Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin & Nuril Razi, dan penulis langsung tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, kecuali pada blog laman Penulisan2u. Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah anda dapat MEMADAMKAN daripada blog anda, sebelum saya mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah anda berikan.

Sahabat (^.^)

iklaneka

Novel : Cerita Serupa Kita [14]

>> Tuesday, November 19, 2013

Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah membaja sayang...

Beg tangan Coach pemberian Zafri itu dicampaknya kasar ke atas meja kaca yang terdapat di ruang tamu rumah sewanya itu. Rumah sewa yang diduduki sementara sebelum dia bernikah dan tinggal bersama dengan lelaki itu, rancangnya. Tubuhnya didudukkan kasar pada sofa merah yang terdapat di situ.

Marah dan sakit hatinya kepada lelaki itu masih bersisa. Sudahlah lambat datang dan kerana kelambatan itulah jadual kerjanya lari. Janji dengan majikannya hanya mahu cuti half day saja, tapi jadi satu hari pula. Sudahnya habis bingit telinganya mendengar ‘kicauan’ majikannya itu di telefon bimbitnya. Semuanya salah lelaki itu. Bila diusulkan kepada lelaki itu boleh pula lelaki itu mencadangkan agar dia berhenti kerja.

“You tak payah kerja. I mampu apa nak tanggung you.” Balas lelaki itu dengan riak selamba tidak bersalahnya.

“Amboii banyak lawa mulut you bercakap. Kita ni belum jadi suami isterilah. I bukan tanggungjawab you lagi dan yang paling utama siapa akan tanggung keluarga I kalau I berhenti? Tak akan nak harapkan kakak seorang pula. Kesianlah dia. Harapkan pencen ayah berapalah sangat. Sudahlah kami berdua saja anak mereka.” Panjang bebelannya siap sekali diserikan dengan jelingan tajam lagi membidas lelaki itu.

Memang begitulah kalau moodnya tak berapa baik. Pantang tercuit sikit cepat sangat perasaannya berapi.

“I cadangkan sajalah sayang. Janganlah marah.” Senyuman manis sengaja dihiaskan ke wajahnya.

“You tu memang. Selalu saja bergurau tak kena tempat.”

“Aik habis tempat mana yang sesuai untuk kita bergurau Erin?” Buntang matanya.

“Sudahlah Zaf, ni muka you lebam-lebam ni kenapa? Masakan you jaga bonda sampai bengkak-bengkak begini? You ada bergaduh ke apa semalam?” Soalnya curiga.

“Apa ni Erin, gaya you cakap macam you tak percayakan I pula.”

“Yalah… Semalam you janji dengan I mahu rehat awal, tidur awal. Petang waktu kita jumpa pun muka you tak adalah bengkak-bengkak begini. Ini dah macam samseng saja. Segan pula I bila perasan orang asyik pandang you. Gaya macam I keluar date dengan samseng ketua kongsi gelap pula.”

“Amboi mulut you. I jatuhlah dekat bilik air.”

“Jatuh bilik air? Haisy macam budak-budak pula you ni. Jalan pun tak betul.”

“Macam mana I jadi tak betul. Kalau you asyik tak ada di sisi I saja. Kecik hati I tau you kata I dah macam samseng.”

“Baguslah you ada rasa kecik hati. I ni betul-betul sakit hati tau. Eh biar I call bonda tanya keadaan dia.” Telefon bimbit dikeluarkan daripada beg tangannya. Apa kata aku telefon auntie Wan Zubaidah tu, boleh juga tahu lelaki ini bercakap benar atau tak.

“Jangannnnn!”

“Hah kenapa pula Zaf? Tak akan berbual dengan bakal bonda mentua I pun tak boleh?” Dia bertanya tidak puas hati.

“Eh boleh, siapa kata tak boleh sayang tapi sekarang ni bonda perlu rehat. Doktor tak bagi dia diganggu.” Laju dia memberi alasan. Bimbang juga rahsia dia malam tadi terbongkar. Kalau terbongkar habis musnah segala rancangannya yang telah diatur rapi sebaik-baik mungkin.

“Huh yalah tu. Sudahlah malaslah nak layan you Zaf.”

Dia membentak terus melangkah jauh.

“Alah sayang tunggulah I .”

Belum beberapa langkah dia dapat merasakan tangannya diraih dan dia ditarik, dibawa masuk ke sebuah butik barangan wanita yang tertera perkataan COACH di Sunway Piramid itu.

