iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Wednesday, May 13, 2015

Novel : Kasut Hitam Topi Pink [4]

Kalau cinta yang berkuasa, benci pun jadi suka


 “You lambat!” Keras teguran bila melihat Catilya melangkah gemalai menghampiri. Mencuka wajahnya.

Sorrylah darling, I cuma lambat 5 minit je tau.” Pipi lelaki itu dicuit mesra. Memujuk. Bukan dia tak tahu perangai tepat teman lelakinya itu.

“You tahukan I tak suka tunggu orang, tapi you buat juga kebencian I yang itu. You datang lambat juga. You ni sengajakan Lya?” Zaif Affendy membebel.

“Syii darling, I datang nak jumpa dengan you, nak lepaskan rindu I yang membuak ni pada you, bukan nak dengar you membebel berleter macam orang tua tau. Hmmm senyum sikit.” Dia memujuk.
“Kalau tak mau dengar I membebel, lain kali jangan datang lam…bat.” Tak terhabis ayatnya bila gadis itu meletakkan jari telunjuk ke bibir.

Darling I miss you.” Tangan mula melingkar di leher Zaif Affendy.

“Lya please, jaga kelakuan you. Kita di pejabat I, apa kata staff-staff I nanti? I boss dekat sini, perlu jaga I punya reputasi. Perlu jadi contoh mereka.” Tubuh model itu ditolak perlahan. Tangan yang merangkul lehernya juga dilerai.

“You nilah.” Masam wajahnya. Gadis itu menghentakkan kaki geram dan tanpa diduga terpijak sekali kasut kulit yang berwarna hitam berkilat milik lelaki itu.

“Oii you dah pijak kasut I.” Marah lelaki itu. 

“Padanlah dengan muka you.” Balas gadis itu tanpa sedikit pun rasa bersalah.

“I baru kilatkan kasut I you dah kotorkan balik.” Tidak puas hati sungguh dia dengan balasan Catilya itu.

“Alah apa susah, kilatkanlah balik. Tu dekat luar sana tu I ada nampak tukang kasut baru tau. Jom I bawakan you ke sana.” Tangan lelaki itu ditarik dan lelaki itu hanya mengikut tanpa sebarang bantahan.

Hampir 5 minit menurut, langkah terhenti di hadapan sesusuk tubuh yang sedang duduk di atas bangku kecil dan tekun menjahit satu kasut kulit yang sudah tertanggal tapaknya.

“Ya boleh saya bantu?”

Lelaki ke perempuan dia ni? Eh ada ke perempuan jadi tukang kasut? Zaif Affendy kehairanan. 

Boyfriend I yang cerewet dan punctual ni nak kilatkan kasut dia. Boleh buat sekarang ke?” Belum sempat dia menjawab Catilya sudah menjawabkan bagi pihak dirinya. Dia menepuk dahi mendengar ayat terus yang keluar dari mulut gadis itu. Tu ayat sengaja nak cari pasallah tu.

“Boleh. Mana kasutnya?” Soal tukang kasut itu. Senyuman ramah terukir di wajah. Jelas kelihatan baris gigi yang putih bersih sebaik saja wajah itu mengukir senyuman.

“Ni yang I pakai ni.” Jawabnya pantas. Muda lagi dia ni. Rasa macam perempuan, suara pun macam perempuan. Sahih perempuanlah kut. Perempuan berpewatakan lelaki. Ah apa nak dihairankan dengan zaman sekarang ni. Sempat lagi hatinya membebel memberi komen itu dan ini.

“Err encik boleh tanggalkan kasut tu dulu?”

“Kalau I tanggalkan kasut ni I nak pakai apa? Lantai dekat sini kotor! Geli.” Tercebik-cebik bibirnya. Sungguh dia tak sanggup memijak lantai kotor hitam bersalut debu-debu kotor itu tanpa sebarang alas. Silap-silap kulit kakinya nanti boleh terkena penyakit! Hisyh minta simpanglah.

“Oklah encik, saya malas nak buang masa encik, saya ada banyak kasut nak kena siapkan. Meh sini kaki tu. Letak dekat sini.” Menunjukkan pahanya yang sudah dialaskan dengan kain buruk itu.

“Hah?” Macam tak percaya. Biar betul, tak akan nak biarkan aku pijak pahanya pula. Betul ke tak betul dia ni?

