Benci-benci membenih kasih,
marah-marah membaja sayang....
Bab 7
Hai tak
sempat cakap apa papa dah pergi, baru jam 7.45 pagi. Apa kes papa ni sampai
perlu begitu bergegas? Dia menggomel perlahan. Tak puas hati sebab hanya sempat
melihat bontot kereta Jaguar hitam tu saja yang semakin menghilang daripada
pandangan matanya. Dia menghempaskan duduknya pada sofa yang terdapat di ruang
tamu.
“Sudah
lebih seminggu tuan besar tidak sarapan di rumah Rio.” Mak Awe si pembantu
rumah merangkap pengasuhnya daripada dia kecil itu memberitahunya tanpa
diminta.
“Hah lebih
seminggu? Biar betul Mak Awe? Rio rasa papa tak ada appointment awal pagi
pun.” Dia mengerutkan dahinya.
Apa
aktiviti yang papa sembunyikan sampai papa sanggup korbankan waktu sarapan di
rumah ni? Dia kehairanan. Pelbagai persoalan mula timbul dibenaknya.
Mak Awe
mengangguk mendengar pertanyaannya.
“Err Rio
nak bersarapan sekarang ke? Biar Mak Awe siapkan ya?” Wanita separuh usia yang
sudah berkhidmat lebih daripada usianya itu bertanya.
Wanita itu
bukan saja pembantu rumahnya tapi sudah dianggap seperti keluarganya. Mana
taknya bila arwah mamanya Aisyah Hannan terlantar sakit akibat kanser pangkal rahim
lebih 20 tahun lalu, Mak Awelah yang mengambil tugas menjaga dirinya,
menyediakan makan pakainya. Mak Awe menjadi tempat dia bermanja. Mak Awe
jugalah yang menjadi peneman arwah mama sehingga ke akhir hayatnya di saat
papanya sibuk memikul tanggungjawab mencari nafkah untuk mereka sekeluarga.
Sayangnya
pada Mak Awe lebih dari sayang sebagai seorang majikan kepada pekerjanya.
Berkali-kali juga Mak Awe minta untuk berhenti kerja dengan alasan sudah
terlalu tua untuk berkerja sebagai pembantu rumah. Mahu kembali ke kampungnya
di selatan Thailand tapi dia menegah. Katanya dia mahu Mak Awe tinggal di
sampingnya sehingga ke akhir hayatnya. Katanya dia tak mahu Mak Awe berkerja
lagi memadailah kalau Mak Awe terus berada di sampingnya dan sebab itulah dia
sanggup menggajikan Sarti, pembantu dari Indonesia untuk membantu Mak Awe,
menjadi peneman Mak Awe di rumah tapi sayang Sarti tak macam Mak Awe. Belum pun
sampai sebulan Sarti di rumah ni, Sarti dah mula buat perangai. Pandai membawa
balik lelaki ke biliknya di rumah belakang yang disediakan untuk pembantu
rumahnya secara senyap-senyap. Sudahnya Sarti terpaksa dipecat. Kini tinggallah
Mak Awe seorang diri. Ingin diambil sekali lagi pembantu dari seberang dia
serik. Takut kejadian sama berulang lagi.
“Rio, Mak
Awe cakap dengan Rio ni, yang pergi termenung tu kenapa?” Mak Awe menegur
hairan bila bicaranya tidak dibalas.
“Hah Mak
Awe cakap apa dengan Rio tadi?” Dia sedikit tersentak. Kalut membalas teguran
Mak Awe itu. Itulah sibuk sangat melayan lamunan.
“Mak Awe
cakap kamu nak bersarapan ke? Kalau nak Mak Awe hidangkan sekarang. Mak Awe
buat nasi goreng je hari ni. Lebihan nasi semalam masih banyak sayang nak
dibuang.” Becok mulut wanita itu memberitahu.
“Alah Mak
Awe ni, hidang jelah tak payah tanya. Mak Awe masak apa saja pun Rio makan,
tolak batu dengan kayu saja.”
******
“Bonda
janganlah risau, Ri janji, Ri akan berumah tangga dalam waktu yang terdekat ni.
Ri sanggup buat apa saja untuk penuhkan permintaan bonda tu.” Wajah pucat Wan
Zuraidah itu dipandangnya.
Beberapa
hari ini tahap kesihatan bondanya memang sudah jatuh merudum. Doktor
peribadinya juga sudah menasihatkan agar dia sentiasa bersedia dengan sebarang
kemungkinan yang bakalan terjadi.
