iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Monday, January 21, 2013

Novel : Tiga Bulan [24] [25]





Bab 24
 
“You ni, asyik duduk melangut menongkat dagu termenung macam orang mati laki ni kenapa Dorynn? Buruk benor rupenya. Tu ha telefon dari tadi terjerit-jerit tapi you buat ‘dek’ je macam dia tak berbunyi. Haisy muda-muda lagi dah pekak ke?” Darius yang semakin hilang sabar dengan perangai Dorina yang dilihatnya semakin menjadi-jadi sehari dua ini menegur lancang.

Dorina memasamkan muka. Menjeling tajam kepada Darius. Hisy si lembut ni, bukan main lagi mulut dia. Sekali aku sumbat dengan tumit kasut ni karang baru tahu. Aku dahlah tengah susah hati yang memikirkan rancangan yang dibuat semakin menjauh daripada jangkauan.

“Sibuklah you Dar. Pergi buat kerja you jangan nak membebel dekat sini. Boss pun tak pernah marah I tau.”

“Boss tak pernah marah sebab dia tak nampak perangai sebenar you yang pandai berpura-pura rajin di hadapan dia tu. Eh dolphin ops silap Dorynn, you ni pergi kerja dengan niat apa ek? Untuk berkerja atau mahu menggoda boss? Tu bibir tu merah menyala dah cantik menawan dah tapi sayang you tu tak pandai senyum, cemberut berkerut macam muncung ikan lumba-lumba. I rasa ikan lumba-lumba lagi cantik dari you. Kesian boss dapat staff macam you.”

“Encik Darius, mood I tak berapa baik ni. Baik you jangan nak membebel-bebel depan I ni ok. Yang you tu spesis sotong tu tak sedar diri pula? Jalan melenggang terkedek-kedek serupa itik pulang petang. Cakap orang tapi diri sendiri sama saja.”

Darius mendengus geram. Huh siapalah lelaki malang yang menjadi laki perempuan ni. Langsung tak ada adab ketimuran. Cakap main lepas saja. Bila ditegur sepatah berpuluh patah pula dia jawab. Huh tak kuasa I nak layan eh. Buat habis air liur saja.

“Hah tahu pun you diam ya? I ingat you tak jumpa titik noktah tadi. Membebel tanpa henti. Buat sakit telinga I ni saja.” Dorina menyindir sinis bila melihat Darius yang terdiam mendengar kata-katanya yang sebentar tadi.

“I malas nak bertekak dengan you Dorynn. Menasihat you macam beri nasihat kat batu, langsung tak memberi kesan. Kalau macam ni sikap you memang sampai ke tua pun tiada siapa yang nakkan you Dorynn kalau you tak berubah.”

“I berlaki ke tak ke, bukannya urusan you pun.”

“Memang pun…”

“Hah kalau dah tahu tu yang you sibuk mengata I kenapa? Paku dulang paku serpih, kata orang sendiri yang lebih tak tau pula. Umur dah hujung-hujung 30 puluh tapi masih single lagi di status dia tu tak sedar pula.” Dorina mencebikkan bibir geram dengan perangai kaki sibuk Darius itu. Sudah lama dia kurang berkenan dengan perangai Darius itu. Jauh berbeza dengan Wan Nazarielnya, yang sentiasa dipuja siang dan malam serta siap termasuk dalam mimpi malamnya lagi.

“Amboi apa ke hal riuh sangat ni? Dah macam Pasar Borong Selayang dah gamatnya office ni. Eh Dar you tak ada kerja ke nak dibuat selain daripada ‘bermesra’ dengan si Dorynn ni?”
“Huh Maria, you tak sayang mulut ke tu? Banyak lagi kerja yang I boleh buat selain daripada nak bermesra dengan minah-perasan-cantik-ni Maria oi. I tegur dia yang asyik berangan tak ingat dunia tu, sudahnya dia marah I balik. Macam ni punya orang pun ada. Apalah yang boss kita pandang dengan dia ni. Buat kerja kurang tapi make-up je lebih.”

“Huh apa dia ingat dia tu baik sangat ke mengata I macam ni. Lebih-lebih tau si sotong ni Cik Maria. Ikutkan marah I ni, rasa nak cili-cili je mulut dia tu. Biar tak boleh bercakap setahun.”

“Sudah-sudahlah tu kalian berdua.” Maria menegur mengeraskan suara. Mula tidak betah melihat perangai Darius dan Dorina itu.

