iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Friday, June 29, 2012

Novel : Tiga Bulan [4]



“Mana budak tu Maria?” Soal Wan Nazariel kepada setiausahanya itu ketika melangkah masuk ke pejabatnya. Tercari-cari akan kelibat Nuriz.
           
            “Entahlah tadi ada terserempak dengan dia waktu punch card tadi, mungkin dia keluar breakfast kut. Ada apa bos cari dia?” Hairan pagi-pagi lagi dah masuk pejabat dengan muka mencuka, elok muka tu handsome terus jadi tak handsome kalau macam tu gayanya.

“Ha.. kalau dia dah ada nanti you suruh dia masuk bilik I, kata I nak jumpa dia.”

“Ok”
            Lelaki itu kelihatan pantas mengatur langkah menuju ke biliknya sendiri. Hai mood tak baik lagilah tu nampaknya hari ini. Maria mencapai buku hitam berkulit keras dan sebatang pen yang terletak di atas mejanya lalu langkahnya dipanjangkan menuju ke arah bilik lelaki itu.

Perlahan diketuknya pintu bilik itu. Hai nilah risikonya bila jadi seorang setiausaha.. kalau boss dalam mood tak baik selalu saja kena jadi mangsa keadaan. Dia mengeluh sebelum melangkah masuk.

“Hah yang you pagi-pagi lagi dah tercegat dalam bilik I ni kenapa? Tak ada kerja lain ke nak buat?” Soal lelaki itu acuh tak acuh sambil wajahnya asyik tunduk mengadap kertas-kertas yang terdapat di atas mejanya.

Eh dia ni kenapa pula hari ni? Tak akan pula masih lagi dalam mamai ke apa pagi-pagi ni.

            “Hai boss, kan tercegat dalam bilik you ni kerja I setiap hari? I nikan setiausaha you. Mestilah kena masuk jumpa you pagi-pagi macam biasa. You ni sihat ke tidak ni? Sejak bila pula you jadi seorang pelupa ni?” Apalah dia ni, pagi tadi breakfast semut cicah kopi ke? Sampai jadi pelupa tahap orang tua umur lanjut.

“Ha.. ops yalah, isk macam mana I boleh lupa ni. Ha.. hari ni ada apa-apa temujanji untuk I ke?”
Huh macam mana aku boleh lupa yang dia ni setiausaha aku. Asyik fikirkan sangat pasal minah yang sorang tu sampai benda rutin pun aku boleh terlupa. Ceh buat malu saja dengan Maria.

            “Ok boss hari ni you ada dua temujanji, yang pertama jam sebelas pagi nanti dengan Tuan Munir di pejabatnya dan yang kedua jam tiga petang dengan Puan Sita.. itu saja”

Dia ni entah dengar entah tidak dengan apa yang aku cakap ni? Rupa macam orang yang tengah melayang fikirannya jauh entah pergi ke mana-mana sajalah tu. Hai boss aku yang satu nilahkan. Nak kata angau muka tak macam orang angau saja… Haish.

“Err.. apa tadi yang you cakapkan Maria? Boleh tolong ulang balik tak?”

Grr.. kan aku dah agak dah. Maria mendengus geram.

Dia mengulangi apa yang dicakapkannya sebentar tadi satu persatu dengan harapan lelaki itu mendengarkannya untuk kali ini. Kalau terpaksa ulang untuk sekali lagi juga selepas ini memang dia telah merancang untuk merekodkan terus suaranya. Habis cerita tak adalah kering air liurnya.

“Boss dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Dia menyoal inginkan kepastian.

“I dengarlah Maria.. Jam 11 pagi dan 3 petangkan I punya appointment hari ini?”

Yes betul. Ada apa-apa lagi kerja yang you nak suruh saya buatkan ke?”

“Tak ada rasanya. I tak mahu diganggu, dan jangan lupa kalau Nuriz dah masuk office nanti suruh dia datang jumpa I tau as soon as possible Ok. Ada benda I mahu suruh dia buat.”

Yes boss!” Hai apalah lagi yang si Nuriz buat sampai boss jadi macam tu. Tak faham sungguh aku dengan budak Nuriz ni dan kenapalah suka sangat menduga kesabaran si boss tu.

******
            Hai ni baru berapa hari saja aku kerja dengan dia. Aku dah mula rasa bosan yang teramat, nak tengok muka lelaki itu pun rasa dah sangat meluat. Dia mengeluh berat bila terkenangkan kerenah Wan Nazariel itu. Kepingan roti canai yang berada di hadapannya dicubit sedikit demi sedikit. Rasa tidak berselera untuk menjamahnya.
           
Kesian budak-budak tu, mesti ternanti-nanti kedatangan aku. Dahlah aku janji dengan mereka akan ajar mereka subjek matematik dan akaun. Teringat pula akan janjinya dengan anak-anak di Darul Qaseh, memang itu yang selalu dilakukan andai dia kelapangan, mengajar mereka-mereka yang ingin menghadapi peperiksaan SPM dan PMR, namun minggu ini dek kerana keletihan yang teramat sangat dia terpaksa melupakan janji yang telah dibuat itu.

Dahlah kerjanya memenatkan. Dia kerah tenaga aku ni macam aku ni robot. Hisy malasnya nak masuk kerja. Jam dipergelangan tangannya dikerling sekali lalu, 8.45 pagi.. Ini karang mesti ada saja benda yang dia nak suruh aku buat. Pantang nampak muka aku. Dia bangun perlahan selepas meneguk nescafenya buat terakhir kalinya sebelum membayarnya.

            “Tak ada duit tak boleh makan!” Terdengar suara tuan kedai seolah sedang marah-marah kepada seseorang mebuatkan dia tersentak.

Terpanggil untuk melihat punca kemarahan tuan punya kedai itu.Mati langkahnya kala itu. Terkejut melihat drama yang terbentang di depan matanya kini. Simpati menerjah benaknya.

“Tolonglah saya pakcik, saya lapar.” Kedengaran pula satu suara yang agak halus, sayu memohon simpati. Terbit rasa belas dalam hatinya saat itu. Perasaan sebak hadir secara tiba-tiba.

“Ah... tak ada tak ada.. pergi pergi! Apa kau ingat sini tempat makan free ke?”

Hiba hatinya melihat seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian agak lusuh, mungkin usianya lingkungan 9-10 tahun memohon belas untuk mengisi perutnya yang kosong, namun sayang pemilik kedai itu seolah tiada sedikit pun punya rasa simpati langsung…

“Ah pergi berambus kau! Akukan dah kata kalau tak ada duit tak boleh makan sini kau tak faham ke?”

