Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah membaja sayang....
“Hai
semenjak bila pula office kita ni
dah jadi kedai bunga ni Abby? Sana sini bunga saja saya nampak. Atas meja saya
ada bunga, atas meja papa ada bunga, atas meja dekat pantry ni pun
ada bunga, atas meja meeting pun ada
bunga juga, pendek kata semua meja yang terdapat dalam office ni semua
terhias dengan bungalah.” Rio Alami Raqly bertanya. Pelik melihat suasana yang
luar biasa di pejabat itu.
Hari ini
hari ke dua dia perasan yang pejabat ini penuh dengan bunga. Semalam dia
sudah perasan yang pejabat mereka
dipenuhi bunga tapi tidak sebanyak hari ini. Semalam dia diamkan saja sebab
sangkanya setiausaha papanya itu mahu menukar mood. Itu yang
diletakkan bunga segar sebagai hiasan di mejanya.
Rabiah
tersenyum lebar mendengar pertanyaan anak majikannya itu.
“Hai boss
you tak akan tak tahu? Tak dengar-dengar cerita?”
“Tahu apa?
Dengar cerita apanya Abby?”
“Tak
adalah… ada seorang kawan kita ni dah ada peminat. Hari-hari peminatnya kirim
bunga pada dia. Dia tak tahu nak buat apa dengan bunga tu. Jadi dia bagilah
pada I ni, lagipun sayang tau kalau dibuang begitu saja, jadi I ambil keputusan
untuk agihkan pada setiap sudut office ni.
Nampaklah segar sikit.”
“Kawan
kita? Siapa?”
“Siapa
lagi kalau bukan si Leila Suria tu boss oii! Eeeiii untungnya dia ada peminat
macam tu. Jelous I tau.” Sungguh, terbit sedikit rasa
iri hati dia kepada gadis itu. Dia yang hidup dikelilingi lelaki pun belum
pernah dikirimkan bunga setiap hari. Hailah… tuah orang.
“Hah Leila
Suria?” Sedikit terkejut.
Uikh
siapalah lelaki buta mata nakkan minah stone tu? Macam
tak percaya pula bila mendengar cerita Rabiah itu.
“Ha’ahlah
boss, kenapa? You tak percaya? Ke you cemburu? Eh you ada hati sekali ya dengan
si Leila tu?” Sengaja mengusik bos keciknya itu.
“Huh
mengarutlah you ni Abby. Apa you ingat taste I ni untuk
si Leila tu ke? Haisy bagi percuma pun belum tentu I mau tau. Dingin beku
mengalahkan ais saja bila dengan lelaki.”
“Alah boss, boss tak rapat
dengan dia beranilah boss cakap
macam tu. Dia tu oklah apa. Baik hati, selalu membantu I ni kalau I dalam kesempitan.”
“Eh
apa-apalah… Malaslah I mahu layan you Abby.”
“I tak
suruh pun you layan I ni boss oi.”
“Amboii
meriahnya dari luar lagi saya dah dengar suara kamu. Apa benda yang kalian
berdua bualkan ni Rio, Abby?” Rolland Fikry yang baru saja muncul di sebalik
pintu menegur perbualan mereka.
“Amboi smartnya papa
hari ini?” Rio Alami Raqly menegur kehairanan, sedikit pun tidak membalas
pertanyaan papanya itu.
“Err morning tuan,
semakin hari tuan ni semakin kacak bergayalah. Eh ada apa-apa ke ni?” Rabiah
turut menegur penampilan majikannya itu. Hurm bau parfumenya sebatu
sudah boleh dihidu.
“Wah Abby,
you puji-puji I ni, I tak ada duit keciklah nak bagi pada you.” Balasnya
bersahaja.
Lebih 30
tahun berada di bumi Malaysia, membuatkan lidahnya sudah lancar menuturkan
bahasa kebangsaan ini. Selalu orang akan memandangnya dengan pandangan yang
agak luar biasa terutama para pekerjanya bila pertama kali mereka bersua muka.
Teragak-agak ingin menggunakan Bahasa Melayu bila berbicara dengannya atau
bahasa lainnya bimbang dia tidak faham. Tengok saja pada raut wajahnya, mudah
saja untuk orang meneka yang dia bukannya orang tempatan.
