Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah membaja sayang...
Beg tangan
Coach pemberian Zafri itu dicampaknya kasar ke atas meja kaca yang terdapat di
ruang tamu rumah sewanya itu. Rumah sewa yang diduduki sementara sebelum dia
bernikah dan tinggal bersama dengan lelaki itu, rancangnya. Tubuhnya didudukkan
kasar pada sofa merah yang terdapat di situ.
Marah dan
sakit hatinya kepada lelaki itu masih bersisa. Sudahlah lambat datang dan
kerana kelambatan itulah jadual kerjanya lari. Janji dengan majikannya hanya
mahu cuti half day saja, tapi jadi satu hari pula.
Sudahnya habis bingit telinganya mendengar ‘kicauan’ majikannya itu di telefon
bimbitnya. Semuanya salah lelaki itu. Bila diusulkan kepada lelaki itu boleh
pula lelaki itu mencadangkan agar dia berhenti kerja.
“You tak
payah kerja. I mampu apa nak tanggung you.” Balas lelaki itu dengan riak
selamba tidak bersalahnya.
“Amboii
banyak lawa mulut you bercakap. Kita ni belum jadi suami isterilah. I bukan
tanggungjawab you lagi dan yang paling utama siapa akan tanggung keluarga I
kalau I berhenti? Tak akan nak harapkan kakak seorang pula. Kesianlah dia.
Harapkan pencen ayah berapalah sangat. Sudahlah kami berdua saja anak mereka.”
Panjang bebelannya siap sekali diserikan dengan jelingan tajam lagi membidas
lelaki itu.
Memang
begitulah kalau moodnya tak
berapa baik. Pantang tercuit sikit cepat sangat perasaannya berapi.
“I
cadangkan sajalah sayang. Janganlah marah.” Senyuman manis sengaja dihiaskan ke
wajahnya.
“You tu
memang. Selalu saja bergurau tak kena tempat.”
“Aik habis
tempat mana yang sesuai untuk kita bergurau Erin?” Buntang matanya.
“Sudahlah
Zaf, ni muka you lebam-lebam ni kenapa? Masakan you jaga bonda sampai
bengkak-bengkak begini? You ada bergaduh ke apa semalam?” Soalnya curiga.
“Apa ni
Erin, gaya you cakap macam you tak percayakan I pula.”
“Yalah…
Semalam you janji dengan I mahu rehat awal, tidur awal. Petang waktu kita jumpa
pun muka you tak adalah bengkak-bengkak begini. Ini dah macam samseng saja.
Segan pula I bila perasan orang asyik pandang you. Gaya macam I keluar date dengan
samseng ketua kongsi gelap pula.”
“Amboi
mulut you. I jatuhlah dekat bilik air.”
“Jatuh
bilik air? Haisy macam budak-budak pula you ni. Jalan pun tak betul.”
“Macam
mana I jadi tak betul. Kalau you asyik tak ada di sisi I saja. Kecik hati I tau
you kata I dah macam samseng.”
“Baguslah
you ada rasa kecik hati. I ni betul-betul sakit hati tau. Eh biar I call bonda
tanya keadaan dia.” Telefon bimbit dikeluarkan daripada beg tangannya. Apa kata
aku telefon auntie Wan Zubaidah tu, boleh juga tahu
lelaki ini bercakap benar atau tak.
“Jangannnnn!”
“Hah
kenapa pula Zaf? Tak akan berbual dengan bakal bonda mentua I pun tak boleh?”
Dia bertanya tidak puas hati.
“Eh boleh,
siapa kata tak boleh sayang tapi sekarang ni bonda perlu rehat. Doktor tak bagi
dia diganggu.” Laju dia memberi alasan. Bimbang juga rahsia dia malam tadi
terbongkar. Kalau terbongkar habis musnah segala rancangannya yang telah diatur
rapi sebaik-baik mungkin.
