iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Tuesday, December 1, 2009

Cerpen : Suci Cinta


“Tengok tu, macam kera sumbangkan dia tu, tak reti cari kawan lepas tu selalu bersendirian kan?” Terdengar suara-suara sumbang mengutuk dirinya seperti selalu.

“Ha’ahlahkan, langsung tak pandai bergaul, esok-esok silap haribulan dia mati pun sorang-sorang.. kah..kah..kah..!” terdengar pula seorang lagi menyambung.

Dia tidak peduli, dia sememangnya sudah lali dengan kutukan begitu di pendengarannya. Langkah kaki diatur pantas menuju ke dewan kuliah, meninggalkan kumpulan manusia yang masih tak habis-habis beri pahala free pada orang. Ya lah kalau dah namanya mengumpat sia-sia sahaja pahalanya melayang kepada mangsa yang diumpat.

“Vee..!” terdengar namanya dipanggil dia tersentak seketika, tapi langsung tidak memberhentikan langkahnya , terus berjalan tanpa sedikit pun berpaling melihat siapakah gerangan yang memanggil namanya itu.

Termengah-mengah Iman Syukri mengejar langkah gadis itu, dan seperti hari-hari yang sebelumnya, gadis itu langsung tak menghiraukan dirinya.

“Vee.. nantilah dulu, kita saing sekali ke kelas” pinta lelaki itu namun dia langsung tak memperduli, sedikit pun tidak terbit niat untuk berhenti menanti lelaki itu, malah bertambah laju dia mengatur langkah kakinya.

“Vee Auni, kenapalah kau ni sombong sangat, aku cuma nak kita berteman, bersahabat.. tak boleh ke?” akhirnya dia jemu dengan sikap gadis itu yang sentiasa acuh tak acuh dengan kehadirannya akibatnya kemarahan yang dihamburkan.

Sudah tahu aku ni sombong kenapa nak kawan juga, sudah tahu aku ni membosankan kenapa nak dekat juga?, dah terang-terangan aku tak sudi kenapa masih terus mengejar dan buat-buat tak faham? Isk… bila aku tak layan tau pulak marah, sejak bila pula negara ni ada undang-undang yang kita wajib terima persahabatan yang dihulurkan oleh orang lain? Rasanya tak ada kan? So maknanya aku boleh menolak kalau aku tak sudi, lantaklah kau nak kata apa, sebab kau tak tau apa-apa, kau bukannya faham, bukannya berada di situasi aku… biarkan aku sendiri, jangan ganggu aku.. dia membebel geram dalam hati, rimas dengan kehadiran lelaki itu.

“Tengok tu, dia buat tak tahu je apa yang aku cakap,pekak ke apa minah ni?” bebel Iman geram.

“Tak apalah.., hari ni tak dapat, hari lain mesti boleh.. ini aku, semua perempuan mesti cair dengan kekacakan aku” sambungnya, bangga dengan kelebihan diri yang dimiliki, mungkin dia lupa yang segalanya bukan milik dia yang mutlak, hanya pinjaman, bila-bila masa jika Dia menghendaki kembali, segalanya akan hilang..

**************

“Im, macam mana? Berjaya kau tackle minah stone tu?” Brian bertanya, berminat bertanya tentang perkembangan temannya itu.

Memang dia ada mendengar tentang tekad Iman untuk cuba memecahkan tembok dingin milik gadis itu, dan sekarang dia ingin mengetahui perkembangannya pula.

“Entahlah Ian, budak tu betul-betul hati keringlah, tercabar rasanya hati aku ni, setiap kali aku hampiri mesti dia menjauh, memang aura dingin saja yang aku rasa bila dekat dengan dia, macam dah dekat kutub utara pula rasanya..” sempat dia berseloroh dalam jawapannya.

“Hahaha… itulah kau hari tu kau cakap besar lagi, sekarang baru kau tahu tahap kedinginan dia, kau cakaplah apa saja, kau kutuklah pedih mana pun ayatnya, air mukanya mesti tetap saja cool, sedikit pun tak beriak, sampaikan orang kata minah tu tak berperasaan, cuba kau pandang anak matanya, macam kosong seolah tak ada pengharapan..” panjang lebar, beria temannya itu bercerita.

Termenung Iman mendengarnya, hai misteri betullah gadis yang bernama Vee Auni ni, getusnya perlahan.