“You cepatlah, kan dia suruh buat macam tu.” Catilya mencelah bila melihat raut serba salah yang terpamir di wajahnya.

“Oo..ok.” Teragak-agak Zaif meletakkan kaki.

“Weh kilat elok-elok. Mahal kasut aku ni tau.”  Sempat dia memberi pesanan.

“Ya encik, jangan risau.” 

“Chomel!” Tiba-tiba ada satu suara lembut manja menyapa.

Si tukang kasut yang sedang tekun membuat kerja mengangkat wajah. Topi warna merah jambu yang terletak di atas kepala ditanggalkan. Diletakkan ke sisi. Cuaca panas hari ini membuatkan rintik-rintik peluh mula terbit di dahinya.

“Apa hal kau datang sini Rina? Tak kerja?” Soalnya tanpa mengangkat langsung wajah. Tangan lincah menyapu kiwi hitam pada kasut lelaki itu. Hasil kerja mesti baik supaya pelanggannya yang cerewet ini berpuas hati.

“Kerjalah. Sekarangkan tengah waktu rehat. Nah ni saya bawa air untuk awak. Soya bagi. Dia belanja katanya. Tekak awak mesti keringkan? Pelanggan mesti ramai sampai awak tak dapat rehat.” Cawan plastik lutsinar dihulurkan kepada Chomel namun gadis itu tidak menyambutnya. Tetap lincah membuat kerjanya.

“Letaklah dekat situ dulu. Aku sibuk ni. Ni nampak ni ada customer yang aku nak kena siapkan cepat.”

“Ok, eeehh kesiannya awak Chomel, berpeluh-peluh. Panas ya dekat sini?” Tanpa dijangka Rina mengeluarkan tisu dari tas tangannya dan terus membantu mengesat peluh di wajah Chomel itu.

“Eh-eh Rina, tak… tak payah susah-susah.” Chomel cuba menepis tangan Rina menghalang perbuatan temannya itu konon namun gadis itu tetap juga berkeras.

“Alah Chomel awak ni dengan saya pun nak malu-malu ke. Awak lupa ke kita inikan….” 

“Ehem-ehem…” Tak sempat menghabiskan ayat bila pelanggan lelaki si Chomel itu berdehem keras.

 “Ok encik. Siap! RM5 sahaja encik.”

“Nah…” Sekeping RM10 ringgit dihulurkan kepada si tukang kasut itu, sebelum cepat-cepat berlalu. Geli melihat aksi luar biasa pasangan tukang kasut itu.

“Eh encik, bakinya?”

“Tak payah. Awak simpanlah.” Tak sanggup dia nak ambil baki dari tukang kasut itu, dahlah tangan kotor dan hitam, pegang macam-macam pula tu. Mesti ada banyak kuman yang melekat dekat tangan dia tu.

Chomel hanya memerhati pasangan itu sebelum berlalu. Ah orang kaya, memang selalunya sombong dan tak berbudi ke apa? Lantaklah. Aku tak rugi apa-apa pun. Air soya yang diberi oleh Rina itu dicapai. Diteguk laju isinya. Membasahkan tekak yang tengah kering. Rina ni macam tau-tau saja aku tengah haus.

******

“Ketinggalan gilalah kau ni.”

Dia yang sedang tunduk menulis teks mesej terkejut bila bahu ditepuk dari arah belakang.

“Weh kawan sekarang sudah 2012lah. Mana ada orang pakai handphone hitam putih lagi. Macam orang tua-tualah.”

“Aku… aku…” Laju telefon bimbit yang berada di tangan dimasukkan ke dalam saku seluar. Merah padam muka menahan malu.

“Kau tengok aku ni. Pakai Iphone lagi. Sekarang mana main pakai phone ada keypad ni. Sekarang semua main touch skrin je. Barulah gempak.”

“Kau kata ayah kau ada company sendiri. Buka kilang kasut. Masakan handphone pun tak mampu beli? Walaupun aku tahu ayah kau dah tiada tapi mesti dia ada tinggalkan kau harta yang banyakan sebelum dia pergi? Mesti kau lebih dari mampu nak beli phone baru.” Sampuk temannya yang seorang lagi.

