” Menggeleng. 

Zaif pandang wajah Catilya itu. Kacau hatinya mendengar apa yang baru meluncur keluar daripada mulut gadis itu. Dia akui memang silapnya. Gadis itu sangat baik untuk disakiti atau dikecewakan.
Bye Zaif.” Gadis itu berdiri tiba-tiba. Kotak yang disuakan tadi nampaknya langsung tak menarik minat Catilya. Kotak itu masih terdampar tak berusik. Lesu di tempat yang dia letakkan tadi.

“Catilya….” Serunya.

“I harap ini pertemuan kita yang terakhir Zaif. I mahu bahagia dan I yakin I tak akan dapat bahagia tu jika I harapkan dari you. Buat apa I terus bersama dengan orang yang tak tahu menghargai kehadiran I di sisi dia selama ini? Biarlah I bersama dengan orang yang boleh I kongsi tawa tangis bersama, yang dapat menghargai diri I seadanya.” Wajah Khairi Razi mula terbayang di ruang mata. Entah kenapa hati serta merta berbunga bahagia bila teringatkan lelaki itu.

“Catilya jangan tinggalkan I sayang…”

Dia hanya mampu merintih. Lemah lutut untuk melangkah mengejar kelibat gadis itu yang semakin menghampiri pintu keluar restoran bertaraf 5 bintang yang ditempahnya semata-mata demi pertemuan ini. Pertemuan yang diharapkan mampu untuk menautkan kembali ikatan cinta yang terlerai kerana sikap yang melulu. 

“Bagaimana harus I teruskan hidup ini tanpa diri you Lya? Nak hela nafas pun I tak mampu bila I tahu you sudah pergi dari sisi I ni.”

3 tahun dia tak pernah izinkan mata untuk melihat gadis lain selain Catilyanya. Nampaknya setia itu kini sudah tak bererti bila sikap terlanjur menyakiti gadis itu tanpa dia sedar.

“Lya jangan tinggalkan I!” Dia memanggil lantang. Hampir 5 minit berteleku lesu di meja ruang tengah restoran itu dia seolah diberi kekuatan. Bingkas bangun.

Dia tak boleh mengalah sebegitu saja! Besar langkah dibuka namun hanya seketika sebelum terhenti bila melihat si gadis yang dipuja berpimpin tangan dengan seorang lelaki yang tak kurang gaya kacaknya menuju ke arah sebuah kereta Audi R8 berwarna merah garang yang terparkir tidak jauh daripada mereka. Lelaki itu dilihat membukakan pintu kereta dengan gaya penuh budiman. Catilya tenggelam dalam perut kereta.

Tak pernah terfikir ini akan terjadi di dalam hidupnya. Macam dalam drama sinetron pula rasanya bila melihat kekasih hati pergi ke lelaki yang lain.


Novel : Cinta Yang Tertunda[1]


Masa tak mampu memudar kasih,
Dendam tak dapat memadam sayang,
Benci tak bisa mengikis rindu,
Marah tak mungkin membuang cinta.

Lebih 5 tahun lalu,
“Oi… aku nak duit!” Selamba meminta duit dari isterinya tanpa sedikit pun terbit rasa malu.

Nasuha memerhati dengan penuh geram. Kalau aku ni kuat dah lama aku campak dia ni keluar dari rumah, tak ingin aku nak tengok muka lelaki tak guna yang hidup hanya tahu bergantung ehsan dengan kudrat orang perempuan. Tak tahu malu sungguh! Terkumat-kamit mulut berbicara tanpa suara. Kadang-kadang hilang sabar juga melihat kerenah suami kepada emaknya itu

“Saya mana ada duit lagi bang. Semalamkan abang baru je ambik semua duit saya? Manalah saya ada duit lagi dah sekarang ni.” Mak Salwa memberi alasan. Memang dia masih ada sedikit lagi duit berbaki tapi duit itu untuk digunakan membeli barang-barang dapur dan membayar bil air nanti. Kalau tak dibayar bil itu nanti takut pula bekalan air di rumah akan dipotong. Susah pula mereka sekeluarga nanti.

