iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Thursday, April 20, 2017

Cerpen : Setulusnya Cinta




Skirt paras lutut yang dia pakai sudah basah dek mencecah air tanda langkah semakin jauh ke tengah laut. Angin laut yang bertiup agak kuat membuatkan rambut panjang yang disanggul cincai terburai laju menutup ke wajah.
Erina angkat tangan, lemah menyeka anak-anak rambut yang menghalang pandangan mata. Dia seolah kehabisan tenaga. Panggilan telefon yang diterima beberapa jam tadi seolah-olah telah menyedut keluar seluruh tenaga yang dia ada.
Hari ini hari ulang tahunnya yang ke-28 tahun. Betapa lebar senyuman di wajah tatkala melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon pintarnya yang berbunyi. Laju jari comelnya meleret butang hijau untuk menjawab panggilan. Tidak sabar-sabar untuk mendengar suara si kekasih. Raja yang telah bertakhta di dalam singgahsana hati semenjak beberapa tahun ini.
“Erina…”
“Say…ang….” Lambat-lambat dia menyahut. Janggal bila mendengar lelaki itu memanggil dengan nama penuh. Nada suara juga dingin dan mendatar. Seperti tiada kemesraan. Amat jarang Nadzri memanggil dengan nama penuh begitu. Biasa lelaki itu lebih suka memanggil dengan panggilan manja, sweetheart. Hati berdebar-debar tiba-tiba. Intuisi seolah dapat menghidu sesuatu yang tidak menyenangkan.
“Erina… I rasa I kena berterus-terang. I tak mahu terus berpura-pura dan bohongi you. Seksa perasaan you dan perasaan I terutamanya.
“A…apa maksud you Nadz?” Kerongkong terasa menyempit sehingga tak mampu melalukan air liur sendiri untuk ditelan. Yakin apa yang bakal disampaikan oleh Nadzri kelak akan menyakitkan hatinya.
“I rasa kita tak menjadi Erina.”
“Kita tak menjadi? Apa ni Nadz? I tak fahamlah.” Sudahlah bicara itu tanpa didahului dengan sapaan salam, lepas tu tiada langsung disertakan dengan ucapan manis sempena dengan ulang tahunnya hari ini, kemudian bicarakan pula hal yang mengarut dan dia sendiri tak dapat nak telah dan tangkap maksud tersiratnya. Erina kehairanan. Apa yang telah berlaku pada Nazdri? Dua tiga hari lepas mereka baik-baik sahaja. Tak ada bergaduh apa-apa pun tapi hari ini… kenapa? Hembusan nafas berat dilepaskan. Panjang.
“I dah tak boleh nak bohongi diri I lagi. I tak mampu dah untuk terus berlakon masih cintakan you Erina. Kadang-kadang bila kita keluar bersama, I selalu tertanya-tanya pada diri sendiri, you ni tak pernah bercerminkah? You tak akan tak sedar, tak perasan akan perbezaan antara kita? Bukan nak puji diri, tapi kenyataan I ni kacak, punya potongan badan yang menarik dan you pula? Sudahlah berkulit agak gelap, tubuh gempal dan pendek pula. I ni model Erina, rasa tak sajak sangat bila berpasangan dengan you. You tahu apa rasa I bila kita keluar bersama dan terpaksa bawa you sekali ke majlis-majlis yang I perlu hadiri tu?” Soal lelaki itu.
“Malu sangat….” Tak sempat Erina menjawab, Nadzri telah menjawab soalannya sendiri.
“Nadzri! Sampai hati you kata begitu pada I.” Jadi selama ini lelaki itu hanya berpura-pura? Pergunakan dirinya sahaja demi kepentingan poket dan nafsu? Pedih telinga mendengar kata-kata Nadzri dan pedih juga hatinya. Bagai dihiris halus-halus.
“Kita berpisah sahaja Erina.”
