iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Thursday, April 20, 2017

Cerpen : Setulusnya Cinta




Skirt paras lutut yang dia pakai sudah basah dek mencecah air tanda langkah semakin jauh ke tengah laut. Angin laut yang bertiup agak kuat membuatkan rambut panjang yang disanggul cincai terburai laju menutup ke wajah.
Erina angkat tangan, lemah menyeka anak-anak rambut yang menghalang pandangan mata. Dia seolah kehabisan tenaga. Panggilan telefon yang diterima beberapa jam tadi seolah-olah telah menyedut keluar seluruh tenaga yang dia ada.
Hari ini hari ulang tahunnya yang ke-28 tahun. Betapa lebar senyuman di wajah tatkala melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon pintarnya yang berbunyi. Laju jari comelnya meleret butang hijau untuk menjawab panggilan. Tidak sabar-sabar untuk mendengar suara si kekasih. Raja yang telah bertakhta di dalam singgahsana hati semenjak beberapa tahun ini.
“Erina…”
“Say…ang….” Lambat-lambat dia menyahut. Janggal bila mendengar lelaki itu memanggil dengan nama penuh. Nada suara juga dingin dan mendatar. Seperti tiada kemesraan. Amat jarang Nadzri memanggil dengan nama penuh begitu. Biasa lelaki itu lebih suka memanggil dengan panggilan manja, sweetheart. Hati berdebar-debar tiba-tiba. Intuisi seolah dapat menghidu sesuatu yang tidak menyenangkan.
“Erina… I rasa I kena berterus-terang. I tak mahu terus berpura-pura dan bohongi you. Seksa perasaan you dan perasaan I terutamanya.
“A…apa maksud you Nadz?” Kerongkong terasa menyempit sehingga tak mampu melalukan air liur sendiri untuk ditelan. Yakin apa yang bakal disampaikan oleh Nadzri kelak akan menyakitkan hatinya.
“I rasa kita tak menjadi Erina.”
“Kita tak menjadi? Apa ni Nadz? I tak fahamlah.” Sudahlah bicara itu tanpa didahului dengan sapaan salam, lepas tu tiada langsung disertakan dengan ucapan manis sempena dengan ulang tahunnya hari ini, kemudian bicarakan pula hal yang mengarut dan dia sendiri tak dapat nak telah dan tangkap maksud tersiratnya. Erina kehairanan. Apa yang telah berlaku pada Nazdri? Dua tiga hari lepas mereka baik-baik sahaja. Tak ada bergaduh apa-apa pun tapi hari ini… kenapa? Hembusan nafas berat dilepaskan. Panjang.
“I dah tak boleh nak bohongi diri I lagi. I tak mampu dah untuk terus berlakon masih cintakan you Erina. Kadang-kadang bila kita keluar bersama, I selalu tertanya-tanya pada diri sendiri, you ni tak pernah bercerminkah? You tak akan tak sedar, tak perasan akan perbezaan antara kita? Bukan nak puji diri, tapi kenyataan I ni kacak, punya potongan badan yang menarik dan you pula? Sudahlah berkulit agak gelap, tubuh gempal dan pendek pula. I ni model Erina, rasa tak sajak sangat bila berpasangan dengan you. You tahu apa rasa I bila kita keluar bersama dan terpaksa bawa you sekali ke majlis-majlis yang I perlu hadiri tu?” Soal lelaki itu.
“Malu sangat….” Tak sempat Erina menjawab, Nadzri telah menjawab soalannya sendiri.
“Nadzri! Sampai hati you kata begitu pada I.” Jadi selama ini lelaki itu hanya berpura-pura? Pergunakan dirinya sahaja demi kepentingan poket dan nafsu? Pedih telinga mendengar kata-kata Nadzri dan pedih juga hatinya. Bagai dihiris halus-halus.
“Kita berpisah sahaja Erina.”
What? Nadzri you??” Jantung bagai disambar petir kuat. Laju dia bawa tangan mengusap ke dada sendiri.
“Sengaja I pilih hari ini untuk katakannya, supaya you boleh ingat sampai mati Erina. Selamat hari lahir, ini hadiah I pada you.” Ucap lelaki itu tega tidak sedikit pun memikirkan tentang perasaan Erina yang dicarik-carik sebelum memutuskan talian tanpa langsung menunggu sebarang balasan darinya.
 “Erina I suka kalau you tanggalkan tudung.”
Disebabkan sayang sangat dengan Nadzri dia akur melucutkan tudung di kepala tanpa ragu-ragu. Pakaiannya yang dahulu agak labuh mula disingkat sedikit demi sedikit.
“Erina kalau you sayangkan I, you kena bagi apa yang I mahu.”
Cinta yang membuta tuli buat dia menjadi bodoh dan menurut saja kata-kata Nadzri. Apatah lagi bila mendengar janji yang keluar dari mulut lelaki itu untuk mengambil dia sebagai isteri. Bukan singkat tempoh hubungan mereka. Mencecah usia 6 tahun. Dia tua 5 tahun dari Nadzri tapi dia tak peduli. Umur hanyalah angka. Fikiran dan otak hanya terpusat pada Nadzri. Dia lupa diri dan yang dia tahu dia hanya mahukan lelaki itu.
Bukan sedikit pengorbanan yang dia telah buat untuk Nadzri. Sanggup dia potong duit belanja bulanan yang dia sediakan untuk keluarga demi menanggung Nadzri yang masih berlajar waktu itu dengan harapan bila lelaki itu sudah habis berlajar nanti mereka akan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Mereka bertemu tanpa sengaja. Dia berkerja sebagai pensyarah sambilan di tempat Nadzri belajar ketika itu. Sengaja ingin menambah duit poket sedangkan dia sudah punya kerjaya yang tetap sebagai account executive di sebuah syarikat swasta.
Bukan dia tidak sedar akan perubahan sikap Nadzri semenjak kerjayanya sebagai seorang model semakin bersinar. Rupa paras Nadzri yang agak menarik membuatkan lelaki itu ditawarkan menjadi model oleh sebuah agensi modeling yang kebetulan sedang merekrut model-model baru beberapa tahun dahulu. Sampai hati you Nadzri. Hati tak dapat nak lari dari rasa sebak bila kata-kata dan ucapan lelaki itu kembali bermain di ingatan dan terngiang di telinga. Tubir mata terasa panas, air mata terus bertakung banyak tanpa dapat dikawal.
Puk!
“Ouch!” Dia terjerit bila sebiji botol melantun mengenai dahi akibat dibaling oleh sang ombak. Berkecai segala lamunan. Dahi terasa sengal.
“Kurang ajar punya botol.” Erina membentak geram. Laju tangan mencapai botol kaca kosong itu. Lempar jauh-jauh ke dalam laut dengan mulut terkumat-kamit membebel marah pada botol tak bernyawa itu. Hanya seketika sebelum tangan kanan laju naik menekup ke mulut sendiri. Baru tersedar dia terlepas laku. Cepat-cepat pandang sekeliling. Tarik nafas lega. Di hanya bersendirian. Tiada sesiapa yang berada di persisiran pantai. Kalau tak mungkin secara percuma dia sudah dicop perempuan gila. Sudahlah wajah tak lawa bak kata Nadzri, otak pun tak berapa lawa juga, sahih lepas ni dia tak akan laku. Silap-silap kena sandang jawatan ‘andartu’ pula nanti gara-gara lepas laku kala ini.
Puk!
