iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Wednesday, April 29, 2015

Novel : Kasut Hitam Topi Pink [2]

Bila cinta yang berkuasa, benci pun boleh jadi suka...

“Lambat lagi. Masuk hari ni dah kali ke-3 awak lambat tau tak?”
“Minta maaf Tuan Zaif. Ini yang terakhir. Lepas ni saya janji tak akan lambat lagi.”
“Ah sudahlah Hatami! Saya tak perlukan perkerja yang tak berdisiplin macam awak dekat sini!” Balas lelaki itu keras. 
“Errr apa maksud Tuan Zaif? Saya cuma lambat 3 minit sahaja hari ni dan hari yang lepas-lepas.”
“3 minit sahaja awak kata? Hello Hatami, 3 minit kalau awak darabkan dengan 3 hari yang awak sudah lewat tu berapa?”
“9 minit tuan.”
“Hah tau pun awak 9 minit, dan untuk pengetahuan awak, 9 minit itu sangat berharga di pejabat ini. Macam-macam orang boleh buat dalam 9 minit tu tau.”
“Errrr tapi saya tak berniat pun nak lewat Tuan.”
“Ah saya tak terima alasan budak-budak.”
“Tuan, please…”
“Mulai hari ini awak bukan perkerja di sini lagi. Nah ni gaji sebulan awak. Sekarang awak boleh keluar. Saya tak mau tengok muka awak lagi dekat sini.” 
Satu sampul surat berwarna coklat dilemparkan kepadanya. Jatuh tersasar di hujung kasut hitam berkilatnya. Memang peraturan di pejabat ini semua perkerja wajib berpakaian kemas dan bersih.
Hatami terkejut melihat tindakan majikannya itu.
“Tuan.”
“Dah keluar. Keputusan saya muktamad.”
“Tuan… ah tak apalah kalau tuan dah kata macam tu. Saya minta maaf kalau sepanjang berkerja di sini saya ada buat salah dengan tuan, buat tuan marah.” Dia menghulurkan tangan kepada lelaki itu.
“Awak nak buat apa?” Soal Zaif Affendy hairan dengan tindakan Hatami itu. Dia nak cederakan aku ke apa?
“Err saya nak salamlah tuan. Minta dihalalkan segalanya ya sepanjang tempoh saya berkerja di sini.”
“Oh ok.” Dia hanya menyambut huluran salam dengan hujung jarinya sahaja. Tercebik-cebik bibirnya. Jijik. Bukan gaya aku bersalam dengan orang miskin.
Hatami dilihat meninggalkan ruang pejabat peribadinya dengan langkah longlai. Dia hanya memandang tanpa perasaan. Sedikit pun tiada rasa belas mahupun rasa bersalah atas keputusan yang baru dibuat tadi. Huh tulah orang miskin, selalu sambil lewa dengan masa. Berapa kali nak cakap, dalam perniagaan masa tu ibarat emas. Macam-macam boleh terjadi kalau lambat walaupun seminit.
Cepat-cepat tangan menarik laci meja bila melihat kelibat Hatami sudah hilang dari pandangan mata. Sebotol kecil Dettol Hand Sanitizer dikeluarkan. Penutup dibuka pantas dan isinya dituangkan sedikit ke tapak tangan. Kena cepat sebelum aku terjangkit kuman dari tangan Hatami itu. Orang miskin ni biasanya bukan tahu menjaga kebersihan sangat. Gopoh dia menggosok cecair penghalang kuman itu ke kedua tangannya. Silap-silap boleh jatuh sakit aku kalau berlengah!
******   
            