“Tak apa.. biarkan dia makan encik, nanti saya bayarkan untuk dia.” Nuriz sendiri tak sedar macam mana boleh terluncur kata begitu dari mulutnya hingga menyebabkan lelaki itu berhenti dari sumpah seranahnya.

Tak sampai hati! Ya dia seolah dapat merasai apa yang dideritai oleh kanak-kanak itu dari pandangan matanya yang sayu mengharapkan belas dari orang lain untuk meneruskan kehidupan. Arghh mengapa mesti ada yang punya nasib yang begitu duka seperti ini?

Dilihat kanak-kanak itu begitu gelojoh menjamah makanan yang dihidangkan kepadanya seolah-olah sudah berhari-harian tidak menjamah apa-apa. Kelaparan! Sebak rasanya. Kesian dia, manalah mak ayah dia ni agaknya. Masakan dia tak ada keluarga? Nuriz mengeluh.

Not sepuluh ringgit dihulurkan kepada penjaga kaunter bayaran itu sebelum dia melangkah pergi. Insaf pula hatinya bila teringatkan kepada mereka-mereka yang kurang bernasib baik. Dirinya walaupun tak punya siapa-siapa tapi nasibnya tetap terbela tak terabai melarat seperti kanak-kanak itu.

Sempat dia menoleh sekali lagi ke arah kanak-kanak itu dan dalam masa yang sama kanak-kanak itu memandang ke arahnya juga. Mereka berbalas pandangan dan kanak-kanak sempat menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya mungkin mengucapkan terima kasih. Dia mengangguk sempat melambai tangan kepada kanak-kanak itu sebelum berlalu.

Hai aku dah lambat ni, kejap lagi mesti membebel panjang pakcik tu dengan aku ni. Dia tu suka sangat cari silap aku, kalau sehari tak marah aku memang bukan dialah tu. Teringat pula pada Wan Nazariel hati menjadi sebal ditambah pula dengan kerenah penyambut tetamu a.k.a Dorina yang suka menempel tereseh-eseh pada Wan Nazariel yang menyakitkan matanya. Dorina konon.. dah macam deodorant saja bunyinya aku dengar.

Langkah kaki diatur pantas menuju ke pejabatnya. Dia tak mahu lelaki itu mengamuk, bukan kerana dia takutkan lelaki itu cuma.. dia tak suka bising-bising, memanjangkan perkara yang tak seberapa nak panjang, atau senang cerita perkara remeh yang tiada berkepentingan langsung.
            “Hah.. Nuriz ada pun awak, boss nak jumpa.. Entah apa yang dia nak entah, pagi-pagi lagi dah cari you.” Tegur Maria sebaik sahaja melihat dirinya menolak pintu masuk.

Aku dah agak dah, apalah yang dia nak suruh aku buat pula kali ni kan.

“You hati-hati sikit, mood dia tak berapa baik hari ni.” Bisik Maria perlahan kepadanya.

“Wah… staff baru pun dah pandai curi tulang” Dorina yang entah daripada mana muncul tiba-tiba menghamburkan kata-kata sinis berbaur sindiran kepadanya.

Nuriz dan Maria tersentak, terkejut dan berpandangan sesama sendiri.

“Tak apa cik Maria.. dengan saya mood dia memang hari-hari tak baik. Saya dah biasa dah tak perlu nak hati-hati lagi, hati-hati saya yang makan hati jadinya.. isy.” Ujarnya kepada Maria tanpa sedikit pun mengambil peduli Dorina yang tersengih sinis menyindir dirinya tidak jauh daripada mereka.

Maria hanya tersenyum mendengar apa yang diperkatakan oleh Nuriz itu. Tak tahu nak kata apa dah, dua-dua memang tak boleh ngam agaknya. Dia sendiri hairan memikirkan perhubungan antara Nuriz dan Wan Nazariel semenjak awal kemunculan gadis itu dipejabatnya lagi. Majikannya seolah tidak menyukai gadis itu dan yang bertambah dia tak faham, kalau betul Wan Nazariel tak suka Nuriz, apa pula motifnya menggajikan Nuriz di companynya? Haisy kalau fikir sendiri, sampai ke pagi esok pun belum tentu dia akan mendapat jawapannya sebab yang dia pasti Wan Nazariel mungkin ada sebabnya yang tersendiri. Maria menjungkitkan bahu. Ah biarlah, bukan urusan aku yang perlu aku nak sibuk-sibukkan.

“Hai Nuriz you tak dengar ke I cakap ni?” Soal Dorina tak puas hati.

“Aku nak cepat ni Dorynn, tak ada masa nak layan orang mulut murai macam kau ni.” Selamba dia membidas kata Dorina itu. Tak padan berkerja sebagai penyambut tetamu, tapi belagak macam diva di sini.

Maria tersenyum lebar, sempat mengangkat ibu jarinya kepada Nuriz tanda menyokong kata-kata gadis itu. Huh biar perempuan ni rasa.

“Eiiiii Nuriz!!! Kau… kau.. kan!” Hilang sudah bahasa I dan you yang digunapakainya sebentar tadi.

Dia menghentakkan kakinya geram. Bergema bunyi tumit kasut tingginya itu. Matanya yang sememangnya bulat bertambah bulat mendengar bidasan polos yang keluar daripada mulut Nuriz itu. Tak apa, ada masa nanti siap kau aku kenakan cukup-cukup. Sempat hatinya menyemat dendam.

“Tuan nak jumpa saya?” Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu dia terus memulas tombol pintu bilik lelaki itu dan melangkah masuk walaupun lelaki itu tak sempat memperlawanya.

            Tersentak Wan Nazariel dibuatnya, hampir tersembur neskafe yang baru saja diteguknya. Kurang asam punya minah, main terjah saja taunya dia ni. Dia merenung tajam pada Nuriz yang berdiri memandangnya. Wan Nazariel  membetulkan duduknya cuba menutupi rasa terkejutnya tadi.
            Ekekeke padan muka dia. terperanjat. Nuriz mengulum senyum menahan tawa yang hampir melantun keluar dari mulutnya dek tingkah lelaki itu sebentar tadi.

“Hai.. awal kau masuk hari ni?” Sindir lelaki itu dengan wajah sinisnya seperti selalu.
            “Eh.. tuan mengigau ke apa ni? Awal apanya, saya rasa saya dah lewat ni, ke jam tuan yang mati? Jam saya dah pukul 9 pagi lebih dah.” Sengaja dia buat-buat tak faham maksud lelaki itu, walaupun dia sememangnya sedar kata lelaki itu bertujuan untuk menyindir dirinya.

