Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah membaja sayang....
“Kakak please, tolonglah
adik! Kali ini aje tau.”
“Adui
adik, masuk ni dah sepuluh kali adik minta tolong dengan kakak, ayatnya sama
juga, kali ini aje tau. Berapa banyak kali ini ha?” Dia mula rimas.
Rimas
dengan perangai si adik. Asyik menempel dengannya saja hari ini seharian
mengalahkan magnet. Melekat!
“Kakak,
adik janji ini yang last! Promise!” Siap
angkat tangannya lagi seperti orang mengangkat sumpah.
“Lily
Serina memanglah awak janji yang ini yang terakhir sebab permintaan awak kali
ni betul-betul diluar daya kakak tau tak? Tak akan awak nak minta banyak kali
ya tak? Kakak ni perempuan manalah boleh berkahwin lebih dari sekali kecuali
kalau kakak dah berstatus ‘J’lah ya.” Leila Suria membebel panjang.
Bertuah
punya adik. Ada satu adik pun betul-betul selalu buat aku ni macam tak cukup
satu otak nak berfikir tentang ada saja masalah yang dibawanya. Selalu buat
perangai di luar batas jangkaan akal aku ni.
“Kaka…kk…”
Panjang rengekan si adik. Terasa tangannya dielus lembut.
“Adik!”
Tangannya ditarik kuat. Rimas dengan perbuatan Lily Serina itu.
“Kakak
sanggup ke hampakan satu-satunya adik kakak yang wujud di dalam dunia ni?”
Wajah Lily Serina berubah suram laksana awan yang sedang berarak mendung sarat
dengan air hujan. Lirih nadanya.
“Sanggup!”
Jawabnya pantas.
“Kakak!
Huwaaaaa… sobs… sobs…” Lily Serina mula menangis.
“Ok, ok sorry… kakak
tak sanggup.” Leila Suria serba salah.
Hajat
kononnya nak keraskan hati dan perasaan. Menolak tanpa menimbangkan permintaan
adiknya itu namun bila melihat air mata yang mula bercucuran di wajah si adik
dia kalah. Serius dia tak sanggup dan tak sampai hati menghampakan permintaan
adik kesayangannya itu. Satu-satu adik yang dia ada dan satu-satunya adik yang
selalu buat dia sakit kepala dengan perangai yang bermacam ragam itu!
“Hah kalau kakak tak sanggup, kakak
kahwin ya?” Sekelipan wajah suram itu berubah bersinar macam bulan purnama.
“Hamboiii…
sedapnya ayat adik tu. Ingat kakak ni ramai sangat ke boyfriend macam
adik punya perangai tu? Sesedap saja suruh kakak kahwin on the
spot? Mana kakak nak cari abang ipar adik ni? Ingat nak cari
lelaki nak buat suami tu macam pilih ikan dekat Pasar Pagi Rabu tu ke? Adik tau
tak zaman sekarang ni susah nak cari lelaki yang boleh dipercayai? Lebih ramai
yang imperfect daripada perfect tau. Ada
tu muka kacak bergaya tapi bengkok nafsunya. Kahwin sepuluh tahun pun belum
tentu berzuriat. Ada tu kacak bergaya tapi papa kedana. Ada tu kacak bergaya
tapi playboy. Bersangkut girlfriend di
keliling pinggang sampai dekat leher pun nak disangkutkan sekali. Ada tu muka
buruk perangai pun buruk sekali. Kakak tak pernah terfikir tau nak berumah
tangga dalam masa yang terdekat ni. Belum tentu bahagianya kalau berumah tangga
ni lagi menambah masalah adalah. Permintaan adik ni betul-betul buat kakak
serba salah tau.”
“Habis
kakak sangguplah tengok adik jadi anak dara tua macam kakak tu? Huwaaa… ibu
kakak tak mau kahwin!” Ngongoiannya kembali bersambung.
“Hello
kakak belum masuk tahap anak dara tua lagi tau. Tahun depan baru nak masuk 30
tahun umur kakak ni ya. Adik tu tahun ni baru masuk 23 tahun yang dah gatal
sangat nak kahwin tu kenapa?” Dia bercekak pinggang menepis tempelak Lily
Serina itu. Zaman sekarang umur 29 tahun ni kira muda lagi apa.
“Mana
adalah adik gatal. Dah Zafri lamar adik, tak akan adik nak tolak pula? Lagi pun
adik dah cinta habis dengan Zafri tu.”
“Banyaklah
adik punya cinta habis. Eh macam apalah ayat adik ni. Habis teman-teman lelaki
adik yang lain tu apa cerita? Macam kakak tak tahu adik tu kejap dengan dia ni,
kejap dengan orang tu. Jangan esok kahwin tak sampai sebulan, lepas tu
masing-masing dah buat arah sendiri.”
Macamlah
dia tak tahu dengan perangai Lily Serina itu. Dikurniakan wajah yang lembut
dengan mata bundarnya membuatkan adiknya agak popular dalam kalangan lelaki,
dari zaman sekolah sehingga zaman menerjah ke alam perkerjaan. Adiknya itu
memang popular, mungkin sebab telatah Lily Serina yang sedikit agresif itu
membuatkan dirinya mudah mendapat perhatian daripada orang sekeliling. Berbeza
dengan dirinya yang sukakan kehidupan yang teratur dan tidak terlalu agresif.
Dia juga agak tidak betah untuk bergaul mesra dengan lelaki, lagi-lagi kalau
lelaki itu lelaki yang tidak dikenali. Berbanding Lily Serina mudah melempar
senyuman mesra walaupun lelaki itu dia baru pertama kali bersua muka. Adik… adik…
ikut perangai siapalah gediknya ni. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Kakak
kenapa diam?”