“Mak!” Dia yang baru terjaga dari tidur terjerit kecil. Bingkas dia bangun. Terperanjat bila melihat sesusuk tubuh dengan rambut panjang menutup hampir ke seluruh wajah sedang duduk sambil memeluk lutut di hujung tilam. Ada esakan halus yang kedengaran. 
Ah sudah hantu siapa pula yang sesat ni. Dia menggaru kepalanya yang tak gatal itu. Masih berada dalam mamai sebab bangun dalam keadaan terkejut beberapa minit tadi.
“Mak? Err mak ke… tu? Mak kenapa mak?” Hampir 5 minit dia memerhati barulah dia perasan susuk tubuh di hujung tilam itu adalah milik emaknya. Melati Binti Dollah. Segar matanya serta merta. Hilang terus rasa mengantuk. Kenapa dengan emak? Kenapa nampak sedih benar emak kala ini? Apa yang sudah terjadi? Bertubi-tubi soalan timbul di dalam benaknya.
“Ayah… ayah kamu Chomel.”
“Ke… kenapa dengan ayah mak?” 
Hati mula digayut risau. Adakah sebab semalam dia meronta-ronta untuk pulang awal ke rumah kerana tiba-tiba hadir rasa rindu yang membuak-buak, untuk menatap wajah ayahnya membawa pertanda yang dia sendiri tak jangka? Pelik bila rasa itu hilang sebaik sahaja dia dapat menatap wajah ayah yang sedang menonton televisyen semalam. Lega perasaan. Tenang terus jiwa. Hingga mudah matanya lelap malam tadi.
Jangan-jangan…. Perasaan secara tiba-tiba rasa seperti sebiji pasu kaca yang jatuh terhempas ke lantai dan pecah berderai sehingga tak nampak rupa.
“Mak cakap mak.. kenapa, apa sebenarnya yang dah jadi dengan ayah mak?” Bahu Mak Ati digoncang kuat, bertambah risau bila melihat kelibat Jelita, adik nombor tiga dan Iman adik nombor empatnya sugul di depan pintu bilik.
“Ayah kamu dah tak ada Chomel...." Lirih dan sayu benar nadanya.
Hah? Seperti disambar halilintar yang bervoltan tinggi, dia tersentak terkejut. Beberapa saat dia terpempan seolah kehilangan semua kata-kata. Terkelu lidah mendengar berita yang tak pernah dijangka itu. Seolah tak mahu percaya dengan apa yang didengar, dengan apa yang baru meluncur keluar daripada mulut emaknya.
“Ayah tak ada? Ayah pergi mana mak?” Masih tak mahu memahami maksud ayat yang disampaikan oleh emaknya itu walaupun sudah sedikit-sedikit mula tercerna dalam akal warasnya.
“Kak Chom ayah kita dah tak ada…” Meluru Jelita Mellina dan Iman Mukmin memeluknya. Erat dan adik yang berdua itu bertangisan serentak. 
“Ayah kena langgar kereta waktu melintas jalan dekat traffic light depan sekolah teknik tu waktu nak pergi kerja tadi Chom.” Beritahu Mak Ati dalam sedu yang rancak berlagu
“ALLAH, betul ke ni? Mak jangan main-main. Chom tak percaya. Mak berguraukan? Mak saja nak bagi Chom bangun awal, bagi Chom tak bangun meninggi harikan? Cakap mak, cakap yang semua ni hanya gurauan saja dengan Chom ni mak.” Air mata mula bertakung banyak di ruang tubir mata dan sedaya upaya ditahan dari jatuh luruh.
“Chom hal kematian masakan mahu dibuat bergurau nak. Mak pun kalau boleh tak mahu percaya. Tapi pakcik Rahman kamu, ayah si Rina sendiri nampak kejadian tu depan mata dia Chom. Dia yang datang beritahu mak nak....”
“Mak kenapa?” Soalan sengaja dibiarkan tergantung. Tak daya mahu dihabiskan. 
“Sabarlah nak, ALLAH lebih sayangkan dia.”
“Dah tu sekarang jenazah ayah di mana?”
“Di hospital. Bersiaplah kamu, kita ke hospital sekarang. Hal kematian kita kena uruskan cepat.”
******
“Hai awal lagi kau dah menjelma dekat gerai aku ni. Kau tak kerja ke Tami? Mengelat?” Soya menegur bila perasan akan kelibat Hatami yang melangkah longlai menghampirinya.
“Bukan tak kerjalah Soya, tapi tak dibagi kerja.” Dia duduk pada bangku plastik berwarna merah yang terdapat di situ.
“Tak dibagi kerja? Hai hebat, tinggi sangat ke pangkat kau dekat pejabat tu sampai kau tak dibagi buat kerja? Setahu aku kau belajar sampai paras SPM sajakan?” Lain macam saja nada Hatami ni. Apa pula masalah dia? Semalam elok saja cerianya.
“Kau ni Soya, cuba cakap jangan menyindir aku boleh tak?”
“Aik ada nada sindiran ke nada aku tu Tami? Dah kau ni kenapa sebenarnya? Muka dah macam soya basi saja. Awek lari? Eh kau ada awek ke? Setahu aku kau tak ada awek lagi.”
“Soya! Aku tahulah kau jual air soya tapi janganlah samakan muka aku ni dengan air soya kau yang basi dan tak habis dijual tu. Jauh benar bezanya tau. Macam langit dengan bumi saja.”
“Hahaha itu pun mau sentap ke? Tenanglah Tami… aku usik kau saja. Jangan kau nak buat ayat terasa mengalahkan kau ni makhluk spesis perempuan.”
“Hisy bisinglah kau ni. Patutlah si Chom selalu panggil kau mak nenek. Hari ini baru aku tahu. Kau memang banyak mulut.” Dia berdiri mencapai satu gelas kosong plastik lutsinar. Selamba mencedok air soya yang berisi dalam bekas jernih empat segi itu, memenuhkan gelasnya tanpa meminta izin daripada tuan empunya.
