iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Friday, September 28, 2012

Novel : Tiga Bulan [16]

Dalam benci ada rindu yang mengisi,
Dalam marah ada sayang yang mula bercambah.


Nuriz membuka mata perlahan-lahan, kepala terasa memberat dengan kesakitan yang teramat sangat. Tak pernah-pernah dia merasai kesakitan seperti ini. Dia mengeluh, mengerang perlahan tanpa sedar. Tanganya meraba ke dahi. Terasa kesat. Eh aku ni kenapa? Dia mula hairan. Pelik bin ajaib sungguh, rasanya tadi aku pergi ke bilik air tapi kenapa... sekarang aku berada di sini pula? Atas katil pula tu, ke... aku hanya sedang bermimpi dan bangun ke bilik air sedangkan hakikatnya aku hanya berbaring lena di sini?

Tapi.... kenapa dahi aku bertampal? Isk.. a..auwww!!! Dia terjerit kecil dek sentuhan tangannya sendiri. Awat sakit bebenor ni? Aku jatuh ke? Terhantuk dekat mana pula tadi? Tapi bila? Eiie kenapa otak aku ni macam tak mampu nak mencerna apa-apa? Langsung kosong tak ingat apa-apa.

Eh... kejap-kejap... rasanya belum pernah aku pakai pakaian tidur ni. Ini gaun tidur yang dihadiahkan oleh Mirna.. Konon kata kawannya itu teringin melihat dirinya menjadi sedikit keperempuanan, tapi bila masanya aku sarungkan ke tubuh aku ni?? Kenapa aku tak ingat langsung??? Arghh apa yang terjadi pada aku ni? Ke aku yang sarungkan sendiri? Tidur then bangun mengigau tukar pakaian?? Hurm... agak logik juga di situ. Dia mula membuat kesimpulan untuk menyedapkan hatinya sendiri. Malas nak memberatkan kepala otaknya yang memang telah sedia sakit untuk terus berfikir perkara yang dia sendiri tak mampu nak fikirkan itu. Karang bertambah sakit pula.. nanti siapa yang susah?? Aku dan diri aku juga.

Jam yang tergantung di dinding dikerling sekali lalu. Hurm baru pukul 8 pagi... Bisik hatinya. Hah 8 pagi!!! Eh alamaknya aku kena kerja hari ni. Bingkas dia bangun, rasa sakit kepala yang berdenyut tadi terus hilang terbang melayang entah ke mana. Dia mula kelam kabut. Dalam kalut-kalut itu entah macam mana kakinya tersepak bantal yang bertaburan di atas katil. Hampir tersungkur dia namun nasib baik dia berjaya mengimbangkan badannya. Huh bersepahnya bilik ni macam kapal karam. Mesti si Wan Nazariel tu bising nanti.. Ah lantaklah balik nanti aku kemaslah. Siapa suruh dia tak kejutkan aku? Dasar pentingkan diri punya spesis.. Nanti kalau aku lewat tau pula kau membebel, pot pet pot pet.. bla... bla... macam burung murai tercabut ekor.. Huh benci aku.

Tak sampai 10 minit dia berada dalam bilik air dia dah keluar kembali. Huhu apalah nasib aku ni, dengan baju yang tak sempat bergosok lagi.. Ah lantaklah.. tibai sajalah pakai apa-apa pun, dia menyelongkar beg pakaiannya. Sehelai seluar jeans dan t-shirt lengan panjang dikeluarkan. Nasiblah.. aku dah lambat ni. Ini kira dalam daruratlah aku ni. Kalau dah dalam darurat maksudnya mestilah dimaafkan.

Nuriz menilik wajahnya ala kadar di hadapan cermin. Beg galasnya terus dicapai, badan masih lagi terasa seram sejuknya. Demam masih lagi terasa bersisa tapi dia tetap cuba gagahkan dirinya. Huh kalau aku cuti lama-lama nanti, gaji kena potong pula. Kalau macam tu gayanya sampai habis tiga bulan pun belum tentu aku mampu membayar hutang aku dengan mamat tu. Teringat tiba-tiba pada perjanjian yang telah dimeterai beberapa minggu yang lalu.

Isk mana pula kunci skuter aku ni? Dia tercari-cari.