“Bukanlah handphone aku rosak. Tu yang aku pakai yang ini. Pakai untuk sementara saja.” Dia menjawab pantas. Memberi alasan untuk menutup malu.

“Rosak? Beli sajalah yang baru. Kaukan kaya.”

“Eh tak naklah. Telefon bimbit aku yang hari itu masih boleh dibaikilah. Lagipun tak elok membazir tau.”

“Membazir atau alasan saja ni? Kalau aku jadi kau dah banyak duit sangat aku buang saja handphone tu kalau rosak. Beli baru terus tak payah nak repair segala bagai. Buang masa saja tau.”

“Alasan? Apa maksud kau?” Soalnya seolah tak mengerti.

“Alah kau cakap sajalah kau tak ada duit sebenarnya.” Tempelak temannya itu

“Kenapa pula kau cakap macam tu?”

“Yalah sepanjang berapa semester kau dekat sini aku tak pernah pun nampak keluarga kau. Jangan-jangan kau tipu kami selama inikan?”

“Tipu? Mana ada… tak ada kerja aku nak menipu.” Laju dia menggelengkan kepala menafikan tuduhan temannya itu.

“Weh anak orang kaya tak ada datang kolej naik baslah. Anak orang kaya ada pemandu sendiri, siap hantar ambil. Macam aku ni.”

“Aku… aku sajalah naik bas. Nak belajar berdikari.”

“Sudahlah aku tak percayakan kaulah.”

“Aku akan buktikan nanti.”

“Buktikan macam mana? Tunjukkan dengan Nokia 3310 kau ni? Kah! Kah! Kah~” Ketawa dua orang temannya itu lantang sebelum meninggalkan dirinya seorang diri.

Cis tak guna. Tak apa, nanti aku akan tunjukkan biar korang tak ada suara nak bercakap. Dia menggetap bibir. Geram bila dihina dan diragui begitu. Aku nak tunjukkan pada mereka tapi macam mana? Tiba-tiba dia teringat… Hah tak apa, nanti aku minta pada dia!


Saturday, May 2, 2015

Novel : Kasut Hitam Topi Pink [3]

Bila cinta yang berkuasa, benci pun boleh jadi suka....

“Jaga keluarga kita, jaga emak. Jadi anak yang baik ya Chom? Ayah sayang sangat dengan kamu.”
Entah kenapa hari ini tanpa angin tanpa ribut, ayah tiba-tiba berkata begitu padanya. Dia yang sedang tunduk membaca akhbar Harian Metro mengangkat wajahnya. Merenung dalam wajah separuh usia milik Maarof itu. Wajah yang sentiasa tenang dan jarang dia dapat membaca apa yang sedang bermain di dalam isi hati ayahnya itu.

“Insya-ALLAH ayah.”

“Kamu saja harapan ayah ni. Nak harapkan si Mulia tu, dia masih lagi belajar. Lagipun perangai dia beza sikit.”

“Isk ayah ni kenapa pula cakap macam tu? Ayah kenapa? Tak sihat ya?” Bila tiba-tiba ayah bicarakan tentang tanggungjawab. Tentang harapan, sungguh hatinya tak dapat lari dari untuk punya rasa bimbang.

“Tak adalah… saja ayah cakap macam ni. Dah lamakan kita tak berbual macam ni.”
Angguk…

“Ayah ni dah tua. Kudrat pun dah tak gagah macam dahulu lagi. Kalau ada apa-apa jadi pada ayah kamu sajalah harapan ayah.”

“Sudahlah ayah. Janganlah ayah cakap macam tu. Risau pula hati Chom ni mendengarnya. Ayah buat Chom takut tau.”

“Chom kadang-kadang ayah rasa macam tak percaya yang masa ni pantas sangat perginya. Si Chomel ayah ni pun dah membesar. Cantik pula tu.” Rambutnya yang panjang mengurai melepasi bahu diusap penuh kasih oleh Maarof.

“Eh ayah ni… malulah Chom. Tak rocklah adik-adik tengok.” Dia mengelak, melarikan kepala dari disentuh oleh ayahnya.

Maarof hanya ketawa besar melihat aksinya.

“Kenapa?” Pertanyaan itu meluncur keluar dari dua ulas bibirnya perlahan. Tak tahu ditujukan kepada siapa. Sayu.

