iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Monday, November 26, 2012

Novel : Tiga Bulan [20]

Dalam benci ada rindu yang mengisi,
Dalam marah ada sayang yang bercambah.


“Riz.. we need to talk, please….” Penat mengejar akhirnya Wan Nazariel merayu. Buang malu buang ego, supaya Nuriz tak menyebarkan apa yang dilihatnya itu kepada keluarganya terutamanya kepada Dato’ Wan Nazri, papanya itu.

“Nak cakap apa lagi. Rimaslah awak ni, jangan kacau saya lagi boleh tak?”

Kenapalah lelaki ini asyik nak menempel dengan aku saja hari ni. Mana aku pergi dekat dalam rumah ni, dekat setiap ceruk mesti ada dia. Macam magnet pula, melekat dan menempel.

“Aku nak cakap apa yang kau lihat semalam tu tak seperti apa yang kau fikirkan. Faham?”

“Seperti yang saya fikirkan? Hey sejak bila awak tahu baca fikiran orang ni?” Dia mencebik bibir, sengaja buat-buat tidak faham akan maksud yang cuba nak disampaikan oleh lelaki itu.

“Weh aku serius ni. Tak ada mood nak main-main tau.”

“Eleh ingat saya ada mood ke nak main-main dengan awak juga? Bila saya tengok muka awak saja mood saya terus hilang. Dahlah jangan ganggu saya lagi boleh tak?”

Dia bangun, boringlah, memeningkan kepala saja kerenah dia ni.

“Riz..”

            “Apa lagi ni?” Mula bosan.

“Yang semalam tu..” Dia menelan air liur kesat. Err macam mana nak cerita letak duduk perkara sebenarnya ni.

“OK-OK saya tahu awak risau saya cakap dengan orang pasal tu kan? Jangan risau saya tak akan ceritakan pada siapa-siapa pun..”

Kalau itu yang lelaki itu hendak daripadanya. Dia akan lakukan, simpan rahsia lelaki itu. Apa kata orang nantikan kalau hal ini tersebar.

“Oi! Apa benda yang kau mengarut tu?”

“Habis tu awak nak apa dari saya..”

Cakap berbelit-belit macam ular kena palu, macam manalah aku nak faham mamat ni.

“Aku nak cakap, aku tak buat apa-apa dengan Eric.”

“Tak buat apa-apa? Dalam keadaan macam tu? Heh budak kecik bolehlah awak tipu, tapi bukan saya, tak apa awak jangan risau.. saya faham.”

Tak buat apa-apa konon, dalam keadaan bertuala, kalau tak buat apa-apa kenapa dia tindih lelaki tu macam. Arghhh apa yang aku fikirkan ni.

Aku dah agak dah perempuan ni mesti tak akan percaya. Wan Nazariel mendengus, nak guna ayat apa lagi agaknya supaya gadis itu faham.

“Aku dah agak dah kau mesti fikirkan macam tu punya, padahal semalam tu aku hanya bergurau dengan Eric tu. Kebetulan aku baru lepas mandi, tu yang bertuala sahaja.”

“Alah yang awak bersusah payah terangkan pada saya kenapa?”

“Aku nak betulkan perspektif tak betul yang bermain dalam kepala otak kau tu.”

“OK-OK kalau awak nak saya percayakan awak? Jawapannya saya percaya cerita awak tu.”

            Rimas dah aku dengan dia ni. Jawab saja yang aku percaya. Habis cerita.

“Dah jangan kacau saya lagi. Saya bosanlah tengok muka awak.” Dia berlalu, berharap agar lelaki itu tidak mengekori langkahnya lagi.

“Riz..”

            “Apa kenalah dengan mereka berdua ni Cinta?” Dato' Wan Nazri menyoal kehairanan. Dari tadi dia melihat anaknya, Wan Nazariel asyik mengikuti langkah Nuriz, dan Nuriz pula dilihatnya asyik cuba menjauh saja. Macam budak-budak betul perangai masing-masing.