Huh kenapalah lelaki ini selalu fikir nak pujuk wanita ni mudah. Manjakan mereka dengan kemewahan. Kalau perempuan lain mungkin mereka sukalah tapi kalau aku… hummm. Dia mendengus. Beg tangan yang dicampaknya tadi diambilnya kembali. Dibelek-beleknya seketika. Hummm empat ribu ringgit harganya. Lelaki ini memang tak sayangkan duit atau sengaja nak menunjuk dia banyak wang dengan aku ni?

 Eh tak baik bersangka bukan-bukan Erin. Diakan sayangkan kau tu sebab dia tak lokek nak berbelanja untuk kau. Beg tangan itu diletakkan ke atas ribanya. Fikirannya mula menerawang pada seseorang.

Apa yang agaknya yang kakak tengah buat sekarang ni? Tiba-tiba teringatkan Leila Suria. Sudah lebih seminggu tidak mendengar khabar daripada kakaknya semenjak peristiwa hari itu. Adakah kakak sedang giat berusaha demi memastikan keinginannya untuk berumah tangga berjaya. Telefon bimbitnya dicapai, butang dail pantas nombor 2 ditekan. Sesaat talian sudah bersambung.

“Kakak.” Serunya bila dia mendengar talian diangkat.

“Hah adik nak apa?”

“Uik! Macam tak suka saja adik call kakak.” Agak berjauh hati.

Biasanya tu bukan main seronok lagi kalau aku telefon. Bukan main marah saja lagi kalau aku main terjah bercakap dengannya tak bagi salam dengan dia. Ini hari lain pula. Marah pun tak, tapi… suara macam orang keletihan saja bunyinya. Masakan kakak baru habis kerja? Isk kakak ni kalau asyik kerja saja bila masanya dia ada waktu keluar mencari bakal abang ipar aku? Bebel hatinya tak puas hati.

“Bukanlah… kakak cuma letih. Baru balik ni tau, jumpa dengan bakal abang ipar adik tu. Opss!” Terlepas cakap sudah.

“Apa kakak? Abang ipar? Ehehe kakak dah jumpa calon ya? Ini yang buat adik sayang lebih dengan kakak ni.” Berbunga ceria hatinya bila mendengar keterlanjuran kata kakaknya itu.

Keterlanjuran kata yang membahagiakan. Rasa sekarang juga dia mahu putuskan perbualan mereka ni dan menelefon Meor Zafri untuk menyampaikan khabar gembira kepada lelaki itu. Yes! Impian nak menjadi Mrs Zafri hampir terlaksana. Hatinya menjerit girang.

“Huh dengar macam tu terus cakap sayang ya dengan kakak?” Sebenarnya dia masih lagi sukar menerima kenyataan yang lelaki itulah sebenarnya ‘R’nya. Macam tak percaya pun ya juga.

Kalau dibanding dia dan lelaki itu, jauh sangat bezanya. Macam langit dengan bumi gitu. Tapi bila mendengar nada bersungguh yang keluar dari mulut lelaki itu, hatinya menjadi lembut dan mula yakin perasaan lelaki itu kepadanya benar-benar tulus.

“Yalah bukan senang nak dengar kakak cakap dah ada boyfriend ni. Selalu tu adik saja yang asyik cerita pasal lelaki ni.”

“Dah adik tu playgirl, memanglah asyik cerita pasal lelaki saja.” Sempat disindirnya si adik.

“Eleh itu dululah. Sekarang adik dah pencen dah. Setia dengan Zaf seorang saja dah. Dialah bulan bintang adik, angin ribut petir adik, gula garam adik, pelengkap hidup adik. Bak kata oranglah, cinta sejati adiklah kiranya ni.”

“Amboi adik… belum lagi bersama beranilah cakap begitu. Jangan esok bila dah duduk bersama dah berumah tangga bila sikap sebenar dah keluar adik menyesal tak sudah. Waktu tu kakak dah tak boleh nak tolong apa dah.” Dia mula membebel menasihati Lily Serina.

“Alah kak. Adik yakinlah… Zaf tak akan macam orang lain. Adik percaya Zaf yang adik kenal nilah yang adik akan jumpa bila adik dengan dia dah diijabkabulkan. Inilah sikap sebenar Zaf. Adik yakin sangat adik akan bahagia kalau dapat hidup dengan Zaf.”

“Adik jangan terlalu yakin sangat. Sedangkan pantai lagikan berubah bila dipukul ombak inikan lagi manusia yang perasaannya sentiasa goyah bila tidak dibekalkan dengan iman yang tebal.”

“Kakak ni! Macam tak suka pula dengan Zaf tu. Ada saja kakak nak buat bahan untuk tepis pujian adik pada dia.” Ada nada rajuk yang kedengaran di mulut Lily Serina itu.