Tengok aku yang nak kenakan dia, tapi aku yang terkena balik. Cis!

“Tahu pun kau dah lewat masuk. Ni apa benda ni hah?” Soalnya sambil menghempaskan sekeping sampul surat sederhana besar berwana coklat ke atas mejanya.

“Ni suratlah tuan, tuan nak saya bacakan untuk tuan ke?” Nuriz menyoal sengaja.

“Aku taulah ni surat, masalah kau dah hantar ke salah tempat. Berapa kali aku nak pesan buat kerja kau tu elok-elok. Kau tak reti baca ke alamatnya? Buta huruf ke ha? Nasib baik mereka pulangkan balik. Buat kerja tak semenggah langsung!” Bebel lelaki itu.

Eii.. betul ke aku ada salah hantar ni? Ke dia sengaja nak kenakan aku? Aku tengok sampul dia macam baru lagi. Dia ni bukannya betul sangat, suka sangat cari silap dengan aku. Aku buat betul pun dia mesti kata salah punya..

Sorry tuan.” Dia memohon maaf. Tak kira kita silap atau tak jangan lokek memohon maaf, teringat pula pesanan bekas ustazahnya sewaktu zaman sekolahnya dahulu.

Sorry, sorry itu saja yang kau tahu.. sorry pergi naik lorrylah. Huh!”

“Habis tuan nak saya buat apa? Nak suruh saya naik lorry tu sekali ke? Saya tak sengajalah.” Kira untung aku nak minta maaf tau walaupun belum pasti aku yang bersalah dalam hal ini sebenarnya tau.

“Amboi-amboi kau loyar buruk pula dengan aku ek? Cuba belajar jadi serius sikit bila buat kerja. Ini tak asyik nak main-main saja tu yang sampai salah hantar ke tempatnya. Ni aku nak kau pergi hantar balik surat ni ke tempat dia yang betul, alamat yang betul.. dan lagi satu hari ni kau kena buat OT, denda sebab kau cuai buat kerja.” sambungnya lagi

Aik ada denda-denda pula, ingat zaman sekolah saja yang denda-denda ni

            “Hari ini aku nak kau kemaskan file-file, susun ikut kriteria. Buang habuk-habuk yang ada. Tukar lapik kabinet fail tu sekali, sebab aku tengok lapik dia sekarang dah kotor.”

“Aik itu kerja dispatch juga ke Tuan?” Soalnya.. macam tak ada staff lain nak dikerah ke apa dia ni? Apa guna bayar gaji kepada mereka kalau tak suruh buat kerja. Tu si Dorina yang selalu mengendeng dekat meja dia tak mahu pula dia suruh. Cis! Dia mendesis geram.

“Hai kau dah lupa ke dalam perjanjian yang kau dah tandatangani yang kau kena buat apa yang aku suruh, so aku dah suruh ni tak kira kerja dispatch ke tidak ke, kalau aku dah suruh buat tu buat sajalah tak payah nak banyak soal.. faham??” Bentak Wan Nazariel kasar.

“Tapi tuan, hari ni saya rasa tak bolehlah. Saya dah ada janji dengan kawan saya.” Teringat pula akan janjinya pada Mirna yang mereka akan pergi membeli barang keperluan rumah.

            “Tak ada excuse ok. Kalau kau ada hal ke apa ke siapkan kerja kau tu dulu.” Putus lelaki itu.

            Hisy dia ni, semua nak kena ikut cakap dia saja. Tak berperikemanusiaan langsung. Geram mendengar kata putus lelaki itu, kecik saja aku nampak dia ni. Rasa nak cekik-cekik saja biar sesak nafas.  Eee geramnya.. Sabar Riz, cool down. Tarik nafas panjang-panjang, hembus... fuuu..

“Ingat esok pagi, aku nak tengok semua dah siap seperti yang aku suruh tau.”

“Yalah.. saya buatlah tak perlu nak ulang cakap berjuta-juta kali sebab saya belum jadi pelupa.”
            “Ok sekarang kau boleh keluar buat kerja kau tu. Ha lagi satu bawak motor elok-elok, sikit ya jangan jadi minah rempit pula. Aku tak nak pula nanti keluar dekat paper seorang staff Naz Holding ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti lumba haram. Malu company saja nanti”

Ewah-ewah dia ni, apa dia ingat semua orang yang naik motor ni jenis yang merempit ke apa? Cakap ikut sedap mulut dia saja. Hisy mulut tak ada insurans langsung tau.

“Tuan jangan risau. Eh.. eh kalau tertangkap pun ok juga, nanti bolehlah mempopularkan nama Naz Holding yang punya boss dia yang banyak cakap macam mak nenek tu.. kan tuan kan?”
            Dia melangkah keluar dari bilik itu dengan perasaan yang agak puas. Puas sebab dapat mengenakan lelaki itu kembali. Dia tersenyum sendiri bila mengenangkan air wajah lelaki itu yang agak terdiam mendengar bidasannya tadi.. Ini barulah kena buku dengan ruaskan? Hehehe…

“Eeiii kesiannya orang tu. Sayang rupa ada tapi bebal. Baca alamat pun sampai salah, tak pasal-pasal kena buat kerja dua kali”

“Kau ni apahal Dorynn? Dah tak ada kerja nak dibuat ke selain menyibuk mendengar perbualan orang?” Geram mendengar sindiran Dorina itu. Panas hatinya

Dia tak faham kenapa Dorina seolah tak puas hati dengan dirinya. Suka mencari pasal dengannya. Dari hari pertama lagi dia sudah perasan hal ini. Ke dia cemburu sebab… Wan Nazariel tu terlalu ‘memberi perhatian’ kepada aku ni? Hahaha… cemburukan aku? Tak ada kerja ke apa? Dia menggeleng-gelengkan kepala.. tak faham pun ya juga dengan sikap si Dorina itu sebenarnya.

“Suka hati akulah nak dengar ke apa?” Balas Dorina sinis sambil melenggang meninggalkan dirinya yang terpinga-pinga itu.

Biul ke apa perempuan ni? Nampak benar perangai kaki sibuknya tu. Nuriz menggelengkan kepala. Boss dengan staff sama saja tak betulnya. Nasib juga Cik Maria tak seperti mereka berdua ni. Kalau tak mesti tak sampai 3 bulan aku dah jadi penghuni Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Bahagia selamanya.