“Alah bergaduhlah tu bang, biasalah orang dah berkahwin macam tulah.” Dia mengulum senyum. Agak tercuit hati juga melihat telatah si anak dan si menantu itu.

Hai entah apa-apalah budak-budak ni. Hurm bagus juga macam tu. Nampak macam ada perubahan. Kalau sebelum ni masing-masing kaku, beku saja. Ni kalau dah bergaduh maksudnya dah ada interaksi antara merekalah tapi apa yang mereka berdua gaduhkan ni? Hairan juga. Tak dengar pula bunyi mereka bertekak. Sabtu semalam Zariel keluar dengan kawan-kawannya, dan Nuriz macam biasa keluar seperti hari-hari cuti yang lain tapi... Ya dia cuma nampak wajah keruh Nuriz sebaik turun daripada biliknya dan wajah kusam Wan Nazariel sebelum melangkah keluar dengan Eric, dan wajah Eric juga kelihatan seolah-olah sedang serba salah saja.. kenapa? Apa yang terjadi sebenarnya? Dato’ Wan Nazri tertanya-tanya dalam hati.

“Cinta tau ke apa yang mereka gaduhkan tu?” Mula mengorek cerita. Mana tau kut-kut isterinya tahu apa yang menjadi puncanya mereka jadi begitu.

“Entahlah bang.. saya pun tak tahu apa puncanya. Tau-tau masing-masing buat muka cemberut saja bila berselisih, yang si Zariel asyik nak mendekat, yang si Nuriz pula asyik nak menjauh. Entah apa halnya I pun tak tahu.” Tau-tau saja dah jadi macam tu. Hujung pangkalnya langsung dia tak tahu.

“Biarlah mereka selesaikan hal mereka. Malas abang nak masuk campur dengan budak berdua tu. Nanti kepala abang yang pening.”

“A'ah, I pun nak tengok saja. Sejauh mana mereka berusaha nak perbaiki hubungan mereka tu..”

“Jomlah Cinta.”

“Nak ke mana?” Datin Jacinta menyoal balik. Hairan bila Dato’ Wan Nazri menarik tangannya secara tiba-tiba.

“Keluar, duduk di taman. Rimas pula mata abang melihat tingkah mereka berdua ni. Nasib baik anak seorang saja, tapi yang sorang ni pun dah cukup menyerabutkan keadaan dengan perangai yang sukar nak dijangkanya.”

Datin Jacinta hanya ketawa kecil mendengar suaminya mengeluh, dulu budak tu tak berkahwin dia teringin sangat nak tengok budak tu berumahtangga, ni dah berumahtangga, dia mengeluh pula.. abang.. abang.

“Ni yang Cinta geleng-gelengkan kepala kenapa? Mengutuk I ke?”

“Isk abang ni, mana ada, cuba jangan perasan. I fikirkan pasal anak menantu kita tu.” Wajah suaminya yang dinikahi hampir 20 tahun dahulu direnungnya. Masih seperti dahulu. Tak pernah berubah caranya. Manja dan sensitif, tapi dia senang dengan perangai itu, mungkin dengan cara itulah yang sentiasa merapatkan mereka, mengekalkan hubungan dan keharmonian rumahtangga mereka.

“Abang terfikir sebenarnya Cinta.”

“Terfikir tentang apa pula tu?” Serius benar saja nadanya.

“Hubungan budak berdua tu kalau terus dingin macam tu, agaknya sampai ke bila pun kita takkan dapat merasai gelaran datuk dan nenek.”

Datin Jacinta diam. Ya tak ya juga, kalau dah seorang ke hulu seorang ke hilir bilalah masanya mereka nak bersama?

“Jadi apa rancangan abang sebenarnya?”

“Hurm I rasa kita perlu buat rancangan untuk pulihkan hubungan mereka ni.”