“Oiii jangan tipulah. Tadi aku nampak Si Alip tu hantar duit jualan nasi lemak dan kuih yang kau letak dekat kedai dia. Mana duit tu? Bagi kat aku cepat. Aku nak guna!” Bentaknya kasar.
“Duit tu nanti saya nak buat modal balik untuk berniaga. Kalau nak harapkan abang bagi duit rasanya matilah kami ni.”

“Oh pandai kau nak mengata aku sekarang ni ya? Dah jangan nak bagi alasanlah, bagi aku cepat duit tu!” Pintanya cuba merampas beg duit milik Mak Salwa. Nasuha terkejut dengan kelakuan ayah tirinya. Sungguh tak tahu malu dan sungguh tak layak menjadi lelaki, kaum yang sepatutnya melindungi perempuan tapi kini sebaliknya pula.

“Pak cik ni tak tau malu ke? Dahlah malas nak kerja lepas tu minta duit dekat emak pula, lelaki apa pak cik ni?” Dia bersuara, sabarnya hilang setelah sekian lama marah dipendam hari ni terhambur juga.

Berdesing telinga mendengar teguran budak sementah Nasuha itu. Tercabar ego. Budak ni memang nak mampus agaknya. Kecik-kecik lagi dah pandai nak ajar orang tua. Pantas kaki diatur ke arah Nasuha.

Pang!!! Tangan melayang laju ke pipi anak gadis itu tanpa sebarang amaran. 

“Budak kurang ajar! Kecik-kecik tak nak mampus! Bila dah besar menyusahkan pulak. Kau ingat kau siapa nak ajar aku ni?” Bukan sekali bukan dua kali penamparnya hinggap malah berkali-kali sehingga anak itu lembik longlai.

“Sudahlah tu bang! Sudahlah! Ya ALLAH awak nak bunuh anak saya ke? Kalau ya pun marahkan saya jangan lepaskan pada budak tu.” Mak Salwa teresak-esak sambil cuba meleraikan perbuatan suaminya itu. 

Sayu hati. Dia sendiri sebagai orang yang melahirkan tak pernah sekali pun mengasari Nasuha. Tubuh anaknya itu dirangkul, ada darah yang mengalir di pipi dan hidung Nasuha.

“Abang ambiklah duit ni. Pergilah ke mana abang nak pergi dan jangan pukul dia lagi.” 

“Heh.. kalau kau bagi dari awal tadikan lagi senang. Menyusahkan aku je.” Tangan merentap kepingan duit kertas yang dihulurkan oleh isterinya itu. Duit itu dibawa ke wajah dicium. Wajah yang kusam garang tadi kembali ceria kini. Pantas dia melangkah keluar dari rumah tak peduli lagi apa yang berlaku selepas ini.

“Maafkan mak sayang, mak yang buat silap. Kalau mak tak kahwin dengan dia dulu tentu hidup kita tak merana macam ni, tak sukar macam ni.” Hiba hati sebab tak mampu menyediakan kebahagiaan buat anak itu. Semua salah aku, silap buat percaturan hidup. Bisik hati kesal yang sangat-sangat..
Nasuha hanya menggeleng lemah. Dia benci mendengar Mak Salwa tak putus-putus menyalahi diri sendiri.

“Bukan salah mak, bukan salah siapa-siapa mak, cuma inilah dugaan hidup kita mak. ALLAH nak tengok sejauh mana kita boleh bersabar dengan ujianNYA.” Bisiknya perlahan memujuk lara di hati emaknya itu.

Tubuh Nasuha dipapah perlahan menuju ke biliknya. Tuala kecil dicapai dan dibasahkan untuk mencuci luka di wajah anaknya itu. Air mata tak putus-putus mengalir di pipi cengkungnya itu. Sayu melihat wajah si anak berkerut menahan kesakitan dek penangan suami itu sendiri.

“Mak… maafkan Suha, Suha tak dapat tahan sabar tadi. Suha benci tengok pak cik tengking-tengking, marah-marah mak begitu.” Tangan Mak Salwa dipegang dikucup perlahan. Air mata yang mengalir di wajah tua milik Mak Salwa itu diseka dengan hujung jari.

“Mak janganlah sedih, Suha tak ada apa-apa. Sikit je ni. Lagipun Suha puas dapat cakap macam tu pada dia. Suha harap pak cik berubah satu hari nanti.” Sambungnya lagi bila melihat Mak Salwa hanya diam membisu. Cuba diukir senyum di wajah walaupun terasa sedikit pedih di hujung bibir.