“Huh yalah
tu. Sudahlah malaslah nak layan you Zaf.”
Dia
membentak terus melangkah jauh.
“Alah
sayang tunggulah I .”
Belum
beberapa langkah dia dapat merasakan tangannya diraih dan dia ditarik, dibawa
masuk ke sebuah butik barangan wanita yang tertera perkataan COACH di Sunway
Piramid itu.
Huh
kenapalah lelaki ini selalu fikir nak pujuk wanita ni mudah. Manjakan mereka
dengan kemewahan. Kalau perempuan lain mungkin mereka sukalah tapi kalau aku…
hummm. Dia mendengus. Beg tangan yang dicampaknya tadi diambilnya kembali.
Dibelek-beleknya seketika. Hummm empat ribu ringgit harganya. Lelaki ini memang
tak sayangkan duit atau sengaja nak menunjuk dia banyak wang dengan aku ni?
Eh tak baik bersangka bukan-bukan Erin. Diakan
sayangkan kau tu sebab dia tak lokek nak berbelanja untuk kau. Beg tangan itu
diletakkan ke atas ribanya. Fikirannya mula menerawang pada seseorang.
Apa yang
agaknya yang kakak tengah buat sekarang ni? Tiba-tiba teringatkan Leila Suria.
Sudah lebih seminggu tidak mendengar khabar daripada kakaknya semenjak
peristiwa hari itu. Adakah kakak sedang giat berusaha demi memastikan keinginannya
untuk berumah tangga berjaya. Telefon bimbitnya dicapai, butang dail pantas
nombor 2 ditekan. Sesaat talian sudah bersambung.
“Kakak.”
Serunya bila dia mendengar talian diangkat.
“Hah adik
nak apa?”
“Uik!
Macam tak suka saja adik call kakak.”
Agak berjauh hati.
Biasanya
tu bukan main seronok lagi kalau aku telefon. Bukan main marah saja lagi kalau
aku main terjah bercakap dengannya tak bagi salam dengan dia. Ini hari lain
pula. Marah pun tak, tapi… suara macam orang keletihan saja bunyinya. Masakan
kakak baru habis kerja? Isk kakak ni kalau asyik kerja saja bila masanya dia
ada waktu keluar mencari bakal abang ipar aku? Bebel hatinya tak puas hati.
“Bukanlah…
kakak cuma letih. Baru balik ni tau, jumpa dengan bakal abang ipar adik tu.
Opss!” Terlepas cakap sudah.
“Apa
kakak? Abang ipar? Ehehe kakak dah jumpa calon ya? Ini yang buat adik sayang
lebih dengan kakak ni.” Berbunga ceria hatinya bila mendengar keterlanjuran
kata kakaknya itu.
Keterlanjuran
kata yang membahagiakan. Rasa sekarang juga dia mahu putuskan perbualan mereka
ni dan menelefon Meor Zafri untuk menyampaikan khabar gembira kepada lelaki
itu. Yes! Impian nak menjadi Mrs Zafri hampir
terlaksana. Hatinya menjerit girang.
“Huh
dengar macam tu terus cakap sayang ya dengan kakak?” Sebenarnya dia masih lagi sukar
menerima kenyataan yang lelaki itulah sebenarnya ‘R’nya. Macam tak percaya pun
ya juga.
Kalau
dibanding dia dan lelaki itu, jauh sangat bezanya. Macam langit dengan bumi
gitu. Tapi bila mendengar nada bersungguh yang keluar dari mulut lelaki itu, hatinya
menjadi lembut dan mula yakin perasaan lelaki itu kepadanya benar-benar tulus.
“Yalah
bukan senang nak dengar kakak cakap dah ada boyfriend ni.
Selalu tu adik saja yang asyik cerita pasal lelaki ni.”
“Dah adik
tu playgirl, memanglah asyik cerita pasal lelaki
saja.” Sempat disindirnya si adik.