*** Saya dikhabarkan oleh penerbit yang manuskrip ini telah lulus dalam penilaian***

Wednesday, June 27, 2012

Novel : Tiga Bulan [3]



“Macam manalah sampai boleh excident ni Riz?” Mirna menyoal sambil tangannya ligat penuh berhati-hati mencuci luka di siku dan lengan sebelah kanan temannya itu. Wajahnya berkerut-kerut menahan kepedihan iodin yang meresap pada lukanya. Huh kena tahan sikitlah. Nasib baik juga rumah ni ada first aid, kalau nak harapkan aku pergi hospital, memang tak adalah gamaknya. Tak pasal-pasal aku kena injection tak nak aku.

“Entahlah Mir, aku nak elak seorang perempuan ni dan datang pula sekor beruk yang buat jalan ni macam jalan mak ayah dia. Dia main belok saja tanpa bagi signal, kalau jauh sempat juga aku brek, ni dah depan mata.. Hah aku langgar sajalah keretanya.”

“Teruk tak kereta tu kau langgar? Pemandu dia ada cedera tak?”

“Entah aku rasa taklah teruk mana pun tadi, cedera pun tak tapi dia siap minta gantirugi tiga ribu ringgit. Manalah aku ada duit banyak tu nak menggantinya. Alahai pening kepala aku ni memikirkannya, ni dengan skuter aku lagi yang barai sikit lampunya.” Dia mengeluh lesu.

“Kau ada bagi tahu dia tak yang kau tak ada duit sebanyak tu nak bayar dia?”

“Dah aku dah cakap dah tapi dia tak nak dengar pun. Dia kata itu masalah aku bukan masalah dia. Dia nak aku kerja dengan dia 3 bulan tanpa gaji. Gila ke apa? Aku nak makan apa dalam tempoh 3 bulan tu? Kalau aku tak nak kerja dengan dia, dia akan bawak kes ni ke mahkamah. Lagilah panjang ceritanya. Silap-silap meringkuk aku dalam penjara.. Huhuhu… buntu aku dibuatnya Mir. Langsung tak ada belas kasihan betul lelaki tu. Pentingkan diri dia saja.”

            Alahai. Mirna bersimpati, belas rasanya melihat bebanan yang ditanggung temannya itu. Mereka ibarat kembar di Darul Qaseh dulu. Ke mana dia pergi mesti ada Nuriz bersama begitu juga sebaliknya. Andai Nuriz dalam masalah bermaksud dia pun bermasalah sekali dan andai Nuriz sedih dia pun turut merasai kesedihannya sekali, begitulah akrabnya mereka. Ah kalau aku ada duit sebanyak tu Riz, aku sanggup bagi pada kau daripada tengok kau tak tentu arah macam ni.

            “Ni kad yang lelaki tu bagi dekat aku aku tadi sebelum dia pergi. Kau rasa patut ke aku kerja dengan lelaki tu? Aku dah buntu sangat ni tak tau nak fikir apa lagi. Nak bayar seperti yang dia nak memang aku tak ada. Nak pinjam dengan orang, memang aku jenis yang tak suka berhutang sana sini.”

Kulit putih wajahnya sudah mula kemerahan. Rasa hampir menangis dibuatnya. Ya ALLAH kenapa mesti ada sajalah nasib malang yang menimpa aku ni.

Mirna mencapai kad yang dihulurkan oleh temannya itu. Kecil matanya memerhati setiap  tulisan yang tertera. Alahai Riz apalah daya yang aku ada untuk membantu kau kali ini, yang aku ada hanyalah sokongan buat kau supaya kau tabah menghadapinya. Hatinya berbisik belas.

“Beginilah Riz, try sajalah jumpa lelaki tu dulu. Cuba bawa berbincang lagi dengan dia manalah tahu dia akan lembut hati sedikit ke lepas ni kan? Belum cuba belum tahu.” Cadang Mirna
            “Entah Mir, macam tak ada peluang saja kalau ingat-ingatkan balik wajah dia pun aku tu rasa macam dah tahu sifat dia yang macam pentingkan diri itu. Dia sajalah betul dan kita ni kena ikut cakap dia saja, pendapat orang lain bukan dia nak ambil kiranya nanti.” Dia mengeluh rasa meluat juga jika mengingatkan kembali raut wajah lelaki itu.

“Belum cuba belum tahu Riz, tadi tu mungkin dia dalam keadaan marah tu yang dia nampak macam tu. Manalah tahu hati dia dah sejuk, kut-kut dia boleh terima apa yang kau cakap nanti”

“Entahlah Mir, aku akan cuba, kalau tak boleh juga terpaksalah kiranya aku jadi minah dispatch. Hai kerja yang tak pernah sekali pun terlintas dalam benak aku ni langsung tau!”

“Aku doakan dia lembut hati dengan kau, kalau kau nak, aku boleh temankan kau berjumpa dengan mamat tu.” Dia menawarkan diri.

Bimbang juga dengan perangai kawannya yang sedikit baran ini bertandang. Manalah tahu perbincangan mereka menemui jalan buntu dan Nuriz tak mampu mengawal diri, nanti tak pasal-pasal bertumbuk pula mereka berdua nanti. Sia-sia pula bermalam di lokap polis pula.

“Ehh... tak payahlah.. Insya-ALLAH aku boleh selesaikan sendiri, lagipun isninkan kau kena kerja. Kau pun baru dapat kerja tu. Takkan nak ambil cuti semata-mata kerana aku, nanti apa pula kata boss kau nanti, jangan risaulah.” Cepat-cepat dia menolak tawaran temannya itu. Tak mahu menyusahkan orang lain dengan masalah dirinya, lagipun itu bukan caranya.

******

“Selamat pagi.” Dia menegur wanita penyambut tetamu yang terdapat di situ. Hai betul ke tempat yang aku pergi ni?

            “Ya selamat pagi, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Jawab penyambut tetamu itu dengan nada yang dibuat-buat lembutnya.

Senyum pun macam senyum plastik saja. Macam tak ikhlas saja nampaknya. Sempat juga hatinya memberi komen tentang penyambut tetamu itu.

“Err.. betul ke ni Naz Holding??”

“Awak tengok sana tu, pandai baca tak?” Jawap penyambut tetamu itu sambil menunjuk ke arah pintu masuk tadi. Terkejut dia. Haisyh kenapalah aku tak perasan waktu aku lalu masuk tadi. Dia menelan air liur.