“Huh bertambah berminat pulak aku dengan budak tu bila mendengar apa yang kau cakap ni Ian”

“Sudahlah, aku nak chow dulu, kejap lagi ada janji nak pergi main bowling dengan Zana dekat One Utama” sambungnya sambil terus bangun dari duduknya terus menggalas beg sandangnya dan berlalu.

Orang macam ni pun ada? Isk pelik betul, perempuan macam itu pun nak dikejarnya, tak faham betul aku.. bebel Brian perlahan apabila melihat Iman melangkah pergi.

*************

Mata yang terlalu degil untuk membawanya ke alam lena akhirnya menyebabkan dia membawa dirinya ke sini, di taman milik keluarganya, menikmati angin malam yang lembut berpuputan.

Semakin lama semakin dirasakan kedinginan bayu malam itu, semakin mencengkam kulit tubuhnya yang hanya disaluti baju tidur kain kapas yang agak nipis, tetapi dia langsung tak mempedulikan rasa itu, belum mahu beredar perasaannya.

Disandarkan kepalanya pada kerusi yang terdapat ditaman itu, kepalanya didongakkan sedikit, sengaja ingin mengintai dada langit, bulan cerah dengan jutaan bintang menghiasi dengan membentuk buruj-buruj indah dan unik… cantik, bisiknya perlahan.

Indah sungguh ciptaanNYA, sehinggakan tak pernah sekali pun terbit rasa jemu dihati ini untuk terus memandang, menikmati lukisan-lukisanMU ya ALLAH, pujinya didalam hati.. Perlahan dia memejamkan mata, bukan sebab rasa mengantuk yang mula hadir, tapi sengaja dia melakukan begitu, ingatannya mula melayang

“Saya tak pernah berjumpa dengan gadis yang terlalu angkuh dan sombong macam awak ni” ujar lelaki itu sewaktu mereka berpapasan ke bilik tutor.

Dan dia seperti selalu, tetap membisu sebagai balasannya, katalah apa saja yang kau suka sampai kau rasa puas dan penat, bisik hatinya.

“Jangan sebab saya terkejar-kejarkan awak, sampai awak perasan diri awak tu istimewa dan cantik” sambung lelaki itu lagi, mungkin sengaja mahu memancing emosinya.

Hisy mamat ni tak reti penat ke, membebel tak henti-henti dari tadi, macam mak nenek sungguh.. Vee mengomel perlahan, terkumat-kamit mulutnya, karang aku tomoi juga dia ni..

“Hello…I am talking to you..cik Vee Auni” mungkin sudah bosan tak diberi sebarang respond olehnya, lelaki itu berhenti dihadapannya menghalang laluannya.

Vee terhenti, wajah lelaki itu dipandang sekali lalu, kacak juga dia ni, tapi kuat membebel, macam perempuan. Vee meletakkan jari telunjuknya ke bibir member isyarat “DIAM” kepada lelaki itu dan Iman dilihatnya terdiam, ternganga dengan reaksinya.

Perlahan-lahan langkah kakinya dilencongkan sedikit, mengelak dari bertembung dengan tubuh sasa dihadapannya, menghalang laluan aku saja.. dia meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju.

Rahang bawahnya terasa mahu luruh, cepat-cepat ditadah dengan tangannya, kot-kot nanti jatuh betul kan payah..isk, rasa terlalu berat untuk mengatup mulutnya kembali, masih terkesima, tidak percaya dirinya diperlakukan sebegitu rupa, terasa seperti dimalukan.

“Kurang ajar kau perempuan” bentaknya geram dan agak kuat, sehingga terdengar di pendengaran Vee… biarlah bisik hatinya..

Terasa tiba-tiba ada kain yang menyelimuti tubuhnya, membuatkan Vee sedikit tersentak, lamunannya tentang peristiwa tadi terpecah berderai, dia membuka matanya lambat-lambat.

“Kan sejuk dekat luar ni, lepas tu pakai baju yang nipis, sakit nanti kan susah” Ann Faniza menegurnya perlahan penuh ambil berat.

Dia hanya tersengih mendengarnya, memandang mesra penuh kasih pada wajah satu-satunya saudara yang dia ada selain babah dan uminya.. kakak tersayang.

“Kakak tak tidur lagi?” soalnya sebagai jawapan kepada teguran kakaknya itu tadi.