“Amboiii minum free saja ke? Bak sini seringgit. Kau ingat aku modal air soya ni guna daun kering saja ke?”
“Alah kau ni dengan aku pun nak berkira ke?”
“Ini bukan soal berkira atau apa. Ini soal berniaga. Soal untung rugi.”
“Huh kau ni ada sajalah jawabnya.” Saku seluar diseluk. Sekeping not berwarna biru dikeluarkan dan dihulurkan kepada temanya.
Soya sambut dengan senyum lebar.
“Kau kenapa sebenarnya ni Tami?”
“Boss aku tulah.” Berhenti seketika. Menarik nafas yang agak panjang. Sungguh sakit hatinya bila mengenangkan apa yang baru saja terjadi dalam hidupnya sebentar tadi.
“Kenapa pula dengan boss kau?”
“Dia buang aku.” Pendek jawapannya. Haisyh jadi penganggurlah aku nampaknya. Macam mana mahu aku kirim duit pada keluarga di kampung? Galau hatinya bila teringat yang dirinya sudah hilang punca pendapatan kini.
“Hah kau kena buang kerja? Biar betul? Kenapa sampai kena buang? Tak ada angin tak ada ribut tak akan tiba-tiba kena pecat. Eh kau ada buat dia marah ke? Ke kau cuba mengorat awek boss kau ni?” Soal Soya bertubi-tubi seolah-olah apa yang diberitahu oleh Tami itu bukan hal yang betul saja gayanya.
“Gila apa nak mengorat awek boss aku tu. Aku rasa kalau aku ni sebelah mata pun awek dia tak pandang tau.”
“Dah tu?”
“Aku datang lambat. Dia marahkan aku ni. Bukan lambat mana pun sebenarnya. Alasan dia buang aku macam tak masuk akal saja gayanya.”
“Alasan tak masuk akal kau kata Tami? Kalau aku jadi boss pun aku marah kalau pekerja aku datang lambat Tami oi.”
“Masalahnya aku cuma lambat 3 minit je kut Soya.”
“Hah? Lambat 3 minit saja sudah kena buang. Eh seram pula aku dengan boss kau. Sukar aku nak percaya ada boss terlalu punctual macam tu.”
“Bekas boss ok.” Dia membetulkan sebutan Soya.
“Dah tu apa rancangan kau sekarang ni Tami?”
“Entahlah… serabut aku weh. Tu adik-adik aku kat kampung tu aku nak hantar belanja sekolah macam mana kalau aku tak kerja.Sudahlah aku yang tanggung mereka semua tu selama ini. Masakan nak harap semuanya pada mak dan ayah aku. Kerja kampung berapalah sangat pendapatannya.” Bila tiba-tiba hal yang tidak dijangka berlaku, sungguh dia rasa tak tahu nak fikir apa.
“Beginilah Tami, apa kata kau ikut saja aku ni berniaga. Jual air tepi jalan ni walaupun orang pandang rendah, tapi janji halal apa sumbernya. Sekurang-kurangnya dapat juga kau hantar duit belanja bulanan untuk keluarga kau.”
“Ikut kau berniaga? Kau serius ke Soya?” Soalnya macam tak percaya. Baru tadi dia dibuang kerja, kini dia ditawarkan kerja baru dari sahabat baiknya sendiri pula tu.
“Seriuslah. Soal kerja aku tak pandai nak main-main tau Tami.” Sekejapan raut wajahnya bertukar serius.
“Tapi…”
 “Tak ada tapi-tapinya Tami. Untung kita bagi dua. Kalau hari ni untung RM100 lepas habis tolak modal, kita bahagilah pada dua jadi dapatlah kita sorang RM50.” 
“Err kau tak kisah ke kena bagi dua untung?”
“Kisahkan apa? Aku percaya Tuhan akan lagi murahkan rezeki aku ni kalau aku baik hati.” Bahu Tami ditepuk.
“Terima kasih Soya. Lapang hati aku dah tak adalah seserabut tadi. Untung aku ada kawan macam kau ni.”
“Tak apa sekarang waktu kau susah, mana tahu akan datang masa aku pula, hidup ni kena ada saling membantu. Eh tu handphone kau berbunyi tu tak nak jawab ke?”
“Aku nak jawablah ni.”
Dia lihat raut wajah Tami yang tadinya keruh walaupun sudah bersinar sikit bila dia tawarkan jalan menjadi bertambah keruh bila bercakap dengan si pemanggil itu. Serta-merta perasaannya menjadi tidak enak.
“Kenapa? Siapa call kau Tami?” Soalnya bila melihat Tami sudah menamatkan perbualan di telefonnya.
“Rina…” Sepatah dan sedikit hiba nadanya.
“Rina? Kenapa dengan Rina?” Buru-buru dia bertanya. Tak sedap pula hatinya bila melihat mata Hatami yang tiba-tiba basah berkaca seolah-olah ingin menangis. Masakan suka-suka seorang lelaki mahu menangis kalau diberitahu tentang hal-hal yang biasa-biasa saja.
“Chom… Soya…”
“Chom? Kenapa dengan Chom? Apa yang jadi dengan Chom?” Tak keruan perasaannya bila nama Chomel yang meluncur dari mulut Tami. Janganlah apa-apa yang buruk terjadi pada gadis itu. Sempat dia berdoa di dalam hatinya.
“Ayah dia dah tak ada. Ayah dia dah meninggal.” Beritahunya lemah. Hubungan persahabatan yang akrab antara dia dan Chomel membuatkan dia pun turut terasa tempias kehilangan itu. Pedih rasanya untuk menerima berita yang baru Rina sampaikan itu.
“Innalillahiwainnailaihirajiun… kenapa?”
“Kemalangan katanya. Eh jomlah kita pergi melawat jenazah.”
“Kalau begitu kejap. Tolong aku kemas barang Tami. Masuk dalam van. Tak akan aku nak tinggalkan gerai aku ni macam ni saja.”