Rasanya hari tu aku letak atas meja ni, ke aku yang salah ingat? Letak di tempat lain, tapi cari dekat tempat lain... Matanya melilau ke segenap ruang penjuru bilik itu.

Hisy waktu nak cepat macam ni mesti ada saja benda yang nak berlaku.. Melambatkan masa aku je. Dia mengomel sendirian.

Adoi.. apa ni!! Dia terloncat-loncat, ibu jarinya terasa sakit, tersepak sesuatu yang berbonjol yang tersembunyi di bawah permaidani.

Apa ke benda pula ni? Tangannya menyelak permaidani yang terhampar di atas lantai itu. Eh.. kunci skuter akulah. Hatinya berbisik girang. Bagus-bagus, tak sia-sia kaki aku sakit tadi. Dia tersenyum lebar melihat benda yang dicari sudah pun ditemui.

Kunci skuter kesayangannya itu dilambung-lambungnya. Sementara sebelah tangannya lagi pula dipanjangkan untuk memulas tombol pintu biliknya, namun belum sempat pintu itu dibuka olehnya pintu itu telah dibuka daripada arah luar dan Nuriz langsung tak dapat menghentikan langkahnya.... terus...

Bukkk...!

            “Aduh!!” Dia terjerit kecil, kesakitan. Mana taknya dahinya telah terhantuk pada dagu Wan Nazariel.

Kerasnya dagu dia, isk batu ke apa... Nuriz merungut perlahan.

“Uikk awal kau bangun. Nak pergi mana pula ni?” Soal Wan Nazariel hairan sambil merenung ke arah Nuriz yang sedang menekapkan tangannya ke dahinya sendiri.

Isk rasanya macam dah berdarah balik ni, bisik hatinya.

“Awal apanya tuan oi.. Tengok jam tu dah pukul berapa? Kan dah pukul 8 lebih dah.” Dia menjuihkan bibirnya ke arah jam yang tergantung di dinding di dalam bilik itu. Aaa... errr kenapa dari tadi jam 8 tak bergerak-gerak? Alamak jam tu mati ke? Eh kenapa aku tak perasan dari tadi??

Mamai ke apa minah ni? Ke... buang tebiat.. kena serang dek demam terus jadi tak betul.

“Huh meh sini kau.” Lelaki itu menarik tangannya agar menghampirinya dan dengan selamba lelaki itu menyentuh dahi Nuriz dengan belakang tangannya. Hurm panasnya dah kurang dah, tak macam yang semalam-semalamnya. Isk mengigau ke dia ni? Kalau tak silap aku tadi waktu dekat dalam bilik kerja tadi jam baru nak pukul 6 pagi. Dia yang tertidur beberapa jam di bilik kerjanya tadi dek keletihan kerana menyiapkan kerja-kerjanya.

“Oi kau ni dah terjaga ke atau masih tidur? Tidur dalam celik?” Lelaki itu menyoal dengan mimik muka berkerut-kerut.

Tu tak lain tak bukan mengata aku dalam hatilah tu. Bisik hati kecil Nuriz.

Nuriz diam... aduh, luka di dahi terasa berdenyut tiba-tiba. Mungkin kerana terhantuk seketika tadi. Huh keras sungguh dagu orang tua ni. Malu usah katalah. Tulah kau Riz lain kali tengok jam betul-betul. Dah lewat konon.. Ini dah terlebih awal pula adalah.

“Tepi sikit tangan kau tu... biar aku tengok luka tu.”

Nuriz hanya menuruti, mengikut saja arahan lelaki itu. Mengalihkan letak tangannya. Isy mamat ni, kut ya pun nak tengok-tengokkan, janganlah rapat sangat wajah kau tu ke muka aku. Sampai aku boleh terasa hembusan nafasanya. Malu aku oi. Rasa muka ni dah tukar warna dah ni. Mesti dah jadi warna merah. Dia cuba menjarakkan tubuhnya daripada lelaki itu.

“Isy cubalah duduk diam-diam sikit kau ni.” Tegur Wan Nazariel.

“Luka kau berdarah baliklah.” Beritahu lelaki itu.

“Hah berdarah?”

“Yalah.. tengok ni..”