“Dah tidurlah ni, ni bangun tengah mengigau… hai dah nampak kakak berdiri di sini, lagi mau tanya..” Ann melabuhkan duduknya disisi adiknya itu, dan Vee dengan manja melentokkan kepala ke bahunya, masih seperti dahulu, tak pernah berubah kemanjaan adiknya itu.. perlahan dia memeluk tubuh adiknya..

“Vee dah makan ubat?” soalnya seperti selalu, penuh prihatin dan Vee hanya mengganggukkan kepala sebagai jawapan, lama direnung wajah Ann…

“Kenapa Vee pandang kakak macam tu?” soalnya agak hairan dengan tingkah laku adiknya..

“Kakak… Vee sayang sangat-sangat dengan kakak,” luahnya membuatkan Ann terkelu, rasa sebak mendengarnya.

“Ya kakak pun sayangkan Vee, bukan kakak sorang je yang sayangkan Vee, semua orang sayangkan Vee, babah, umi semua sayangkan Vee sangat-sangat..”

“Kakak… Vee rasa sangat tenang kalau Vee pergi sekarang, sebab Vee rasa hidup Vee dah sempurna, dikelilingi dengan orang-orang yang paling Vee sayang dan cinta,”

“Kenapa cakap macam tu dik? Tadi Vee kata sayangkan kakak, ni sekarang Vee kata pula nak pergi tinggalkan kakak, habis siapa yang nak teman kakak lagi? Nak bergurau dengan kakak, nak bermanja dengan kakak, Vee lah satu-satunya adik yang kakak ada,” Jari jemari adiknya itu digenggam erat, sungguh dia masih belum bersedia dengan “itu”.

“Kakak…” hanya itu yang mampu diucapkan selebihnya dia tak mampu nak ucapkan, dia tenggelam dalam sebak yang bertandang.

Mereka berpelukan seketika, erat.. masing-masing tenggelam dalam sayu, redha dengan takdir walaupun terlalu pahit, pedih untuk diterima.

“Kita masuk ya dik? Sejuk dekat luar ni, nanti demam pula…”

**************

“Tak pernah-pernah sebelum ni aku di reject, rasa tercalar maruah aku ni,” Iman membebel geram .

Brian hanya mendengar sahaja, marah benar Iman nampaknya..

“So kau nak buat apa sekarang Im? Lupakan sajalah budak tu, bukannya lawa mana pun dia tu, buang masa kau saja” nasihatnya.

“Lupakan kau kata? No.. no.. no…., ini akulah Im, belum pernah satu pun apa yang aku inginkan terlepas daripada aku”

“Habis kau nak buat apa Im? Kau jangan nak buat benda gila Im” bimbang pula kalau-kalau kawannya itu bertindak di luar pemikirannya, dia ni bukannya betul sangat, suka sangat turut kata hati.

*************

Dia berjalan perlahan-lahan melewati kelas-kelas yang telah kosong tanpa penghuni, itulah terlalu asyik sangat siapkan kerja sampaikan tak sedar masa yang berlalu, hisy seram juga kolej aku ni bila tak ada penghuni, getus hatinya, perasaannya kini terasa seolah seperti di perhatikan tetapi bila dia menoleh tak ada pula kelihatan siapa-siapa, akhirnya Vee mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan..

Dia meneruskan langkahnya kembali, tetapi hanya beberapa langkah sahaja, dia terasa pula seperti diekori, bila dia berpaling tiada pula siapa-siapa, ah pedulilah.. perasaan aku saja kot.. tukasnya, langkah diatur kembali, tetapi dia terasa pula seperti ada yang menghampiri, baru hendak berpaling untuk melihat mulutnya telah ditekup dengan tangan asing,tubuhnya telah ditarik ke salah satu kelas yang kosong yang terdapat disitu.

Tersentak dia bila melihat siapa si pelakunya.. Iman!! Apa yang dia hendak dari aku? Vee mula diserang rasa cemas, wajahnya bertukar pucat tiba-tiba.

“Hari tu bukan main sombong lagi kau ya, sekarang taulah nasib kau, aku nak tengok kau melutut merayu dengan aku hari ni” bengis sekali wajah itu menuturkan penuh dendam.

Vee terkejut mendengarnya, takkan dia berdendam pasal hari tu, dilihatnya lelaki itu semakin menghampiri.