Monday, April 20, 2015

Novel : Kasut Hitam Topi Pink [1]

Bila cinta yang berkuasa,
Benci pun jadi suka...


“Weh nak ke mana? Awal lagi tak akan mau blah dah kut.” Tegurnya bila melihat temannya itu sudah berdiri.
“Banyaklah korang punya awal. Baliklah, boringlah layan kau orang. Aku sibuk ni tau.” Topi berwarna merah jambu yang tadinya diletakkan di atas meja diambil kembali. Terus disarungkan ke kepala.
“Sibukkan apalah kau tu Chom? Rilekslah lepak dulu. Bola tak habis lagi ni. Kau pun bukannya kerja esok nak balik awal. Kaukan masih penganggur terhormat.” Soya atau Sufian cuba memujuk.
“Entahnya kau ni. Tengah-tengah malam sibuk apa. Kau jangan nak ‘kencinglah’ Chom weh.” Sampuk Hatami pula.
“Eh banyak cakap pula kau dua orang ni. Macam mak nenek. Aku tak ada mood malam ni, nak balik awallah. Korang tu lainlah orang lelaki. Aku ni orang perempuan. Anak dara tak elok balik lewat-lewat malam. Kata ayah aku.” Bebelan yang terlalu kerap diberikan oleh ayahnya bila dia pulang lewat.
“Apa kau cakap Chom? Cuba ulang balik?” Soal Soya.
“Err yang mana yang kau nak aku ulang Soya oi?” Soal Chomel lurus.
“Alah yang kau tu orang perempuan, anak dara… Oh perempuan rupanya kau ya Chom, selama ni aku ingat kau anak jantan. Sedar juga diri kau. Hua… hua… hua…” Ketawa lantang bergema di kawasan kedai mamak itu.
“Kurang ajar kau Soya! Kenakan aku rupanya. Aku memang selama ini sedar diri apa yang diri aku ni perempuan tau.” Topi merah jambu di atas kepalanya ditanggalkan terus tangan dipanjangkan untuk mengetuk bahu Soya menggunakan topi itu. Namun lelaki itu pantas mengelak.
“Haha tak kena. Cuba kau cakap tang mana dekat kau yang kau sedar diri tu perempuan?” Soal Soya sinis.
Tang ni apa.” Topi berwarna merah jambu itu disuakan tepat depan muka Soya. Hanya beberapa inci saja mahu mengenai hidung mancung lelaki berkulit sedikit gelap itu.
“Ini kau kata bukti kau perempuan Chom? ALLAH, kau buat lawak tahap antarabangsa ke apa? Tami, Chom buat lawak.” Serentak ketawa mereka bergema lagi. Rina yang sedang menggigit straw tersenyum sumbing.
“Dari dulu lagi saya tak berkenan tau dengan warna merah jambu topi awak ni Chomel. Silau mata saya tau.”
Dia walaupun perempuan melayu sejati, lemah lembut dan masih mengekalkan jati diri sebagai perempuan timur bukanlah peminat warna merah campur putih itu. Siapa kata warna merah jambu sahaja yang menyerlahkan sifat perempuan? Sempat dia melirik kebaya berwarna biru yang tersarung di tubuhnya itu.
“Eh kau ni Rina, bukan nak back up aku, lagi dia tambah panas aku ni adalah. Apa punya kawanlah kau ni.” Chomel mendengus geram.
“Betul apa si Rina cakap tu. Geli aku tengok warna topi kau ni. Tukarlah warna lain. Kasi sesuai sikit dengan perangai rock badak kau tu.” Ujar Tami pula.
“Rock badak? Eh Tami kau kalau tak merosakkan bahasa boleh tak?”
“Itu bukan merosakkanlah Chom. Itu namanya kreatif tau.”