Sekali lagi botol yang dibaling tadi dicampakkan kembali oleh sang ombak. Kali ini mengenai lututnya pula.
“Aduh!” Erina jerit nyaring. Tak peduli dah. Lepaskan rasa geram dan sakit yang bercampur menjadi satu.
“Kau ni kenapa botol? Nak cari pasal dengan akukah? Sengaja nak tambahkan sakit hati aku ya ombak? Aku tak mahulah hadiah kau ni.” Membentak-bentak menghentak kaki yang berada di dalam air. Dia campak botol itu sekuat-kuat hatinya. Biar pergi jauh dan tidak dicampak lagi ke arahnya oleh sang ombak.
“Hai bising-bising dengar dari jauh tadi ingatkan bergaduh dengan siapa, rupanya bergaduh dengan botol dan ombak.” Satu suara garau tiba-tiba menegur.
“Jangan sibuklah!” Marahnya laju namun hanya seketika sebelum Erina terkaku. Suara siapakah? Yakin tadi dia hanya bersendirian dan tidak ternampak kelibat sesiapapun di kawasan pantai itu. Tak akanlah hantu air yang menegur? Eh adakah hantu di siang-siang terang begini? Lambat-lambat dia pusingkan tubuh. Melihat dalam takut.
Satu susuk tubuh sasa sedang memeluk tubuh berdiri beberapa meter darinya. Mana muncul lelaki itu? Dari dalam lautkah? Jelmaan hantu air? Tapi macam terlebih kacak pula. Wajah lelaki asing itu kelihatan murah dengan senyuman namun Erina langsung tidak membalas senyuman lelaki itu.
Hello! Is it me you're looking for?
Lelaki itu mengangkat sebelah tangan sambil melambai siap menyanyi lagu Lionel Richie lagi bila melihat Erina langsung tak bereaksi dengan senyuman manis tahap mencair ais -100 darjah celciusnya itu. Cuba mencipta situasi santai dalam mood tegang Erina.
Ingat lawaklah tu. Erina cebik bibir. Terus atur langkah. Tinggalkan lelaki itu. Kembali ke daratan. Malas melayan lelaki yang cuba beramah itu. Orang sudahlah tengah mood sedih libang libu, dia pula boleh muncul konon-konon nak ajak kita bersuai kenal pula. Huh tak kuasa nak layan. Muka kacak kau tu tak lakulah nak tampal mood aku yang tengah koyak rabak ni. Membebel geram Erina di dalam hati. Benci bila keinginan dia untuk bersendirian diganggu.
“Sombongnya dia. Hai saya Sein. Nama panjang Hussein.”
“Tak tanya pun.” Acuh tak acuh.
“Boleh pun balas kita ni.” Sedikit pun tak ambil hati dengan layanan dingin Erina.
Erina hadiahkan jelingan tajam kepada lelaki itu. Terasa tersindir. Jangan tambah rosakkan mood aku. Nanti ada yang makan pasir pula karang.
“Erina!”
Terhenti langkah bila mendengar Hussein memanggil nama penuhnya. Seingat dia tidak ada memberitahu namanya tadi. Lambat-lambat dia pusingkan tubuh. Memandang Hussein dengan penuh tanda tanya. Lelaki itu turut memandang ke arahnya juga. Senyum lebar tayang semua gigi di bahagian hadapan yang bersusun kemas.
“Awak mesti tertanya-tanyakan Erina? Saya kenal awak semenjak lama dahulu tapi saya yakin awak tak mengenali saya ni.”
Siapa Hussein ni? Kenal aku dari dahulu lagi? Berkerut dahi cuba ingat kalau-kalau dia pernah mengenali seseorang yang bernama Hussein tapi gagal. Ingatan seolah kosong. Memori seperti tiada langsung bersambung dengan orang yang bernama Hussein. Lelaki itu berbohong barangkali.
“Tak apalah kalau awak gagal mengecam saya ni.”
Eh lirih pula nadanya. Tak penting rasanya. Ingat muka kacak dia tu buat dia laku dengan mata aku ni. Mencebik bibir. Kembali pusing tubuh. Sambung langkah yang terhenti tadi.
“Erina dahulu awak memang comel, bukan saja pada bentuk tubuh dan rupa paras, tapi comel dengan pemakaian yang bertutup dan sejuk mata-mata yang memandang tapi sekarang ni…”
“Tapi apa? Eh jangan nak sibuklah. Diri saya suka hati sayalah nak buat apa pada tubuh badan ini.” Panas pula hati bila mendengar kata-kata berbentuk teguran Hussein itu. Rasa macam mukanya disimbah dengan air panas. Hangat melecur terbakar.
 “Erina saya tahu cinta itu tak bermata, buta, tapi cinta yang mengubah awak dari kebaikan kepada keburukan, bukanlah dinamakan cinta lagi. Itu nafsu namanya. Membuta tuli.”
“Diamlah. Apa yang awak tahu pasal kisah saya? Jangan nak menyibuk boleh tak? Awak tu siapa? Saya pun tak kenal awak. Jaga urusan awak. Jangan masuk campur urusan saya.”
“Saya tegur sebab saya sayangkan awak….”
Eh-eh lelaki ini, baru berjumpa tak sampai beberapa minit sudah berani ungkap kata sayang. Semerta teringat pada Nadzri. Ah lelaki memang spesis manis ayat, lembut lidah dari gigi. Bila dah habis madu disedut kering, akan buang kita macam sepah yang tak berguna.
******
Botol kaca yang kosong dan menjadi hiasan tunggal di atas meja kayu yang kemas itu dicapai. Dibelek-belek. Perlahan-lahan bibir melorek senyum tanpa dipaksa. Ada reben merah jambu yang diikat mengelilingi badan botol itu sebagai hiasan.
“Ada yang datang bertanya berkenankan kamu.”
Belum pun hilang penatnya memandu dari Shah Alam pulang ke rumah di Pulau Indah, telinga sudah dikhabarkan dengan berita diri dirisik.
“Siapa?” Semenjak kejadian putus dengan Nadzri beberapa bulan dahulu, perasaan jadi hambar. Tawar macam tak ada keinginan untuk bercinta lagi. Luka masih belum sembuh, bisa perpisahan itu masih ada lagi tertinggal.
“Kamu kenal orangnya. Nak terima ke tidak?”
“Ikut suka emaklah.” Malas dah nak serabutkan otak untuk berfikir. Dia akan menurut saja kali ini. Serah diri.
“Ikut emak pula. Bukan emak ni yang nak kahwin, tapi kamu tu.”
“Mak… orang malaslah nak fikir, kalau mak rasa budak yang datang tu baik, sesuai untuk orang, orang ikut saja.”
“Betul ni? Kamu tak salahkan emak pula di kemudian hari kalau mak terima budak tu?”
“Tak… kalau tak menjadi maknanya itu memang sudah ditakdirkan. Orang tak akan salahkan mak punya.” Cuba realistik.
“Baiklah kalau dah itu kata kamu. Ada betul juga. Kamu pun bukannya muda lagi. Kalau pada zaman emak dahulu dah kena gelar anak dara tua tau. Nanti mak cakap pada budak tu suruh bawa keluarganya minggu depan. Emak tak mahu kamu bertunang lama-lama. Sebulan dua cukup. Buat yang wajib saja.”
Penat berdiri mengelamun, dia labuhkan pada kerusi kulit berwarna hitam yang terdapat di situ. Botol kaca yang dipegang tadi diletakkan di atas riba. Kaki memusing-memusingkan kerusi sambil mulut tak pudar-pudar dengan senyuman.
Hendak terkeluar biji mata bila melihat hantaran cuma itu, satu dulang mas kahwin dan diiringi satu botol kaca yang langsung tak nampak istimewa di matanya. Tahulah hari itu emak berkata ikut terpulang pada pihak lelaki, tapi beragaklah. Botol kosong nak buat apa? Getus hati agak bengang tapi macam pernah tengok saja botol tu.