“Eleh itu
dululah. Sekarang adik dah pencen dah. Setia dengan Zaf seorang saja dah.
Dialah bulan bintang adik, angin ribut petir adik, gula garam adik, pelengkap
hidup adik. Bak kata oranglah, cinta sejati adiklah kiranya ni.”
“Amboi
adik… belum lagi bersama beranilah cakap begitu. Jangan esok bila dah duduk
bersama dah berumah tangga bila sikap sebenar dah keluar adik menyesal tak
sudah. Waktu tu kakak dah tak boleh nak tolong apa dah.” Dia mula membebel menasihati
Lily Serina.
“Alah kak.
Adik yakinlah… Zaf tak akan macam orang lain. Adik percaya Zaf yang adik kenal
nilah yang adik akan jumpa bila adik dengan dia dah diijabkabulkan. Inilah
sikap sebenar Zaf. Adik yakin sangat adik akan bahagia kalau dapat hidup dengan
Zaf.”
“Adik
jangan terlalu yakin sangat. Sedangkan pantai lagikan berubah bila dipukul
ombak inikan lagi manusia yang perasaannya sentiasa goyah bila tidak dibekalkan
dengan iman yang tebal.”
“Kakak ni!
Macam tak suka pula dengan Zaf tu. Ada saja kakak nak buat bahan untuk tepis
pujian adik pada dia.” Ada nada rajuk yang kedengaran di mulut Lily Serina itu.
“Adik…
kakak ni bukan tak sukakan dia. Kakak cuma nak adik beringat. Jangan sebab adik
dah cintakan sangat dengan dia sampai adik butakan segala kepincangan dia.
Hidup berumah tangga ni bukan senang dik oi. Kalau senang dah lama kakak
terkinja-kinja nak kahwin tau. Hidup berumah tangga ni kena ada banyak sabar
bila diuji. Tak boleh nak mudah melenting. Kena lebih bertegas walaupun kita sayangkan
sangat pada suami kita ni. Kena ada sedikit perasaan curiga kepada pasangan
kita supaya kepercayaan kita tak dikhianati.”
“Amboi!
Gaya kakak ni bercakap macam kakak pernah berumah tangga pula dia. Dahlah ubah
topik. Adik call kakak ni bukannya sebab nak dengar
kakak bebelkan adik ni. Ha bila kakak nak bawa balik bakal abang ipar adik tu
dan tunjukkan pada ibu dan ayah?” Soalnya mengubah fokus bebelan si kakak.
“Tengok,
kakak cakap sikit saja adik dah kakak membebel. Kakak ni sayangkan adik. Tak
mahu adik salah buat keputusan. Hurmmm tengoklah seminggu dua nanti kakak bawa
dia jumpa ibu ayah kita. Tak tahulah ibu ayah boleh terima ke tak dia.” Risau
pula dia akan penerimaan Mak Lydia dan Pak Salleh terhadap lelaki itu.
“Kenapa
pula kakak cakap macam tu? Eh dia bukan lelaki baik-baik ya? Jangan-jangan
kakak upah dia kahwin dengan kakak ya?” Berserkap jarang membidik si kakak.
“Mana
adalah! Adik nilahkan. Ingat kakak ni banyak duit sangat ke sampai nak
upah-upah orang?”
“Manalah
adik tau, kakak tu kan gaji besar. Zaman sekarang ada duit semua jalan tau eh habis
tu? Kalau dia memang orang baik-baik apa yang kakak nak risaukan? Adik yakinlah
ibu dengan ayah tak akan menghalang punya calon kakak tu. Apatah lagi mereka
memang dah tunggu lama sangat kakak tamatkan zaman bujang kakak yang dah hampir
nak expired tu.”
“Apa adik
cakap? Cuba ulang balik? Oh cakap kakak ni hampir nak expired ya?
