Dalam benci,
Ada rindu yang mengisi...
Dalam marah,
Ada sayang yang mula bercambah...
Dia menggerak-gerakkan jari
jemarinya perlahan-lahan. Terasa kebas dan kejang. Matanya yang terpejam rapat
itu dicelikkan perlahan-lahan dengan penuh sukar. Kelopak matanya terasa seolah
terlalu memberat dan seperti menjadi beban dan memerlukan tenaga yang banyak
untuk dibuka. Di mana aku ni? Hati menyoal pelik. Bila sedar yang dirinya
sedang terbaring kejang di dalam sebuah kamar yang luas lebarnya. Ini bilik
akukah? Siapa aku? Kenapa aku ada di sini pula? Masakan aku baru bangun dari
tidur? Kalau bukan tidur sebelum ini mana mungkin aku boleh berada di sini?
Dalam sebuah bilik tidur mewah dan serba lengkap ini pula tu.
Pintu yang tertutup rapat tiba-tiba
dibuka dari arah luar. Terbuntang mata si wanita berpakaian serba putih itu
bila melihat dirinya.
PRANG!!!
Tray yang berada di tangan si wanita itu
terlepas jatuh. Berterabur segala isinya ke lantai.
Kenapa pula dengan wanita itu? Buruk
benarkah wajahku sampai begitu sekali reaksinya bila melihat aku? Dia
tertanya-tanya.
Perlahan-lahan dia cuba gerakkan
tubuhnya. Mencuba untuk bangun.
Urghhh…Sudahnya dia mengeluh hampa.
Tubuhnya terasa terlalu lemah, kebas dan kejang. Kenapa dengan aku ni
sebenarnya? Berbagai persoalan mula menggasak mindanya namun dia tak mampu
menjawabnya kerana dia sendiri tak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya
itu. Pelik! Fikirannya seolah kosong. Langsung tak mampu mengingati barang satu
perkara pun tentang dirinya sendiri.
“Kenapa? Apa yang sudah berlaku?”
Seorang lelaki berwajah redup muncul secara tiba-tiba dan buru-buru melontar
tanya kepada si wanita.
“Err tak ada apa-apa. Saya terlepas
pegang. Terkejut. Err… encik dia dah sedar.” Jawab wanita itu sambil jari
telunjuknya menuding ke arah dirinya.
Mendengar kata si wanita itu. Lelaki
berwajah redup itu terus memusatkan pandangan ke arah dirinya. Sudahnya mata
mereka bertembung. Agak lama seolah menghantar bicara kepada dirinya namun sayang
dia langsung tak mengerti. Hanya pandangan kosongnya sahaja yang membalas
renungan tajam lelaki itu. Dia langsung tidak kenal siapa lelaki itu. Siapa
lelaki itu? Kenapa dia pandang aku sampai macam tu sekali? Dia hairan bercampur
pelik.
“Sa…yang akhirnya awak dah sedar.
Lama tau saya tunggu awak bangun dari tidur tu.” Ucap lelaki itu seraya meluru
ke arah dirinya dan menerkam tubuh lesunya. Memeluk tubuhnya erat sehingga dia
terasa sedikit lemas. Ingin meleraikan pelukan lelaki itu tapi dia tiada
berdaya. Akhirnya terpaksa merelakan. Akur dengan rasa berat hati.
Sayang? Kenapa dia panggil aku
sayang? Siapa dia sebenarnya? Apa hubungan dia dengan aku ni? Kehairanan bila
mendengar panggilan lelaki itu terhadap dirinya. Keliru bila melihat perbuatan
lelaki itu kepada dirinya. Terasa hangatnya pelukan lelaki itu. Hangat dan erat
sekali.
“Err… aw… awak ni siapa?” Dia
bertanya lurus.
“Sayang… mungkin awak sudah terlupa
yang saya ni tunang awak.” Jawab lelaki itu ringkas.
Hah dia tunanganku? Lelaki ini
tunanganku? Lelaki ini yang menjadi pilihan hatiku ssebelum ini? Biar betul aku
ni dah bertunang? Masakan aku begitu mencintai lelaki ini sebelum-sebelum ni?
Kenapa aku tak rasa apa-apa perasaan pun bila kami berbalas renungan sebentar
tadi? Musykil.
Eh siapa sebenarnya aku ya? Kenapa
aku jadi macam ni? Apa nama aku ni? Huh kenapa aku tak dapat ingat semua ni?
Dia menekan dahi dengan dua jarinya. Kepalanya terasa sesak dan berserabut.
Semakin dia paksa dirinya untuk mengingati semakin berdenyut-denyut sakit.
Berkerut-kerut dahinya.
“Sayang… sayang… sayannnggg are you ok?” Soal lelaki itu bila
melihat dirinya yang hanya sepi dipembaringannya. Ralit menguliti pelbagai
persoalan yang mula tumbuh melambak-lambak dalam benaknya.
Suara lelaki itu terasa semakin jauh
dari pendengarannya. Jauh dan menjauh. Tengelam timbul. Sayup-sayup dan
dunianya dirasakan menjadi semakin sepi. Pandangan menjadi kelam tiba-tiba. Dia
pengsan akhirnya. Keletihan dengan persoalan yang dia sendiri tak jumpa apa
jawapannya.
*** Sementara menunggu manuskripnya ini lepas dari penilaian penerbit, saya akan postkan separuh di sini untuk penilaian anda. Terima kasih Assalamualaikum ^^ ***
No comments:
Post a Comment