“Haha tuan
ni, pandai buat lawak pula dia.” Rabiah ketawa besar mendengar gurauan
majikannya itu.
Rio
tersenyum sumbing. Cuba membaca makna di sebalik perubahan papanya itu. Papa ni
mesti ada apa-apa ni. Hisy tak boleh tidak, aku kena cari apa sebab yang papa
sudah berubah sangat ni. Tak akan sebab teguran pasal kedutan di wajahnya hari
tu sampai papa sanggup buat perubahan sedrastik ini?
“Hah Rio,
awal kamu hari ni? Biasa tu, selagi matahari tak tegak di atas kepala selagi
itulah batang hidung kamu tu susah nak nampak dekat office ni.”
Sindirnya sinis.
“Alah papa
ni, Rio datang lewat papa bising, ni Rio datang awal pun papa bising juga, ha
karang kalau Rio tak datang langsung baru papa tau.” Ujarnya bersulam nada tak
puas hati.
“Hah
cubalah kamu tak datang kalau kamu rasa nak nama kamu tu tiada dalam senarai
wasiat harta-harta papa ni nanti.”
“Uik papa,
apa ni sampai libat wasiat harta sekali. Bukannya Rio buat kesalahan besar pun
tau.”
“Ha tau
pun gentar hati tu ya?”
“Alah Rio
yakin papa tak akan sanggup buat Rio macam ni. Lagipun Rio ni satu-satunya
waris papa tau. Kalau harta tu tak jatuh pada Rio, pada siapa lagikan?”
Dia yakin
yang papanya itu hanya mengugut. Masakan harta yang menimbun begitu ingin
dibiarkan tanpa diwasiatkan kepadanya. Tak masuk akallah tu kalau papa sanggup
buat macam tu.
“Heh
yakinnya kamu ni Rio? Kamu pandang rendah pada papa ya? Yakin ke kamu tu
satu-satunya anak papa?”
“Eh apa
maksud papa? Masakan papa ada anak selain daripada Rio? Papa ada bini lain ke
selain daripada arwah mama?” Soalnya hairan. Selama ini papanya itu tak pernah
cerita pun kepada dirinya tentang adanya adik beradik yang lain.
“Buat masa
sekarang memang kamulah satu-satunya anak papa, tapi masa akan datang siapa
taukan? Papa ni masih mampu lagi tau kalau nak menambah anak.”
“Hah? Rio
tak fahamlah papa cakap apa ni?”
“Alahai boss, maksud
tuan tu boss mungkin akan dapat mak baru dan
dapat adik daripada mak baru tuan tu.” Rabiah yang sekian lama menjadi
pendengar setia pada perbualan dua beranak itu akhirnya menyampuk. Tak tahan
melihat kebengapan tuan keciknya itu.
“Hah? Bi…
biar betul papa?”
“Ya
mungkin betul Rio. Jadi baik kamu jaga kelakuan kamu tu ya. Jangan asyik nak
buat papa marah dan pening kepala saja.” Sempat memberi amaran kepada anak
bujangnya itu supaya mengubah kelakuannya itu.
“Baik papa…”
Balasnya lemah.
Aduh kalau
betul apa yang papa tu kata, habislah aku. Tak dapatlah aku berfoya-foya lagi
lepas ni. Tak boleh tidak, aku kena siasat siapa perempuan tu. Aku kena halang
perkahwinan papa, dengan apa cara sekali pun. Tekad hatinya.
Patutlah
penampilan papa mula berubah semenjak dua tiga menjak ni. Rupanya dia sedang
dilamun cinta. Dia mengeleng-gelengkan kepala. Rasa tak percaya dengan
perubahan papanya itu. Papa, papa makin berumur ni makin ligat pula perangai
dia.
“Sudah
yang kamu termenung tu kenapa Rio?” Tegur Rolland Fikry bila melihat anaknya
itu mula termenung melayan perasaan. Masakan anak itu terasa dengan
kata-katanya? Ah biarkan, hanya dengan cara ini saja akan membantu menyedarkan
anaknya itu yang sedang ‘lena’ dalam dunianya.
“Err tak
ada apa-apa papa.”
No comments:
Post a Comment