“Adik… kakak ni bukan tak sukakan dia. Kakak cuma nak adik beringat. Jangan sebab adik dah cintakan sangat dengan dia sampai adik butakan segala kepincangan dia. Hidup berumah tangga ni bukan senang dik oi. Kalau senang dah lama kakak terkinja-kinja nak kahwin tau. Hidup berumah tangga ni kena ada banyak sabar bila diuji. Tak boleh nak mudah melenting. Kena lebih bertegas walaupun kita sayangkan sangat pada suami kita ni. Kena ada sedikit perasaan curiga kepada pasangan kita supaya kepercayaan kita tak dikhianati.”

“Amboi! Gaya kakak ni bercakap macam kakak pernah berumah tangga pula dia. Dahlah ubah topik. Adik call kakak ni bukannya sebab nak dengar kakak bebelkan adik ni. Ha bila kakak nak bawa balik bakal abang ipar adik tu dan tunjukkan pada ibu dan ayah?” Soalnya mengubah fokus bebelan si kakak.

“Tengok, kakak cakap sikit saja adik dah kakak membebel. Kakak ni sayangkan adik. Tak mahu adik salah buat keputusan. Hurmmm tengoklah seminggu dua nanti kakak bawa dia jumpa ibu ayah kita. Tak tahulah ibu ayah boleh terima ke tak dia.” Risau pula dia akan penerimaan Mak Lydia dan Pak Salleh terhadap lelaki itu.

“Kenapa pula kakak cakap macam tu? Eh dia bukan lelaki baik-baik ya? Jangan-jangan kakak upah dia kahwin dengan kakak ya?” Berserkap jarang membidik si kakak.

“Mana adalah! Adik nilahkan. Ingat kakak ni banyak duit sangat ke sampai nak upah-upah orang?”

“Manalah adik tau, kakak tu kan gaji besar. Zaman sekarang ada duit semua jalan tau eh habis tu? Kalau dia memang orang baik-baik apa yang kakak nak risaukan? Adik yakinlah ibu dengan ayah tak akan menghalang punya calon kakak tu. Apatah lagi mereka memang dah tunggu lama sangat kakak tamatkan zaman bujang kakak yang dah hampir nak expired tu.”

“Apa adik cakap? Cuba ulang balik? Oh cakap kakak ni hampir nak expired ya? Bertuah punya adik. Nasib tak ada depan mata ni kalau tak dah lama mulut adik tu kakak cilikan. Biar padan dengan muka tu.”

Lily Serina ketawa besar mendengar kemarahan Leila Suria di hujung talian.

“Sebab tak ada depan akaklah adik berani nak cakap kakak macam tu. Hihi.”

Memang biasa begitulah halnya mereka berdua. Berbicara, berbincang, dan usik mengusik sampaikan kadang tu siap bergaduh-gaduh lagi. Lumrah adik beradik macam tulah. Agaknya selepas ni masihkah mereka berdua dapat bergurau senda lagi andai sudah hidup memegang status isteri orang? Tiba-tiba Leila Suria rasa sebak.

Cepat sangat masa berlalu. Lily Serina yang dahulunya kecil dan sentiasa mahukan dia berada di sisinya kini sudah dewasa dan sudah mahu menamatkan zaman bujang. Kalau inilah caranya untuk buat adik bahagia, kakak rela turutkan kemahuan adik tu. Tekad hatinya.

“Eh diam pula kakak ni. Kakak marahkan adik ke?” Risau pula akan gurauannya mengguris hati si kakak.

“Eh tak adalah. Kakak letihlah adik. Kakak nak rehat. Nak mandi dulu. Kakak tak isyak lagi ni.”

“Ok kakak.” Lega mendengar Leila Suria tak tercuit dengan gurauannya.

“Jaga diri adik. Ada masa call kakak lagi. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam kakak.”

Lapang perasaannya bila dapat berbicara dengan saudara sulongnya itu. Sebal perasaannya tadi juga sudah sirna. Ah aku pun belum isyak lagi ni. Bingkas dia bangun capai segala barangnya untuk dibawa masuk ke bilik. Dia perlu membersihkan diri dan menunaikan solatnya.

******

Dia duduk berjuntai kaki di balkoni biliknya. Badannya disandarkan pada tiang yang terdapat di situ. Angin malam menampar lembut menyapa tubuhnya yang hanya bersarung singlet hitam dan berseluar pendek tiga suku itu.