What? Nadzri you??” Jantung bagai disambar petir kuat. Laju dia bawa tangan mengusap ke dada sendiri.
“Sengaja I pilih hari ini untuk katakannya, supaya you boleh ingat sampai mati Erina. Selamat hari lahir, ini hadiah I pada you.” Ucap lelaki itu tega tidak sedikit pun memikirkan tentang perasaan Erina yang dicarik-carik sebelum memutuskan talian tanpa langsung menunggu sebarang balasan darinya.
 “Erina I suka kalau you tanggalkan tudung.”
Disebabkan sayang sangat dengan Nadzri dia akur melucutkan tudung di kepala tanpa ragu-ragu. Pakaiannya yang dahulu agak labuh mula disingkat sedikit demi sedikit.
“Erina kalau you sayangkan I, you kena bagi apa yang I mahu.”
Cinta yang membuta tuli buat dia menjadi bodoh dan menurut saja kata-kata Nadzri. Apatah lagi bila mendengar janji yang keluar dari mulut lelaki itu untuk mengambil dia sebagai isteri. Bukan singkat tempoh hubungan mereka. Mencecah usia 6 tahun. Dia tua 5 tahun dari Nadzri tapi dia tak peduli. Umur hanyalah angka. Fikiran dan otak hanya terpusat pada Nadzri. Dia lupa diri dan yang dia tahu dia hanya mahukan lelaki itu.
Bukan sedikit pengorbanan yang dia telah buat untuk Nadzri. Sanggup dia potong duit belanja bulanan yang dia sediakan untuk keluarga demi menanggung Nadzri yang masih berlajar waktu itu dengan harapan bila lelaki itu sudah habis berlajar nanti mereka akan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Mereka bertemu tanpa sengaja. Dia berkerja sebagai pensyarah sambilan di tempat Nadzri belajar ketika itu. Sengaja ingin menambah duit poket sedangkan dia sudah punya kerjaya yang tetap sebagai account executive di sebuah syarikat swasta.
Bukan dia tidak sedar akan perubahan sikap Nadzri semenjak kerjayanya sebagai seorang model semakin bersinar. Rupa paras Nadzri yang agak menarik membuatkan lelaki itu ditawarkan menjadi model oleh sebuah agensi modeling yang kebetulan sedang merekrut model-model baru beberapa tahun dahulu. Sampai hati you Nadzri. Hati tak dapat nak lari dari rasa sebak bila kata-kata dan ucapan lelaki itu kembali bermain di ingatan dan terngiang di telinga. Tubir mata terasa panas, air mata terus bertakung banyak tanpa dapat dikawal.
Puk!
“Ouch!” Dia terjerit bila sebiji botol melantun mengenai dahi akibat dibaling oleh sang ombak. Berkecai segala lamunan. Dahi terasa sengal.
“Kurang ajar punya botol.” Erina membentak geram. Laju tangan mencapai botol kaca kosong itu. Lempar jauh-jauh ke dalam laut dengan mulut terkumat-kamit membebel marah pada botol tak bernyawa itu. Hanya seketika sebelum tangan kanan laju naik menekup ke mulut sendiri. Baru tersedar dia terlepas laku. Cepat-cepat pandang sekeliling. Tarik nafas lega. Di hanya bersendirian. Tiada sesiapa yang berada di persisiran pantai. Kalau tak mungkin secara percuma dia sudah dicop perempuan gila. Sudahlah wajah tak lawa bak kata Nadzri, otak pun tak berapa lawa juga, sahih lepas ni dia tak akan laku. Silap-silap kena sandang jawatan ‘andartu’ pula nanti gara-gara lepas laku kala ini.
Puk!
Sekali lagi botol yang dibaling tadi dicampakkan kembali oleh sang ombak. Kali ini mengenai lututnya pula.
“Aduh!” Erina jerit nyaring. Tak peduli dah. Lepaskan rasa geram dan sakit yang bercampur menjadi satu.