“Bonda
takut bonda tak sempat.”
Sejak
akhir-akhir ini kerap benar perkataan tak sempat itu kedengaran di telinganya
sehingga membuatkan dirinya barasa serba salah. Bukan tiada gadis-gadis yang
menawarkan diri untuk menjadi isterinya selain dari gadis itu. Tapi dia tak
mahu! Dia cuma mahukan gadis itu tapi sayang keluarga gadis itu memberikan
syarat yang melambatkan rancangannya saja.
“Bonda
jangan cakap begitu.”
“Kenapa?
Ri risau bonda tak sempat dan takut bonda mengotakan janji bonda seperti yang
bonda katakan pada Ri hari tu?”
“Tak
adalah…” Mulut memang berkata tidak tapi di dalam hatinya dia sangat takut apa
yang diperkatakan oleh bondanya hari itu menjadi kenyataan.
“Bonda
terpaksa buat begitu sebab itulah wasiat arwah bapa kamu tu dahulu sebelum dia
pergi. Dia mahu keturunan keluarga kita berkesinambungan itu sebab dia
meletakkan syarat sebegitu. Jangan kamu cakap arwah bapa dan bonda ni kejam
pula sebab sanggup buat kamu macam tu.”
Bonda ni
macam tahu pula apa yang sedang aku fikirkan ni. Bisik hatinya. Wan Zubaidah
macam dapat membaca segala isi fikirannya.
“Ri tak
kata apa-apa pun bonda.” Dia cuba menafikan walaupun hakikatnya tuduhan
bondanya itu hampir seratus peratus mengena tepat.
“Kalau tak
banyak mesti ada sikit rasa begitu dalam diri Ri kan? Bonda ni orang tua, lebih
lama makan garam dari kamu. Sekilas tengok ikan di air bonda dah tahu jantan
betinanya. Raut wajah kamu tu dah mendahului bicara kamu tu. Berat sangat ke
permintaan bonda ni Ri?” Dia perasan semenjak dia menyampaikan amanat arwah
suaminya itu beberapa hari yang lalu perangai anaknya itu mula berubah. Menjadi
sedikit dingin bila berbicara dengannya tidak seperti yang selalunya.
“Memang Ri
sedikit tak puas hati dengan permintaan bonda tu. Ri masih muda bonda, mengapa
perlu diikat kebebasan hidup Ri ni dengan sebuah tanggungjawab? Ri boleh hidup
sendiri walaupun kalau bonda sudah tiada. Ri masih tak bersedia sebenarnya.”
“Hah
senangkan nak tahu rasa sebenar hati Ri tu. Bonda desak sedikit saja Ri dah
buka mulut akhirnya. Ri ada sebabnya kami buat begitu. Semuanya demi kebaikan
Ri.”
“Asyik-asyik
demi kebaikan Ri. Itu saja yang bonda cakapkan berulang kali dari hari tu
sampai Ri naik jemu mendengarnya. Jelak!”
“Apa yang kamu
rasa jemu dan jelak inilah yang akan kamu kenang bila kamu bersendirian nanti
Zafri!” Wan Zubaidah sedikit mengeraskan suaranya.
Begitulah
perangai anak tunggalnya ini. Sering kali nasihatnya dipandang enteng diambil
mudah. Kita tu risaukan dia. Takut apa-apa jadi pada dia bila kita tak ada
nanti. Sekurang-kurangnya bila dia dah berteman, dia tak akan bersendirian bila
berada di dalam saat-saat sukarnya itu nanti. Semuanya untuk kebaikan diri dia
juga.
“Bonda,
tolonglah… Ri kalau boleh tak mahu tinggikan suara pada bonda dalam keadaan
bonda macam ni.”
“Bonda
sayangkan kamu Zafri.”
“Ri tahu
bonda… Ri pun sama juga tapi…”
“Tapi apa
Ri?”
“Permintaan
bonda ni menyesakkan dada Ri.”
“Ini
sajalah satu-satunya permintaan bonda sebelum bonda menutupkan mata ni
selama-lamanya Ri. Ini amanat arwah bapa kamu juga. Terpulanglah kalau kamu
mahu turutkan atau tak, semuanya atas budi bicara diri kamu. Bonda tak akan
memaksa. Kalau kamu rasa kamu tak sanggup, kamu tak mampu… katakan saja pada
bonda. Boleh bonda telefon Encik Nazir sekarang ni.”