Kalaulah… kalaulah dia tahu itu perbualan terakhir antara mereka berdua, pasti dia akan nikmatinya sungguh-sungguh. Ayah macam tahu waktunya sudah hampir. Ayah seolah tahu yang ajalnya sudah memanggil. Air mata menitis lagi, dikesat dengan belakang tangan namun air mata itu degil seolah tak mahu berhenti. Makin dikesat makin banyak pula yang jatuh mengalir.

“Sudahlah Chom…” Soya memujuk.

“Cukuplah Chom…” Tami pun turut menyampuk, memujuk sekali. 

“Kuatlah Chomel… saya tau awak kuat.” Rina mengusap bahunya. Memujuk simpati.

“Macam mana aku nak sudah Tami, Soya? Macam mana aku nak kuat hadapi semua ni Rina? Dahan untuk kami sekeluarga berpaut dah tak ada. Siapa yang akan sara hidup kami nanti? Nak bagi makan dekat adik-adik aku? Mak aku? Siapa pula yang nak jaga Chantik kalau dia kena berkerja? Sudahlah si Chantik masih lagi menyusu badan. Bingung aku. Semuanya berlaku mendadak. Dalam keadaan aku tak bersedia langsung. Aku ni nama saja lepasan universiti tapi dah dekat setahun grad sampai sekarang ni pun masih tak dapat-dapat juga kerja. Dah macam-macam tempat aku minta dari cashier sampai ke office girl tetap tak ada juga kerja yang sangkut.” Dalam serak suaranya dia meluahkan.

“Dahlah Chom jangan kau nak susah hati sangat. Kamikan ada, kitakan kawan. Aku, Tami dan Rina tak akan tinggalkan kau sendiri bergelut dengan kesusahan. Kami akan bantu kau selagi termampu.”

“Sampai bila aku nak mengharapkan kalian?”

“Sampai bila-bila. Apa guna jadi kawan kalau kami tak berguna pada kau.”

“Betul cakap Soya tu. Jangan kau bimbang Chom kami akan sentiasa ada untuk kau dan tak akan sekali-kali tinggalkan kau dalam waktu sukar begini.” Ujar Tami pula.

No…” Dia menggelengkan kepalanya.

“Kenapa Chom?” Soalnya. Hairan Soya melihat penolakan Chomel dengan bantuan yang cuba dihulurkan oleh mereka.

“Aku dah buat keputusan.” Ujarnya dengan raut serius.

“Keputusan apa Chom? Lain macam saja kau ni. Jangan buat kami takut tau.” Laju Soya bertanya. Ada terselit nada kebimbangan di situ.

“Apa yang kau takutkan? Ini Chom, dia masih waraslah dan tak akan buat perkara yang dilaknat ALLAH tau.”

“Dah tu awak dah buat keputusan apa Chomel?” Soal Rina pula. Tak sabar-sabar untuk mengetahui apa yang bermain dalam kepala otak Chomel itu.

“Hisy aku dah kata jangan panggil aku dengan nama penuh, kau ni Rina. Aku dah buat keputusan, esok aku akan keluar pergi berkerja.” Ucapnya penuh bersemangat.

“Kerja? Eh kau tak cakap pun kau dah dapat kerja Chom.” Soal Soya seperti tak percaya. Biar betul dia ni.

“Memang aku masih tak dapat kerja, macam mana aku nak cakapkan dengan kau Soya?” Balasnya selamba.

“Habis tu esok kau kata nak kerja? Alah susah kau kerja je dengan si Soya ni, jual air soya dekat tepi jalan depan bangunan Maybank sana tu. Aku pun kerja dengan Soya dah sekarang ni tau.” Cadang Tami.

“Ah tak mau eh aku kerja dengan si Soya ni.” Sanggahnya langsung menolak cadangan Tami itu.

“Dah tu kau nak kerja apa? Jangan memilih kerja boleh tak dalam waktu terdesak ni.” Tami menegur.

“Betul tu cakap Tami tu Chomel. Sekurangnya awak ada juga sumber pendapatan untuk biaya hidup awak sekarang ni walaupun sikit.” Sokong Rina. Baginya kata Tami itu ada betulnya. Chomel tak boleh terlalu memilih dalam keadaan waktu begini.