“Kau ni kenapa botol? Nak cari pasal dengan akukah? Sengaja nak tambahkan sakit hati aku ya ombak? Aku tak mahulah hadiah kau ni.” Membentak-bentak menghentak kaki yang berada di dalam air. Dia campak botol itu sekuat-kuat hatinya. Biar pergi jauh dan tidak dicampak lagi ke arahnya oleh sang ombak.
“Hai bising-bising dengar dari jauh tadi ingatkan bergaduh dengan siapa, rupanya bergaduh dengan botol dan ombak.” Satu suara garau tiba-tiba menegur.
“Jangan sibuklah!” Marahnya laju namun hanya seketika sebelum Erina terkaku. Suara siapakah? Yakin tadi dia hanya bersendirian dan tidak ternampak kelibat sesiapapun di kawasan pantai itu. Tak akanlah hantu air yang menegur? Eh adakah hantu di siang-siang terang begini? Lambat-lambat dia pusingkan tubuh. Melihat dalam takut.
Satu susuk tubuh sasa sedang memeluk tubuh berdiri beberapa meter darinya. Mana muncul lelaki itu? Dari dalam lautkah? Jelmaan hantu air? Tapi macam terlebih kacak pula. Wajah lelaki asing itu kelihatan murah dengan senyuman namun Erina langsung tidak membalas senyuman lelaki itu.
Hello! Is it me you're looking for?
Lelaki itu mengangkat sebelah tangan sambil melambai siap menyanyi lagu Lionel Richie lagi bila melihat Erina langsung tak bereaksi dengan senyuman manis tahap mencair ais -100 darjah celciusnya itu. Cuba mencipta situasi santai dalam mood tegang Erina.
Ingat lawaklah tu. Erina cebik bibir. Terus atur langkah. Tinggalkan lelaki itu. Kembali ke daratan. Malas melayan lelaki yang cuba beramah itu. Orang sudahlah tengah mood sedih libang libu, dia pula boleh muncul konon-konon nak ajak kita bersuai kenal pula. Huh tak kuasa nak layan. Muka kacak kau tu tak lakulah nak tampal mood aku yang tengah koyak rabak ni. Membebel geram Erina di dalam hati. Benci bila keinginan dia untuk bersendirian diganggu.
“Sombongnya dia. Hai saya Sein. Nama panjang Hussein.”
“Tak tanya pun.” Acuh tak acuh.
“Boleh pun balas kita ni.” Sedikit pun tak ambil hati dengan layanan dingin Erina.
Erina hadiahkan jelingan tajam kepada lelaki itu. Terasa tersindir. Jangan tambah rosakkan mood aku. Nanti ada yang makan pasir pula karang.
“Erina!”
Terhenti langkah bila mendengar Hussein memanggil nama penuhnya. Seingat dia tidak ada memberitahu namanya tadi. Lambat-lambat dia pusingkan tubuh. Memandang Hussein dengan penuh tanda tanya. Lelaki itu turut memandang ke arahnya juga. Senyum lebar tayang semua gigi di bahagian hadapan yang bersusun kemas.
“Awak mesti tertanya-tanyakan Erina? Saya kenal awak semenjak lama dahulu tapi saya yakin awak tak mengenali saya ni.”
Siapa Hussein ni? Kenal aku dari dahulu lagi? Berkerut dahi cuba ingat kalau-kalau dia pernah mengenali seseorang yang bernama Hussein tapi gagal. Ingatan seolah kosong. Memori seperti tiada langsung bersambung dengan orang yang bernama Hussein. Lelaki itu berbohong barangkali.
“Tak apalah kalau awak gagal mengecam saya ni.”
Eh lirih pula nadanya. Tak penting rasanya. Ingat muka kacak dia tu buat dia laku dengan mata aku ni. Mencebik bibir. Kembali pusing tubuh. Sambung langkah yang terhenti tadi.