Bertuah punya adik. Nasib tak ada depan mata ni kalau tak dah lama mulut adik
tu kakak cilikan. Biar padan dengan muka tu.”
Lily
Serina ketawa besar mendengar kemarahan Leila Suria di hujung talian.
“Sebab tak
ada depan akaklah adik berani nak cakap kakak macam tu. Hihi.”
Memang
biasa begitulah halnya mereka berdua. Berbicara, berbincang, dan usik mengusik
sampaikan kadang tu siap bergaduh-gaduh lagi. Lumrah adik beradik macam tulah.
Agaknya selepas ni masihkah mereka berdua dapat bergurau senda lagi andai sudah
hidup memegang status isteri orang? Tiba-tiba Leila Suria rasa sebak.
Cepat
sangat masa berlalu. Lily Serina yang dahulunya kecil dan sentiasa mahukan dia
berada di sisinya kini sudah dewasa dan sudah mahu menamatkan zaman bujang.
Kalau inilah caranya untuk buat adik bahagia, kakak rela turutkan kemahuan adik
tu. Tekad hatinya.
“Eh diam
pula kakak ni. Kakak marahkan adik ke?” Risau pula akan gurauannya mengguris
hati si kakak.
“Eh tak
adalah. Kakak letihlah adik. Kakak nak rehat. Nak mandi dulu. Kakak tak isyak
lagi ni.”
“Ok
kakak.” Lega mendengar Leila Suria tak tercuit dengan gurauannya.
“Jaga diri
adik. Ada masa call kakak lagi. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam
kakak.”
Lapang
perasaannya bila dapat berbicara dengan saudara sulongnya itu. Sebal
perasaannya tadi juga sudah sirna. Ah aku pun belum isyak lagi ni. Bingkas dia
bangun capai segala barangnya untuk dibawa masuk ke bilik. Dia perlu
membersihkan diri dan menunaikan solatnya.
******
Dia duduk
berjuntai kaki di balkoni biliknya. Badannya disandarkan pada tiang yang
terdapat di situ. Angin malam menampar lembut menyapa tubuhnya yang hanya
bersarung singlet hitam dan berseluar pendek tiga suku itu.
Ah… Dia
mendengus. Tak tahu untuk kali keberapa dengusan itu. Mungkin sudah lebih
seratus kali dia mendengus. Dia menggetap bibir. Geram! Sebab bayangan apa yang
dilihat petang tadi asyik mengganggu ruang matanya.
“Awak tak
apa-apa?” Jelas dipendengarannya betapa risaunya nada suara papanya selepas
beberapa saat menjadi penyelamat kepada gadis yang masih berada dalam rangkulan
kejab papa.
Bulat
matanya. Dia yang berada beberapa meter daripada pasangan itu hampir tak
percaya dengan apa yang dilihatnya waktu itu. Papa dilihatnya mengusap wajah
pucat milik gadis itu cuba menenangkan. Mungkin masih dalam keadaan terkejut
bila berdepan dengan situasi yang hampir meragut nyawanya sebentar tadi. Begitu
ambil berat. Gayanya sudah bukan seperti lagak seorang majikan yang begitu
prihatin kepada pekerja. Sudah lebih gayanya. Apatah lagi bahasa mata papa
menghantar maksud yang lain.
Jelas
pandangan matanya melihat papa memimpin tangan gadis itu menuju ke keretanya
dan gadis itu sedikit pun tak membantah apatah lagi menolaknya. Jadi….
Arghhh!
Masakan itu kekasih papa? Jadi kalau bukan kekasih tak akanlah sampai papa
berkelakuan sebegitu. Mengapa harus begini? Jerit hatinya membentak. Tangannya
melurut ke rambutnya. Mengeleng-gelengkan kepalanya. Berharap agar ingatannya
untuk apa yang berlaku siang tadi dapat dipadamkan.