Ah… Dia mendengus. Tak tahu untuk kali keberapa dengusan itu. Mungkin sudah lebih seratus kali dia mendengus. Dia menggetap bibir. Geram! Sebab bayangan apa yang dilihat petang tadi asyik mengganggu ruang matanya.

“Awak tak apa-apa?” Jelas dipendengarannya betapa risaunya nada suara papanya selepas beberapa saat menjadi penyelamat kepada gadis yang masih berada dalam rangkulan kejab papa.

Bulat matanya. Dia yang berada beberapa meter daripada pasangan itu hampir tak percaya dengan apa yang dilihatnya waktu itu. Papa dilihatnya mengusap wajah pucat milik gadis itu cuba menenangkan. Mungkin masih dalam keadaan terkejut bila berdepan dengan situasi yang hampir meragut nyawanya sebentar tadi. Begitu ambil berat. Gayanya sudah bukan seperti lagak seorang majikan yang begitu prihatin kepada pekerja. Sudah lebih gayanya. Apatah lagi bahasa mata papa menghantar maksud yang lain.

Jelas pandangan matanya melihat papa memimpin tangan gadis itu menuju ke keretanya dan gadis itu sedikit pun tak membantah apatah lagi menolaknya. Jadi….

Arghhh! Masakan itu kekasih papa? Jadi kalau bukan kekasih tak akanlah sampai papa berkelakuan sebegitu. Mengapa harus begini? Jerit hatinya membentak. Tangannya melurut ke rambutnya. Mengeleng-gelengkan kepalanya. Berharap agar ingatannya untuk apa yang berlaku siang tadi dapat dipadamkan.

Selama ini punyalah aku bersusah payah mencari siapakah kekasih papa rupanya dekat saja orang tu berada di sisi aku. Pandainya mereka menyembunyikan daripada aku. Kenapa semua staf di pejabat tu tak ada satu pun yang khabarkan pada aku tentang mereka? Dia menggetap bibir. Bergerak-gerak rahangnya. Geram!

Jadi wanita itulah saingan aku selama ini? Oh patutlah semenjak dua menjak ni berlagak saja dia dengan aku. Rupanya dia dah ada tempat di office tu. Tu tak lain tak bukan mesti dia dah rancang nak rampas tempat papa kalau mereka dah berkahwin nanti. Habislah nasib aku lepas ni. Mesti lepas ni papa lebih ikut cakap perempuan tu daripada cakap aku ni.

Sungguh! Tak dapat dibayangkan bila papanya menendang dirinya keluar daripada pejabat itu. Seram, bimbang segalanya menjadi satu. Kenapalah hal begini mesti terjadi dalam hidup aku? Apa yang aku perlu buat ni? Macam mana nak singkirkan perempuan tu dari hidup papa? Tak boleh! Tak boleh! Papa dan perempuan tu tak boleh bersama! Dia menggenggam penumbuknya menahan amarah.

Agaknya kalau ada perempuan itu di depan matanya waktu ini mungkin perempuan itu sudah koma dek penangan penumbuknya. Selama ini dia ingat papa hanya bergurau saja. Nah sekarang memang seriuslah nampaknya ugutan papa tu. Papa memang dah merancang nak singkir dirinya kalau papa dah beristeri baru. Masakan aku sanggup kehilangan segalanya hanya kerana perempuan papa tu?

Aku kena cari jalan tapi apa jalan yang terbaik untuk lenyapkan perempuan tu dari hidup papa? Masakan mahu bunuh dia? Eh tak-tak! Aku bukan sekejam itulah. Habis kalau tak dibunuh, satu masa nanti dia mesti akan balik semula dengan papa walaupun aku pisahkan mereka jauh-jauh. Rambutnya sudah kusut masai letak duduknya. Semuanya gara-gara tangannya yang tak reti diam bila dia sedang berfikir.

“Hah yang kamu bertenggek macam monyet ni kenapa Rio?” Terdengar satu suara garau menengurnya.

Tersentak dia terkejut. Huh nasib baik tak terjatuh. Kalau tak memang sahih aku tidur di hospital malam ni.

“Ha papa, err bila papa balik? Tak perasan pun bunyi kereta papa?” Terkejut bila melihat papanya berdiri di muka pintu biliknya. Tak dengar bunyi enjin kereta menderu masuk pun tadi? Masakan papa balik naik helikopter hari ni?

“Masakan mahu sedar bila papa balik kalau dah kamu asyik termenung sakan macam gaya mati bini. Ni kenapa dengan kamu ni? Dari siang tadi papa nak tanya sebenarnya, tapi terlupa pula nak tanya.”

“Kenapa apanya papa?”

“Kamu bergaduh ke apa ni? Ke kamu ada kacau bini orang?”