“Botol ni sebagai simbolik pertemuan kembali antara kita setelah bertahun-tahun.” Bisik lelaki itu perlahan ke telinganya sewaktu tunduk menghulur tangan untuk disalam. Macam-macam tahu-tahu saja persoalan yang bermain di dalam benaknya.
“Sein… Hussein?”
“Hai Erina….” Kali ini senyum manis lelaki itu tidak dibiar tanpa dibalas. 2 keping kertas yang berada di bawah botol kaca itu diambil oleh Hussein dan dihulurkan kepadanya.
“Kita buat umrah lepas ni ya?”
Bagi Erina pilihan emak tak silap, keputusan dia menerima lelaki itu juga tak salah.
“Erina mesti tak ingat saya ni siapakan?”
Dia menggeleng. Sungguh tak dapat nak ingat siapa lelaki itu di dalam masa lalunya. Yakin dia tak ada pun mengalami masalah memori tapi entah kenapa otak gagal mengingati siapa Hussein yang sudah sah menjadi suami dan berdiri di hadapannya kini.
“Kalau saya sebut Buntal?”
“Buntal?” Beberapa ketika dia berkerut dahi sebelum mulut melopong luas. Ingat, dahulu ada seorang budak lelaki yang berbadan gemuk suka mengganggunya. Sudahlah gemuk, kuat makan pula tu. Anti betul dia dengan budak tu dahulu. Gemuk dan suka mengambil bekal makanan yang dia bawa ke sekolah walaupun berlainan kelas. Pelik. Hanya bekalan makanan dia saja yang suka diambil. Tidak bekal yang dibawa oleh rakan-rakan yang lain. Dia tidak pernah mengetahui nama sebenar budak gemuk itu, sebab itulah dia gelar budak itu sebagai Buntal. Macam ikan buntal, yang bulat dan tubuh penuh duri tu. Bezanya lelaki itu dahulu dengan sekarang. Termalu sendiri dia. Kalau dahulu tubuhnya langsing tapi kini sudah berisi, semua semenjak dia mencecah akil baligh. Hormonnya berubah.
“Erina berubah besar macam mana pun, tetap cantik di mata saya ni. Saya tak pernah bencikan awak. Sayang dan suka yang semakin membuak-buak adalah. Dahulu dapat tengok Erina dari jauh saja, sebab tahu awak tak pernah sudi nak pandang saya ni itu sebab saya buat macam-macam untuk tarik perhatian awak dahulu. Sekarang saya lega. Erina yang saya suka dah jadi milik saya yang halal. Kerana botol ini kita ada topik untuk berbicara selepas berbelas-belas tahun saya berusaha.
“Erina… lelaki yang baik, dia akan terima kita seadanya, tak akan mengubah kita menjadi seperti apa yang dia mahukan.”
Rasa termalu sendiri mendengar kata-kata Hussein itu. Seperti kata-kata itu tepat dituju ke batang hidungnya. Sempat mata membelek tubuh sendiri. Rasa tebal disalut dosa atas hubungan yang melangkaui batas antara dia dan Nadzri dahulu.
Nafas ditarik dalam. Jam yang melilit pergelangan tangannya diperhati. Sudah lebih 10 minit dia di dalam bilik ini. Mana pula lelaki itu. Tak apalah. Boleh sambung mengelamun lagi. Hati memujuk. Fikiran kembali menerawang.
Memang manis kehidupan berumah tangga dengan Hussein. Siapa sangka lelaki yang nakal dan amat dibenci dahulu boleh berubah menjadi lelaki yang baik. Naikkan suara juga Hussein tak pernah kepadanya. Marah pun tidak atas lakunya yang terlepas kadang-kadang tu, pakaian yang tidak bersesuaian. Hussein hanya menegur dengan lembut, lebih kepada nasihat. Usai dirinya dileteri dengan nasihat-nasihat, Hussein akan menghadiahkannya pula dengan bisikan kata cinta dan sentuhan mesra. Memujuk kembali. Pandai lelaki itu.
“Hey you buat apa dekat sini? Sit at my boss seat. You ingat you siapa?”
Terus berdiri Erina yang sedang duduk bila disergah tiba-tiba. Langsung terjatuh botol yang berada di atas ribaan. Cepat-cepat dia menunduk. Mengutip botol itu dan membeleknya. Mujur tidak pecah mahupun retak. Dia menarik nafas lega.
“Nadz… Nadzri?” Terbeliak mata bila melihat pemilik suara garau yang menyergahnya adalah Nadzri. Macam mana pula lelaki itu boleh berada di sini?
“Wah dah bertudung litup you sekarang ya Erina?” Sinis nada lelaki itu sambil memandang dirinya dengan senyuman mengejek.
“Apa yang you buat dekat sini Nadz?”
“Tanya I pula, ini office I sudah tentu-tentunya I perlu berada di sini. Sudah-sudahlah Erina. Cukup-cukuplah mengejar I ni. Terima kenyataan.”
“Nadz you…”
“I dah tak nakkan you Erina. Berubah macam mana pun you I tetap tak akan kembali pada you. Never!
“Nadzri… bukan….”
“Bukan apa? Sudahlah berapa kali I nak cakap yang you tidak layak dengan I ni.”
“Memang dia tidak layak pada awak pun Nadzri. Dia layak pada saya ni. Perempuan sebaik dia tak sepatutnya mendampingi seorang lelaki yang tidak tahu menghargai seperti awak tu.” Hussein yang baru saja muncul di muka pintu terus menyampuk.
“Encik Hussein?”
Erina nampak riak terkejut di wajah Nadzri. Hussein selamba mendekati Erina.
“Maaf abang lambat.” Menghulur tangan kepada Erina, mahu diri disalami. Tangan mengusap ubun-ubun Erina yang berbalut tudung.
Kalau tadi matanya terbeliak melihat kehadiran Nadzri kini giliran lelaki itu pula terbeliak mata melihat aksi mesra dia dengan Hussein. Hussein seorang usahawan yang sedang mencipta nama. Mengeluarkan pakaian di bawah jenamanya sendiri. Mungkin Nadzri antara model yang menggayakan produk keluaran syarikat Hussein.
“Erina you… you….”
“Itulah I nak cakap tadi Nadzri, you asyik buru-buru potong bicara I ni. Bagus juga you dah tahu. Biar you sedar. Jangan nak perasan sangat.”
“Sengaja saya temukan awak dengan bidadari saya ni. Sering saya perhatikan awak Nadzri. Awak terlalu obses dengan diri sendiri, bertukar-tukar wanita macam tukar pakaian, perempuan dicipta untuk dilindungi Nadzri. Bukan untuk disakiti. Saya nak tanya awak. Bahagiakah awak dengan kehidupan awak sekarang ni?” Hussein bertanya sambil pandang tepat ke wajah Nadzri. Lelaki itu kelihatan menunduk. Menggeleng seolah kesal dan malu.
“Sudahlah Nadzri, moga teguran dan pertemuan ini mendatangkan hikmah pada you. Jujur I katakan kehidupan I sangat bahagia sekarang ini. Hidup dengan lelaki yang amat penyayang dan memahami. Thanks to you. Kalau kita tidak berpisah tak adalah saya rasa nikmat berkasih sayang dengan halal bersama lelaki sebaik Hussein ni. Terima kasih abang.” Lingkarkan tangan pada tangan Hussein sambil pandang tepat pada wajah suaminya itu. Hadiahkan senyuman yang paling manis. Tak segan silu dia meluahkan isi hatinya.
“Maafkan I Erina.” Lemah nada Nadzri memohon.
“I dah lama maafkan.”