“Kakak
peninglah dengan perangai adik ni.”
“Alah adik
tak pernah pening pun dengan perangai adik ni sendiri.”
“Eh pandai
pula menjawab ni ya? Adik nak kakak tolong ke tak?” Dia menjeling geram. Memang
begitulah selalunya. Sepatah dia cakap, berpatah-patahlah adiknya membalas. Ada
saja jawapannya walaupun kadang kala jawapan adiknya itu macam ala-ala
kebudak-budakkan.
“Mestilah
nak!” Laju Lily Serina menjawab.
“Bagi akak
fikir dululah ya… setahun dua.”
“Kakak!!!”
“Yalah
betul apa, setahun dua tempoh masa tu kakak rasa cukuplah kut kalau kakak nak
cari abang ipar yang sesuai untuk adik ni.”
“Mana
boleh macam tu. Nanti Zafri tinggalkan adik tau.” Nampak terkuncam wajahnya.
Bimbang benar dia akan ugutan Zafri itu menjadi kenyataan.
“Adik,
kalau lelaki tu betul-betul ikhlas nakkan adik, mesti berapa tahun pun masa
yang adik ambil dia akan setuju dan sanggup tunggu.”
“Kakak,
dia memang betul ikhlaslah nakkan adik ni. Kalau tak masakan dia sanggup lamar
adik ni. Adik yakin dengan dia. Perasaannya tu hanya untuk adik tau. Dia memang
tercipta untuk hidup dengan adik ni.”
“Adik,
kakak bukan apa, kakak tak sanggup nak risikokan hidup kakak ni demi
kebahagiaan adik yang belum tentunya terjamin. Kakak tak mahu nanti apa yang
kakak buat jadi sia-sia belaka. Adik tahukan kakak cuma ada seorang adik, dan
orangnya adalah awak Lily Serina. Kakak sanggup korbankan apa saja dalam hidup
kakak hatta kalau adik minta nyawa pun tak apa kakak sanggup bagi, asalkan
berbaloi pengorbanan kakak ni. Kakak tak minta banyak. Kakak cuma nak tengok
adik hidup bahagia saja di dunia ni.”
“Kakak ni,
apa cakap gitu. Adik nak bahagia tu yang adik minta bantuan kakak, sebab adik
tahu kebahagiaan adik terletak pada bantuan kakak tu.”
Semua ni
gara-gara ibu dan ayahnya. Meletakkan syarat yang wajib dipatuhi kalau ingin
berumah tangga. Mahu melihat kakaknya dahulu, mahu ikut urutan. Tak mahu
mendahulukan yang akhir. Itulah alasan ibu ayahnya. Kolot! Kan dah susahkan
kakak dan dirinya. Dia mendesis sendiri di dalam hati. Geram! Tapi kalau tak
buat begitu agaknya sampai menutup mata pun belum tentu kedua ibu ayahnya akan
dapat melihat kakaknya berumah tangga bila melihat gaya kakaknya yang terlalu
komited dengan kerjanya sahaja. Ada bagus juga syarat Encik Muhammad Salleh dan
Puan Lydia ni.
“Susah
kakak nak kata apa dik. Bagi kakak fikir seminggu dua ni. Cakap dengan Zafri
suruh dia bersabar sikit ya kalau betul dia nakkan adik. Kalau tak boleh
bersabar suruh dia blah. Adik pun
ada ramai boyfriendkan?” Angin tidak ribut tidak,
tiba-tiba adik bawa balik perkhabaran yang dia ingin menamatkan zaman
bujangnya. Betullah adik ni. Sakit kepala aku dibuatnya. Omel hatinya.
“Adik mana
ada boyfriend lagi dah selain Zafri tu. Adik dah
belajar setia dengan dia tau.”
“Wau really?” Sedikit
tak percaya. Huiii hebat sungguh ke si Zafri ni sampai playgirl macam
adik ni boleh letak jawatan. Ni memang dah betul-betul cinta dah adik ni. Dia
bermonolog sendiri.
“Betullah…
apa kakak ingat adik tipu ke?”
“Kakak tak
cakap pun adik tipu.”
Dia
mengurut-urut dahinya. Terasa sengal kepalanya. Serabut sungguh dengan
permintaan Lily Serina itu. Fikirnya perasaannya akan bertambah tenang bila
dapat merehatkan diri bersama keluarganya. Kononnya dia kembali ke sini untuk
melupakan kerimasan perasaan yang melanda dirinya semenjak dua menjak ni. Tapi
lain pula jadinya. Bertambah serabut adalah. Sudahlah di pejabat dengan masalah
pengirim misteri itu. Ini dekat rumah ditambah pula dengan hal Lily Serina yang
kononnya nak berumah tangga tapi tak berjaya kerana dibatasi syarat kedua ibu
ayahnya. Aduilah… kenapalah ibu dan ayah letak syarat macam ni dekat adik? Apa
mereka takut aku ni terlupa nak berumah tangga ke kalau tak dipaksa dengan cara
yang begini? Soal hatinya tak puas.
“Kakak
tolong adik ya?”
“Kakak tak
janji.” Siapalah lelaki yang aku boleh buat untuk dijadikan abang ipar adik ni?
Sudahlah aku ni tak ada langsung kawan lelaki yang rapat. Tak akan nak di ajak
si ‘R’ tu pula kut untuk berumah tangga? Lagilah mustahil dan tak mungkin.
Siapa sebenarnya si ‘R’ tu pun belum aku tahu.
“Kakak
mesti juga demi adik.”
“Kakak
cuba…” Tak berani untuk berjanji, dia tahu permintaan Lily Serina itu
betul-betul meletakkan dirinya di dalam persimpangan dilema… Wah dah macam
tajuk lagu pula bunyinya.
No comments:
Post a Comment