Wajah penyambut tetamu di hadapannya itu dipandangnya, Harap wajah saja cantik tapi.. hampeh, macam tak boleh nak bagitahu elok-elok. Eh awak tau tak yang budi bahasa tu budaya kita. Aku saja tanya sebab nak pastikan betul ke tidak tempat yang aku cari ni. Hatinya membentak geram.

“Saya nak jumpa Wan Nazariel Wan Nazri.” Terus diberitahunya tentang apa tujuan utama dia datang ke situ.

Lagi lama tercegat di sini bertambah sakit hati ni dengan perangai perasan bagus minah ni. Macam manalah dia ni boleh kerja dekat bahagian ini. Isy tapi bila difikirkan tak ada apa yang nak dihairankan kalau bos dia pun sama tak betul juga.

“Awak ada buat appointment dengan dia ke hari ni? Boss kata dia sibuk dan tak mahu diganggu hari ni.” Ujar wanita tersebut.

“Saya tak ada buat appointment dengan dia tapi saya tetap mahu berjumpa dengan dia hari ni juga. Ada hal penting yang perlu dibincangkan dengan dia.” Tegas dia memberitahu

“OK kalau macam tu, tunggu sini sekejap.” Ujar wanita itu seraya bangun menuju ke arah sebuah pintu salah satu bilik yang terdapat di situ.

“Boss kata dia sibuk sekarang ni tapi kalau awak sanggup tunggu, awak boleh jumpa dia pukul 10.45 pagi nanti.” Beritahu wanita itu setelah hampir 15 minit kemudian.
           
            10.45pagi… Hui ada lagi lebih satu jam lagi ni. Apa aku nak buat hisy.. Dia mengeluh.

            “Awak boleh duduk dekat situ kalau nak tunggu.” Ujar wanita itu sambil jarinya menuding ke arah sofa tempat menunggu.

“Oh.. terima kasih”

Dalam masa yang sama, tanpa dia sedar sebenarnya ada mata yang sedang memerhati segala tingkahnya, mencuri pandang dirinya.

Hai apalah dia ni, datang ke pejabat pun dengan jeans lusuhnya ke dia ni tak tahu etika berpakaian macam mana. Bebel Wan Nazariel di sebalik tirai pejabatnya.

Sengaja dia berlengah satu jam untuk memudahkan dia menyiapkan syarat-syarat yang patut kepada gadis itu. Hurm datang juga kau. Aku ingatkan kau tak datang. Sebenarnya aku tak hairan sangat dengan duit tiga ribu untuk ganti rugi kereta aku ni tapi.. disebabkan mulut kau yang lancang sangat hari tu yang membuatkan aku jadi geram. Siaplah kau aku nak kenakan kau cukup-cukup. Tengok berapa lama kau boleh bertahan. Hatinya berbisik nakal dengan jari-jemarinya laju menaip di papan kekunci.

Kenapa pula aku rasa masa ni macam lambat sangat bergerak?? Biasanya tu sekejap saja berlalunya. Nuriz mengeluh, kejap-kejap dia mengerling jam di pergelangan tangannya. Hembusan nafas berat dilepaskan, dia mula dilanda kebosanan.

 Tak sedar entah bila dia boleh terlelap. Sedar-sedar bahunya sedang digoyang oleh seseorang.

“Cik dah 10.45.. cik dah boleh masuk sekarang”

Terpisat-pisat matanya.  Dia menutup mulutnya menahan kuap.

“Cik bilik boss arah sini.” Tegur wanita itu bila melihat langkah kakinya melencong ke arah lain.

Pintu bilik diketuk perlahan. Mata terasa seolah masih kelat. Apabila mendengar arahan menyuruhnya masuk barulah dia memulas tombol pintu. Kelihatan lelaki yang dicari sedang duduk santai sambil badannya bersandar pada kerusinya.

“Assalamualaikum….” Seperti selalu walau menyampah macam mana pun pada seseorang tu dia tetap memberi salam. Mendoakan kesejahteraannya.

“Waalaikumussalam,  Hah datang pun. Ingat awak tak nak datang. Saya baru nak suruh peguam saya siapkan dokumen apa yang patut”

Wajah lelaki itu direnungnya geram. Macam ni gayanya aku nak bawa berbincang? Hai macam tak ada peluang saja.

“Hah yang berdiri saja kenapa? Duduklah.” Arah lelaki itu bila melihat dirinya masih berdiri tercegat memandangnya.

“Err terima kasih.” Ucapnya.

“Aku tak tahu nama kau lagi. Siapa nama kau?” soal lelaki itu.

Hai dah macam wartawan pencen saja gayanya. Tu dia, baru sesaat saja, hilang sudah bahasa saya, awak dia. Sekelip mata bertukar aku dan kau. Hai macam perang akan bermula saja ni.

“Nuriz Abdullah.” Dia menjawab perlahan.

“OK Nuriz, aku rasa kau dah tahu nama aku jadi tak perlulah aku bagi tahu lagi kan?”

Dia hanya mengangguk mengiyakan apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Entah mengapa mulutnya jadi berat untuk mengeluarkan kata.

So kau datang ni bermakna kau dah buat keputusanlah ya?” "

“Err.. awak tak nak bagi saya pilihan lain ke selain daripada kena berkerja dengan awak?”

“Tiada apa-apa pilihan.. Nah ni dokumen perjanjian kita tiga bulan ni. Sila tandatangan di tempat yang sepatutnya.”

Kertas putih yang dihulurkan kepadanya disambut lambat-lambat. Aku dah agak dah. Lelaki ni memang jenis yang tak berperikemanusian. Sepatutnya dengarlah dulu apa yang aku nak cakapkan ni. Dia mendengus geram. Mak aiihh.. terbeliak biji mata rasa nak tercabut dari soketnya apabila dia membaca isi yang terkandung dalam dokumen di tangannya itu.

Syarat perjanjian berkuatkuasa serta merta :-

1) Tempoh berkerja adalah 3 bulan, seandainya tidak hadir gaji anda akan dipotong dan   adalah wajib menggantikan hari yang tidak hadir itu.

2) Sekiranya anda ingin berhenti berkerja sebelum cukup tempoh 3 bulan, anda wajib   membayar kepada syarikat dengan nilai dua bulan gaji sebagai gantirugi.

3)Anda juga perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kerja dan sanggup berkerja   melebihi masa dan pada waktu cuti umum.
“Mana boleh macam ni?? Tak fairlah pada saya.” Hilang sabar rasanya bila membaca syarat kerja itu. Berat sebelah sungguh. Dia buat aku ni macam tak berperasaan saja. Ini baru separuh saja yang aku baca, tapi aku dah rasa macam nak hilang sabar ni.