“Erina dahulu awak memang comel, bukan saja pada bentuk tubuh dan rupa paras, tapi comel dengan pemakaian yang bertutup dan sejuk mata-mata yang memandang tapi sekarang ni…”
“Tapi apa? Eh jangan nak sibuklah. Diri saya suka hati sayalah nak buat apa pada tubuh badan ini.” Panas pula hati bila mendengar kata-kata berbentuk teguran Hussein itu. Rasa macam mukanya disimbah dengan air panas. Hangat melecur terbakar.
 “Erina saya tahu cinta itu tak bermata, buta, tapi cinta yang mengubah awak dari kebaikan kepada keburukan, bukanlah dinamakan cinta lagi. Itu nafsu namanya. Membuta tuli.”
“Diamlah. Apa yang awak tahu pasal kisah saya? Jangan nak menyibuk boleh tak? Awak tu siapa? Saya pun tak kenal awak. Jaga urusan awak. Jangan masuk campur urusan saya.”
“Saya tegur sebab saya sayangkan awak….”
Eh-eh lelaki ini, baru berjumpa tak sampai beberapa minit sudah berani ungkap kata sayang. Semerta teringat pada Nadzri. Ah lelaki memang spesis manis ayat, lembut lidah dari gigi. Bila dah habis madu disedut kering, akan buang kita macam sepah yang tak berguna.
******
Botol kaca yang kosong dan menjadi hiasan tunggal di atas meja kayu yang kemas itu dicapai. Dibelek-belek. Perlahan-lahan bibir melorek senyum tanpa dipaksa. Ada reben merah jambu yang diikat mengelilingi badan botol itu sebagai hiasan.
“Ada yang datang bertanya berkenankan kamu.”
Belum pun hilang penatnya memandu dari Shah Alam pulang ke rumah di Pulau Indah, telinga sudah dikhabarkan dengan berita diri dirisik.
“Siapa?” Semenjak kejadian putus dengan Nadzri beberapa bulan dahulu, perasaan jadi hambar. Tawar macam tak ada keinginan untuk bercinta lagi. Luka masih belum sembuh, bisa perpisahan itu masih ada lagi tertinggal.
“Kamu kenal orangnya. Nak terima ke tidak?”
“Ikut suka emaklah.” Malas dah nak serabutkan otak untuk berfikir. Dia akan menurut saja kali ini. Serah diri.
“Ikut emak pula. Bukan emak ni yang nak kahwin, tapi kamu tu.”
“Mak… orang malaslah nak fikir, kalau mak rasa budak yang datang tu baik, sesuai untuk orang, orang ikut saja.”
“Betul ni? Kamu tak salahkan emak pula di kemudian hari kalau mak terima budak tu?”
“Tak… kalau tak menjadi maknanya itu memang sudah ditakdirkan. Orang tak akan salahkan mak punya.” Cuba realistik.
“Baiklah kalau dah itu kata kamu. Ada betul juga. Kamu pun bukannya muda lagi. Kalau pada zaman emak dahulu dah kena gelar anak dara tua tau. Nanti mak cakap pada budak tu suruh bawa keluarganya minggu depan. Emak tak mahu kamu bertunang lama-lama. Sebulan dua cukup. Buat yang wajib saja.”
Penat berdiri mengelamun, dia labuhkan pada kerusi kulit berwarna hitam yang terdapat di situ. Botol kaca yang dipegang tadi diletakkan di atas riba. Kaki memusing-memusingkan kerusi sambil mulut tak pudar-pudar dengan senyuman.
Hendak terkeluar biji mata bila melihat hantaran cuma itu, satu dulang mas kahwin dan diiringi satu botol kaca yang langsung tak nampak istimewa di matanya. Tahulah hari itu emak berkata ikut terpulang pada pihak lelaki, tapi beragaklah. Botol kosong nak buat apa? Getus hati agak bengang tapi macam pernah tengok saja botol tu.