“Err... tak.. tak.. na..” tak sempat menghalang lelaki itu telah mengunjukkan plaster yang ditakungi darah kepadanya.

Pandangan terasa berpinar-pinar tiba-tiba, dia memang takutkan darah sebenarnya dan tanpa dapat dikawal tangannya tiba-tiba menggenggam lengan sasa milik Wan Nazariel itu. Terasa sekelilingnya seperti berpusing-pusing.

“Lah pulak kau ni kenapa?” Soalnya kehairanan... Isk main wayang ke apa perempuan ni? Tadi elok saja.

“Err saya tak boleh tengok darahlah.”

“Hah?.. Ganas-ganas macam kau ni pun takutkan darah ke? Eh hari tu masa excident dengan aku kau tak pula nak pengsan, bukan kau cedera juga ke waktu tu?” Soal lelaki itu sambil memapahnya dirinya menuju ke arah sofa yang terdapat dalam bilik itu.

Isk banyak tanyalah dia ni...

“Duduk sini.. aku pergi ambil first aid kejap.”

******

            “Maria... boss mana? Lama dah rasanya I tak nampak muka dia dekat pejabat kita ni? Maklumlah I pun baru balik daripada outstation. Banyak benda nak bincang dengan dia tu.” Darius HR Manager di situ, berusia lewat 30-an tiba-tiba menjenggulkan kepalanya di pintu bilik Wan Nazariel. Maria yang sedah sibuk mengemaskan bilik yang sedikit berhabuk itu tersentak.. terkejut ditegur tiba-tiba.

“You ni kan Dar, kut ya pun ketuklah pintu di dulu, or bagi salam ke baru nak tanya I terkejut tau tak? Nasib baik I tak ada lemah jantung.” Maria membebel geram tidak berpuas hati dengan perbuatan lelaki itu.

“Hehe, sorry. I nak cepat tadi.. boss mana? Dari tadi I tak nampak muka dia.”

“Boss cuti hari ni, tak taulah kenapa. Dia tak cakap apa-apa pula... Eh you ada apa hal cari dia?”

“Hah cuti? Dia tak sihat ke apa? I dahlah ada hal sikit nak bincang dengan dia ni.”

“Entah, suara dia waktu call tadi macam suara orang sihat saja.. alah adalah tu yang dia nak selesaikan tu.. you ada apa-apa mesej ke nak I sampaikan pada dia?”

“Tak apalah Maria.. bukannya penting mana pun. Hurm budak dispatch tu mana? I ada surat penting nak suruh dia hantarkan ni.”

“Budak tu pun cuti jugalah Dar.. dah dua hari dah.”

“Hah cuti juga? Isk berjanji ke apa mereka berdua ni? Seorang mc, seorang pula cuti.” Darius menggumam perlahan... tapi dapat didengar juga oleh Maria.

“Eh mengarutlah you ni Dar, kebetulan je kot.. si Nuriz tu demam katanya, dan boss pulak ada hal peribadi.”

            “Boss cuti, dan Nuriz pun cuti sekali tak akan pula kebetulan pula cik Maria oi? Lepas tu selalu pula tu, kalau Nuriz tak datang mesti boss tak datang sekali, tak akan kebetulan berkali-kali pula? Kalau sekali tu mungkin betul juga kebetulannya. Orang tak cukup umur pun boleh fikir hal macam ni.” Dorina yang muncul entah dari mana terus menyampuk perbualan mereka berdua. Memang jenis suka pasang telinga dengar perbualan orang agaknya dia ni.

            “Mengarutlah you Dorynn.. Cuba jangan buruk sangka dengan mereka berdua tu.”

            “Manalah I ada buruk sangka cik Maria. I cakap benda yang betul. Orang yang tak pandai atau dengan bahasa kasarnya orang yang bodoh saja yang tak boleh agak yang mereka tu ada apa-apa. Tak akan pula kebetulan.”

“Entah-entah mereka merancang. Eh budak tu sendiri ke beri tahu you yang dia cuti?”