“Pulihkan hubungan mereka? Abang ada cara ke?”

Semenjak bila pula suami aku ni jadi perancang perkahwinan ni merangkap kepada kaunselor rumahtangga ni. Hairannya aku.

“Kita suruh budak berdua tu bercuti. Mana tahu dengan cara tu dapat merapatkan hubungan mereka ke.”

“Pergi bercuti? Maksudnya abang nak suruh mereka pergi berbulan madulah ya? Ok juga tu.. tapi ke mana?”

“Mana-mana yang mereka nak pergilah. Abang akan tanggung segala perbelanjaan mereka tu nanti.”

“Hurm boleh ke menjadi ke rancangan kita ni?”

“Insya-ALLAH menjadi. Belum cuba belum tahu kan hasilnya.”

Ya sekurang-kurangnya mereka dah berusaha untuk membantu. Menjadi atau tidak hubungan mereka tu belakang cerita. Kalau menjadi, syukur alhamdulillah, kalau tak menjadi, mereka boleh usahakan plan lain.

“Nanti I tanya kawan I yang buat travel tu. Dia mungkin ada pakej-pakej yang menarik untuk pasangan yang baru berkahwin ni.”

“Haa... ok juga tu Cinta. Cakap saja berapa harganya abang tak kisah. Ditanggung beres.”

Kalaulah rancangan ini menjadi, hasrat untuk menambahkan lagi bilangan ahli keluarganya pasti akan tercapai. Sesungguhnya itu memang impiannya. Umur pada tahap ini memang sepatutnya dia sudah menimang cucu. Dia tersenyum sendiri..

“OK.. ha abang, hampir terlupa. Nak ingatkan abang yang malam ni lepas maghrib nanti ada kenduri kesyukuran dekat rumah Datin Normah tu.”

“Oh kenduri kesyukuran pasal anak dia berjaya selamat pulang dari US kan? Abang pun hampir terlupa, nasib baik Cinta ingatkan balik.”

“A'ah.. I tau you mesti lupa punya.”

“Nanti kita pergilah. Lepas maghribkan?”

 “Tak nak ajak budak berdua tu sekali ke?”

“Ajaklah. Cakap dengan mereka, wajib pergi!”

“OK I pergi beritahu mereka sekarang.” Datin Jacinta berdiri. Baik cakap dengan mereka sekarang. Tak adalah kelam kabut jadinya nanti.

“Adoi sakitlah! Apa awak ni?” Tiba-tiba terdengar jeritan Nuriz yang agak kuat memecahkan sepi rumah mewah itu membuatkan mereka berdua serentak berpandangan. Isk apa lagilah budak berdua ni. Bergegas mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah itu, ingin melihat apa yang terjadi.

“Padan muka, aku yang besar ni pun kau tak nampak ke?” Sebenarnya dia yang sengaja melanggar tubuh Nuriz sewaktu menuruni anak tangga tadi. Tulah siapa suruh sombong sangat tak nak pandang aku.

Melayang tubuhnya dek hentaman kuat tubuh sasa itu dan nasib juga lelaki itu sempat memaut tubuhnya kalau tak mungkin sekarang ni dia terpaksa dikejarkan ke ICU, sudahnya mereka bertentang mata. Tajam renungan mata Nuriz dan lelaki itu siap mengenyitkan matanya nakal mengusik. Kurang ajar dia ni! Sengaja nak kenakan aku. Nuriz menggetap bibirnya geram menahan marah yang mula menular dalam diri. Kakinya laju memijak kaki lelaki itu kuat. Beberapa kali dan dia dapat melihat perubahan di wajah lelaki itu. Merah mukanya, dah mula marah barang kali. Nasiblah, siapa suruh cari pasal dulukan tadi dengan aku.

Isk aku lepas juga tubuh perempuan ni karang. Kau ingat kaki aku tu kayu ke? Tak ada rasa, sakitlah!! Wan Nazariel mendesis geram.