“Nak
telefon Encik Nazir buat apa bonda?” Terkejut bila nama peguam keluarganya
disebutkan oleh Wan Zubaidah.
“Untuk
bagi tahu dia tentang ubah wasiat tu siap-siap. Supaya tak kelam kabut bila
tiba waktunya nanti.”
“Jangan!
Tak usah bonda.”
“Hah
kenapa pula? Kamu....”
“Saya
janji dalam dua bulan lagi saya akan berkahwin bonda.” Laju dia membuat
keputusan. Itu saja pilihan yang dia ada.
“Dengan
siapa?” Senyuman sinis tersungging di bibir wanita separuh usia itu.
“Dengan
gadis yang Ri tunjukkan pada bonda hari tu.”
“Dia? Tak
ada pilihan lain ke? Muktamad ke pilihan kamu tu?”
“Aa…
kenapa bonda cakap macam tu?”
“Bukan
kamu ramai teman wanita ke? Kenapa gadis kampung tu juga yang kamu pilih
akhirnya?” Pelik, mana hilang gadis-gadis bandar dan bergaya moden yang sering
diusung ke sana sini oleh anak bujangnya itu selama ini.
“Muktamad
bonda. Dia, sebab dia saja pilihan yang Ri rasa sangat tepat buat diri Ri ni.”
Yakin dia memberi tahu sedangkan dia sebenarnya ada rancangan dan sebab
tersendiri mengapa dia pilih gadis itu. Ah tapi sebab itu biarlah hanya dia
sendiri saja yang tahu. Bonda tak boleh tahu dan tak perlu tahu! Putus hatinya.
“Baiklah
kalau gadis itu yang kamu mahu. Bonda tak akan kata apa lagi.” Wan Zuraidah
memberi kata putus. Baginya siapa pun pilihan anak itu dia tidak kisah asalkan
mampu membawa bahagia dalam kehidupan anak itu sudah memadai buat dirinya.
Bab 8
Dia
bersiul-siul kecil sambil tangan sebelahnya memegang sejambak mawar merah dan
meletakkan ke atas meja tak berpenghuni itu. Seperti selalunya inilah rutinnya
semenjak lebih seminggu ini. Sungguh riang hatinya. Pemberiannya langsung tidak
disiakan oleh si penerimanya. Sering hatinya berlagu riang bila melihat
kuntuman mawar pemberiannya mula menjadi hiasan di sekeliling pejabat itu.
I love you
very much! Harap kau fahamlah bisik kata hatiku ini di sebalik
simbolik pemberian mawar berkuntum-kuntum ini. Sempat hatinya berbisik sebelum
berlalu. Perlu pergi sebelum ada yang datang dan melihat perbuatannya.
Hanya
beberapa langkah, sebelum dia kembali berpatah balik mendekati meja itu. Dia
perasan tadi sebelum dia meletakkan jambangan bunga itu matanya tertancap pada
sekeping kertas kecil yang seolah sengaja diletakkan di situ. Macam ditujukan
untuk dirinya. Yakin kata hatinya.
Tangannya
dipanjangkan mengambil kertas kecil itu. Isi kertas itu dibaca. Bulat matanya.
Biar betul? Berkali-kali dia mengenyehkan matanya. Memastikan apa yang dia
lihat apa yang dia baca adalah betul dan tak salah.
Eh bukan
ini yang aku tunggukan ke selama ini? Soal hatinya kembali. Yalah tapi tak
adalah semendadak ini. Ke dia hanya nak main-mainkan aku. Sengaja menguji
supaya aku menonjolkan diri? Tapi betul juga. Sampai bila aku mahu bersembunyi
kalau betul aku mengimpikan dia dalam hidupku. Apa aku nak buat sekarang ni?
Tiba-tiba dia rasa dia tak tahu apa rasa yang dia rasakan. Nak kata gembira,
betul memang dia gembira. Nak kata dia terkejut, sungguh memang dia sangat
terkejut! Jadi apa aku nak buat sekarang ni?
Tiba-tiba
dia rasa seperti hilang arah. Tak tahu nak buat apa. Bergegas dia berlalu
sebelum ada yang tiba menangkap
perbuatannya, tapi mahu ke mana? Ah ikut saja langkah kaki. Putusnya.
1 comment:
be gentle lh bro..tk best lh cam nih..sat terlepas makan ati plak...hehe
Post a Comment