“Biar aku ambil sesuatu yang berharga dalam diri kau” keras sekali nada lelaki itu.

Vee Auni berundur apabila melihat lelaki itu semakin menghampirinya, namun dinding yang wujud menghalang terus dirinya dari terus berundur, peluh halus mula terbit membasahi dahinya, ya ALLAH selamatkan aku..dia memejamkan mata ketakutan memikirkan apa yang bakal terjadi.

Vee sedar dengan kekuatannya yang sedia ada mana mungkin dia mampu menewaskan lelaki itu, tiba-tiba dia mendapat satu akal, serentak kakinya memijak kaki lelaki itu sekuat hatinya, nasib baik aku pakai high heel hari ni..

Terloncat-loncat lelaki itu, berkerut wajahnya menahan sakit… ha padan muka kau.. sumpahnya dalam hati, Vee pantas mengambil peluang yang ada berlari ke muka pintu, tombol di pintu dipulasnya gopoh-gopoh, tapi sayang pintu berselak, berkunci di bahagian atas, mungkin perbuatan lelaki itu tadi, dalam dia terkial-kial untuk membuka pintu, dia terasa ada tangan sasa yang merangkul pinggangnya, tubuhnya terus dihumban pada deretan meja yang terdapat di situ, dia mengaduh kesakitan dan belum sempat dia bangun,pipinya pula telah dilayangkan dengan sebiji penampar yang agak kuat, pijar dirasakan pipinya itu, panas dek penangan lelaki itu, bibir terasa pecah dengan cecair panas mengalir, ditekap tangannya di situ, ya ALLAH darah..Vee mengetap bibirnya merenung geram ke arah lelaki itu..

Iman mencangkungkan tubuhnya di hadapan gadis itu yang masih terduduk, sinis sekali dia memandang wajah gadis itu.

“Sakit?? Heh, sekarang baru kau tau yang langit tu tinggi ke rendah, sekarang cepatlah merayu pada aku.!”Iman membentak kasar dan Vee hanya membisu memandang ke arah wajahnya, wajahnya berkerut menahan kesakitan.

“Oh masih lagi nak berlagak ya? Tak apa, kita tengok sampai bila kau mampu nak bertahan..” ucap lelaki itu dengan senyuman yang nakal dan terlalu menyakitkan matanya.

Perlahan-lahan Iman mendekatkan wajahnya ke wajah gadis itu, namun belum sempat bibirnya mengenai sasaran, dia terasa ada tangan yang melekap menahan kemaraan wajahnya.. sejuk, terasa sejuk tapak tangan milik gadis itu.

“Jangan!” gadis itu menjerit agak kuat..

“Saya… saya.. saya ada HIV” terketar dia memberitahu, akhirnya rahsia yang selama ini dipendamnya terpaksa juga dibongkarkan demi maruah dan harga dirinya.

Terkaku Iman mendengarnya, seperti tak percaya pun ada juga, dilihatnya wajah gadis itu yang bersunguh mengangguk dengan kata-kata sendiri, cuba meyakinkannya.

“Jangan nak tipu aku, orang yang ada HIV mana boleh masuk kolej ni” bentaknya kasar tiba-tiba, masih lagi tak mahu mempercayainya.

“Saya kena ni selepas satu semester jadi pelajar di sini..”

Iman terdiam, memang gadis ni bercakap benar, dia meraup wajahnya kesal dengan tindakan sendiri yang melulu.

“Saya minta maaf, saya tak nak awak berisiko bila dekat dengan saya, tu sebab saya menjauh dengan awak, saya juga menjauh dengan semua orang sebab saya tak mahu dipersalahkan jika ada apa-apa yang terjadi pada mereka-mereka yang rapat dengan saya nanti” lemah dia menyambung, memeberitahu sebabnya mengapa dia selalu bersikap terlalu dingin pada semua.

Ya ALLAH kenapa pula dia yang minta maaf dengan aku? Sedangkan aku yang sepatutnya memohon maaf kepada dia atas kekasaran yang aku lakukan ini, terasa malu pula, rasa bersalah yang teramat sangat pun ada juga.

“Aku minta maaf..” ucapnya perlahan, dia terus berlalu, bukan sebab jijik dengan pengakuan gadis itu, tapi sebenarnya dirinya dirundung malu yang teramat sangat dengan lepas lakunya.