Selama ini
punyalah aku bersusah payah mencari siapakah kekasih papa rupanya dekat saja
orang tu berada di sisi aku. Pandainya mereka menyembunyikan daripada aku.
Kenapa semua staf di pejabat tu tak ada satu pun yang khabarkan pada aku
tentang mereka? Dia menggetap bibir. Bergerak-gerak rahangnya. Geram!
Jadi
wanita itulah saingan aku selama ini? Oh patutlah semenjak dua menjak ni
berlagak saja dia dengan aku. Rupanya dia dah ada tempat di office tu. Tu
tak lain tak bukan mesti dia dah rancang nak rampas tempat papa kalau mereka
dah berkahwin nanti. Habislah nasib aku lepas ni. Mesti lepas ni papa lebih
ikut cakap perempuan tu daripada cakap aku ni.
Sungguh!
Tak dapat dibayangkan bila papanya menendang dirinya keluar daripada pejabat
itu. Seram, bimbang segalanya menjadi satu. Kenapalah hal begini mesti terjadi
dalam hidup aku? Apa yang aku perlu buat ni? Macam mana nak singkirkan
perempuan tu dari hidup papa? Tak boleh! Tak boleh! Papa dan perempuan tu tak
boleh bersama! Dia menggenggam penumbuknya menahan amarah.
Agaknya
kalau ada perempuan itu di depan matanya waktu ini mungkin perempuan itu sudah
koma dek penangan penumbuknya. Selama ini dia ingat papa hanya bergurau saja.
Nah sekarang memang seriuslah nampaknya ugutan papa tu. Papa memang dah
merancang nak singkir dirinya kalau papa dah beristeri baru. Masakan aku
sanggup kehilangan segalanya hanya kerana perempuan papa tu?
Aku kena
cari jalan tapi apa jalan yang terbaik untuk lenyapkan perempuan tu dari hidup
papa? Masakan mahu bunuh dia? Eh tak-tak! Aku bukan sekejam itulah. Habis kalau
tak dibunuh, satu masa nanti dia mesti akan balik semula dengan papa walaupun
aku pisahkan mereka jauh-jauh. Rambutnya sudah kusut masai letak duduknya.
Semuanya gara-gara tangannya yang tak reti diam bila dia sedang berfikir.
“Hah yang
kamu bertenggek macam monyet ni kenapa Rio?” Terdengar satu suara garau
menengurnya.
Tersentak
dia terkejut. Huh nasib baik tak terjatuh. Kalau tak memang sahih aku tidur di
hospital malam ni.
“Ha papa,
err bila papa balik? Tak perasan pun bunyi kereta papa?” Terkejut bila melihat
papanya berdiri di muka pintu biliknya. Tak dengar bunyi enjin kereta menderu
masuk pun tadi? Masakan papa balik naik helikopter hari ni?
“Masakan
mahu sedar bila papa balik kalau dah kamu asyik termenung sakan macam gaya mati
bini. Ni kenapa dengan kamu ni? Dari siang tadi papa nak tanya sebenarnya, tapi
terlupa pula nak tanya.”
“Kenapa
apanya papa?”
“Kamu
bergaduh ke apa ni? Ke kamu ada kacau bini orang?”
“Eh apa ni
papa kata Rio macam tu.” Masam mukanya.
“Dah tu
kenapa? Tu mata tu lebam kenapa? Bergaduh? Berebut perempuan? Macamlah papa tak
tahu perangai kamu tu. Mata keranjang. Pantang nampak perempuan berdahi licin,
habis semua kamu nak sapu.”
“Papa ni,
sampai hati pulakan cakap Rio macam tu. Bukannya nak bersimpati dengan Rio ni.”
Sendu nadanya.
“Nak
bersimpati apa pulanya. Dah perangai kamu tu memang tak menerima teguran jadi
baguslah kalau dah ada yang mengajar kamu sampai lebam-lebam macam tu. Mesti
sebab kamu usik perempuan dia kan?”