Sunday, December 25, 2016

Novel : Ku Relakan Cinta Ini Bertamu[39]




Dalam silau-silau cahaya lampu kereta pandangan matanya menangkap pada satu susuk tubuh yang baru melangkah keluar dari perut kereta yang berhenti tidak jauh darinya. Cuba diamati siapa gerangan yang tiba itu. Berkerut-kerut dahinya.. tapi dia tak pasti.

"Qish, nak ke mana pula ni malam-malam bawak beg?" Tegur satu suara yang amat dikenalinya itu.

Air mata yang sudah menjadi teman setianya sedari tadi kembali mengalir lebat di pipi, menitis jatuh terus ke bumi sebaik sahaja dia mendengar suara itu.

"Su... ya ALLAH, kau datang tepat pada masanya..." Ungkapnya bersama esakan yang tak tertahan.

"Apa yang terjadi ni Qish? Kau nak ke mana? Mereka halau kau ya, Daniel halau kau ek?" Soal Suraya kabut... Rawan melihat wajah sembab Balqish di sebalik sinar cahaya bulan. Entah kenapa hari ni dia tergerak untuk menjenguk Balqish.. lalu diajaknya tunangnya itu singgah menemui Balqish.. Tak sangka pula dia akan bertemu dalam keadaan Balqish begini. Wajah sendu itu diperhatikan. Cuba diamati, takut-takut ada kesan cedera pula yang menempek di wajah itu tapi alhamdulillah tiada.