Hairan, kenapa dengan Darius gadis itu langsung membiarkan perangai lepas lakunya itu terserlah? Kalau dengan Wan Nazariel mahupun dengan staff-staff lelaki lain perangai Dorina langsung berubah 100%, lemah lembut manja dan menggoda. Tipulah kalau lelaki normal yang punya nafsu tak terliur. Dia mengeleng-gelengkan kepala. Susah nak faham dengan mana satu perangai sebenar Dorina itu. Kadang-kadang boleh jadi terlalu lemah-lembut, kadang-kadang boleh jadi seperti singa lapar, menyinga saja taunya bila ditegur.

“Huh!” Dorina mendengus kasar.

“Eleh!” Darius membuang pandang ke arah dinding. Andai dibandingka muka Dorina dan dinding ni, aku rasa dinding ni lagi lawa dari dia. Sempat juga dia mengata gadis itu.

“Dah pergi sambung kerja you Dorynn… Dar bukan I dengar you ada meeting ke setengah jam lagi?”

“Ha’ahlah Maria, nasib you ingatkan I, melawan si dolphin ni buat I jadi pelupa.” Jam yang berada dipergelangan tangannya itu dikerling.

Menyinga Dorina mendengar gelaran yang sengaja diberikan oleh Darius itu. Laju jemarinya mencapai sepatang pen yang terdapat diatas meja dan laju juga dia melemparkan pen itu ke arah lelaki itu. Sayang balingannya tak kena dan tersasar ke tubuh seseorang. Glup! Pucat wajahnya bila melihat wajah ‘mangsa’ keadaannya.

Darius yang pada mulanya ketawa, kononnya meraikan kemenangan itu terhenti kalut. Pucat semerta wajahnya, 2x5 seperti wajah Dorina.

“Hai saya rasa saya menggajikan pekerja dewasa, bukannya yang seusia dengan kanak-kanak tadika.” Dato’ Wan Nazri menegur sinis. Pen yang tadinya tepat mengenai batang hidungnya dan terdampar berhampiran kakinya itu dikutipnya.

Huh nasib baik kena hidung, kalau kena mata mesti buta sebelah dah ni. Sempat hatinya berbisik lega.

“Da… Da.. Dato’… ma.. ma.. afff” Tergagap-gagap Dorina memohon maaf. Kecut juga hatinya melihat raut serius bapa kepada Wan Nazariel itu.

Padan muka kau Dorina. Maria mengulum senyum melihat kekalutan yang terlakar jelas di raut putih melepak Dorina itu.

“Lain kali kalau nak bergurau-gurau pun jangan baling pen ni tau. Pen ni tak bersalah, yang bersalah orang, lagipun bahaya tau. Kalau kena betul mata tadi dah buta saya ni. Haisy hilang kacak dah. Silap-silap Datin cari yang lain nanti. Kesian saya.” Sempat menyelitkan jenaka dalam pada dia menegur sikap pekerjanya.

Memang itu caranya. Begitulah selalunya kalau dia menegur pekerjanya. Lembut dan berhemah. Tak berminat melenting, menggunakan kekerasan dan mungkin itulah sebabnya ramai yang menyertai syarikatnya mampu bertahan lama sampai ke umur bersara.

“Hah Maria, yang kamu tekup-tekup mulut tu kenapa? Nak gelak lepas sajalah. Tak payah cover depan saya ni.”

“Errr tak… tak adalah Dato’… Mana ada saya nak gelak.” Laju dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Walaupun bekas majikannya itu seorang yang sporting. Belum pernah terlintas dalam fikirannya untuk lepas laku di hadapan lelaki itu.

Wajah Dorina yang kemerah-merahan terkulat-kulat selepas ditegur itu direnung lama. Darius tersenyum sinis dalam diam. Tulah ada hati lagi nak baling dekat aku. Kan dah kena dekat orang lain.

“Err ada apa Dato’ ke sini?” Maria menyoal sengaja cuba menghidupkan suasana yang tiba-tiba menjadi sepi.

“Saja… Anak sayakan tengah bercuti, jadi sementa dia bercuti tu biarlah saya tengok-tengokkan company ni bagi pihak dia. Ada yang tak beres ke Maria? Client kita macam mana? Setakat ni ada yang tak boleh diuruskan?” Berpuluh tahun dalam bidang perniagaan bermacam ragam yang dia jumpa, namun setakat sehingga ke hari ini belum ada lagi ragam yang tak mampu dihadapinya.