“Taklah.. Encik Zariel yang call I kata si Nuriz tu cuti. Tak sihat.. I pun malas nak tanya panjang-panjang, karang I banyak tanya nanti dikatanya I ni ‘busy body’ pula.” Sengaja dikuatkan perkataan ‘busy body’ itu menyindir Dorina, tapi nampaknya tidak sedikit pun sindiran sinisnya itu memberikan kesan. Gadis itu tetap dengan muka biasanya. Ah orang macam dia ni manalah perasan dengan bahasa kiasan ni. Dia nak kena guna bahasa straight to the point barulah tersentak sedar.

“Hah... see... kan I dah kata dah.” Darius menjerit kecil secara tiba-tiba.

“Oii Dar.. you jangan nak bergosip boleh tak?” Huh lelaki sekarang ni memang pandai buat gosip. Entah apa-apalah dia ni, taulah awak tu memang lembut sikit gayanya. Janganlah kepoh sangat mengalahkan perempuan.

“Mengarut apanya Mar oi? Cuba you fikir logik sikit, kalau mereka tak ada apa-apa, masakan boss dengan budak tu, siapa namanya? Ha si Nuriz tu cuti serentak, lepas tu bukan dia yang cakapkan sendiri pula tu. Betul juga kata si Dorynn ni kan, tak akan pula kebetulan yang berlaku berkali-kali.”

“Ya tak ya juga ek..” Masuk juga ke dalam otaknya apa yang dikatakan oleh Darius itu.

Dia akui yang Wan Nazariel tu pun gayanya macam suka sangat dengan si Nuriz tu, suka yang macam mana dia sendiri tak pasti tapi lelaki itu memang suka Nuriz ada di depan matanya. Pantang budak tu hilang dari pandangan matanya mesti..

“Maria, Nuriz mana?”

Lepas tu...

“Maria suruh Nuriz masuk bilik I..”

Atau...

            “Nuriz.. pergi buat itu, siapkan ini, susun itu.”

Huh segalanya Nurizlah... sampaikan Maria rasa yang syarikat mereka macam dah kepupusan staff.

“Hah yang you menggelengkan kepala kenapa Maria?”

“Tak adalah Dar... cuma... ah tak ada apa-apalah. Dah pergi masuk bilik you.. I nak siapkan kerja I ni. Ha Dorynn pergi balik ke tempat you, jangan sibuk pula nak bergosip. Syarikat bayar you untuk berkerja bukan untuk bergosip.”


Tuesday, September 18, 2012

Novel : Tiga Bulan [15]

Dalam benci ada rindu yang mengisi,
Dalam marah ada sayang yang mula bercambah.


“Tulah kamu, biarkan lagi isteri sendiri balik kerja dalam hujan. Suruh naik kereta sama-sama, macam-macam kamu beri alasan, kan dah demam budak tu.” Bebel Dato' Wan Nazri geram bercampur tak puas hati.
“Alah papa, yang dia pergi redah hujan tu kenapa? Takkan tak reti-reti nak tunggu hujan tu reda dulu ke baru balik. Isk... dah besar panjang itu pun takkan dia tak boleh fikir.”
“A'ah senanglah kamu jawab ya? Kamu tu macamlah papa tak tahu, nanti kalau dia balik lambat kamu yang marah, kamukan suka cari silap dia tu.”
“Mana ada,  papa ni...” Dia menggerutu geram dituduh begitu kononnya tapi yang sebenarnya memang ada benarnya. Eh apalah ayat aku ni.
“Apa pulak, tak mengaku kan? Tapi betullah kan?”
“Ni kamu dah bagi dia makan ubat belum? Tak nak bawa dia pergi klinik ke?” Soal Datin Jacinta prihatin, dia yang sedari tadi hanya mendengar perbualan dua beranak itu mula menyampuk.