“Banyaklah kau punya kreatif Tami. Dengar dek cikgu BM kau mesti dia menangis sedih. Susah payah orang dahulu cipta bahasa yang cantik-cantik. Kau selamba saja ubah suai ikut suka kau. Cacamarba jadinya.”
“Weh Chom yang kau meleret sampai ke cikgu BM aku pun kau heret sekali kenapa? Sejak bila pula kau kisahkan bahasa ni?” Tami mengerutkan dahi.
“Dahlah malas layan kau orang. Sakit pula hati aku ni.”
“Weh rilekslah, sejak bila pula hati kau jadi lembut ni. Tak rocklah.”
“Dah… dah sambung esok ya. Melayan kau orang mahu sampai ke pagi aku tak balik tau. Weh Rina kau nak balik sekali ke tak? Takkan kau sorang saja nak melangut dengan budak dua ekor ni? Kau tu dahlah perempuan, tak manis orang tengok nanti tau.”
“Amboi mulut kau. Macam tapis koyak rabak ya? Sesedap saja kau ekorkan kami ni ya. Kami walaupun macam ni, tetap budiman apa. Rina kau lepak ah dulu, abaikan si Chom yang mula sedar diri dia perempuan tu.”
“Tak maulah Soya. Rina nak balik dengan Chomellah. Awak berdua lepaklah dulu.” Dia bangun.
“Weh.” Tami cuba menghalang.
“Dahlah Soya, Tami… chow dulu.” Terus berlalu.
“Kita balik dulu ya Tami, Soya… er terima kasih ya berlanja minum.”
“Hah kau ada janji nak belanja Chom dengan Rina ke Soya?”
“Mana adalah, bukan kau ke Tami?”
“Hah terkena sudah kita! Weh Chom!!!” Panggil mereka serentak pada Chomel yang sudah menjauh dengan diekori oleh Rina itu.
Chomel berpusing dengan senyum lebar terukir di wajah. Seronok dapat mengenakan lelaki dua orang itu. Sempat dia menjelirkan lidahnya sambil mengangkat kedua ibu jari tangannya kepada Soya dan Tami yang sedang memandang ke arahnya dengan wajah bengang.
“Tak baiklah awak kenakan mereka tu tau Chomel.”
“Kenapa? Alah bukan selalu. Padanlah muka dia orang. Mengata aku lagi. Rasakan.”
“Awak nilahkan Chomel.”
“Dah Rina, dah sampai rumah kau pun ni. Simpan esok-esok sajalah bebelan kau tu. Selamat malam. Bye.”
“Chomel… err awak marah ke?”
“Weh pernah ke aku marahkan kau Rina? Dah naik cepat. Karang kena kacau dengan Mat Bangla baru kau tau.”
“Oo… ok. Selamat malam Chomel.”
“Aku tak tahulah kenapa kaulah satu-satunya makhluk yang suka panggil nama penuh aku. Chom sudahlah…” Haisyh berapa kali marah pun dia panggil juga nama penuh aku. Taulah nama aku Chomel Mayesa Binti Maarof.
“Suka hati sayalah Chomel nak panggil awak macam mana. Comel apa nama awak tu Chomel. Hihihi…”
“Comel kau kata? Euuwwwwww… meremang bulu roma aku.”
“Dahlah awak ni tadi suruh saya naik cepat lepas tu awak ajak saya berbual pula. Mana satu awak ni Chomel?”
“Dia sebut lagi nama tu… Alahai… Dah-dah pergi naik cepat. Aku mengantuk dah ni.”
Dia menghantar langkah Rina dengan pandangannya. Semenjak berpindah ke sini, di kawasan deretan rumah kedai ini kira-kira 8 tahun lalu, Rinalah satu-satunya kawan yang rapat dengan dirinya. Sudi menerima dia seadanya. Mungkin sebab jurang keluarga antara mereka hampir sama. Mereka sama-sama merantau ke sini. Mencari rezeki di sini.