“Mana
adalah papa. Dia yang usik perempuan Rio adalah.” Membetulkan.
“Yalah tu.
Hah jadi betullah kamu bergaduh malam tadi? Apa nak jadilah kamu ni hah? Umur
saja dah tua tapi perangai tu tak juga nak dewasanya. Tak tahu apa lagilah papa
nak cakap dengan kamu tu.”
“Papa ni,
cuba jangan bebelkan Rio boleh tak?” Rimas, balik-balik salah dirinya saja yang
papa nampak. Balik-balik dirinya juga yang asyik dileteri.
“Macam
mana papa tak bebelkan kamu Rio? Dah kamu tu berperangai perangai yang buat
hati papa tak berkenan. Mestilah papa kena tegur kamu. Papa sayangkan kamu tu
sebab papa tegur kamu. Supaya kamu sedar diri. Berubah. Ubah sikap negatif kamu
tu jadi positif. Papa ni pun dah penatlah Rio dengan perangai tak semenggah
kamu tu.”
“Yalah
papa, dengan Rio ni segalanya tak baiklah. Cuba dengan papa punya girlfriend tu,
semuanya baiklah ya?” Bidasnya sedikit keras.
“Girlfriend papa?
Siapa?” Terkejut bila tiba-tiba anaknya membangkitkan tentang gadisnya.
“Alah papa
jangan nak buat-buat tanyalah. Rio dah tahulah. Rio dah nampaklah dengan mata
Rio ni sendiri.”
“Hah kamu
ada nampak? Kamu nampak dekat mana Rio?”
“Papa… Rio
ni ada mata, tentulah Rio boleh nampak dekat mana-mana pun. Amboi bukan main
mesra lagi ya papa. Pergi ke kereta pun sampai berpegang tangan, mengalahkan
pasangan orang muda.” Dia menyindir.
“Mesra?
Bila masa pula papa bermesra dengan dia di khalayak? Eh kamu salah pandang
orang kut Rio.” Berkerut-kerut dahinya mengdengar sindiran anak bujang itu.
“Salah
pandang orang apanya pa? Tak akanlah sampai salah pandang pada dua-dua orang
sekali. Tak diterima akallah pa. Rio punya mata tak rabun lagi tau.”
Geram pula
perasaannya bila mendengar papanya masih juga berbolak-balik kata-katanya.
Kononnya cuba menangkislah tu.
“Alah
kalau ya pun betul kamu nampak tu papa tak rasa ada salahnya. Dia pun masih
bujang dan papa pula dah duda jadi rasanya tak ada halanganlah untuk hubungan
kami tu. Tak ada nampak mana yang tak kenanya.”
“Ha kan
mengaku juga papa akhirnya.”
“Yalah,
dan kami akan berkahwin.” Balas Rolland Fiqry dengan senyuman bahagia terukir
lebar di wajahnya.
“Kahwin?”
Hampir tak percaya dia mendengarnya.
“Ya, dalam
awal bulan depan.”
“Hah?
Kenapa cepat sangat papa?”
Amboi
perempuan ni memang tak sabar-sabar nak mengikis harta papa nampaknya.
Materialistik sarkastik betul! Dia menggetap bibir. Marah dan geram bercampur
satu.
“Perkara
baik memang eloklah dicepat-cepatkan Rio. Sudahlah papa nak masuk bilik papa
berehat. Kalau kamu rasa papa tak patut berkahwin dengan dia, bagi satu alasan
yang kukuh yang papa boleh pertimbangkan. Fikirkanlah kata papa ni ya.”
Rio hanya
mampu menghantar langkah papanya dengan pandangan mata yang sebal. Bertambah
terkuncam wajahnya mendengar berita yang baru disampaikan oleh papanya itu.
Aduiii alasan yang kukuh apa yang harus aku berikan untuk menghalang
perkahwinan ni?
2 comments:
BEST..
Post a Comment