            “Alah demam biasa, bukannya teruk mana pun. Tak perlulah nak bawa ke klinik, buat membazir duit saya saja nanti.”
Entah kenapa dia sedikit pun tak rasa ingin bersimpati. Huh baru berapa hari bernikah dah pandai menyusahkan aku. Perempuan memang leceh agaknya, yalah kena hujan sikit pun dah demam. Lemah antibodi betul, dia membebel dalam hati.
“Kamu ni, dia tu kan isteri kamu, tanggungjawab kamu. Apalah salahnya bawak dia pergi klinik, nanti kalau demam dia melarat lagi susah, yang kamu berkira sangat dengan dia tu kenapa? Dah jadi suami isteri ni, duit kamu tu duit dia juga. Duit dia, duit dialah..” Tak puas hati sungguh mendengar jawapan yang terluncur dari mulut anaknya itu.
“Lecehlah papa ni. Dia isteri saya, saya tak apa-apa pun tapi papa pula yang risau lebih-lebih nampaknya.”
“Memanglah kamu tak apa-apa, sebab kamu benci dia. Hari tu waktu suruh bernikah dengan dia pun, kamu nyaris nak bunuh dia. Hisy risau tau tak, anak orang tu..”
“Memanglah anak orang bang oi, takkanlah menantu kita tu anak kucing pulak.” Rasa nak tergelak pula mendengar apa yang dikatakan oleh suaminya. Hai dalam serius ada juga lawaknya suamiku ini.
“Susah-susah juga kita suruh jelah Pak Dawud bawak dia pergi klinik, saya sibuk ni, banyak kerja lagi yang tak siap.” Beralah, kalau dia bertegas takut nanti akhirnya dia akan bertekak dengan papanya itu.
“Amboi senangnya kamu ni. Isteri sendiri, suruh orang lain pula yang bawakan.”
“Bang... Susah-susah biar kita sajalah bawa si Nuriz tu. Nanti kalau dibiarkan takut bertambah teruk pula. Ini dah masuk hari yang kedua, tak kebah-kebah lagi demamnya.” Datin Jacinta memberi cadangan.
******