“Eh apa ni papa kata Rio macam tu.” Masam mukanya.

“Dah tu kenapa? Tu mata tu lebam kenapa? Bergaduh? Berebut perempuan? Macamlah papa tak tahu perangai kamu tu. Mata keranjang. Pantang nampak perempuan berdahi licin, habis semua kamu nak sapu.”

“Papa ni, sampai hati pulakan cakap Rio macam tu. Bukannya nak bersimpati dengan Rio ni.” Sendu nadanya.

“Nak bersimpati apa pulanya. Dah perangai kamu tu memang tak menerima teguran jadi baguslah kalau dah ada yang mengajar kamu sampai lebam-lebam macam tu. Mesti sebab kamu usik perempuan dia kan?”

“Mana adalah papa. Dia yang usik perempuan Rio adalah.” Membetulkan.

“Yalah tu. Hah jadi betullah kamu bergaduh malam tadi? Apa nak jadilah kamu ni hah? Umur saja dah tua tapi perangai tu tak juga nak dewasanya. Tak tahu apa lagilah papa nak cakap dengan kamu tu.”

“Papa ni, cuba jangan bebelkan Rio boleh tak?” Rimas, balik-balik salah dirinya saja yang papa nampak. Balik-balik dirinya juga yang asyik dileteri.

“Macam mana papa tak bebelkan kamu Rio? Dah kamu tu berperangai perangai yang buat hati papa tak berkenan. Mestilah papa kena tegur kamu. Papa sayangkan kamu tu sebab papa tegur kamu. Supaya kamu sedar diri. Berubah. Ubah sikap negatif kamu tu jadi positif. Papa ni pun dah penatlah Rio dengan perangai tak semenggah kamu tu.”

“Yalah papa, dengan Rio ni segalanya tak baiklah. Cuba dengan papa punya girlfriend tu, semuanya baiklah ya?” Bidasnya sedikit keras.

Girlfriend papa? Siapa?” Terkejut bila tiba-tiba anaknya membangkitkan tentang gadisnya.

“Alah papa jangan nak buat-buat tanyalah. Rio dah tahulah. Rio dah nampaklah dengan mata Rio ni sendiri.”

“Hah kamu ada nampak? Kamu nampak dekat mana Rio?”

“Papa… Rio ni ada mata, tentulah Rio boleh nampak dekat mana-mana pun. Amboi bukan main mesra lagi ya papa. Pergi ke kereta pun sampai berpegang tangan, mengalahkan pasangan orang muda.” Dia menyindir.

“Mesra? Bila masa pula papa bermesra dengan dia di khalayak? Eh kamu salah pandang orang kut Rio.” Berkerut-kerut dahinya mengdengar sindiran anak bujang itu.

“Salah pandang orang apanya pa? Tak akanlah sampai salah pandang pada dua-dua orang sekali. Tak diterima akallah pa. Rio punya mata tak rabun lagi tau.”

Geram pula perasaannya bila mendengar papanya masih juga berbolak-balik kata-katanya. Kononnya cuba menangkislah tu.

“Alah kalau ya pun betul kamu nampak tu papa tak rasa ada salahnya. Dia pun masih bujang dan papa pula dah duda jadi rasanya tak ada halanganlah untuk hubungan kami tu. Tak ada nampak mana yang tak kenanya.”

“Ha kan mengaku juga papa akhirnya.”

“Yalah, dan kami akan berkahwin.” Balas Rolland Fiqry dengan senyuman bahagia terukir lebar di wajahnya.

“Kahwin?” Hampir tak percaya dia mendengarnya.

“Ya, dalam awal bulan depan.”

“Hah? Kenapa cepat sangat papa?”

Amboi perempuan ni memang tak sabar-sabar nak mengikis harta papa nampaknya. Materialistik sarkastik betul! Dia menggetap bibir. Marah dan geram bercampur satu.

“Perkara baik memang eloklah dicepat-cepatkan Rio. Sudahlah papa nak masuk bilik papa berehat. Kalau kamu rasa papa tak patut berkahwin dengan dia, bagi satu alasan yang kukuh yang papa boleh pertimbangkan. Fikirkanlah kata papa ni ya.”

Rio hanya mampu menghantar langkah papanya dengan pandangan mata yang sebal. Bertambah terkuncam wajahnya mendengar berita yang baru disampaikan oleh papanya itu. Aduiii alasan yang kukuh apa yang harus aku berikan untuk menghalang perkahwinan ni?

  © Blogger templates Frelance by Nuril Bahanudin 29.05.2011

Back to TOP