Langkah kaki diatur pantas dengan perasaan yang berbaur, becampur aduk,baru sahaja dia melepasi pintu kelas, Iman terdengar bunyi seperti benda jatuh dan apabila dia menoleh untuk melihat, alangkah terkejutnya dirinya terpandang Vee Auni yang telah rebah terkulai di atas lantai tidak sedarkan diri.

“Ya ALLAH, Vee!!!” dia menjerit terkejut, kalut pun ada juga, pantas dia mendapatkan tubuh gadis itu.

***********

“Semuanya sebab kakak” Ucap Ann Faniza, lebih selesa membahasakan diri sebagai kakak kepada pemuda itu.

Iman Syukri hanya diam khusyuk mendengar cerita wanita itu..

“Kalau kakak tak cuai, mungkin nasib Vee tak akan jadi macam ni”sambungnya lagi.

“Maksud kakak?” Iman menyoal, sedikit tidak sabar bila wanita itu mengambil masa yang agak lama untuk menyambung ceritanya kembali.

“Hari tu kakak ingat lagi, kami baru balik dari jalan-jalan,entah macam mana waktu hendak melintas jalan, telefon bimbit kakak tiba-tiba berbunyi, so kakak angkatlah, tapi tak sedar pula waktu tu ada sebuah kereta yang tengah laju, Vee selamatkan akak, tolak akak ketepi, tapi… Vee yang dilanggar, dia cedera kehilangan banyak darah dan demi nyawanya doktor terpaksa memasukkan darah baru dalam tubuhnya, tapi kami tidak sangka yang darah baru itu sebenarnya telah tercemar”, dia tunduk cuba mengawal sebak yang mula menguasai diri, memang begitulah keadaannya setiap kali terkenangkan peristiwa itu, tangisannya pasti mudah terhambur.

Iman mengeluh mendengarnya, kenapa kerana kecuaian orang lain, yang tak berdosa mesti menjadi mangsa? Dia menyoal dirinya sendiri.. Mata dikerling ke arah batang tubuh Vee yang sedang terbaring lena.. aku tak sangka Vee sanggup....

“Oh sayang.., kenapa boleh jadi macam ni?” soal umi kalut, sebaik sahaja tiba dihospital itu setelah dihubungi oleh Iman tadi.

“Vee tak apa-apa umi, Vee cuma pitam sedikit tadi, lepas tu jatuh terhantuk dengan meja di dalam kelas, nasib baik ada Iman tadi” wajah lelaki itu dipandang dengan senyuman lesu dihadiahkan.

Tersentak Iman Syukri mendengar kata gadis itu, kenapa kau tidak beritahu saja perkara yang sebenarnya Vee, kenapa nak lindungi aku, kenapa luhur sangat hati kau…

“Betul Vee tak apa-apa? Babah risau sangat tadi tau..”

“Betul babah.. janganlah risau..” penuh yakin jawapannya.

“Kami punya segalanya, kami ada harta, duit berjuta tapi kami tak mampu nak tukar dengan takdirNYA, betapa kerdilnya kami disisiNYA sebenarnya..” luah Ann Faniza setelah sekian lama mendiamkan diri, membawa kembali dirinya ke alam nyata.

“Kalaulah dengan segala yang kami ada ini mampu menyembuhkan Vee, memang kami sanggup hilang segalanya daripada terus tengok Vee terus terlantar begini..”

Bisu seketika dia mendengarnya, ya ada betulnya kata wanita ini, apalah guna wang berjuta dan harta yang melimpah jika tak mampu menyembuhkan orang yang disayangi.. terasa insaf dia kala itu.

*************

“Vee kenapa pakai glove tu?” soalnya agak hairan apabila melihat gadis itu memakai sarung tangan getah, dah macam doktor bedah saja gayanya tatkala Vee menghidangkan minum petang kepadanya ketika dia bertandang.

Vee hanya tersenyum mendengar soalan lelaki itu,

“Vee takut tangan Vee ada luka, nanti tak pasal-pasal pula Im yang kena” jawabnya tenang bersahaja.

Banyak peristiwa yang berlaku membantu mendekatkan diri mereka, dan Iman Syukri cuba belajar menerima golongan seperti Vee dalam hidupnya, sebab dia tahu, golongan macam itu tetap ada hati dan perasaan, tetap mahu hidup seperti insan lain sebab mereka sendiri pun tidak pernah meminta untuk jadi begitu.