“Botol ni sebagai simbolik pertemuan kembali antara kita setelah bertahun-tahun.” Bisik lelaki itu perlahan ke telinganya sewaktu tunduk menghulur tangan untuk disalam. Macam-macam tahu-tahu saja persoalan yang bermain di dalam benaknya.
“Sein… Hussein?”
“Hai Erina….” Kali ini senyum manis lelaki itu tidak dibiar tanpa dibalas. 2 keping kertas yang berada di bawah botol kaca itu diambil oleh Hussein dan dihulurkan kepadanya.
“Kita buat umrah lepas ni ya?”
Bagi Erina pilihan emak tak silap, keputusan dia menerima lelaki itu juga tak salah.
“Erina mesti tak ingat saya ni siapakan?”
Dia menggeleng. Sungguh tak dapat nak ingat siapa lelaki itu di dalam masa lalunya. Yakin dia tak ada pun mengalami masalah memori tapi entah kenapa otak gagal mengingati siapa Hussein yang sudah sah menjadi suami dan berdiri di hadapannya kini.
“Kalau saya sebut Buntal?”
“Buntal?” Beberapa ketika dia berkerut dahi sebelum mulut melopong luas. Ingat, dahulu ada seorang budak lelaki yang berbadan gemuk suka mengganggunya. Sudahlah gemuk, kuat makan pula tu. Anti betul dia dengan budak tu dahulu. Gemuk dan suka mengambil bekal makanan yang dia bawa ke sekolah walaupun berlainan kelas. Pelik. Hanya bekalan makanan dia saja yang suka diambil. Tidak bekal yang dibawa oleh rakan-rakan yang lain. Dia tidak pernah mengetahui nama sebenar budak gemuk itu, sebab itulah dia gelar budak itu sebagai Buntal. Macam ikan buntal, yang bulat dan tubuh penuh duri tu. Bezanya lelaki itu dahulu dengan sekarang. Termalu sendiri dia. Kalau dahulu tubuhnya langsing tapi kini sudah berisi, semua semenjak dia mencecah akil baligh. Hormonnya berubah.
“Erina berubah besar macam mana pun, tetap cantik di mata saya ni. Saya tak pernah bencikan awak. Sayang dan suka yang semakin membuak-buak adalah. Dahulu dapat tengok Erina dari jauh saja, sebab tahu awak tak pernah sudi nak pandang saya ni itu sebab saya buat macam-macam untuk tarik perhatian awak dahulu. Sekarang saya lega. Erina yang saya suka dah jadi milik saya yang halal. Kerana botol ini kita ada topik untuk berbicara selepas berbelas-belas tahun saya berusaha.
“Erina… lelaki yang baik, dia akan terima kita seadanya, tak akan mengubah kita menjadi seperti apa yang dia mahukan.”
Rasa termalu sendiri mendengar kata-kata Hussein itu. Seperti kata-kata itu tepat dituju ke batang hidungnya. Sempat mata membelek tubuh sendiri. Rasa tebal disalut dosa atas hubungan yang melangkaui batas antara dia dan Nadzri dahulu.
Nafas ditarik dalam. Jam yang melilit pergelangan tangannya diperhati. Sudah lebih 10 minit dia di dalam bilik ini. Mana pula lelaki itu. Tak apalah. Boleh sambung mengelamun lagi. Hati memujuk. Fikiran kembali menerawang.
Memang manis kehidupan berumah tangga dengan Hussein. Siapa sangka lelaki yang nakal dan amat dibenci dahulu boleh berubah menjadi lelaki yang baik. Naikkan suara juga Hussein tak pernah kepadanya. Marah pun tidak atas lakunya yang terlepas kadang-kadang tu, pakaian yang tidak bersesuaian. Hussein hanya menegur dengan lembut, lebih kepada nasihat. Usai dirinya dileteri dengan nasihat-nasihat, Hussein akan menghadiahkannya pula dengan bisikan kata cinta dan sentuhan mesra. Memujuk kembali. Pandai lelaki itu.