Huh.. apalah yang dibuat oleh si Daniel ni lagi? Dia ni memang tak boleh harap langsung, ada saja benda yang dibuat tu melukakan Balqish. Memang nak kena mamat ni, siap kau kalau aku jumpe nanti. Aku pijak-pijak kaki kau sampai berlubang dengan high heel aku ni. Dia menggetap bibir.. hatinya kuat mengatakan yang Balqish jadi begini dek kerana lelaki itu.. Ya dia mesti punca utamanya.. Siapa lagi kalau tak bukan dia?

Tubuh Balqish yang sedang tersedu itu diraih ke dalam pelukan.. Entah kenapa hatinya sangat sakit melihat keadaan Balqish kala ini.

"Qish kau nak kemana sebenarnya?" Dia menyoal lagi setelah beberapa kali soalannya terbiar sepi tanpa sebarang jawapan.

Balqish menggeleng...

"Jom ikut akulah kalau macam tu.." Ajak Suraya. Risau juga sesuatu yang tak elok akan terjadi pada teman nan seorang ini. Beg pakaian di tangan Balqish di capainya dan dimasukkan ke dalam kereta.

"Qish.. jom.." Dia menarik perlahan tangan sahabatnya itu..

"Qish...."

Sekali lagi dia memanggil bila melihat Balqish hanya pegun tidak bergerak..

"Kau ikut aku balik... nanti dah sampai rumah kita bincangkan macam mana cara nak selesaikan masalah kau ni lagipun kesian Risyia tuh. Mesti dia sejuk kena dengan angin malam..."

Dengan langkah yang berat, lambat-lambat dia memasuki perut kereta... memandang lagi kea rah rumah agam itu. Mungkin untuk kali yang terakhirnya.

Kita bertemu dalam tidak diduga. Entah mengapa dalam diam, rasa sayang ini mula hadir memekar dalam jiwa ini. Mungkin inilah takdirnya yang bahagia itu bukan semestinya menjadi milikku. Selamat tinggal sayang. Izinkan aku berlalu dalam hidupmu. Semoga bahagia itu menjadi milikmu. Mengiringi setiap hari-harimu. Bisik hatinya..

"Abang, kita bawa Qish balik rumah Su lah ya..." Suraya memandang ke arah tunangnya. Hai nampaknya plan nak keluar tengok wayang midnight terpaksa dibatalkan. Ah tu semua tak penting... yang penting sekarang ni ialah untuk berada di sisi temannya itu. Dia tahu yang Balqish amat-amat memerlukan sokongannya kala ini.

"Ok.." Lelaki itu mengangguk setuju. Dia faham benar yang Suraya memang teramat sayangkan Balqish dan dia sendiri pun amat menyenangi Balqish sepanjang mengenali wanita itu melalui Suraya..

Suraya risau sepanjang perjalanan itu mereka semua hanya selesa membisu. Sesekali matanya mencuri pandang ke arah Balqish melalui cermin kereta. Tak sabar hati untuk mengetahui apa yang terjadi pada rumah tangga temannya itu.

Tunangnya yang tenang memandu di sisinya dipandang lama. Nasib baiklah lelaki ini jenis yang memahami. Minta-mintalah dia tidak buat perangai andai kami berumahtangga kelak.

"Kenapa??" Soal lelaki itu.. hairan melihat Suraya yang asyik merenungnya sedari tadi..

"Err... tak ada apa-apa..." Suraya menggeleng kepala laju..

"Kalau tak ada apa-apa kenapa pandang abang macam tu sekali?"

"Er... aa.. abang tak kisah ke kita batalkan temujanji kita ni?" Serba salah pula pada lelaki itu. Dah sekarang ni mereka memang sukar untuk berjumpa. Lelaki itu terlalu sibuk dengan tugas-tugasnya..

"Tak adalah.. Balqish lebih penting sekarang ni... temujanji kita, bila-bila pun boleh..."

"Terima kasih abang..."

Beruntungnya aku dapat tunang yang amat memahami seperti dia ni. Sejuk hatinya mendengar lafaz yang terkeluar dari bibir lelaki itu.

"Tak ada hal sayang... "

Suraya tersenyum...

"Sorry aku menyusahkan korang berdua." Suara serak Balqish tiba-tiba menampar telinga. Agaknya barangkali Balqish mendengar perbualan antara mereka tadi..

"Tak ada susahnya Qish. Kau kan kawan aku dan nilah gunanya kawan. Sentiasa ada susah dan senang. Kau kan tahu yang aku tak akan sesekali pun benarkan kau sendirian menyelesaikan kemelut ni."

"Thanks Su.. aku dah banyak susahkan kau.. "

"Qish.. untuk kau aku rela disusahkan... tak apa.. janji kau bahagia.."

Balqish diam. Rasa terharu mendengar kata Suraya itu. Sungguh.. Surayalah kawan terbaik yang pernah di milikinya.

Moga ALLAH sentiasa merahmati kehidupan kau Su... doanya dalam hati, ikhlas...

**********


Dari kejauhan, matanya menangkap pada sinaran lampu kereta yang baru saja keluar daripada perkarangan rumah itu..

Eh siapa pula yang datang? Daniel tertanya-tanya dalam hati...

Ah pedulilah... tak penting pun..

Seusai saja dia meletakkan keretanya di garaj... cepat-cepat dia melangkah keluar dari peut kereta.. tak sabar rasanya untuk menyampaikan perkhabaran gembira ini pada Balqish..

Sunyi je rumah ni... mana pula perginya Balqish ni..

"Qish.. oh Qish.. abang dah balik ni.." Dia memanggil namun tetap sepi tanpa sahutan..

Daniel mula tak sedap hati. Gopoh-gopoh dia memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas, langsung tak peduli akan pandangan pelik kedua ibu bapanya.

Pintu kamarnya di tolak rakus. Kosong... bilik itu tiada siapa-siapa. Balqish tidak berada di situ. Hairan..

Dia berpusing. Melangkah keluar dari bilik itu.. ingin mencari di bilik-bilik yang lain pula. Manalah tau kot-kot Balqish merajuk. Bawa diri ke bilik yang lain namun langkahnya terhenti tiba-tiba.. dia berpusing kembali. Matanya menangkap ke arah almari pakaian yang sedikit terbuka.