Hubungan mereka juga sering menjadi buah mulut teman-teman di kolej, siapa tidak hairan bila seorang gadis yang dingin macam ais boleh rapat tiba-tiba dengan jejaka pujaan ramai gadis itu, banyak spekulasi yang timbul, tapi.. lantaklah apa mereka nak kata.. nanti bila dah penat diamlah mereka itu..

*************

Cuaca agak mendung hari ini sehingga membuatkan dia memakai baju agak yang tebal sedikit daripada biasa. Dia mengatur langkah pantas, kelewatan membuatkan dia mengambil keputusan menggunakan jalan pintas yang memerlukan dia melalui kawasan sebuah kawasan kolam renang yang terdapat di kolejnya itu, dari jauh dia dapat melihat terdapat sekumpulan gadis disitu yang sedang asyik bercakap dan sekejap-sekejap memandang kearahnya tapi Vee buat tak nampak segala perlakuan gadis-gadis itu, apa yang penting sekarang dia perlu sampai ke kelas tepat pada masanya.

Terlalu ingin sangat cepat sampai ke arah yang dituju sehinggakan dia terlupa memerhati langkah sendiri, dia tidak perasan ada kaki yang menghalang laluannya akibatnya dia tersadung dan tubuhnya terhumban jatuh kedalam kolam renang tersebut.

Terasa seperti seorang badut sarkas yang sedang membuat pesembahan, dan dia pasti teramat-amat pasti yang raut wajahnya telah bertukar merah padam, malu yang sangat-sangat, dia ditertawakan tanpa simpati. Vee Auni tergamam..

“Padan muka kau, siapa suruh rampas hak aku..” sinis kedengaran suara itu dipendengarannya.

Matanya melilau mencari siapakah gerangan pemilik suara itu, Zana..!! ya siapa tidak kenal dengan Zana, ratu dikolejnya dan seorang model yang sedang meningkat naik. Gadis itu kelihatan sedang mencekak pinggang sambil memandangnya dengan pandangan yang menjengkelkan.

Vee Auni sedikit pun tidak membalas herdikan gadis itu, dia berusaha untuk keluar dari kolam itu namun setiap kali dia hampir berjaya, tubuhnya pasti akan ditolak kembali, dia mula menggigil kesejukan.

“Hoi apa yang kamu buat tu hah?” tiba-tiba terdengar satu suara yang memekik agak kuat.

“babah..!” tersentak dia, kenapa babah mesti ada di sini? Selama ini memang dia berusaha menyembunyikan identiti dirinya..tapi hari ini..

“Pengetua..!” hampir serentak mereka bersuara, terkejut dengan kenyataan yang terhampar di depan mata.

“Tak sangka macam ni perlakuan kamu sebagai pelajar kolej, apa kamu ingat anak saya tu badut kamu ya?” marah benar babah nampaknya.

“Vee..” Iman yang muncul bersama babahnya menghulurkan tangan membantunya. Beberapa kali dia terbersin kerana berendam agak lama. Pantas Iman menyelimutkan tubuh Vee dengan baju sejuk miliknya, dipimpin gadis itu kebilik rawatan kolej.

“Ingat sekali lagi you cuba apa-apakan Vee, siap you I kerjakan..” dia memberi amaran keras, sewaktu melintasi tubuh Zana, dia serius, bukan main-main dengan kata-katanya kali ni.

Zana terdiam, terkejut.. dia tidak sangka sampai sebegitu marah sekali Iman atas perbuatannya tadi.

“Vee Auni, anak kepada pengetua kita Dato’ Zikri Mukmin” masing-masing terkejut dengannya perkara yang tidak diduga itu, timbul pula rasa kesal dalam diri mereka..

Renungan tajam dilepaskan kearah sekeliling, Dato’ Zikri menggetap bibir geram.

“Kalau apa-apa terjadi pada anak saya, siaplah kamu semua, Mohammad, awak ambil kad pelajar mereka semua, catat semua id mereka, biar senang nak ambil tindakan kalau ada apa-apa terjadi nanti” arahnya kepada pembantunya yang sedari tadi berdiri diam memerhati.

Diantara semua Zanalah yang paling pucat sekali wajahnya, tulah terlajak perbuatan.. tanggunglah akibatnya.

