Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah membaja sayang....
Betul ke
tindakan aku beberapa hari lepas? Kenapa hari ini dia tak kirimkan bunga kepada
aku lagi? Adakah tindakan aku hari tu nampak sangat terdesak sehingga dia mula
takut dan akhirnya memadamkan niatnya untuk menawan hati aku?
Dia
melangut di mejanya. Duduk menopang dagu dengan mulutnya menggigit hujung
pensilnya. Berputar-putar matanya. Mencari sebab yang kukuh akan kenapa si
‘R’nya itu tiba-tiba menyepi. Huih masakan aku sudah mula rindu akan kehadiran
lelaki itu. Eh lelaki ke? Yalah tak akan perempuan pula kut. Tapi kalau benar dia
lelaki ‘sejati’ kenapa dia tiba-tiba dia menghilang selepas dapat nota kecil
dari aku tu. Masakan dia takut dengan keagresifan aku ni atau sebelum ni
kiriman-kiriman tu hanya sekadar untuk suka-suka. Sengaja untuk menduga
kekebalan perasaan aku ni kut.
Eh
yakinnya aku dia dapat nota tu. Yalah kalau tak dia ambil nota tu masakan pula
nota tu boleh hilang sendiri. Masakan terbang ditiup angin? Rasanya aku
lekatkan nota tu di atas meja.
R,
Saya lamar
awak jadi suami saya,
Kalau
benar awak dambakan saya,
Marilah
bersua muka,
Hantarkan
rombongan meminang ke rumah saya,
Buktikan
perasaan awak benar belaka.
Leila
Suria.
Memerah
wajahnya semerta. Eh betul ke aku tulis macam tu? Tak nampak macam aku terdesak
sangat ke? Dia mengaru-garukan dagunya. Aduh Leila Suria telah menjatuhkan
egonya untuk lelaki. Ini kalau si R tu ringan mulut bagi tahu orang lain,
habislah aku. Jatuhlah saham aku ni. Nampak sangat aku ni macam perempuan gatal
yang dambakan lelaki.
“Ni apa
yang kau fikirkan sampai merah-merah muka ni? Kau fikirkan hal yang biru-biru
ya?” Regina Ray tanpa sedikit pun dipelawa terus meletakkan punggung padatnya
pada hujung meja milik Leila Suria.
“Banyaklah
kau punya hal yang biru-biru. Mengarut sajalah.” Marahnya dengan tuduhan melulu
Regina Ray itu.
“Dah tu
lain macam saja aku tengok muka kau. Merah macam apa, nak kata aircond tak ada
dekat office ni, ada… ada dan elok saja
berfungsinya.”
“A…aku…”
“Hah ni
apa pasal pula kau tergagap-gagap beruang ni? Kau ada buat salah ke?” Selamba
menekan.
Uikh ada ke
perkataan tergagap-gagap beruang ni? Dia nikan suka hati dia saja nak mencipta
perumpamaan. Merosakkan bahasa saja.
“Gina… kau
nikan suka-suka sajalah. Aku mana ada buat salah pun, malah tak ada masa
langsung nak buat. Aku tengah serabut ni memikirkan masalah aku ni dah
mengalahkan memikirkan masalah negara dah ni tau.” Tegurnya kurang senang.
“Dah tu
apa lagi. Duduk sendiri seorangan lepas tu muka merah menyala eh bukan aku saja
yang akan fikir macam apa yang sedang aku fikirkan sekarang ni tau, aku rasa
orang lain pun akan fikir benda yang sama macam aku fikir ni tau. Betul tak
Abby?”
“Ha’ah.”
Sepatah saja jawapan daripada Rabiah. Kalut sangat nampaknya temannya itu di
mejanya. Entah kerja apa yang boss mereka
suruh dia buat entah.
“Aku busy ni,
jangan ganggu aku Gina. Kalau nak bergosip, bergosip sajalah korang berdua,
jangan nak libatkan aku eh. Melayan kau orang berdua nanti tak pasal-pasal aku
pula yang kena pecat dengan Tuan Rolland tu. Dahlah hari ini wajah dia lain
macam saja tak seperti selalu. Berkerut 24 jam seperti orang hilang isteri saja
gayanya walaupun aku tahu isteri dia sudah lama meninggal dunia, mana tau
hilang isteri gelap pula hari ini. Siapa tahukan.” Panjang lebar tanpa diminta
Rabiah membebel akan kesibukannya kala itu.