Friday, April 17, 2015

Novel : Kasut Hitam Topi Pink [Prolog]




“Bak sini air tu Rina.” Tanpa menunggu jawapan daripada Rina, Chomel sudah merampas cawan plastik lutsinar yang masih berisi separuh air soya itu.

“Chomel a…awak….”

Bulat mata yang sememangnya sudah bulat itu bila melihat Chomel yang sudah meluru ‘memandikan’ lelaki asing itu dengan air soya miliknya itu. Chomel… saya masih nak minum air tulah…. Namun hanya sekadar terluah di dalam hati sahaja.

“Aku tak tahu apa yang kau panaskan tentang aku ni tapi atas dasar simpati seorang manusia aku tolong sejukkan kau sebelum kau terbakar rentung!” Selamba cawan yang sudah kosong itu dihulurkan kembali kepada Rina dan Rina menyambut akur. Masih dalam keadaan kurang percaya melihat apa yang baru berlaku sebentar tadi.

“Woiiiiii basah baju aku!!!” Merah padam wajah Zaif dengan tindakan yang tidak dijangka daripada Chomel itu. Tak sempat nak elak. Betul-betul dia tak dapat nak menduga tindakan gadis itu.

“Padan muka. Wekkkk!” Chomel mengejek siap menjelirkan lidah tanpa ada sedikit pun riak bersalah di wajah.

“Woi perempuan kau jangan nak lebih-lebih.” Penumbuk sudah mula digenggam. Kaki sudah ringan melangkah. Bila-bila masa saja.

“Kenapa? Sakit hati? Dah tak tahan ya? Buatlah kalau kau berani? Kau ingat aku takut ke dengan kau tu.”

“Jangan cabar aku perempuan.”

“Manalah aku cabar kau. Kau tu yang tak berani. Mulut je cakap besar tapi pengecut. Sungguh sampai sekarang aku tak faham apa motif kau serang aku dekat sini ni. Kau ingat muka kau kacak sangat ke sampai asyik nak muncul dekat depan aku ni?”

“Pengecut kau kata aku? Eh kau ni memang nak kenalah. Jangan panggil aku Zaiflah kalau aku tak buat kau melutut dengan aku ni.”

Oh Zaif nama dia. Barulah Rina faham. Hurmmm tapi macam mana Chomel boleh kenal dengan dia ya?

“Hohoho… macamlah aku pernah panggil nama kau sebelum ni. Buat apa aku nak melutut dengan kau? Kau bukannya Tuhan untuk aku melutut dan sembah.” Chomel ketawa mengejek. Sengaja.

“Tak guna!” Zaif meluru mahu menyerang Chomel. Marah telah meranapkan akal warasnya kala ini.
Puk!!!

“Aduh!” Lantang dia menyerit bila terasa ada orang yang memukul kepalanya dari arah belakang.

“Kah! Kah! Kah! Apalah malang nasib kau ni Mat? Tadi kena mandi dengan air soya sekarang kau kena ketuk pula dengan handbag Channel. Aduhai sakit perut aku ni tau gelakkan kau.” Siap tekan perutnya lagi menahan ketawa yang rancak keluar.