“Terpulang pada kau nak ikut ke tidak, kalau tak nak ikut aku pun tak kisah tapi kau kenalah sediakan tiga ribu ringgit sekarang, settle segalanya dan tak perlulah aku nak mengadap muka kau. Apa kau ingat aku suka ke mengadap muka kau yang tak lawa tu?”

Huh macamlah dia tu handsome sangat nak mengutuk orang lain, berdesing juga telinganya mendengar penghinaan dari lelaki itu.

So kau nak terima ke tidak tawaran aku ni?” soal lelaki itu bila melihat dirinya yang sedikit terdiam.

Aku memang tak ada duit sekarang ni. Hisy nak tak nak kena terimalah jugak ni nampaknya. Nasib-nasib...

“Pinjam pen.” Belum sempat lelaki itu menjawab apa-apa dia terus mengambil pen yang berada di tangan lelaki itu, terus dokumen itu ditandatanganinya dengan penuh rasa geram.

“Nah.. sekarang puas hati?” Dia menghulurkan kertas itu kepada lelaki itu.

Meluat melihat senyuman yang tersungging di bibir lelaki itu. Hai bila benci semuanya jadi meluat. Dia bangun manggapai beg galasnya, menyampah untuk terus berlama, silap hari bulan sabarnya meletup.

“Eh nak ke mana tu cik Nuriz? Kau tak baca ke yang kau akan mulakan kerja serta merta sebaik dokumen tu di tandatangani.. Ni nampak ni?” Jari telunjuk lelaki itu menunjukkan ke barisan ayat yang tertera atas dokumen yang berada di tangan lelaki itu.

Hah.. ada ke perjanjian tu? Kenapa aku tak perasan tadi? Dia mengeluh
           
“Awak nak saya buat apa sekarang ni?” dia bertanya malas.

“Mulai sekarang panggil aku Tuan ok!” Arah lelaki itu sambil menekankan sedikit perkataan tuan itu.

“Ye tuan.. nak saya buat apa sekarang ni?”

Aku ni dahlah tengah lapar, sebab nak jumpa kaulah aku tak sempat breakfast tadi. Nanti ada pula yang jadi makanan aku ni karang. Nuriz membebel geram dalam hatinya

“Kau nampak surat-surat ni kan? Aku nak kau hantar surat-surat ni hari ni juga, dan ingat bereskan sebelum waktu pejabat dan waktu pejabat di sini sampai pukul lima petang. Habis hantar, kau balik sini balik. Jangan nak melencong.” Arah lelaki itu sambil menghulurkan sampul-sampul surat yang elok terikat kemas dengan getah mengikut kriteria.

Mak aih.. Sebabun.. apa dia ingat motor aku tu ada kuasa turbo ke apa? Alih-alih kalau aku pecut maksimum nanti. Bukan surat yang bertambah kurang, mahu bertambah lagi dengan surat saman pula.

“Yelah saya tau.. tak payahlah nak membebel!”

“Bagus.. Ha sekarang tunggu apa lagi, pergi buat kerja kau. Jangan pula tersalah hantar, kalau aku dapat aduan ada yang silap hantar siap kau, faham?”

“Ye tuan!”

       Dia melangkah keluar, meninggalkan bilik lelaki itu dengan perasaan berbaur, terbakar. Grr.. sesedap rasa dia sajakan buat syarat tu. Entah apa-apa, jangan harap aku akan ikut cakap kau. Tuan konon.. huh menyampah!! Bibirnya terkumat-kamit mengata Wan Nazariel.
***Selamat membaca kepada semua***

Friday, June 22, 2012

Novel : Tiga Bulan [2]


Dalam benci,
Ada rindu yang mengisi...
Dalam marah,
Ada sayang yang mula bercambah...


“Macam mana kau bawak motor ni hah?” Melengking kuat suara lelaki itu memarahinya. Rasa malu usah katalah. Tuhan  saja yang tahu perasaannya tika itu bila sedar dirinya menjadi tumpuan banyak mata yang berada disekelilingnya, masing-masing ada yang berbisik sesama sendiri. Mungkin menghakimi dirinya.

Salah akukah?? Nuriz tertanya-tanya sendiri. Bukan ke lelaki itu yang membelok tanpa memberi signal, dah tahu jalan depan Sogo ni sesak dan aku pulak dia ingat suka-suka hati saja ke nak susahkan diri ni menyondol kereta mahal dia tu ke? Aduihai.. pedihnyalah hai. Dia memandang ke  arah sikunya yang sedikit bergesel pada jalan sebentar tadi, mungkin tercalar luka melecet..

“Hei orang cakap tu pandanglah sini!” Bentak lelaki itu sedikit kuat lalu memegang kasar dagunya, mendongakkan wajahnya sehingga mereka bertentangan mata. Nuriz sedikit meronta tidak puas hati dengan tindakan lelaki itu yang dirasakan sudah keterlaluan itu.

Ceh kurang ajar lelaki ni, dia ingat aku ni adik-adik dia ke main sentuh-sentuh ni. Tak tahu halal haram. Ditepis kasar tangan lelaki itu, langsung tak bersetuju dengan perbuatan lelaki itu.

            “Eh.. kejap- kejap, kenapa aku rasa aku macam pernah nampak muka kau sebelum ni hah?”

Nuriz tersentak, pernah jumpa sebelum ini?? Di mana pula aku jumpa mamat ni? Aku tak rasa yang aku pernah kenal atau ada kawan lelaki yang sombong dan tak beradab seperti dia sebelum ini. Lama dipandangnya wajah lelaki itu, sehinggalah ingatannya kembali tersusun. Oh lelaki sombong di KL Sentral hari tu. Pantas fikirannya mengingati seraut wajah lelaki itu.

“Aha.. aku dah ingat dah, kaulah budak pengemis hari tu kan, yang dekat KL Sentral tu kan?”

            Uikk pengemis dia kata. Hai memang betul sungguhlah dia ni tak ada adab sopan, aku dah terangkan hari tu yang aku ni bukan peminta sedekah. Aku ni jual barang-barang, itu pun tak faham ke??  Sengal ubi kayu betul. Takkan nak kena ulang cakap pula, buat kering air liur aku je.

“Encik ni yang lelaki sombong, lagi angkuh hari tu kan?” Sengaja ditekankan perkataan sombong dan angkuh itu biar semua mendengarnya. Tak perlu bersopan dengan orang yang tak beradab. Prinsip hatinya ringkas dan mudah. Aku bukan insan sempurna yang punya bergunung sabar walau dikeji dan dihina tetap mampu melemparkan budi bahasa yang baik.