Leila
Suria dan Regina Ray berpandangan seraya mengangkat bahu.
“Ok kami
tak mahu ganggu kau Abby.” Ujar mereka serentak.
“Tuan
kecik tak masuk lagi ke?”
Soalan
yang menjurus kepada anak majikannya itu. Tidak nampak pula kelibat lelaki itu.
Waktu makan tengah hari di pantry pun dia
tak nampak kelibat lelaki itu. Biasanya ada saja lelaki itu muncul dan
menganggu tenangnya. Ada saja kelakuan lelaki itu yang menggugat kesabarannya.
“Entah aku
pun tak nampak dia dari tadi. Kenapa kau dah rindu dia ke?” Soal Regina Ray
menduga.
“Huh tak
ada daya eh aku nak rindu dia tu. Lagi aku suka dia tak ada, adalah. Aman sikit
hidup aku ni. Tak adalah asyik nak bertekak dengan mamat tak cukup umur tu.”
Kutuknya selamba.
“Tapi
sunyilah dia tak ada. Tak dapat tengok korang bergaduh. Rasa macam secocok pula
aku tengok kalian tu lagi-lagi bila tengok waktu tengah bergaduh macam
peribahasa Melayu tu cakap, bagai pinang dibelah dua. Ekekeke…” Dia tergelak
nakal, galak mengusik. Bukan dia tak tahu yang Leila Suria memang tak suka bila
digiatkan dengan tuan kecik mereka tu.
“Amboi
Gina, sudah-sudahlah. Jangan kau bagi aku konklusi mengarut tu ya.”
“Betul apa
Leila, jarang aku tengok kau boleh ‘ngam’ dengan lelaki ni.”
“Mengarut!”
Dia mencebik marah.
“Eh apa
pula mengarut Leila. Kau pernah dengar tak orang tua-tua pernah cakap?”
“Ni orang
tua mana pula cakap dengan kau ni Gina?” Ada-adalah amoi seorang ni.
“Lah
orang-orang tualah Leila. Bukan dia orang selalu cakap ke, kalau benci sekarang
nanti akan datang mesti jadi suka lor… Hihihi baik kau hati-hati dengan
perasaan kau sekarang ni Leila oi.” Sempat memberi peringatan.
“Sudahlah
Gina. Ubah topik boleh. Bosan aku dengan mamat tak cukup umur itu. Asyik sebut
nama dia saja, cubalah kau sebut nama orang lain macam Fahrin Ahmad ke, Nazim
ke Jang Geun Suk ke atau siapa-siapa yang popular tu barulah seronok sikit
telinga aku ni.”
“Eh
semenjak bila kau jadi miang ni Leila? Selalu tu setahu aku kau tak layan kalau
bergosip-gosip ni, ke sebab sekarang di dalam hati kau tu tengah tumbuh taman
yang sedang memekar? Cuba cerita sikit.”
“Mana
adalah aku miang. Aku gurau sajalah.”
“Orang tak
akan berubah kalau tak bersebab Cik Leila Suria oi. Selalu tu kau buat tak
layan saja kalau aku dengan si Abby buka cerita pasal lelaki. Betul tak Abby?”
“A’ah.”
Sempat lagi tu mencuri dengar perbualan mereka dalam keadaan sibuk dengan
segala tugasan di mejanya. Rabiah, Rabiah…
“Gina
persisir pantai lagikan berubah bila dipukul ombak inikan aku manusia biasa
yang sampai waktunya akan berubah juga segala yang rutinnya.” Ungkapnya
beralas.
“Yalah aku
tahu, tapi setiap perubahan tu selalunya pasti berserta dengan sebab Leila.”
Masih tak puas hati. Tak jemu untuk mengorek rahsia akan sebab perubahan
temannya yang kelihatan agak mendadak.
“Aku tak
rasa diri aku berubah apa-apa Gina. Masih aku yang dahulu juga ni.” Dia
mengangkat bahu.