“Hey you buat apa dekat sini? Sit at my boss seat. You ingat you siapa?”
Terus berdiri Erina yang sedang duduk bila disergah tiba-tiba. Langsung terjatuh botol yang berada di atas ribaan. Cepat-cepat dia menunduk. Mengutip botol itu dan membeleknya. Mujur tidak pecah mahupun retak. Dia menarik nafas lega.
“Nadz… Nadzri?” Terbeliak mata bila melihat pemilik suara garau yang menyergahnya adalah Nadzri. Macam mana pula lelaki itu boleh berada di sini?
“Wah dah bertudung litup you sekarang ya Erina?” Sinis nada lelaki itu sambil memandang dirinya dengan senyuman mengejek.
“Apa yang you buat dekat sini Nadz?”
“Tanya I pula, ini office I sudah tentu-tentunya I perlu berada di sini. Sudah-sudahlah Erina. Cukup-cukuplah mengejar I ni. Terima kenyataan.”
“Nadz you…”
“I dah tak nakkan you Erina. Berubah macam mana pun you I tetap tak akan kembali pada you. Never!
“Nadzri… bukan….”
“Bukan apa? Sudahlah berapa kali I nak cakap yang you tidak layak dengan I ni.”
“Memang dia tidak layak pada awak pun Nadzri. Dia layak pada saya ni. Perempuan sebaik dia tak sepatutnya mendampingi seorang lelaki yang tidak tahu menghargai seperti awak tu.” Hussein yang baru saja muncul di muka pintu terus menyampuk.
“Encik Hussein?”
Erina nampak riak terkejut di wajah Nadzri. Hussein selamba mendekati Erina.
“Maaf abang lambat.” Menghulur tangan kepada Erina, mahu diri disalami. Tangan mengusap ubun-ubun Erina yang berbalut tudung.
Kalau tadi matanya terbeliak melihat kehadiran Nadzri kini giliran lelaki itu pula terbeliak mata melihat aksi mesra dia dengan Hussein. Hussein seorang usahawan yang sedang mencipta nama. Mengeluarkan pakaian di bawah jenamanya sendiri. Mungkin Nadzri antara model yang menggayakan produk keluaran syarikat Hussein.
“Erina you… you….”
“Itulah I nak cakap tadi Nadzri, you asyik buru-buru potong bicara I ni. Bagus juga you dah tahu. Biar you sedar. Jangan nak perasan sangat.”
“Sengaja saya temukan awak dengan bidadari saya ni. Sering saya perhatikan awak Nadzri. Awak terlalu obses dengan diri sendiri, bertukar-tukar wanita macam tukar pakaian, perempuan dicipta untuk dilindungi Nadzri. Bukan untuk disakiti. Saya nak tanya awak. Bahagiakah awak dengan kehidupan awak sekarang ni?” Hussein bertanya sambil pandang tepat ke wajah Nadzri. Lelaki itu kelihatan menunduk. Menggeleng seolah kesal dan malu.
“Sudahlah Nadzri, moga teguran dan pertemuan ini mendatangkan hikmah pada you. Jujur I katakan kehidupan I sangat bahagia sekarang ini. Hidup dengan lelaki yang amat penyayang dan memahami. Thanks to you. Kalau kita tidak berpisah tak adalah saya rasa nikmat berkasih sayang dengan halal bersama lelaki sebaik Hussein ni. Terima kasih abang.” Lingkarkan tangan pada tangan Hussein sambil pandang tepat pada wajah suaminya itu. Hadiahkan senyuman yang paling manis. Tak segan silu dia meluahkan isi hatinya.
“Maafkan I Erina.” Lemah nada Nadzri memohon.
“I dah lama maafkan.”