“Suha tak salah apa-apa, tak payah minta maaf dengan mak. Suha rehatlah ya, cuma lain kali mak harap sangat Suha jangan buat macam ni lagi. Mak tak mahu tengok Suha dicederakan, kena pukul dengan pak cik lagi.” Mak Salwa mengusap perlahan rambut milik puteri tunggalnya itu.

“Janji dengan mak. Walau apa pun yang jadi selepas ni, Suha jangan masuk campur kalau pak cik marahkan mak ya nak? Mak tak mahu apa-apa jadi pada Suha. Mak tak mahu benda ni berulang lagi.” Pintanya. Jangan sebab dia bertengkar dengan suami, anaknya itu pula yang jadi mangsa keadaan. Luka-luka dipukul dibelasah tanpa belas.

“Suha tak boleh janji untuk tak masuk campur.” Dia menggetap bibir geram bila ingatannya teringat akan tingkah Pak Mail itu.

Terdiam Mak Salwa mendengarnya. Suha memang anak yang keras hati. Nampak saja macam lembut orangnya, tapi kalau hati dah tekad membenci, maka bencilah dia.

“Dahlah… Suha tidur ya nak” Dikucup perlahan dahi milik anak itu, sedih melihat Nasuha yang kesakitan.

Entah kemanalah lelaki itu sudah pergi dengan duitnya tu. Mungkin berjudi di hujung simpang kampung atau sedang asyik mabuk-mabuk meneguk air kencing syaitan yang dibeli di kedai Ah Thong. Ada suami pun macam tiada suami. Kalau dia tahu macam ni akan jadi hidupnya kini, lebih baik dia bersendiri saja terus untuk besarkan Nasuha. Selama ini pun dia yang menanggung hidup lelaki itu dan Pak Mail hanya tahu menghabiskan harta benda saja.


Tuesday, November 29, 2016

Novel : Kasut Hitam Topi Pink[Blurb]

Bila cinta yang berkuasa, benci pun boleh jadi suka...


Pemergian mendadak ayah yang menjadi tempat bergantung harap telah mengubah kehidupannya serta merta. Chomel Mayesa yang masih menganggur terpaksa menyambung legasi ayahnya sebagai tukang kasut demi mencari sesuap nasi untuk mengisi perut ibu dan adik-adiknya yang masih kecil, berlajar dan bersekolah. Dia anak sulong dan tanggungjawab tergalas di bahunya kini. 

Berkenalan secara tak sengaja dengan Catilya dan Zaif Affendy yang merupakan pelanggannya. Zaif yang sombong dan  bongkak. Zaif yang pembersih dan cerewet tahap kritikal dan selalu menyakitkan hatinya. Salah faham mula timbul bila Chomel membantu Catilya yang hampir terjatuh dan dalam masa yang sama Zaif telah terlihat aksi mereka. Zaif mula curiga dan menuduh Catilya curang kerana perwatakan Chomel yang seperti lelaki dan suka memakai topi berwarna pink! Apatah lagi dia pernah melihat aksi terlebih mesra Chomel dengan ‘teman wanitanya’ yang bernama Rina ketika dia datang mengilat kasut buat pertama kalinya dahulu menguatkan lagi teori yang Chomel punya perasaan yang tak normal!

Dek kerana tak tahan dengan perangai cemburu melampau Zaif, Catilya telah mengambil keputusan memutuskan hubungan antara mereka. Pergaduhan besar tercetus kerana Zaif menyangka Chomel adalah punca segala-galanya.

 “Eleh kalau tinggal kau satu-satunya perempuan yang ada di muka bumi ni pun aku tak akan pilih kaulah. Rela aku hidup sendiri sampai mati!”- Zaif Affendy

“Hoh aku ingat kau akan pilih monyet sebagai calon bini kau sebab kau punya perangai bandingkan kau dengan monyet dekat Zoo Negara tu aku tengok dah lebih kurang sama dah. Kui! Kui! Kui!”- Chomel Mayesa

Akan berpenghujungkah perseteruan antara mereka? Yalah sedangkan pantai lagi berubah bila dipukul ombak inikan manusia yang punya pelbagai rasa. Jom telusuri kisah mereka dalam naskah ini.