Jangan-jangan Balqish.... Tidak ini semua tak boleh terjadi! Dia cuba menenangkan dirinya. Terketar-ketar tangannya membuka pintu almari pakaian itu.

Tidak! Daniel terduduk di situ juga. Bila melihat isi almari itu separuh kosong. Bakaian Balqish hanya tinggal separuh dan begitu juga dengan pakaian Batrisyia.

Ya ALLAH... kenapa kau sanggup buat abang macam ni Qish?

Kereta tadi... ya.. dia teringat akan kereta yang dia terserempak meninggalkan rumahnya. Mesti ada kaitan dengan Balqish!

Gopoh-gopoh dia berlari keluar dari biliknya menuruni anak tangga. Balqish mesti dicari juga malam ini. Dia bimbangkan keselamatan isterinya itu dan anaknya

"Lajunya... kamu nak kemana pula ni Niel? Balqish mana?" Tegur Tan Sri Darwish. Hairan barangkali meihat tingkahnya.

Daniel hanya membiarkan saja soalan itu. Otaknya berserabut teramat sangat tika ini. Kalau aku jawab karang terkeluar pula perkataan kasar. Ini semua mereka punya pasallah.

Ah mana nak di cari Balqish malam-malam begini? Dia buntu.

Telefon bimbit yang berada dalam kocek baju melayunya dikeluarkan. Nombor telefon Balqish didailnya laju.

Lama dia menunggu panggilan dijawab. Namun hampa.... Panggilannya terus terbiar sepi masuk ke voice mail.

Qish tolonglah jawab. Tolonglah jangan buat abang risau macam ni. Desis hatinya.

Naik lenguh jari-jemarinya mendail nombor Balqish berulang kali namun tetap sama.... Tak ada jawapan...

Daniel hampa.... Aduhh.. Mana nak cari dia malam-malam macam ni? Dia gusar. Dahlah aku tak berapa tahu siapa kawan-kawannya, yang aku kenal kawan dia cuma seorang saja.. si Suraya tu.

Suraya??

Hah jangan-jangan si Qish ada dengan dia tak?

Nombor telefon Suraya didailnya pula.

"Hello Suraya.. Qish ada dengan awak tak?" tTnpa memberi salam dia terus bertanya.

"Qish?? Eiii isteri awak.. takkan tak tahu ke mana dia pergi?" sindir Suraya geram.... Heii kalau aku tahu pun jangan harap aku bagitahu kau.

"Su.. saya tak ada masa nak dengar sindiran awak tu. Qish ada dengan awak tak? Cakaplah.. jangan tipu saya."

"Dia tak ada di sini."

"Tak ada??"

"Ha'ahlah..." jawab Suraya.. Hisy serba salah pulak aku ni. Tak faham aku apa kena dengan mereka berdua ni. Perang besar sangat nampaknya. Balqish yang sedang berehat di sofa di pandang sekilas. Nampak teruk sangat keadaan temannya itu, menangis sampai bengkak-bengkak mata.

"Mana saya nak cari dia ni?? Suraya kalau Qish call, awak cakap saya cari dia. Dahlah saya call dia tak berangkat. Saya risau sangat ni."

"Yalah-yalah... dah lewat malam ni. Saya dah mengantuk." Suraya memberi alasan. Selebihnya dia tak sampai hati untuk terus menipu bila mendengar suara risau Daniel di hujung talian.

"Oo.. ok sorry ganggu awak.."

Qish manalah sayang pergi ni? Kenapa tak tunggu abang balik dan kita boleh berbincang apa-apa yang Qish tak puas hati. Kenapa mesti Qish bertindak terburu-buru macam ni. Tak sayangkan abang ke?

"Hah kamu ni kenapa Niel, macam orang hilang anak saja kenapa? Balqish mana? Dah tidur ke?" Soal Puan Sri Nuha yang muncul tiba-tiba. Hairan melihat si anak kelam kabut tanpa mengetahui hujung pangkal sebabnya.

"Qish tak ada" Perlahan dia memberitahu..

"Hah? Yalah mummy tahulah dia tak ada di sini, dia dalam bilik ke? Dah tidur ya?" Masih tak faham apa yang terjadi.

"Bukanlah mummy. Qish dah tak ada. Dia dah pergi dari rumah ni. Bawa anak kami sekali. Dia dah tinggalkan Niel." Lirih dia memberitahu dengan nada sendu seperti anak kecil mengadu kepada ibunya..

"Apa? Tak ada? Dah pergi?"

Ya ALLAH.. mesti Balqish terasa dirinya sudah tak diperlukan di sini. Sampai dia mengambil keputusan pergi membawa diri.

"Entahlah mummy. Ini semua salah Niel. Tak berterus-terang."

"Dah tu kamu nak buat apa lagi? Apa pasal tercegat lagi di sini? Pergilah cari dia."

"Nak cari dekat mana mummy? Niel tak tahu dia pergi mana.. call pun tak berjawab."

"Hah.. kalau macam tu kita buat report polis jelah.." Puan Sri Nuha memberi cadangan. Hisy risau pula tentang cucu dan menantu yang tidak diketahui khabarnya. Selamat ke tidak di luar tu waktu malam-malam macam ni. Dia mengeluh. Salah dia pun ada juga mungkin Balqish terasa hati dengan kata-katanya tapi nak buat macam mana lagi? Dah terluncur pun. Nak tarik balik kata itu pun dah tak berguna. ya ALLAH maafkan mummy.

"Belum cukup 24 jam macam mana nak buat report.."

Daniel menghempaskan punggunnya pada kerusi yang terdapat di luar rumah itu. Fikirannya buntu. Rambutnya sendiri pun dah kusut masai akibat beberapa kali dia menggaru-garu kepala yang sememangnya tak gatal.. kusut! Serabut!

Friday, December 23, 2016

Novel : Bahagia Yang Jauh [1]

Izinkan daku mendakapmu...
 


