Marah-marah membaja sayang...
Dia
melangkah santai mendekati meja di pejabatnya. Suasana di ruang pejabat Nova
Holding itu agak sunyi. Belum ramai pekerja yang datang. Seperti yang selalunya
dia sering menjadi orang yang terawal sampai di pejabat. Dia tak suka datang
pada saat waktu pejabat sudah mahu bermula. Sebab dia tak suka melakukan
perkara last minute dan tergesa-gesa dan pastinya akan
buat dirinya kelam kabut.
Bekalan
makanan yang dibawa bersamanya diletakkan di atas meja. Matanya tertancap pada
jambangan bunga mawar merah yang terletak di atas mejanya itu. Eh bunga untuk
siapa ni? Hati bertanya hairan. Ada orang nak kenakan aku ke? Hari ni berapa
haribulan? Rasanya bukan April Foolkan?
Tangannya teragak-agak untuk menyentuh jambangan bunga itu.
Dia
menarik nafas panjang sebelum tangannya menyentuh jambangan mawar merah itu.
Sehelai nota kecil yang terselit di antara kuntuman mawar itu jatuh tepat
mengenai muncung kasut tingginya. Dia tunduk, lalu mengambil kad itu. Teringin
juga ingin tahu siapa pengirimnya dan untuk siapa jambangan bunga ini. Pasti
untuk diakah? Hati teruja laju jari jemari runcingnya menyelak isi kad kecil
itu.
Leila
Suria,
Satu dalam
beribu,
Kau buat
detak jantungku tak menentu…
R…
Hah ini
saja ke? Dia mengaru-garu dagunya yang tidak gatal itu. Terpinga-pinga mencari
makna isi kad itu. Haisy ini betul-betul ke atau ada yang sengaja nak kenakan
aku? Hati mula berasa walang. Tidak percaya dengan madah manis di dalam kad
kecil itu. Hurm siapa ‘R’ ni? Haisyh hari ini dalam sejarah. Selama 6 tahun aku
berkerja di sini, inilah pertama kali aku terima jambangan bunga ni. Siapalah
jejaka itu? Jejaka ke? Errr harap-harap jejakalah.
Eh siapa
je staf di pejabat ni yang namanya bermula dengan huruf ‘R’? Tuan Besar
Rolland? Tuan ‘Kecik’ Rio? Regina Ray, Rabiah Abby? Opss tak akan perempuan kut
yang mengirim? Lagilah tak masuk akal. Habis kalau bukan Regina, bukan si Abby
tu, tak akan pula antara dua anak beranak tu? Tuan kecik, besar tu? Lagilah
mustahil tak dapat diterima akal waras mahupun tak waras. Apa ada pada aku ni
sampai mereka nak pandang? Entah-entah pandang sebelah mata pun mereka tak
ingin.
Uikhh
sudahlah Leila, tak payahlah susah-susahkan otak tu nak berfikir segala bagai.
Suatu masa nanti pengirim tu mesti munculkan diri di depan mata kau. Tak akan
selamanya dia ingin sembunyikan diri ya tak? Nak tunggu dia munculkan diri tu
yang tak tahu bilanya. Jambangan bunga itu akhirnya diletakkan kembali di atas
meja. Ah dah-dah, jangan nak duk ralit dengan bunga ni. Hati kecil menegur
kurang senang.
Dia
akhirnya mengambil keputusan untuk mengabaikan jambangan bunga itu. Tak mahu
memikirkan sangat siapa pengirimnya. Ah baik aku sediakan breakfast, nanti
tak sempat pula kalau aku sudah mula menghadap kerja-kerja yang menimbun ni.
Dia mula melangkah menuju ke pantry, ingin
menyediakan sarapan pagi untuk dirinya seperti kebiasaan.
“Wow!”
Leila
Suria yang sedang melangkah sambil menatang sebiji mug berisi
Nesvita untuk sarapan paginya tersentak. Alamak Mak Joyah ni dah ternampaklah
pula jambangan bunga tu. Aduh kenapa tak terfikir nak letakkan dekat bawah meja
atau atas meja boss tu. Ni karang mesti kecoh satu
pejabat ni. Dia menepuk dahi. Kesal dengan kealpaannya sendiri yang
memungkinkan akan menyemarakkan gossip hangat
tentang dirinya di pejabat ini nanti.