“Hmm setakat ni semua berjalan lancar. Tak ada masalah. Usahlah Dato’ risau sepanjang ketiadaan En Zariel ni insya-ALLAH saya, Darius, Dorina dan staf yang lain akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa. Betul tak Dar?”

“Ha’ah!” Laju mengangguk.

“Bagus, gembira saya mendengar kata awak tu Maria. Bangga saya ada pekerja berdedikasi seperti kalian semua. Senang hati saya kalau begitu.”

“Err terima kasih Dato’, malu kami dipuji.” Serentak Maria dan Darius bersuara.

“Ha kalau begitu saya minta diri dululah. Ada janji dengan Datin nak lunch sama-sama. Nanti lewat merajuk pula dia. Selamat berkerja kamu semua. Kalau ada apa-apa yang tak beres boleh hubungi saya terus. Maria awak taukan macam mana nak hubungi saya?”

“Tau Dato’…” Laju dia menjawab.

“Bagus. Ha Darius you pun sama. Pergi buat kerja you jangan asyik nak mengusik anak dara orang saja.”

“Er ya-ya Dato’…”

“OK saya balik dulu. Lewat dah ni pun. Habislah saya kena leter dengan Datin tu nanti. Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam…” Serentak masing-masing menjawab bersama hembusan nafas lega keluar daripada rongga hidung masing-masing. Nasib baik.


 Bab 25

Yess! hari yang membencikan semakin berakhir. Dia menyanyi-nyanyi kecil sambil tangannya lincah melipat pakaian-pakaiannya dan memasukkan ke dalam beg. Hari ini hari yang terakhir mereka berada di sini.

Ah, semuanya dah siap. Dia tersenyum sendirian melihat kerjanya yang sudah pun berjaya dibereskan. Lelaki itu masih berada di dalam bilik air. Huh mandi mengalahkan orang perempuan, berjam-jam lamanya. Sempat hatinya mengomel.

Awal lagi ni, baru pukul 8 lebih. Dia melihat jam yang tergantung di dinding. Ah ada baiknya aku pergi jalan-jalan dulu. Kalau tunggu mamat tu bersiap, satu pulau ni pun aku sempat nak pusing.

Dengan langkah yang terjingkit-jingkit dia menuju ke arah pintu. Tak mahu Wan Nazariel sedar akan kepergiannya. Tak mahu perkara beberapa hari yang lalu berulang kembali. Tak ada privacy langsung. Aku nak ke mana-mana pun tak boleh. Asyik ada saja muka dia mengekori aku ni. Berhati-hati dia memulas tombol pintu.

Toleh kiri, toleh kanan, pandang depan, pandang belakang, yes.. dia tak sedar, apa lagi, pecutt... zoommm.. Dia berlari menjauh daripada bilik penginapannya. Mesti lelaki tu tercari-cari ke mana aku pergi nanti. Padan muka dia. Sengaja telefon bimbitnya ditinggalkan dalam bilik.

Lawanya cengkerang siput ni. Dia mula terleka mengutip kulit-kulit siput yang bertaburan di gigi air di tepi pantai itu. Semakin lama semakin jauh langkahnya daripada orang ramai dan dia sendiri tak perasan.

“Wow.. weh awek cunlah." Tiba-tiba ada satu suara sengau menyapanya.

Nuriz tersentak, serentak baru dia tersedar akan keadaan di sekelilingnya. Dia bersendirian kini dan dikelilingi oleh tiga lelaki yang tidak dikenali. Biar betul? Kenapa aku tak sedar dari tadi yang aku dah semakin menjauh daripada orang ramai.

“Ini kalau buat kenduri ni mesti sedap ni geng.” Sambil menjilat bibir sendiri si lelaki jongang itu menghampirinya. Nuriz mengundur setapak ke belakang.

Apa aku nak buat ni. Call polis! Ya, tangannya kalut menggagau ke dalam saku seluar jeans yang dipakainya. Kiri dan kanan. Mencari telefon bimbitnya, tapi tak ada.

ALLAH, jantung semakin berdegup kencang, resah dan bimbang menyatu dalam dirinya. Kan tadi aku tinggalkan handphone tu di dalam bilik. Ha kononnya mahukan sedikit privacy, sekarang siapa susah kalau berlaku benda yang aku tak jangka? Diri aku sendiri juga. Hati mula berbisik kesal dengan tindakannya sebentar tadi.