Vee berjalan perlahan-lahan terhincut-hincut dengan bantuan sebatang tongkat kerana sebelah kaki yang masih lemah untuk digerakkan. Menikmati pemandangan di persisiran pantai yang bersih tanpa sebarang sampah itu. Sengaja dia biarkan kakinya basah disentuh oleh ombak kecil yang nakal mengusik. Membawa diri ke sini. Mengisi jadual petang yang kosong tanpa ada sebarang aktiviti. Kaysha teman baiknya itu yang beria mahu dia menemani ke sini. Menemani Kaysha yang sedang menyiapkan tugasan outdoor photoshoot dengan 1 pasangan pengantin tidak jauh darinya.

Pasangan pengantin berasal dari Pulau Indah ini jadi mereka mahu mengabadikan kenangan manis di tanah kelahiran sendiri di pantai bernama Pantai Acheh ini. Ada juga yang memanggil pantai ini dengan nama Pantai Tanjung Piai.

“Ouchh!” Dia terjerit kecil. Bergegar tubuh bila dirempuh tiba-tiba sehingga dia tidak mampu mengawal diri. Vee rebah terjatuh. Terlentang di gigi air. Basah habis pakaian yang dipakai dan sebaik dia mencelikkan mata dilihat ada seorang kanak-kanak perempuan yang comel elok saja tertiarap di atas tubuhnya membuatkan dia bertambah tergamam. Anak siapa pula ni? Dia tertanya-tanya sendiri. Anak itu tak pula menangis pun, malah tersenyum kepadanya menampakkan barisan gigi yang belum tumbuh sepenuhnya. Membuatkan dia berasa sedikit tenang, sehingga terlupa tubuhnya yang masih berada di dalam air dengan pakaian yang basah lencun.

Vee duduk perlahan-lahan dengan anak kecil itu dipeluknya sekali. Takut tersungkur pula dalam air. Lemas nantikan susah. Desis hatinya. Dia melihat ke kiri dan kanan, mencari-cari kelibat keluarga kanak-kanak itu dan dari kejauhan dia melihat seorang lelaki yang sedang berlari-lari kecil sambil mendukung seorang lagi anak kecil datang gopoh mendekat, menghampirinya. Terpamer jelas riak resah di wajah lelaki itu.

“Maaf cik, anak saya si Ary ni memang lasak sedikit, beza sungguh dengan adik kembarnya si Ain ni.” Ucap lelaki itu serba salah sambil mengangkat tubuh anak kecil yang dipanggil Ary bangun dari tubuhnya.

“Tak apalah encik, budak-budak biasalah. Tengah nak membesar, mesti lasak sikit, lagipun saya tak apa-apa. Tak cedera pun ni.” Dia tersenyum memandang lelaki itu. Patutlah anak dia comel, ayah dia pun boleh tahan juga. Sempat hati memuji.

Si kecil itu dilihat riang berceloteh dengan patah bicara yang masih pelat kurang jelas sebutan. Seronok benar nampaknya. Kadang-kadang nampak ligat menangkap buih-buih air laut yang terhasil dek hempasan ombak. Sedikit pun tak menghiraukan keadaan sekeliling.

“Ary minta maaf dekat auntie cepat!” Arah si ayah.. tapi anak kecil yang dipanggil Ary itu langsung tidak mengendahkan arahan ayahnya bahkan semakin rancak pula berlari ke sana-sini dan sesekali mengusik kembarnya yang agak malu-malu.

“Ary ni memang suka sangat dengan air. Kalau dekat rumah tu, pantang saya terleka sedikit dia memang akan terjun dalam kolam renang, pernah sekali hampir lemas tapi nasib baiklah. Risau juga saya kadang-kadang tu” Sambung lelaki itu.

Vee tersenyum melihat telatah anak-anak itu, teringat pula zaman lampaunya dulu, lansung tidak pernah dia punya peluang merasai hidup bermesra dengan keluarga seperti insan lain. Layanan keluarganya terhadap dia sangat berbeza, walaupun tak ada melakukan silap, dia tetap akan dimarah tanpa sebab. Maki hamun ibarat hidangan wajibnya setiap hari. Dia menggetap bibir. Tak tahu apa salahnya sehingga dia dinafikan hak sebagai seorang anak kepada ke dua ibu bapanya. Walaupun dibesarkan oleh ibunya kerana kedua ibu bapanya sudah bercerai sewaktu dia masih bayi lagi tapi tiada kemesraan antara dia dan ibunya, Puan Sharina, dengan bapanya lagilah… pandang muka pun lelaki itu tak sudi dahulu apatah lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Aku anak terbuang yang dibenci oleh darah daging sendiri. 

“Cik awak okay ke?” Lelaki menegur bila melihat dia sedikit diam dengan wajah yang muram seolah sedang meladeni sesuatu.

“Er ah.. ya saya ok, maafkan saya, termengelamun pula..” Dia bangun perlahan-lahan. Rasanya dah lama dia terduduk di sini, dan lelaki itu cepat-cepat menghulurkan tangan ingin membantu. Lama di memandang tangan itu dan lambat-lambat barulah dia menyambutnya dengan berat hati, sekadar cuba menjaga air muka lelaki itu.

Tiba-tiba dia teringat sesuatu bila dia terperasan yang renungan mata lelaki itu tertumpu  ke arah tubuhnya. ALLAH…. Baru dia teringat.. t-shirt pink pudar yang dipakai telah basah habis kini dan pasti menampakkan pakaian dalamnya sekali apatah lagi hari ini dia cuma menyarung selendang yang diselempang saja ke belakang. Wajah bertukar rona merah, panas semerta. Malu… dan sepantas kilat dia menyilangkan kedua tangan menutup ke arah dadanya itu.

“Ermm maafkan saya..” Ujar lelaki itu. Serba salah mungkin.

“Cik tunggu sini kejap ya.. tolong tengok-tengokkan sekali budak berdua tu ya.” Lelaki itu memohon sebelum berlalu. Tak sempat nak kata apa. Malunya dia melihat aku macam ni. Vee mengeluh.

“Comel-comelnya anak kakak.” Tersentak bila ditegur begitu dan bila dia berpaling dilihat seorang perempuan sedang melangkah ke arahnya. Anak-anak aku dia kata? Iskk biar betul dia ni. Budak-budak tu ada rupa akukah? Berkerut-kerut dahinya.