“Weh cakap baik sikit, mana ada aku memilih kerja. Aku memang tak berminat nak berkerja dengan Soya ni. Sebabnya aku dah ada kerja pilihan aku sendiri. Aku akan sambung kerja arwah ayah aku. Sambung legasi dia. Jadi tukang kasut!” Ujarnya begitu bersemangat sekali.

“Tukang kasut? Kau biar betul Chom?” Soal Tami, Soya serentak.

“Awak serius ke Chomel?” Soal Rina pula sepertinya tak percaya. Ternganga seketika dia mendengarnya. Nasib tangan laju bertindak menutup mulut. Kalau tak habis punah imej perempuan melayu terakhir yang sering digayakannya selama ini.

“Ada nampak muka aku macam orang tengah main-main ke atau tengah buat lawak jenaka ke korang?” Soalnya sambil menudingkan jari telunjuk ke arah mukanya sendiri.

“Tak.” Balas ketiga-tiganya serentak.

“Itu je kemahiran yang aku ada. Arwah ayah ada ramai pelanggan yang setia. Nak harapkan adik aku si Mulia tu, dia masih lagi belajar. Aku tak mahu bebankan dia. Lagipun aku ni anak yang sulong. Dah menjadi tanggungjawab aku sebagai anak sulong untuk sara keluarga dan pastikan hidup mereka terjamin.” Dua tiga hari ni hanya perkara itu saja yang berlegar di ruang pemikirannya. 

“Kalau macam tu, suka hati kaulah Chom. Kami sokong saja mana yang kau rasa terbaik untuk hidup kau.”

“Aku rasa beruntung sebab ada korang sebagai kawan dalam saat sukar begini. Terima kasih Soya, Tami, dan Rina.” Wajah ketiga-tiga temannya dipandang satu persatu.

“Sama-sama. Weh dah sudah Chom, ini bukan diri kau kalau bercakap ikut standat bertaman di mulut ni.”

“Ceh kau ni Soya, langsung tak bagi peluang untuk aku tukar karakter kejaplah.” Bahu Soya ditepuknya perlahan.

“Mau taknya. Geli aku tengok kau jadi berbudi bahasa ni. Tak masuk.” Ujar Soya sambil membuat goncangan tubuh seperti orang sedang geli geleman, siap dengan mimik muka dia sekali pula.

Ketawa mereka berempat pecah serentak. Ketawa yang pertama buat dirinya semenjak tragedi sedih menimpa hidupnya lebih 7 hari yang lalu. Dengan mereka semua dia memang tak pandai nak ambil hati atau terasa dengan gurauan terlampau mereka. Bersyukur pula rasanya sebab punya teman seperti mereka. Sentiasa memahami dan mengerti.
******
“Khairi… Nak baliklah.”

“Alah awal lagilah Lya. Show pun tak habis lagi tau.”

“I tau show tak habis lagi tapi kalau nak ditunggu mesti lewat habisnya. I kena balik awal supaya I dapat tidur awal.”

“Macam budak-budaklah you ni Lya.”

“Yalah Khairi. You mana tau masalah I ni.”

“Masalah apa lagi you Lya kalau tak bukan sebab si Zaif Affendy itukan?” Masalah gadis itu cuma satu, dan puncanya pastilah kerana teman lelaki gadis itu.

“Hah tau pun you.”

Lelaki itu tersenyum sinis. Macam dia tak tahu yang hubungan gadis itu bersama teman lelakinya selalu tegang gara-gara berpunca dari masa.

“Alah Lya I tak puas lagi habiskan masa dengan you.” Entah kenapa walaupun dia tahu yang gadis itu sudah berpunya, tetap juga dia kejar gadis itu. Tak mahu dilepaskan. Tak kisahlah digelar orang ke tiga asalkan dia dapat apa yang dihajatinya.

“Khairi kenapa cakap macam tu. Hai tadi you kata nak jumpa I kejap saja dekat show ni. Khairi I nak baliklah. Esok ada date dengan Zaif. Kalau lambat habislah I ni.” Dia bangun dari duduk. Tas tangan Bonia yang berwarna hitam itu dicapai.

“Lya please… Tunggulah 5 minit lagi. Temankan I ni. Tak akan sampai hati you tinggalkan I ni seorang dekat sini?” Lirih nada suara lelaki itu, cuba memancing simpati.