Macam mana ni? Dia mula mencari akal untuk melepaskan diri. Mereka bertiga ni memang tak ada kerja lain ke nak dibuat? Dia menggetap bibir, merenung satu persatu wajah-wajah di hadapannya. Ni kalau aku jerit ni, agak-agak ada yang nak dengar tak? Dia bermonolog sendirian.

            “Tolong..!!!!” Jeritnya sekuat hati.

“Haha jeritlah sampai tercabut anak tekak kau pun, takkan ada yang nak dengar jeritan kau tu tahu tak?” Mereka bertiga ketawa serentak, mengejek.

“Hah apa lagi yang korang tunggu, siapa dulu ni? Aku dululah ya, sebab aku lebih tua sikit daripada korang berdua.”

Apa maksud mereka siapa dulu ni? Nuriz masih lagi tak faham.

“Tolong jangan apa-apakan aku, kalau korang nak duit ambillah tapi jangan buat apa-apa pada aku.” Terketar-ketar dia ketakutan mula menguasi diri. Manalah tahu kut-kut mereka masih punya hati nurani, terpujuk dengan rayuannya.

“Duit pun kami nak, engkau pun kami nak sekali! Amacam boleh tak? Hahaha…” Lantang lelaki itu bersuara. Mungkin dia ketua dalam antara mereka bertiga. Paling banyak bercakap dan paling ganas mukanya dengan mukanya yang berparut di sana sini.

Gila ke apa mereka ni? Ke mereka ni tak siuman? Nuriz mengundur diri, bila selangkah mereka mendekat, selangkah pula dia berundur. Wajahnya sudah pucat, ya ALLAH kalaulah aku tahu ini akan berlaku, aku lebih rela tak ada privacy, diekori oleh lelaki itu setiap masa daripada perkara ini terjadi pada aku, hati berbisik kesal.

Entah apa malanglah nasib dirinya dalam waktu kritikal ini ketika dia sedang berundur daripada terus didekati oleh lelaki-lelaki itu entah macam mana kakinya tiba-tiba tersadungkan sesuatu. Tunggul kayu ataupun batu barangkali. Tak sempat nak lihat dia sudah pun terlentang di atas hamparan pasir itu. Melihat dirinya yang sudah terjatuh, seolah menjadi peluang keemasan pula buat ke tiga-tiga lelaki itu. Salah seorang daripada mereka terus menerkamnya rakus seperti harimau yang kelaparan lagaknya.

“Lepaslah!!” Dia cuba meronta-ronta dan menjerit sekuat hatinya.

“Diam! Aku Cuma nak bagi kau seronok-seronok ni!” Tengking lelaki itu kuat. Berdesing telinganya.

Gila! Sedang dia berusaha melepaskan dirinya, tangannya tiba-tiba laju membalingkan pasir yang berada dalam genggamannya terus tepat mengenai mata lelaki itu, menyebabkan lelaki itu menyeringai kesakitan. Terus tubuh yang menindih dirinya itu ditolak kuat, sehingga lelaki itu jatuh terlentang. Cepat-cepat dia bangun melarikan diri. Nasib baik juga aku pakai seluar, kalau buatnya aku bergaun ke kan susah tadi.

“Kejar perempuan tu cepat! Jangan bagi dia lepas. Tak guna! Memang nak mampus perempuan ni!” Lelaki itu mula mengarah rakan-rakannya dalam pada mulutnya menyumpah seranah tidak puas hati dengan tindakan Nuriz yang berani itu.

Baru beberapa langkah dia merasakan tubuhnya bebas, dirinya telah dicekup kembali.

“Bodoh! Kau nak lari mana hah?” Laju tangan lelaki itu menempeleng wajahnya kuat, membuatkan dia jatuh tersungkur, berpinar pandangannya dirasakan seketika.

Dapat dirasakan pakaian yang tersarung ditubuhnya dikoyakkan ganas.

“Hoi!! Tak ada benda lain ke korang nak buat selain nak menjahanamkan hidup orang?” Tiba-tiba ada satu garau menegur kuat. Suara tu, ya dia kenal suara tu.

“Wah ada hero datang nampaknya.”

“Hero kepala otak engkau, tu bini aku yang korang lanyak tu.”

