Bila cinta yang berkuasa,
Benci pun jadi suka...
“Weh nak
ke mana? Awal lagi tak akan mau blah dah kut.”
Tegurnya bila melihat temannya itu sudah berdiri.
“Banyaklah
korang punya awal. Baliklah, boringlah layan
kau orang. Aku sibuk ni tau.” Topi berwarna merah jambu yang tadinya diletakkan
di atas meja diambil kembali. Terus disarungkan ke kepala.
“Sibukkan
apalah kau tu Chom? Rilekslah lepak dulu. Bola tak habis lagi ni. Kau pun
bukannya kerja esok nak balik awal. Kaukan masih penganggur terhormat.” Soya
atau Sufian cuba memujuk.
“Entahnya
kau ni. Tengah-tengah malam sibuk apa. Kau jangan nak ‘kencinglah’ Chom weh.”
Sampuk Hatami pula.
“Eh banyak
cakap pula kau dua orang ni. Macam mak nenek. Aku tak ada mood malam ni,
nak balik awallah. Korang tu lainlah orang lelaki. Aku ni orang perempuan. Anak
dara tak elok balik lewat-lewat malam. Kata ayah aku.” Bebelan yang terlalu
kerap diberikan oleh ayahnya bila dia pulang lewat.
“Apa kau
cakap Chom? Cuba ulang balik?” Soal Soya.
“Err yang
mana yang kau nak aku ulang Soya oi?” Soal Chomel lurus.
“Alah yang
kau tu orang perempuan, anak dara… Oh perempuan rupanya kau ya Chom, selama ni
aku ingat kau anak jantan. Sedar juga diri kau. Hua… hua… hua…” Ketawa lantang
bergema di kawasan kedai mamak itu.
“Kurang
ajar kau Soya! Kenakan aku rupanya. Aku memang selama ini sedar diri apa yang
diri aku ni perempuan tau.” Topi merah jambu di atas kepalanya ditanggalkan
terus tangan dipanjangkan untuk mengetuk bahu Soya menggunakan topi itu. Namun
lelaki itu pantas mengelak.
“Haha tak
kena. Cuba kau cakap tang mana
dekat kau yang kau sedar diri tu perempuan?” Soal Soya sinis.
“Tang ni apa.”
Topi berwarna merah jambu itu disuakan tepat depan muka Soya. Hanya beberapa
inci saja mahu mengenai hidung mancung lelaki berkulit sedikit gelap itu.
“Ini kau
kata bukti kau perempuan Chom? ALLAH, kau buat lawak tahap antarabangsa ke apa?
Tami, Chom buat lawak.” Serentak ketawa mereka bergema lagi. Rina yang sedang
menggigit straw tersenyum sumbing.
“Dari dulu
lagi saya tak berkenan tau dengan warna merah jambu topi awak ni Chomel. Silau
mata saya tau.”
Dia
walaupun perempuan melayu sejati, lemah lembut dan masih mengekalkan jati diri
sebagai perempuan timur bukanlah peminat warna merah campur putih itu. Siapa
kata warna merah jambu sahaja yang menyerlahkan sifat perempuan? Sempat dia
melirik kebaya berwarna biru yang tersarung di tubuhnya itu.
“Eh kau ni
Rina, bukan nak back up aku, lagi
dia tambah panas aku ni adalah. Apa punya kawanlah kau ni.” Chomel mendengus
geram.
“Betul apa
si Rina cakap tu. Geli aku tengok warna topi kau ni. Tukarlah warna lain. Kasi
sesuai sikit dengan perangai rock badak kau tu.” Ujar Tami pula.
“Rock
badak? Eh Tami kau kalau tak merosakkan bahasa boleh tak?”
“Itu bukan
merosakkanlah Chom. Itu namanya kreatif tau.”
“Banyaklah
kau punya kreatif Tami. Dengar dek cikgu BM kau mesti dia menangis sedih. Susah
payah orang dahulu cipta bahasa yang cantik-cantik. Kau selamba saja ubah suai
ikut suka kau. Cacamarba jadinya.”