“Khairi…”

Please Lya…”

“Ok tapi hanya untuk 5 minit saja.” Dia kembali melabuhkan duduk. Entah kenapa dia lebih seronok menghabiskan masa dengan lelaki itu daripada menghabiskan masa dengan Zaif Affendy. Mungkin sebab perangai lelaki itu yang melayan dia dengan sopan, tidak setegas, segarang layanan Zaif kepadanya. 

Ah kenapalah kita dipertemukan di saat Zaif dan aku sudah memeterai ikatan cinta. Menjadi pasangan kekasih? Serba salah perasaan sebenarnya dengan lelaki itu. Ada rasa pelik mula bercambah dalam diri bila bersama dengan lelaki itu. Wajah Khairi Razi itu dipandang. Dicuri pandang dalam senyap-senyap. Menilik raut wajah milik lelaki itu. Bandingkan lelaki itu dengan Zaif, lelaki itu lebih menyenangkan.

Nafas dihela berat bila mengenangkan hubungannya dengan Zaif yang sudah menginjak ke usia 3 tahun itu.

“You kenapa Lya? Letih ke? Mengeluh sampai macam tu sekali? Bosan ya sebab terpaksa temankan I?”

“Tak adalah Khairi. Eh girlfriend you tak marah ke you dengan I ni?”

Girlfriend?” Soal lelaki itu kembali disusuli dengan ketawa besar terburai.

Catilya hairan. Lucukah soalannya sampai lelaki itu perlu ketawa semeriah itu? Berkerut dahi.

“Lya ini soalan benar-benar dari you atau soalan you nak cungkil status I?”

“Kenapa pula you cakap macam tu?”

“Lya I selalu ajak you keluar. Selalu cuba nak habiskan masa dengan you tak akan you tak faham situasinya apa?”

“Situasi apa? Masakan orang sekacak you masih belum berteman? Memilih sangat kut you ni Khairi.”

“Mana ada I memilih. Tak ada orang nak dengan I ni.” Wajah bertukar muram tiba-tiba.

“I tak percayalah kalau you kata tak ada orang nakkan you Khairi.”

“Betullah Lya. Ada orang yang I suka, I nak dekat dia, tapi dia dah berteman pula. Apalah malang nasib I nikan?”

“Siapa suruh you nakkan orang yang dah berpunya? Memanglah dia tak mahu dengan you walau kacak mana pun you tau.”

“Eh Lya you faham tak ayat tu I tuju pada siapa?”

“Hah?”

“I tuju pada youlah Lya. I nakkan you. I sukakan you.”

Hening seketika suasana yang tadinya dirasakan riuh rendah dengan suara pengacara majlis. Terasa hanya ada mereka berdua saja yang tinggal di situ.

“You… you bergurau ke apa?”

“Tidak, I serius. Untuk apa bergurau hal yang melibatkan hati dan perasaan ni Lya?”

“Khairi… you… Ah I nak baliklah…” Panas wajah. Merah padam tiba-tiba bila tahu lelaki itu menujukan kata-kata kepada dirinya.

“Lya I tak bergurau. Please Lya. Tolong tinggalkan Zaif kalau you tak bahagia bersama dia.” Tangan terasa diraih oleh lelaki itu.

“I… I tak boleh Khairi!”

“I nak bahagiakan you. Bagi I peluang untuk bahagiakan you. Tanya hati you Lya, jangan seksa diri you. Buat apa terus bersama dengan orang yang tak boleh buat you bahagia? Bukan untuk setahun dua you kena bersama dia Lya, mungkin untuk puluhan tahun kelak. Sanggup ke you seksa diri you nanti Lya?”

“Khairi, walau macam mana pun I kena bersama dengan Zaif. Keputusan I dah bulat Khairi.” Sungguh setianya hanya pada lelaki itu. Cintanya juga hanya pada lelaki itu.

“Lya dengar cakap I ni.” Masih cuba memujuk.

No Khairi! Cukup. I tak mahu dengar apa-apa lagi dari you.”

“Lya… I…”

“I balik dulu Khairi.” Bergegas dia capai tas tangannya. Tak mahu terus berlama di situ. Dia takut perasaannya goyah dek pujuk rayu lelaki itu.

“Fikirkan apa yang I kata ni Lya. I percaya satu hari nanti you mesti bersetuju punya dengan kata I ni.” Laung lelaki itu. Masih tak habis lagi.