“Apa kau cakap? Tak guna!” Menggelegak perasaannya mendengar kelancangan mulut gadis itu.

Dahlah langgar kereta aku lepas tu siap kutuk-kutuk aku depan orang ramai. Kecik je aku nampak perempuan ni, rasa nak ketuk je mulut dia biar langsung tak boleh nak bercakap.

“Uikk marah ke encik? Tau pun marah rupanya, yang pergi panggil saya ni pengemis pasal apa? Muka saja nampak baik tapi mulut jahat. Cakap orang ikut sedap dia saja.”

Gerrr beraninya dia ni. Hari tu bukan main nampak sopan santun lemah lembut lagi dia punya perangai, tapi hari ni gaya macam orang nak bertinju dengan aku saja. Terbang ke mana entah sopan santun lemah lembut kata manis yang dia tunjukkan hari itu. Ceh!

“Oklah aku malas nak bertekak dengan kau sebab buang masa aku ni saja, aku nak tiga ribu ringgit sebagai ganti rugi kereta aku yang dah kau  hentam ni. Sila bertanggungjawab ok!”

“Hah.. tiga ribu ringgit?? Encik ingat saya ni kerja cop duit ke? Setakat kemik macam tu terus minta tiga ribu, habis scooter saya ni siapa nak repair?? Sesedap saja mau ‘pow’ orang.”

Dia yang salah, sesuka rasa dia je minta ganti rugi dekat orang. Aku ni nak mengelakkan makcik tua tu dan dia pula yang main terjah saja kenapa, padanlah kena cium dengan skuter aku ni.

            “Ok kalau kau tak nak settle sini, kita jumpa dekat mahkamah sajalah.. Aku tak kisah.” Ujarnya terus berlalu, dahlah terik matahari ni. Lepas tu ditambah lagi dengan perangai perempuan yang tak berapa betul ni atau dalam kurungan sewel ni. Mahu aku rentung dekat sini.

Wait.. waitt.. saya mana ada duit sebanyak itu, kalau tiga puluh ringgit adalah.”

“Tiga puluh ringgit tu buat apa? Kau ingat kereta aku ni kereta mainan ke hah? Aku tahu kau mesti tak mampu nak bayar punya. Tulah lain kali jangan berlagak dengan aku ni. Oklah kalau macam ni senang cerita kau kerja dengan aku untuk 3 bulan sebagai ganti rugi kereta aku tu. Jadi budak hantar surat, kebetulan dispacth kat opis aku tu pun baru aku pecat.”

“Uikk kena 3 bulan kerja?? Tanpa gaji pula tu? Habis saya ni nak makan pakai apa?”
            “Pandai-pandailah kau sendiri uruskan masalah kau. Aku tau kau kena kerja dengan aku untuk gantirugi kereta aku ni. Kira oklah aku suruh kau kerja dengan aku daripada aku suruh kau bayar aku. Ni kad aku, aku dah ambik nombor motor kau, kalau kau buat hal siap kau faham!”

Aku jadi minah dispacth. Isk tak pernah terfikir dalam benak aku ni, nak menolak? Tapi macam mana? Aku mana ada duit nak bayar gantirugi yang dia minta tu. Aku tak mahu naik turun mahkamah, silap-silap aku kena jail. Huhuhu dia memejamkan mata takut membayangkan.

Kad di tangannya direnung. Hurm Wan Nazariel Wan Nazri. Patutlah sombong, pengarah urusan Naz Holding rupanya.

*** Selamat membaca bab ini***

Tuesday, June 19, 2012

Novel : Tiga Bulan [1]


Dalam benci,
Ada rindu yang mengisi...
Dalam marah,
Ada sayang yang mula bercambah..


Mana pulalah mereka ni. Kata nak datang pukul 2.30 petang tapi ni dah dekat pukul 3.00 petang batang hidung masing-masing pun tak nampak-nampak bayangnya. Kalau dah namanya janji melayu memang begitulah kut. Dia membebel geram di dalam hati sendirian dengan rasa geram yang mula membuak.

            Hai kalaulah bukan disebabkan mereka yang bersungguh-sunguh nak jemput aku ni dari KL Sentral ni, memang aku dah balik sendiri dah. Sabar-sabar... Nasiblah barang aku ni banyak menimbun, kalau tak dah lama aku pergi merayap dari terus terpacak dekat tengah-tengah sini macam tiang eletrik tak pun macam pak guard tak berbayar. Dia merenung bagasinya yang penuh sarat dengan muatannya. Tiga bulan di kota London dek kerana kursus yang disertainya.

Huihhhh tak sangka Malaysia ni semakin panas, dia mengeluh. Walaupun dalam bangunan yang berbumbung, dengan penghawa dingin yang sentiasa terpasang, peluh tetap keluar merembes didahinya dan menitis jatuh melurut ke pipinya. Wajahnya yang putih mula kemerahan.

            “Assalamualaikum abang…” Telinganya mendengar ada suara yang membeli salam kepadanya membuatkan dia sedikit tersentak. Hisy siapa pula yang alim sangat bagi salam dekat aku ni. Pantas kepalanya dipusingkan, menoleh mencari gerangan siapakah  yang menyapa dirinya.

            “Hurm waalaikumussalam .. hah ada apa?” Dia menjawab acuh tak acuh. Macamlah aku tak tahu sangat dekat KL Sentral ni ramai sungguh manusia yang minta derma itu dan ini kononnya dari persatuan itulah dan badan inilah. Entah ya entah tidak. Hati berdongkol benci.

“Saya dari rumah anak-anak yatim Darul Qaseh. Saya…” Ucap gadis itu sedikit gugup, tersentak barangkali bila teguran lembutnya dibalas dengan sergahan sedikit kuat daripada lelaki itu.

            “Hah.. kalau nak minta derma, sorry aku tak ada duit kecik nak bagi dekat kau!” Dia pantas memotong ayat gadis itu, tak betah mendengar penerangan gadis itu yang bunyinya sudah seperti orang yang sedang membebel dipendengarannya. Mood aku dahlah tengah tak berapa nak baik ni! Memang silaplah kalau kau minta daripada aku.

“Err tak bang, bukan… abang jangan salah faham. Saya cuma mahu jual barang hasil kraftangan anak-anak di sana, kalau abang sudi beli, setiap dua ringgit dari nilai yang abang beli tu akan disumbangkan kepada tabung rumah anak-anak yatim tu. Buat belanja makan minum bulanan mereka.” Pantas gadis itu menafikan dan menerangkan yang sepatutnya tanpa perlu dia minta.