Dapat dilihat jelas wajah Wan Nazariel yang sudah bertukar rona. Bengis! Marahkah lelaki itu pada dirinya atas tindakan pendek akalnya sebentar tadi atau pada manusia-manusia tak guna itu?

“Wah lagi menarik ni. Kalau begitu apa kata kau tengok bini kau buat show dengan kita orang, nak tak?” Ejek lelaki itu.

“Kurang ajar kau!” Sabarnya telah berterbangan jauh kini. Terus meluru ke arah lelaki yang biadap itu. Seperti aksi kungfu China lagaknya, penerajang sulongnya hinggap tepat pada perut lelaki itu. Tersungkur jatuh lelaki itu dengan darah menyembur keluar daripada mulutnya. Balasan yang setimpal atas kelancangan mulutnya sebentar tadi.

Melopong Nuriz. Wah ganas juga ya suami aku. Hebat. Sempat dia memuji di dalam hati dalam pada keadaan dirinya yang masih lagi separuh mamai itu. Penangan ditempeleng tadi masih belum hilang sepenuhnya.

Melihat kawan mereka sudah rebah tumbang, jatuh tergolek, kedua-dua lelaki itu menerpa serentak menyerang Wan Nazariel tapi sempat dielak. Akibatnya mereka berdua bertembung sesama sendiri, pada bahagian kepala pula tu. Auww mesti sakit tu.. fikir Nuriz dalam hati.

“Oii kau tak apa-apa ke?” Terus meluru kepada Nuriz, cemas sekali lagaknya. Tangannya perlahan menyentuh pipi gadis itu yang memerah, memeriksa kecederaan Nuriz.

“Aa.. saya ok ni, tak apa-apa. Awak jangan risau.”

Eii terkejutnya tengok dia ambil beratkan aku ni. Terasa hangatnya sentuhan tapak tangan lelaki itu dipipinya

“Sengal.” Tiba-tiba Wan Nazariel menunjal lembut dahi Nuriz.

“Apasal pula kata saya begitu?” Soalnya tidak berpuas hati. Sekejap je tunjuk perangai caring dengan kita, lepas tu tunjuk balik perangai nak cari gaduh dia. Apa punya lelakilah dia ni. Tak romantic langsung. Hati mula berbuku dengan tindakan lelaki itu.

“Lain kali buatlah lagi perangai akal pendek kau tu, kalau aku tak sempat tadi macam mana? Kalau aku tak dapat ekori kau tadi macam mana? Keluar senyap-senyap konon…” Bebel lelaki itu.

Sorry…” Antara dengar dan tak dengar saja suaranya memohon maaf.  Sedar akan keterlanjuran sikapnya sebentar tadi.

“Sorry-sorry itu sajalah kau tau. Pergi naik lorry sampahlah.. huh! Dah bangun cepat, sebelum mereka tu semua sedar.”

“Zariel!” Nuriz menjerit kuat tiba-tiba.

“Apanya? Kau nak...” Tak sempat nak habiskan ayatnya, tubuhnya telah ditolak oleh Nuriz dengan kuat. Jatuh terlentang dia di atas hamparan pasir. Ptuih!! Terasa ada pasir melekat di hujung lidahnya.

“Kau kenapa tol.. Riz!!!”

Tersentak melihat Nuriz yang terlentang ditindih oleh salah satu daripada 3 lelaki tadi. Berlumuran darah dengan sebilah pisau terpacak didadanya.

“Ya ALLAH!!! Sial! Mati kau tak guna!” Bagai dirasuk dia menarik tubuh lelaki itu, ditumbuknya bertubi-tubi sehingga tangannya sendiri terasa sakit, tapi dia tak peduli..

“Zariel..” Terhenti perbuatannya. Perlahan nada panggilan itu tapi dapat didengar oleh telinganya.

“Nu… Nuriz, kau tak apa-apakan?” Terus dipangkunya kepala gadis itu. Dikuis anak rambut yang sedikit menutupi wajah gadis itu. Nampak lemah dan seksa dengan lelehan darah di bibir dan hidungnya.

I'm sorry.. Kali ni saya betul-betul minta ma… maaf. Sa… saya janji ta… tak buat lagi ma…cam ni. “ Lemah suaranya. Meminta maaf untuk kesekian kalinya atas masalah yang dicipta tanpa dia sengaja.