“Weh Chom
yang kau meleret sampai ke cikgu BM aku pun kau heret sekali kenapa? Sejak bila
pula kau kisahkan bahasa ni?” Tami mengerutkan dahi.
“Dahlah
malas layan kau orang. Sakit pula hati aku ni.”
“Weh
rilekslah, sejak bila pula hati kau jadi lembut ni. Tak rocklah.”
“Dah… dah
sambung esok ya. Melayan kau orang mahu sampai ke pagi aku tak balik tau. Weh
Rina kau nak balik sekali ke tak? Takkan kau sorang saja nak melangut dengan
budak dua ekor ni? Kau tu dahlah perempuan, tak manis orang tengok nanti tau.”
“Amboi
mulut kau. Macam tapis koyak rabak ya? Sesedap saja kau ekorkan kami ni ya.
Kami walaupun macam ni, tetap budiman apa. Rina kau lepak ah dulu, abaikan si
Chom yang mula sedar diri dia perempuan tu.”
“Tak
maulah Soya. Rina nak balik dengan Chomellah. Awak berdua lepaklah dulu.” Dia
bangun.
“Weh.”
Tami cuba menghalang.
“Dahlah
Soya, Tami… chow dulu.” Terus berlalu.
“Kita
balik dulu ya Tami, Soya… er terima kasih ya berlanja minum.”
“Hah kau
ada janji nak belanja Chom dengan Rina ke Soya?”
“Mana
adalah, bukan kau ke Tami?”
“Hah
terkena sudah kita! Weh Chom!!!” Panggil mereka serentak pada Chomel yang sudah
menjauh dengan diekori oleh Rina itu.
Chomel berpusing
dengan senyum lebar terukir di wajah. Seronok dapat mengenakan lelaki dua orang
itu. Sempat dia menjelirkan lidahnya sambil mengangkat kedua ibu jari tangannya
kepada Soya dan Tami yang sedang memandang ke arahnya dengan wajah bengang.
“Tak baiklah
awak kenakan mereka tu tau Chomel.”
“Kenapa?
Alah bukan selalu. Padanlah muka dia orang. Mengata aku lagi. Rasakan.”
“Awak
nilahkan Chomel.”
“Dah Rina,
dah sampai rumah kau pun ni. Simpan esok-esok sajalah bebelan kau tu. Selamat
malam. Bye.”
“Chomel… err
awak marah ke?”
“Weh
pernah ke aku marahkan kau Rina? Dah naik cepat. Karang kena kacau dengan Mat
Bangla baru kau tau.”
“Oo… ok.
Selamat malam Chomel.”
“Aku tak
tahulah kenapa kaulah satu-satunya makhluk yang suka panggil nama penuh aku.
Chom sudahlah…” Haisyh berapa kali marah pun dia panggil juga nama penuh aku.
Taulah nama aku Chomel Mayesa Binti Maarof.
“Suka hati
sayalah Chomel nak panggil awak macam mana. Comel apa nama awak tu Chomel.
Hihihi…”
“Comel kau
kata? Euuwwwwww… meremang bulu roma aku.”
“Dahlah
awak ni tadi suruh saya naik cepat lepas tu awak ajak saya berbual pula. Mana
satu awak ni Chomel?”
“Dia sebut
lagi nama tu… Alahai… Dah-dah pergi naik cepat. Aku mengantuk dah ni.”
Dia
menghantar langkah Rina dengan pandangannya. Semenjak berpindah ke sini, di
kawasan deretan rumah kedai ini kira-kira 8 tahun lalu, Rinalah satu-satunya
kawan yang rapat dengan dirinya. Sudi menerima dia seadanya. Mungkin sebab
jurang keluarga antara mereka hampir sama. Mereka sama-sama merantau ke sini.
Mencari rezeki di sini.
No comments:
Post a Comment