************

“Bagaimana keadaan Vee doktor?” soal babah tidak sabar.. risau sekali apabila melihat anak itu terlantar tidak bermaya, semuanya gara peristiwa itu sehingga menyebabkan anak itu demam panas.

“Suhu badannya terlalu tinggi, Dato’ pun sedia maklumkan, yang pesakit macam dia sangat-sangat lemah antibodinya, mudah terkena penyakit dan sukar pula untuk sembuh” panjang lebar doktor itu memberitahu.

“Vee maafkan babah..” perlahan disentuhnya jari jemari anak itu dan seperti biasa anak itu tidak pernah menyalahi dirinya, oh Tuhan kenapa kau duga anakku ini dengan dugaan yang berat? Sedangkan aku yang melihatnya pun tidak mampu rasanya..

Pelajar-pelajar yang terlibat hari itu telah pun dikenakan tindakan disiplin dan Zanalah yang menerima hukuman paling berat sekali, dia dikenakan khidmat sosial 3 minggu membersihkan kawasan kolej. Dato’ Zikri tak peduli kalau pelajar yang terlibat berhenti atau lari selepas ini, baginya sekarang Vee lah yang paling penting dan tiada siapa pun boleh menyakiti Vee.

Rasa sebak yang hadir tiba-tiba menyebabkan dia berundur, tidak mahu Vee melihat air mata lelakinya berguguran, namun dia tetap tidak mampu terus menahan rasa sebak itu, akhirnya Dato’ Zikri teresak-esak disebalik pintu wad itu, hilang rasa malu demi anak tersayang, terhenjut-henjut bahunya, buat kesekian kali rasa kecewa itu hadir lagi, kecewa kerana tidak mampu mengubati anak itu.. lama.. sehinggalah dia terasa ada tangan menepuk dan mengusap perlahan bahunya, dan bila dia menoleh dilihatnya Iman berdiri disitu, mata pemuda itu turut digenangi air yang menanti masa untuk tumpah.

“Pak cik, izinkan saya menjadikan Vee sebagai milik saya yang halal..” pohonnya ikhlas.

Agak tersentak wajah Dato’ Zikri Mukmin mendengar hasrat hati pemuda itu..

“Kamu dah fikir masak-masak ke Iman sebelum buat keputusan ni? Jangan sebab rasa belas yang hadir membuatkan kamu buat keputusan terburu-buru, kamu masih muda masih jauh jalan hidup kamu dan pak cik pula tak mahu membebankan kamu dengan keadaan Vee sekarang ni..”

“Saya dah fikir panjang pak cik, 3 malam saya bersolat istikharah dan jawapannya tetap sama, saya yakin dengan apa yang saya buat ni..”

“Kalau begitu yang kamu dah kata, pak cik tak ada halangan bagi pihak pak cik, pak cik bukan apa, pak cik tak mahu kalau-kalau Iman menyesal di kemudian hari dengan keputusan yang Iman buat sekarang ini, tanyalah Vee, apa jawapan bagi pihaknya, pak cik akan ikutkan saja..”

“Terima kasih pak cik, saya akan jaga Vee sebaik mungkin sebagai mana pak cik menjaganya , selagi ada daya saya insyaALLAH…” itu janji hatinya demi Vee.

**************

“Selamat hari lahir sayang…” ucapnya tepat pada pukul 12.00 am, 21 julai sambil menghadiahkan sebuah kucupan mesra didahi isteri tercinta, hari ini hari jumaat, penghulu segala hari dan hari ini bermakna genaplah 9 bulan usia perkahwinan mereka, segalanya ditempuhi penuh warna warni, ada tawa gembira, ada juga genangan air mata..

Sebuah ikatan yang terlahir bukan kerana atas dasar kehendak nafsu, jari-jemari isterinya digenggam erat, tidak pernah sekali pun terlintas rasa geli, jijik tika menyentuh isterinya itu, kerana dia tahu penyakit itu tidak pernah akan merebak melalui sentuhan luaran kecuali jika terdapat luka-luka mungkin akan meninggikan risiko.

“Terima kasih abang, abang lelaki yang baik, Vee doakan abang dapat isteri yang solehah selepas ni..” ucapnya perlahan dengan nada terharu tak tertahan.

“Isk sayang kenapa cakap macam tu? Sayang kan satu-satunya isteri abang ni dan tak akan ada yang lain…” sungguh dia tidak suka andai isterinya membangkitkan hal ini.