            Berat sungguh rasanya kepalanya kala ini. Sakit yang mencucuk-cucuk di segenap ruang kepala otaknya.. sehingga hendak membuka mata pun dia rasa teramat payah. Air mata mengalir perlahan di pipinya. Dia menangis tanpa suara dek kesakitan yang menekan teramat sangat. Dalam keadaan macam ni mesti terkenangkan Mirna. Dia percaya kalau dia bersama temannya itu, Mirna akan menjaga dia dengan sungguh-sungguh. Sentiasa di sisinya setiap kali dia membuka matanya, sentiasa bersusah payah masakkan bubur nasi untuknya.
Mir... Di mana kau. Aku perlukan kau.. Hatinya berbisik perlahan. Teringin menghubungi sahabatnya itu, tapi dia tak mampu. Dia tak larat untuk bergerak.
Di tempat asing begini, entahlah dia merasakan dirinya seolah tak wujud. Lelaki itu sedikit pun tak menjenguknya. Bukan dia inginkan simpati pun, tapi entahlah... Kalau ya pun bencikan aku kenapa tak lepaskan aku saja? Kenapa masih nak simpankan aku ni? Untuk apa? Supaya mudah untuk membuli aku? Menyeksa aku. Entah kenapa setiap kali dia teringatkan lelaki itu, perasaannya seolah dihiris-hiris dengan pisau belati tajam. Pedih dan perit.
Jari-jemarinya terketar-ketar memicit kepalanya sendiri, sehinggalah terasa ada tangan lain yang lembut mengalihkannya. Memainkan peranan memicitnya pula dan dalam kabur-kabur pandangannya dia lihat sesusuk tubuh wanita sedang duduk di birai katil.
Ah inikah rasanya sebuah sentuhan seorang ibu? Terlalu asing rasanya perasaan ini, syahdu.. sebak. Air mata mengalir semakin deras. Kenapalah ibu dan ayahku buang aku? Kalaulah ya, tak inginkan aku kenapa izinkan aku lahir ke dunia ini? Sungguh, kadang-kadang... dalam tak sedar, sering persoalan ini terlampias dalam benak fikirannya. Berlegar-legar mencari jawapan yang tak pasti.
“Riz... kamu sakit sangat ke?” Lembut Datin Jacinta bertanya. Risau pula melihat keadaan Nuriz kala ini, dengan kulit wajah yang memerah, dengan suhu badannya yang panas membahang.
Nuriz menggeleng lemah. Ah Datin Jacinta tak tau apa-apa. Fikirannya menerawang pula kepada Nini, kanak-kanak yang ditemui dalam hujan itu. Ah aku walaupun yatim piatu, nasibku tak seperti dia.
Rumah yang teramat usang, rasanya seolah tak layak di panggil rumah, dengan bumbungnya bocor sana sini... dan air mengalir masuk melimpahi lantai bila hari hujan.
“Kakak... Nini dah balik!” Teriak kanak-kanak itu kuat tika baru tiba di rumahnya itu.
Segala di luar jangkaannya. Apabila dia menyelak langsir usang yang menutupi pintu bilik yang terdapat di rumah itu, perasaan sebaknya membuak-buak di dalam dada. Apabila melihat seorang gadis, yang mungkin lingkungan usia sama dengannya, yang kudung ke dua kakinya, ralit melayan perasaan di atas sebuah kerusi roda yang juga separuh using dan gadis itu kurus kering, kelihatan sedikit tidak terurus.
Ya ALLAH, patutlah Nini seperti tak terurus juga, tak terjaga, rupanya tiada siapa yang boleh menjaganya menengokkan keadaannya....
“Kakak Riz ini kakak Nini.” Riang kanak-kanak itu memberitahu lalu terus memeluk tubuh kakaknya.
“Kakak Nini dulu cantik. Kakak Nini dulu pandai, tapi lepas kena langgar... kakak terus jadi macam ni. Jahat orang yang buat kakak jadi macam ni, Nini benci orang tu, kalau Nini jumpa dia Nini langgar dia balik, biar dia jadi macam kakak.” Lancar Nini bercerita. Ada nada geram terselit disebalik kata-katanya itu.
Ah... itu rupanya yang sebenarnya telah berlaku dalam hidup mereka, tapi kenapa tak ada siapa-siapa yang mahu membantu mereka? Takkan nak tunggu kisah mereka ni terpampang didada akhbar dan tersiar di tv, barulah yang berkenaan terhegeh-hegeh datang menghulur bantuan? Ah tapi memang selalunya begitu kan. Tak sangka, sukarnya hidup aku ni ada lagi yang lebih sukar. Insaf rasanya.
“Nini... kakak balik dulu, nanti ada masa kakak datang lagi ya? Ini ada duit sikit nanti Nini guna buat beli makanan untuk kakak dan Nini ya.”
Sekeping duit not lima puluh ringgit di sisipkan pada tangan kecil itu. Itu saja yang dia ada waktu itu dan itu saja yang termampu diberikannya. Ikutkan hati dia memang ingin berlama lagi di sini, belum puas hatinya untuk mengetahui kisah hidup anak itu, tapi.... dia tak boleh. Dia takut dengan kemarahan Wan Nazariel pula kepadanya nanti dek kelewatan pulangnya.
Hatinya berazam, dia akan cuba membantu Nini dan kakaknya selagi dia termampu. Dia akan berusaha sedaya mungkin.
“Nuriz... kita pergi klinik ya?”
Teguran suara garau Dato' Wan Nazri mengembalikan dia ke alam nyata. Nuriz hanya menggeleng lemah, sungguh dia tak nak! Tak mahu.... takut... silap-silap doktor akan memberikan dia injection, dia lebih rela begini.
“Ok kalau tak mahu pergi klinik, mama telefon doktor ya suruh dia datang tengok Nuriz ya?” Datin Jacinta mengusap lembut dahi Nuriz. Sungguh dia memang teringinkan zuriat, tapi sayang rezekinya tiada, cuba menumpahkan kasih kepada Wan Nazariel tapi nampak gayanya anak itu tidak menyenanginya. Dingin saja dengan dirinya.
Kenapalah mereka ni tak faham? Dah aku tak nak kenapa masih lagi nak paksa. Ini nak panggil doktor pulak. Tolonglah siapa-siapa jelaskan pada mereka, dia membentak tapi hanya mampu didalam hati saja.
Melihat Nuriz hanya diam membisu. Dato' Wan Nazri mengambil keputusan menyetujui cadangan isterinya itu.
“Kita call sajalah Doktor Muiz, suruh dia tengokkan keadaan Nuriz tu.”
******