No.. no jangan minta maaf dengan aku Riz. Aku yang silap, sepatutnya aku tak perlu marahkan kau tadi  Riz.”
Rasa kesal mula bertandang dalam dirinya. Kerana marah dengan perbuatan gadis itu dia menjadi alpa dan lalai. Tangan kanannya terketar-ketar mmenyeka darah yang mengalir di bibir Nuriz itu.

Sakitnya… Nuriz mengeluh di dalam hati. Matanya juga dirasakan semakin berat untuk dibuka. Agak-agaknya lepas ni aku mampu celik lagi tak ni? Hati sempat bertanya bimbang dengan kebarangkalian yang akan berlaku.

“Riz…” Semakin risau bila melihat mata gadis itu yang semakin layu.

“Saya o..ok. Awak ja..ngan bimbang, cu..cu…ma  letih. Sa..ya nak rehat sekejap bo…bo…leh? Nak tidur kejap boleh t…ak?” Terus saja matanya terpejam rapat seusai ayatnya. Dia betul-betul tak berdaya kini.

“Riz.. bangun Riz, Riz!! Kenapa kau degil?? Aku tak benarkan kau tidur. Aku nak kau berjaga. Buka mata tu. Aku kata bangun tu bangunlah. Cuba kali ni kau dengar cakap aku boleh tak?” Seperti hilang akal dia menjerit kuat mengoyang-goyangkan tubuh Nuriz yang terkulai lesu itu. Akhirnya dia terjelepok lemah dengan kepala gadis itu rapat didadanya. Tanpa sedar air matanya mengalir deras dipipinya.

Tak tahulah berapa lama dia di situ sehinggalah dia terasa ada orang menyentuh bahunya. Memanggilnya perlahan.

“Encik…”

            Tersentak bila mengangkat mukanya. Keadaan sekeliling yang tadinya sunyi sepi kini telah bertukar hingar bingar. Dia pun tak sedar bila masanya mereka-mereka itu tiba, dan bila masanya ke tiga-tiga lelaki itu ditahan dan siapa yang memanggil polis.

12 comments:

Unknown said...

hilang rindu akk kat n3 u dek...tq sesangat u up dua bab sekali..hihi puas cikit akk baca dek.. tapi sedeh nyer bile nuriz jd cam tuh.agar musibah tu dapat mengukuh kn hati zariel sebagai suami nuriz..terima nuriz seada nyer...sampai bile nk rase bahgia,asyik jurang kebencian jer dicipta...nk baca kisah zariel n nuriz sweet2 plak lh pasni dek..cian sngt kat nuriz asyik di timpa malang jer...

aida_burn said...

huhuhu akhirnya ... ini pendapat saya ...minta maaf dulu kat penulis yer ... bab 24 jalan cerita dier ok tapi mcm panjang sgt utk watak Doryn yg just selingan jer ... xsepatutnya satu bab utk watak dier n watak tambahan... Bab 25 ok ... harap with this musibah spt kak norihan mohd yusof said harap zariel dpt terima nuriz sbg isterinya ... n protect her n start loving her...

Unknown said...

Lamanya menunggu sambungan n3.. By the way TQ utk n3 ni walaupun suspen giler dah ni.. :D
Harap2Nuriz selamat!

Unknown said...

Lamanya menunggu sambungan n3.. By the way TQ utk n3 ni walaupun suspen giler dah ni.. :D
Harap2Nuriz selamat!

Deanna Jaafar said...

tahniah. awak mmg penulis yang berbakat!gud luck :)
Kisah Saya & Shaklee

fara said...

Salam cik nuril,
Bila nak update n3 terbaru nih? Lama dh hamba menunggu...

fara said...

X de n3 br ke? Ari2 sy log in...keciwa la

fara said...

Putus ada den ngan blog ni...dh 2 bln x de apa2

Miztiq Brown said...

Sambung lagi.hehe.x sabar nak tau.

Hanae said...

wuarghh..... mane sambungan saya x sabar2 nak bace ni .................. huhuhuhuhuhu dahlah dekat episod suspen nihh

Unknown said...

nape tk de n3 baru dek...tempek lh akk dh rindu ngan nuriz ngan zariel...pleaseeeeee lh dek....hehe merayu betul2 akk nih...

Axis Capital Holdings Limited said...

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, jadi Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com


Asa loan lending company are ready to loan you any amount you need to start up your personal business. we give out loan at 3% interest rate, so Kindly apply for agricultural farming loan. if you need loan contact our email:asaloantransfer@gmail.com, you can also contact this email:finance_institute2015@outlook.com