Macam dia
tak tahu dengan mulut kepoh tak berbedung si Rabiah itu. Langsung tak boleh
menyimpan rahsia kalau dah sampai kepada pengetahuannya pasti rahsia itu akan
terburai, segala isi perutnya. Agaknya kerana kekepohan mulutnya itulah dia
mendapat gelaran Mak Joyah di pejabat mereka ini.
“Err Abby,
selamat pagi. Awal kau sampai hari ini?” Dia menyapa berbasa basi dengan
setiausahan majikannya itu. Cuba menutup kegugupannya. Menanti penuh debar
soalan yang bakal ditebak oleh Rabiah sebentar nanti.
“Pagi
Leila… Eh awal apanya, macam biasa juga aku datang ni. Bunga dari siapa tu? Bak
sini aku baca sikit apa isi kad itu.”
Tanpa
sempat dia berkata apa, tangan Rabiah sudah laju mencapai kad kecil itu.
“Wah ayat
dia, madah-madah habis. Siapa ni si ‘R’ ni Leila?”
“Entah,
mana aku tahu. Orang gila kut.” Dia menjawab acuh tak acuh sambil mengangkat
kedua belah bahunya.
“Hai
masakan orang gila pandai mengirim bunga Leila?” Tak berputus asa untuk
mencungkil rahsia daripada Leila Suria itu.
“Entahlah…
Mat Romeo mana entah tersalah kirim bunga agaknya.”
Dia mula
melabuhkan duduk di kerusinya. Jambangan bunga itu di ambil dan akhirnya
dilemparkan ke dalam tong sampah kecil yang terletak di sisi meja kerjanya itu.
Tidak berminat untuk menyimpan bunga mawar itu. Jangan-jangan orang tu dah
mandrem bunga ni. Hisssyyy takut aku, karang tak pasal-pasal jadi sewel aku
ni. Leila Suria mengerutkan dahinya,
risau juga kalau agakan hatinya itu betul.
“Lah apa
pasal pula kau buang bunga tu?” Rabiah menegur, terkejut dengan tindakan Leila
Suria itu..
“Dah tu
aku nak buat apa dengan bunga ni Abby? Tak akan aku nak framekan pula.
Aku manalah pernah ada pengalaman terima bunga-bunga ni. Manalah aku tahu nak
dibuatkan apa bunga yang berkuntum-kuntum ini?”
“Bagilah
kat aku ni kalau tak nak. Boleh juga aku buat hiasan atas meja bos kita yang
togel tu.”
“Lah kau
nak ke? Ambillah.” Jambangan bunga itu diambil kembali dari arah tong sampah
itu dah dihulurkan kepada Rabiah.
“Wah hebat
kawan aku ni. Dah ada secret admirer, kalah
aku ni. Kelas kau. Glamour tu dalam
diam.”
******
“Susahlah
macam ni.” Lelaki itu mendengus. Wajah ceria yang ditunjukkan sewaktu awal
pertemuan mereka tadi kini sirna. Bertukar mendung.
“I minta
maaf. I pun tak jangka benda begini akan berlaku Zaf.”
Pertemuan
antara dia dan keluarga lelaki itu berjalan lancar dua hari lalu dan sangkanya
di pihaknya juga akan lancar tapi rupanya sebaliknya yang berlaku. Keluarganya
meletakkan syarat dan syaratnya pula bukan calang-calang sehingga membuatkan
dia terkesima. Tak senang duduk. Tak lena tidur semalaman.
Aduhai ibu
dan ayah, kenapalah diletakkan syarat sebegitu? Bukannya aku buat apa pun, aku
cuma mahu buatkan hidupku bahagia dan terjamin. Hidup bersama insan yang aku
cinta dengan ikatan yang sah. Itu pun perlu diletakkan syarat ke? Terkilan
sungguh perasaannya. Sangkanya keluarganya akan gembira bila mendengar
perkhabaran yang dibawanya, tapi rupanya tidak.
“Kalau
kena tunggu lama sangat, I mungkin terpaksa putuskan hubungan kita.” Ungkap
lelaki itu.
“What???”
“I
‘terpaksa’ Erin.” Ungkapan terpaksa itu sengaja ditekankan.
“Terpaksa
apa Zaf? You kata you cintakan I masakan you tak sanggup tunggu I?” Pelik, tak
akan semudah itu lelaki itu mahu putuskan hubungan mereka. Tak akan hanya
kerana syarat itu?
“Ya sebab
cintalah I tak sanggup tunggu lama. I tak mampu ambil masa yang lama untuk
dapat hidup bersama-sama dengan you. Betul-betul menyeksa perasaan I ni tau.”