“Dah dekat 4 tahun virus ini dalam diri ini dan Vee tau satu hari nanti Vee akan pergi kerana janji Vee padaNYA dan abang berjanjilah dengan Vee, jangan kerana diri Vee abang kena korbankan hidup abang, sebab abang ada hak untuk memiliki bahagia abang sendiri dan Vee pasti Vee akan bahagia dan tenang kalau tengok hidup abang bahagia nanti..” ujarnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman yang manis buat suami yang paling dicintai, ya senyuman yang mungkin tak akan mampu dilupai oleh Iman Syukri sepanjang hayatnya.

“Dahlah sayang… tidur ya? Kita bincang hal ini lain kali ok..” pintanya, sebab dia belum pernah bersedia untuk kehilangan permaisuri hatinya itu.

Ditariknya tubuh Vee rapat dengannya, membiarkan isterinya lena berbantalkan lengannya bersandarkan pada dadanya.

“Aku cintakan kamu sayang… sehingga akhir helaan nafas ini suamiku..” bisik Vee Auni perlahan. Lafaz syahadah diucapkan sebelum memejam mata….. lena…selena-lenanya.

***************

“Sudahlah Im, redhakanlah dia pergi dengan tenang”, pujuk papa dan mamanya, dan babah, umi, Ann dan teman baiknya Brian masing-masing berwajah sugul…

Kalau inilah yang boleh membuatkan sayang tenang, abang redha.. pergilah sayang..abang izinkan.. semoga kita akan bertemu di syurga nanti.. bisiknya perlahan tatkala menatap jasad kaku milik isterinya itu.

Pagi itu dia bangun seperti biasa dan dilihatnya Vee masih seperti semalam, lena berbantalkan lengannya tidak berubah, malah wajah itu begitu tenang sekali dalam tidurnya, mendamaikan mata yang melihat..

“Sayang bangun…dah pagi..solat subuh..” dia menggoyangkan lembut tubuh isterinya, biasanya Vee mudah terjaga bila di sentuh sedikit pun tapi untuk kali ini, isterinya langsung tidak memberikan apa-apa tindak balas, lena sangat agaknya.

“Sayang oh sayang..” digoyangkan tubuh itu sedikit kuat, tapi tetap seperti tadi.

Hatinya kini mula digamit risau, perasaan bimbang mula terbit dan terketar-ketar dia meletakkan jari telunjuknya di hidung Vee, tiada langsung hembusan nafas, diletakkan pula tangannya di pergelangan tangan isterinya, pun tiada denyutan, akhirnya matanya memandang pada dada isterinya tiada langsung kelihatan alunan nafas didadanya kini……………………….

“Ya ALLAH……Vee!!!” raungannya memecah sunyi pagi, dan dia menangis mengongoi tersedu sedan seperti anak kecil yang kehilangan ibunya, hidupnya terasa kosong..dunianya terasa seperti diawang-awangan.

“Innalillahi wainnahi ilaihirajiun, daripadaNYA kau datang dan kepadaNYA kau kembali.. selamat jalan anakku..pergilah menunaikan janjimu kepadaNYA.. ” ucap babah serentak tubuh Iman jatuh terjelepok lesu, separuh dirinya telah dibawa pergi kini.

“Cinta suciku ini tak akan pernah terkubur bersama jasadmu itu sayangku, tenanglah sayang ku, abang ampunkan segala dosa-dosamu, bahagialah dalam persemadianmu.. abang akan sentiasa doakanmu..”

The END..
Dedikasi buat semua, sahabat dan juga teman, jangan pernah memandang hina golongan ini, beri peluang mereka hidup bermasyarakat sebab kadang-kadang mereka jadi begitu bukan atas kehendak mereka tapi mungkin adalah atas kesilapan orang lain.

5 comments:

Anonymous said...

best tp cdey..huhuhu

keSENGALan teserlah.. said...

waaaaaaaa..
sedeynyeeee..
huhu...
best2.

suriyani said...

salam nuril..
mmg sedh sgt2..
airmate meleleh2 da ni..huhuh..:(
tp best..!!
keep on writing..

Bulanhijau said...

sob sob.
sumpah sedih !
='(

Unknown said...

kebanyakan cerita yg awak buat byk sad ending, tp sya sukasuka, gambatte