“Hehehe
kau memanglah tak terasa apa-apa tapi kami yang melihatnya dapat mengesan
perubahan tu. Eh baru aku perasan yang hari ini pejabat kita agak suram dan tak
seceria seperti selalu. Kau tak dapat bunga ke hari ini? Tak akan kedai bunga
tu dah kehabisan bunga sampai tak ada sekuntum pun dapat dikirimkan pada kau?”
Baru dia perasan, kalau tak pasti setiap sudut ruang pejabat dihiasi dengan
bunga.
Leila
Suria hanya menggelengkan kepalanya sebagai jawapan kepada pertanyaan Regina
Ray itu.
“Oooo…
jadi aku sudah faham kenapa kau termenung sakan hari ni.” Panjang muncungnya
berserta riak nakal menghiasi wajahnya.
“Apa yang
kau faham Gina?” Sengaja menggiat.
“Kau
rindukan bunga dia eh? Mesti kau rasa kehilangankan? Sebab si ‘R’ kau tu tak
munculkan diri. Hah tengok tu…” Jari telunjuk ditudingkan ke arah tangannya.
“Apa?”
Laju dia cuba menyembunyikan tangannya.
“Tak
payahlah kau nak sorok-sorok Leila. Aku nampaklah kau dari tadi tangan tu tak
lepas-lepas membelek kad-kad pemberian si ‘R’ kau tu. Hahaha kau dah angau ya
Leila? Kau dah jatuh cinta dengan dia ya? Mesti kau dah terpikat dengan
bunga-bunga dan madah-madah kiriman dia kan?”
“ Gina,
memandailah kau.” Menafikan walaupun hakikatnya hampir 80% benar tapi yang part jatuh
cinta tu rasanya belum lagi tau.
“Aku tak
memandailah tapi muka kau tu dah ceritakan segalanya.” Yakin temannya itu
berkata.
Nafasnya
ditarik dalam kemudian dilepaskan berat.
“Aku… aku
hairanlah Gina.” Suram wajahnya.
“Hairankan
apa pula ni Leila.”
“Kau rasa
dia marahkan aku ke?”
“Siapa
pula yang nak marahkan kau?” Soalnya sedikit kurang mengerti.
“Si ‘R’
tulah…”
“Eh kenapa
pula tiba-tiba dia marahkan kau?”
“Aku
tinggalkan nota kepada dia, suruh dia lamar aku ni.” Jawabnya agak perlahan
antara dengar dengan tidak.
“Kau whattt? Hilang
akal ke apa kau ni Leila? Mesti dia tengah terkejut beruk baca nota kau tu.
Gelojohlah kau ni. Cuba lain kali fikir dulu sebelum buat.” Regina Ray menepuk
dahi, langsung bulat matanya yang sepet itu bila mendengar kata yang baru
meluncur keluar daripada mulut Leila Suria itu.
“Manalah
aku tahu nak jadi macam ni. Aku ingat dia betul-betul nakkan aku ni jadi
terpaksalah aku suruh dia masuk meminang sementalah keluarga aku dekat kampung
suruh aku cepat-cepat berkahwin dan aku tak ada calon lain melainkan dia
seorang saja yang aku ada setakat ini.” Dia berterus terang.
Keadaan
yang memaksa tau, bukannya aku sengaja suka-suka. Aku pun masih ada maruah diri
tau. Tak akan pula aku yang tersua-sua dah macam perigi cari timba sudahnya
tapi sekarang dah lebih kurang sama dah aku dengan perumpamaan tu dekat aku ni
di depan mata si ‘R’ tu.
“Aku rasa
dia terkejut dengan kegelojohan kau tu Leila, tu sebab dia fikir dua kali nak
kirim bunga dekat kau tu lagi.” Selamba Regina Ray memberi kesimpulannya. Ikut
suka hati dia saja.
“Apa aku
nak buat sekarang ni Gina?”
“Manalah
aku tahu. Buat bodoh jelah.”
“Banyaklah
kau punya buat bodoh, ibu aku dekat kampung suruh aku kahwin cepat dan bawa
balik calon aku sendiri sebelum aku diberi calon pilihan mereka. Kalau aku tak
kahwin sampai ke bilalah adik aku tu pun tak dapat nak berumah tangga dengan
pilihan hati dia. Silap hari bulan lelaki itu pun tinggalkan dia sebab tak
sanggup nak tunggu dia. Kesianlah dengan adik aku tu.”