“Err.. tak..aa…” Dia tergagap-gagap ingin menjawab.

“Siapa nama mereka berdua ni kak?” Perempuan itu bertanya lagi. Ramah. 

“Ary dan Ain cik.” Err betul ke? Entahlah… Vee ingat-ingat lupa sudah.

“Oh.. berapa umur mereka ni kak? Geram saya tengok telatah mereka ni dari tadi sebenarnya. Rasa tak sabar pula nak berumah tangga.”

“Umur budak-budak ni.” Isk berapa ek? Dalam teragak-agak mencongak dia cuba menjawab soalan wanita itu tiba-tiba dia mendengar ada suara garau yang sudah tolong menjawab bagi pihaknya.

“Umur mereka baru setahun 9 bulan cik.”

Vee berpaling sambil tersenyum senang. Datang pun ayah mereka. Lega hati bila melihat kelibat ayah kepada ke dua orang kanak-kanak itu. Kalau tak mahu juga mati akal dia untuk menjawab pertanyaan wanita yang terlebih ramah itu. Lelaki itu menghulurkan sehelai tuala kepadanya, Agaknya baru diambil sebentar tadi ketika lelaki itu meminta diri seketika.

“Oh.. patutlah anak-anaknya comel-comel belaka, ayah dengan mama dia pun lawa sangat.” Ucap perempuan itu memuji lepas tanpa mengetahui situasi yang sebenarnya hingga membuatkan Vee dan lelaki itu berpandangan sesama sendiri dan tergamam.

“Err cik.. awak…” Vee bersuara cuba menjelaskan status dia dan lelaki itu namun tidak sempat memberi penjelasan perempuan itu sudah memotong laju.

“Ok saya kena pergi dulu. Tunang saya dah sampai pun tu. Saya pun teringin nak ada anak kembar seperti anak-anak akak dengan abang.” Ucap gadis itu sebelum berlalu.

Perempuan ni dah salah anggap dengan aku pula ni. Vee mengeluh sendiri sambil menghantar langkah wanita itu dengan pandangan mata.

Lama mereka terdiam melayan perasaan sendiri. Hanya suara ombak dan anak-anak itu saja yang kedengaran mengisi sunyi.

So?” Soal mereka hampir serentak.

“Er.. nama saya Hans. Kita belum berkenalankan dari tadi?”

“A’ah hampir terlupa, dan saya Vee Layla tapi panggil Vee saja.”

“Oh hai Cik Vee… unik nama awak.” Lelaki itu memuji. Vee tersenyum mendengarnya. Bukan kali pertama dipekatakan orang bergitu.

“Vee aku dah sudah ni, jom… eh kenapa kau basah-basah ni. Aku dah kata dah duduk saja dekat khemah yang aku pasang dekat kereta tu, tapi kau degil. Pergi juga berjalan seorang diri. Kaukan tak kuat mana. Tengok dah jatuh.” Satu susuk gadis tinggi lampai yang memakai t-shirt gelap dengan seluar gedoboh penuh poket kiri kanan datang mendekat.

“Kaysha aku.” Garu kepala dengan sebelah tangan sambil sebelah tangan lagi memegang tuala yang melilit tubuh.

“Maaf cik, anak saya langgar kawan cik ni sampai terjatuh tadi.” Muncungkan bibir pada Ary dan Ain yang masih lagi duduk di gigi air bermain pasir pula.

“Oh tak apalah. By the way aku Kaysha. Panggil Kay pun tak apa. Kau tak apa-apa Vee? Jom kita balik tapi sebelum tu kita singgah rumah sepupu aku dulu dan pinjam baju dia. Nanti demam pula kalau pakai baju basah-basah begini.” Tongkat Vee yang masih tercampak di atas pasir pantai dia capai. Nasib tak dihanyut ombak. Bantu Vee untuk terus berdiri.

“Sekali lagi minta maaf ya Cik Vee, Cik Kay….”

“Tak apalah Encik Hans, saya minta diri dululah ya?” Tak selesa pula dengan baju yang basah ni. Dia dan Kaysha memang tiada membawa baju lain selain yang tersarung di tubuh sekarang ini. Tidak merancang untuk bermain air bermandi manda di sini kerana mereka datang ke sini pun atas urusan kerja Kaysha.

“Baik Cik Vee, jumpa lagi kalau ada rezeki.” Senyum sebaris. Terbit simpati pula melihat Vee bersusah payah untuk berdiri. Ingin membantu tapi sudah ada temannya yang dipanggil Kaysha sedang memaut pinggang Vee. Kenapa dengan wanita itu? Kemalangankah atau sakit? Atau memang dilahirkan begitu? Tertanya-tanya sendiri di dalam hati.

“Err terima kasih pinjamkan tuala ni, tapi macam mana saya nak pulangkan pada awak nanti?” Bertanya. Mereka bukan kenal, baru saja berkenalan tanpa sengaja gara-gara si kecil Ary.
“Tak perlu awak pulangkanlah Cik Vee. Ambil saja ya?” Balas lelaki itu.

“Err.. tapi Encik Hans…” Tak jadi nak menghabiskan ayatnya bila dia melihat lelaki itu bersungguh-sungguh benar. Akhirnya dia akur.

“Kalau begitu. Terima kasihlah ya. Assalamualaikum.” Ucapnya sebelum berlalu. Sempat dia melambai tangan kepada Ary dan Ain yang masih asyik bermain di gigi air itu. Terpandang anak kecil berdua itu dia teringat pada permata hatinya sudah beberapa bulan dia tak dapat bersua.

Anggun bagaimana keadaanmu sayang? Maafkan bonda….

“Kenapa Vee? Sakitkah? Ada cedera di mana-mana?” Menyoal bila terpandang Vee menyeka wajah. Terperasan ada sisa air mata di pipi temannya itu.

“Tak ada apalah. Terindu pada yang jauh.” Menjawab jujur. Dengan Kaysha tak perlu di selindung segala isi hati. Sebab gadis itu sentiasa ada di sisi tak jemu-jemu meminjamkan bahu, memberi semangat saat dia jatuh terkulai jiwanya.