Dia mencebik mendengarnya. Benci meluat segalanya ada, kalau ya pun nak menjual, bukan di sini tempatnya ataupun janganlah jual dengan dirinya, pergilah jual kat pasar ke atau jual dengan orang lain ke. Mengganggu privacy orang saja, dia mendengus dan terus melangkah pergi.

            “Abang tak nak tengok-tengok dulu ke?” Soal gadis itu tatkala melihat dia yang mula melangkah pergi tanpa mengendahkan dirinya dan memberi perhatian dengan apa yang diperkatannya.

            “Arghh.. aku tak ada masa! Aku nak cepat, kalau ya kau nak menjual, pergi jual dekat orang lain yang lebih ada banyak masa atau lebih baik hati daripada aku ni. Aku betul-betul tak berminat!”

Dari kejauhan dia dapat melihat kelibat 3 orang temannya yang semakin menghampiri. Huh nasib baik mereka sampai tepat pada masanya, tak perlulah aku nak mendengar apa yang perempuan tu kata. Sempat juga hatinya mengucap syukur melihat kedatangan temannya itu. Hilang terus rasa marah yang bergumpal dalam dadanya dek kerana kelewatan mereka sebentar tadi .

            “Apahal korang lambat sangat ni? Penat aku tunggu tau, janji jam berapa datangnya entah jam berapa. Apalah korang ni. Letih aku menunggu tau!” Dia membentak geram.

Sorrylah kawan, bukannya kami sengaja pun. Seperti biasa, jalan sesak nak pecut pun tak boleh.”

“Yalah korang tu macamlah aku tak tahu. Dah-dah jom blah. Aku dah lapar ni.”

Sebelum dia berlalu sempat lagi dia memerhati kelibat gadis yang menyapanya sebentar tadi yang masih lagi di tempat tadi, memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengerti. Mereka berlaga pandang seketika. Lama dia cuba menafsir pandangan gadis itu. Ah lantaklah dengan perempuan tu. Ada aku kisah ke??

******

“Baru balik Riz?” Dia disapa sebaik saja kakinya melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Senyuman hambar dihadiahkan kepada teman serumahnya itu. Dia kepenatan seharian berada di luar rumah. Mengerah keringat demi mencari rezeki untuk anak-anak yatim.

“Nak air tak? Aku boleh tolong buatkan untuk kau, sementara aku masih di dalam mood rajin ni.”

“Boleh jugak, kalau orang tu dah tawar diri tentulah tak akan ditolak. Terima kasih.”

Lenguh terasa kakinya, mungkin kerana berdiri berjam-jam siang tadi sehingga terasa macam dah nak tercabut sahaja kepala lututnya. Macam-macam ragam aku jumpa hari ni ada yang sombong, ada yang sporting ada yang pandang aku ni macam peminta sedekah. Ah manusia memang macam tu suka sangat menilai orang dengan pandangan mata kasar tanpa mahu menyelidiki terlebih dahulu. Macamlah diri dia tu dah sempurna sangat nak menghakimi orang.

            Tangannya membuka porch bag yang tergantung dipinggangnya. Menarik zipnya untuk mengeluarkan isinya. Mula mengira berapa pendapatan yang diperolehi hari ini. Terkumat kamit mulutnya

            “Banyak ke dapat hari ni Riz?” Mirna yang muncul dari sebalik dapur sambil menatang 2 biji mug ditangannya menegurnya secara tiba-tiba membuatkan dia yang sedang asyik itu sedikit tersentak.

            Laju tangannya mengusap dadanya untuk menghilangkan rasa terkejut. Matanya menjeling Mirna tajam tanda tak puas hati dengan tindakan teman itu dan Mirna pula cepat-cepat menghulurkan sebiji mug kepadanya, mengalihkan perhatiannya kononlah tu.

“Adalah juga.. Alhamdulillah rezeki budak-budak ni.” Kerja sukarela tanpa gaji, tapi dia seronok. Yalah ini saja yang dia mampu lakukan untuk membalas kembali budi yang pernah di tabur ke atas dirinya. Tenaga dan bakti demi membela kebajikan anak-anak yang telah kehilangan tempat bergantung harap dan dahan tempat berpaut dan berteduh dari badai dugaan dunia.

Riz atau nama sebenarnya Nuriz Abdullah menyandarkan tubuhnya pada sofa, menghilangkan lelah selepas meneguk air yang dibuat oleh Mirna. Teman yang berada disisinya itu dijelingnya sekali lalu. Huh tu dia bukan main tekun mengadap tv tu. Agaknya kalau boleh masuk dalam tv tu memang dia dah masuk berlakon sekali kut. Dia mengomel dalam hati melihat tingkah Mirna itu. Dia sudah faham benar dengan perangai temannya itu, selalu terlupa segalanya bila sudah dapat menonton drama yang menjadi kesukaan dirinya.

Fikirannya menerawang, jauh. Jauh mengingati peristiwa yang mengisi harinya..

“Hah.. kalau nak minta derma, sorry aku tak ada duit kecik nak bagi dekat kau!”

Hai muka aku ni macam muka orang minta derma ke? Tak faham sungguh dengan orang sekarang ni, pakaian punyalah bergaya tapi bila minta berbuat bakti semua kata tak ada duitlah apalah. Sekali betul ALLAH tarik nikmat tu baru padan muka dia, terus tak ada duit betul-betul. Dia mendengus geram bila mengenangkan tingkah lelaki itu, kalau ya tak nak kasi, cakaplah elok-elok macam aku ni pengemis pula. Itulah dia sikap orang kaya, menyombong tak bertempat.

“Kau ada masalah ke Riz.? Berat semacam aje aku dengar hembusan nafas kau tu.”

“Tak ada apalah Mir, mungkin aku penat sikit. Aku gerak ke bilik dululah. Nak mandi, rasa dah berlengas dah badan ni. Lagipun aku tak asar lagi ni.” Dia meminta diri dan dilihatnya temannya itu menganggukkan kepala sebelum kembali memfokuskan mata ke kaca tv.

Mirna sahabatnya yang sama-sama dibesarkan di Darul Qaseh. Dia anak terbuang dan Mirna pula anak yang ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya kerana masalah emigrant. Keluarganya pulang ke Indonesia maka tinggallah dia di rumah itu membesar seorang diri dan semenjak itu mereka menjadi teman dan telah berjanji akan susah dan senang bersama.

****Jemput baca yang belum pernah membacanya...****