Huwarghh
tak mahu aku kahwin dengan si Diraz tu. Silap-silap menu makan aku pun dia
masukkan lipas, ulat dan segala jenis serangga. Mahu aku gantung diri lepas ni.
Jeritnya kuat bergema di dalam hatinya. Astaghfirullahalazim apa fikir macam tu
Leila… mengarut sajalah kau ni.
Aku bukan
sengaja fikir macam ni, cuba bayangkan kalau apa yang aku fikirkan ni jadi
kenyataan macam mana? Siapa yang merana? Aku juga. Adik ni betullah. Tak
habis-habis dia menyalahkan Lily Serina dek masalah yang menyerabutkan
hari-harinya.
“Terima
sajalah calon pilihan keluarga tu kalau si ‘R’ kau tu tak muncul-muncul juga
dalam minggu ni. Susah apa, kalau kau rasa tak serasi dengan calon tu, sebulan
dua lepas kahwin kau mintalah cerai.”
“Amboi
Gina, yang nak berumah tangga tu aku, sedap saja kau bagi cadangan macam tu
dekat aku ya? Kau sukalah kalau aku ni bergelar Miss ‘J’?”
“Miss ‘J’?
Apa tu?” Blur sedikit kurang fahamlah.
“Jandalah leng lui… Cis!”
“Ahaha…
aku cuma cadangkan. Kalau kau tak nak ikut, kau kekalkan saja dengan lelaki tu
sampai kau tua dan beranak pinak. Kita hidup ni punya banyak pilihan apa. Bukan
semua jalan yang ada depan kita ni jalan mati ma... Pucuk pangkalnya hati kau
tulah. Mahu atau tak?”
“Aku tak
mahu! Mati hidup balik pun aku tak mahu.” Dia menggetapkan bibir. Traumanya
pada Diraz masih ada.
“Kalau
begitu kau tunggu sajalah jawapan daripada si ‘R’ kau tu sampai kau jadi expired!”
“Woi!”
Bulat matanya mendengar kata Regina Ray itu. Tak guna punya kawan, kita minta
pendapat daripada dia, tapi akhirnya dia mainkan kita pula. Bebelnya di dalam
hati.
“Hehehe
kau fikirlah apa yang aku cakapkan ni Leila. Fikirkan mana satu yang terbaik
untuk kau. Kalau si ‘R’ tu, kau pun belum tahu siapa sebenarnya dia. Kau juga
kata kalau boleh kau mahu hidup berumah tangga selamanya dengan dia bukan
separuh jalan saja. Kalau dengan pilihan keluarga kau, kau pun sudah kenal
siapa lelaki itu. Masakan perangai budak-budak dia yang dulu tu masih
terbawa-bawa sampai sekarang? Manusia ni dewasa dari pengalaman dan masa dan
aku dapat rasakan masa juga dah banyak mematangkan dia kut.”
“Aku takut
aku buat pilihan yang salah.” Luahnya perlahan bercampur bimbang.
“Kita
memang dilahirkan tak sempurna dan tak dapat lari dari salah. Aku rasa kalau
kau kata sebab kau takut salah pilih, kau silap Leila. Hidup kita ni masih
panjang dan kita sendiri tak tahu bila titik berhentinya, kalau hari ini kau
buat pilihan pertama yang salah tak semestinya untuk yang ke dua kalinya kau tetap
ulangi salah. Kita juga belajar daripada kesilapan.” Bahunya ditepuk lembut
seolah diberi semangat.
“Gina
kadang-kadang aku rasa kau lebih sesuai jadi pakar kaunseling daripada Admin Executive dekat office ni. Thanks Gina.
Untung aku ada kawan macam kau walaupun kadang-kadang senget-senget sikit
otaknya.”
“Amboi
lepas kau puji aku, kau kata aku pula. Bertuah punya kawan. Sudahlah malas aku
layan kau.” Wajahnya sengaja dimasamkan seraya dia berdiri.
“Eh tak
akan kau marah pula dengan aku ni.”
“Huh pernah
ke aku marahkan kau Leila? Sudahlah aku mahu sambung buat kerja.”
1 comment:
nak lagi...
Post a Comment