“Apa lagilah kamu berdua ni? Sudah-sudahlah bergaduh tu. Dah waktu senja ni. Tak elok tahu tak?” Tegur Dato Wan Nazri agak keras membuatkan pasangan muda itu tersentak.

“Mana ada kami bergaduh papa, Zariel cuma nak tolong perempuan ni dari tersungkur dekat tangga ni, tapi dia ni sombong sangat.” Bila masa papanya tercegat di situ pun dia sendiri tak perasan.

Tolong aku konon. Ceh tunjuk baiklah tu, padahal dialah punya angkaranya, penyebab utamanya. Saja je.. chit!

“Iyalah tu. Ingat papa tak tahu kamu berdua tu tengah bergaduh ke? Tengok muka masing-masing pun papa dah tahu. Papa ni bukannya budak-budak pun kalau ya kamu nak ‘kencing’ papa ni. Papa lebih dahulu rasa asam garam hidup berumahtangga ni tau.”

“Err mana ada papa.”

“Dah-dah papa tak mahu dengar apa-apa lagi. Pergi bersiap. Lepas maghrib nanti kita ke rumah Datin Normah. Ada kenduri dekat rumah dia.”

“Tapi papa.”

No excuse.. wajib pergi.”

Alah papa ni kacaulah. Nak kena pergi rumah kenduri pula. Orang baru nak melepak dekat rumah malam-malam ni nak rehat-rehatkan diri.

“Dah pergi naik bilik kamu. Jangan pula kamu sambung lagi bergaduh dalam bilik tu. Macam budak-budak.”

“Baik papa.” Err dengan papa memang dia langsung tak berani untuk membantah.

“Weh nanti gosokkan baju aku tau.” Sempat dia memerintah pada Nuriz yang hanya diam membatu disisinya yang masih mempamerkan riak tidak puas hati diwajahnya.

Tengok tu, belum apa-apa lagi dah suruh-suruh orang. Berlagak boss saja dia ni, taulah dekat office tu dia boss.

“Gosoklah sendiri, baju awakkan? Bukannya baju saya pun.”

“Oii buat sajalah apa aku suruh, nak jadi derhaka ek?”

Eh-eh sejak bila dia pandai bab-bab derhaka ni? Eii geramnya dengan perangai tak cukup akal mamat ni. Makin lama makin menipis sabar aku ni. Silap-silap malam ni ada yang makan malam dengan tangan karang.

“Kau gosokkan baju melayu aku yang warna krim tu tau?” Melihat Nuriz yang hanya diam, membuatkan dia bersuara lagi. Entah kenapa dia rasa sangat seronok melihat wajah mencuka gadis itu.
 
 
***Assalamualaikum sayang-sayang semua... hanya tinggal sedikit bab saja Tiga Bulan akan dipostkan ke blog ini. Terima kasih tak terhingga atas semua kesudian meluangkan masa membaca karya yang tak seberapa ini. Maaf sering buat sayang-sayang semua tertunggu-tunggu bab terbaru. Saya kesibukan sedikit dengan projek manuskrip terbaru sampai terlupa nak post entry di sini. Hurmmm lama tak jenguk blog sendiri sekali tengok banyak spammer. Nampaknya saya terpaksa block anonymous...***

4 comments:

fara said...

Tqvm 4 the n3 tp sikit sgt ar...x puas baca

Unknown said...

bile lh depa neh nk jd suami isteri yg real ne dek!rindu kat nuriz...terubat gak rindu neh tp tk puas g dek nuril nk g.......hihi dh teruja na akak nk nengok suami isteri neh berbahgia...pape pn tq dek nuril bab ade nyer n3 neh.......

Ruunna Qizbal said...

best sngat2

Ayu~ said...

Best novel 3bulan nie.. Agak2nya bila novel ni nak dipublish ye ? eheh :)