Ucapnya sambil tangan menunjukkan ke arah dadanya.
“You ingat
I mampu ke hidup kalau tak ada you di sisi I?” Lily Serina membalas. Sakit
kepalanya memikirkan. Apa jalan yang dia ada ada? Semuanya jalan mati. Apa
pilihan yang dia miliki? Semuanya pilihan buntu.
Melepaskan
lelaki itu, dia memang tak sanggup tapi menurutkan syarat ke dua ibu bapanya
dia takut! Takut empunya diri menolak usulnya. Dia bimbang nanti dituduh
pentingkan diri pula. Macam mana ni?
“Habis you
nak buat apa Erin?”
“Nanti I
cuba pujuk dia ya Zaf.”
“Nanti tu
bila Erin? Kita kesuntukan masa. Mother I tu
sudah betul-betul tak sabar nak tengok kita bersatu. You pun tahu macam mana
keadaan emak I tukan? I tak mahu hampakan dia hanya kerana syarat yang keluarga
you letakkan tu tau.”
Lily
Serina sedia maklum dengan keadaan emak Meor Zafri itu. Sungguh tak disangka
yang emak lelaki itu sedang menderita barah payudara tahap empat. Sangkanya
emak lelaki itu sihat-sihat belaka. Yalah orang kaya biasanya selalu pentingkan
penjagaan kesihatan. Orang berduit segalanya boleh, tapi rupanya anggapannya
silap. Duit tak mampu buat apa-apa. Duit tak mampu membeli kesihatan.
“Zaf, I
tahu you anak yang baik dan cuba bahagiakan emak you apa adanya. I janji I akan
cuba pujuk dia walau apa jua cara pun.” Dia berjanji.
Keadaan
emaknya Wan Zubaidah yang semakin lemah semenjak akhir-akhir ini betul-betul
merisaukan. Apatah lagi bila mengenangkan permintaan dan syarat yang diberikan
oleh wanita itu tentang pembahagian harta peninggalan arwah bapanya memang mencukupkan
perasa di dalam kerisauannya. Dia tak mahu emaknya pergi tanpa melihat dia
berumah tangga. Dia tak mahu emak pergi dalam keadaan dirinya tiada apa-apa.
“Ok I bagi
you masa sebulan untuk pujuk dia Erin, kalau tak… jangan salahkan I pula. I
terpaksa.”
“Zafri!
Sampainya hati you buat I begini? You macam tak hargai hubungan kita selama ini
sampai sanggup cakap begini pada I!”
“I bukan
sengaja Erin. I terpaksa sebab I nak tengok kebersungguhan you untuk hidup
dengan I ni. I terpaksa sayang… really sorry.”
Lily
Serina menggetap bibir. Bab menuturkan ayat memang dia selalu kalah dengan
Zafri. Ayat lelaki itu memang selalu mematahkan marahnya. Agaknya sebab ayat
lelaki itulah yang menyebabkan dia jatuh hati dengan lelaki itu dan ingin hidup
di samping lelaki itu.
“Ok kalau
you tak percayakan I. Kalau you tak yakin akan kesungguhan I ni. I akan
buktikan pada you. You tengoklah nanti.” Yakin.
“Bagus,
buktikan pada I. Pastikan yang rombongan I akan sampai ke rumah you selepas
sebulan ya Lily Serina.” Dia mengenyitkan mata. Sengaja menambah bahang dalam
diri kekasih hatinya itu.
“Ok you
tunggulah ya Zafri. Ini Lily Serinalah. Tak ada apa yang I tak pernah tak dapat
kalau I mahukan. I akan pastikan kita berkahwin nanti. You tengoklah!”
Memang
dirinya tak tahu erti mengalah. Apa yang dia inginkan jarang terlepas dari
genggamannya.
Meor Zafri
hanya ketawa kecil mendengar bicara Lily Serina itu. Dia tahu dia telah berjaya
menghidupkan sumbu semangat gadis itu.
2 comments:
yer lh sape 'R'??geram gak bile dpt bunga tp tk pasti sape pengirim nyer...maka terbang lh di tong sampah hehe...nk g yer dek nuril...
R= Raja ka? rajakoranisepiar hogaya~~ eh ternyanyi kat sini pulak. ala.... sikitnye.. nape dah habis... kita baru nak feeling meeling.. huwaa!!! cepat kak cepat. xsabar ni. hehehehe.... best2! kenapalah dia buang? cuba bagi kat adah ni. saya pencinta tegar bunga. ahhahaha...
Post a Comment