            Dia mengurut-ngurut perlahan pelipis matanya. Mata sudah terasa pedih, mengadap skrin laptopnya sedari tadi. Beberapa keping kertas putih bersaiz A4 berselerakan di atas lantai bilik kerjanya itu. Sesekali dia menguap, menahan kantuk yang mula bertandang.
Dia bangun, ingin membuat segelas nescafe panas, langkahnya terhenti ketika melalui biliknya, yang menempatkan Nuriz.
Eh tak tidur lagi ke minah ni? Telinganya menangkap bunyi air paip yang mengalir deras. Dia mengangkat bahu. Ah lantaklah bukan urusanku buat apa nak ambil tahu. Dia meneruskan langkahnya.
Dia berdiri bersandar pada sinki yang terdapat di ruang dapur sambil menanti air yang dipanaskannya sedia terpanas. Hairan.. tak keluar lagi ke dia dari bilik air? Tapi kenapa macam tak ada bunyi pergerakannya langsung. Ini yang aku mula musykil ni.
Usai membancuh air nescafenya. Dia terus menuju ke tingkat atas... Tak mahu berlengah, dia ingin menyiapkan kerjanya malam ni juga. Namun langkahnya terhenti di hadapan pintu biliknya sendiri. Entah kenapa hatinya tergerak untuk memulas tombol pintu biliknya. Melihat apa yang sebenarnya terjadi..
Kosong.... bilik itu kosong.
Matanya memandang ke arah pintu bilik air yang sedikit renggang. Perlahan-lahan melangkah mendekati bilik air itu.
“Nuriz!”

            Tak ada jawapan. Panggilannya tak berbalas.
“Oit kau ok tak kat dalam tu?”
Tetap sepi tiada balasan..
“Oi pekak ke? Aku tanya ni.. kenapa diam? Tak ada mulut ke nak jawab?”
“OK-Ok.. kalau kau tak nak jawab aku masuk ya. Aku masuk sekarang!” Ugutnya.. tapi tetap seperti tadi hanya diam tanpa sebarang jawapan
“OK aku masuk ni? Kali ini aku tak main-main tau... Aku masuk ni!” Dia menolak perlahan pintu bilik air. Kelihatan air paip sudah mula melimpah memenuhi lantai.
Matanya terbeliak melihat tubuh Nuriz terbaring lesu dengan pakaian yang sudah mula membasah. Pantas dia menerpa mendapatkan gadis itu. Tubuh itu di pangkunya, ada darah yang mengalir di dahi Nuriz, mungkin kerana terhantuk di dinding, sinki atau pun tab mandian. Dia nilahkan. Dah tahu tak berapa nak sihat lagi mau bergerak-gerak ke sana sini, menyusahkanlah. Sempat lagi hatinya membebel.
Tubuh itu dicempungnya. Ini karang aku juga yang kena marah lagilah nampaknya. Wan Nazariel menelan air liur. Bergegar juga imannya melihat bayang susuk tubuh Nuriz yang kelihatan di sebalik baju t-shirt putihnya yang membasah itu.
“Riz...” Dia menampar perlahan wajah itu namun tiada tindak balas langsung.
Apa aku nak buat ni?? Dia mula buntu setelah beberapa usahanya langsung tak berhasil.
Ah... nak tak nak kena juga call balik Doktor Muiz. Hanya itu saja jalan yang terlintas di fikirannya..

            Kenapalah kau ni macam-macam hal? Aku dahlah banyak kerja. Kau boleh pulak pengsan. Hisy wajah pucat Nuriz yang masih tak sedarkan diri itu diperhatikan. Nasib baik masih ada lagi sisa kesabaran dalam diri ini.... kalau tak, tak taulah aku.
Wan Nazariel melangkah menuju ke arah sebuah beg pakaian milik Nuriz yang terletak di satu sudut bilik itu. Masih tak berkemas lagi semenjak gadis itu melangkah masuk ke situ untuk berkongsi bilik dengannya. Sebabnya satu... Dia tak mahu berkongsi almari dengan Nuriz. Zip beg itu dibuka laju dan dia menggeledah isi beg itu. Akhirnya sehelai pakaian kering dicapainya. Kira baik juga aku tolong kau tukar pakaian. Jangan kau tuduh aku ambil kesempatan sudahlah ya? Aku pun kalau boleh tak ingin nak buat macam ni, tapi hati aku ni kesian pula dekat kau.
 
*** Assalamualaikum sahabat pembaca yang setia. Maafkan saya sebab agak lama menyepi tanpa sebarang entry yang baru. ***