Bila cinta yang berkuasa, benci pun boleh jadi suka...
“Lambat
lagi. Masuk hari ni dah kali ke-3 awak lambat tau tak?”
“Minta
maaf Tuan Zaif. Ini yang terakhir. Lepas ni saya janji tak akan lambat lagi.”
“Ah
sudahlah Hatami! Saya tak perlukan perkerja yang tak berdisiplin macam awak
dekat sini!” Balas lelaki itu keras.
“Errr apa
maksud Tuan Zaif? Saya cuma lambat 3 minit sahaja hari ni dan hari yang
lepas-lepas.”
“3 minit
sahaja awak kata? Hello Hatami, 3 minit kalau awak darabkan dengan 3 hari yang
awak sudah lewat tu berapa?”
“9 minit
tuan.”
“Hah tau
pun awak 9 minit, dan untuk pengetahuan awak, 9 minit itu sangat berharga di
pejabat ini. Macam-macam orang boleh buat dalam 9 minit tu tau.”
“Errrr
tapi saya tak berniat pun nak lewat Tuan.”
“Ah saya
tak terima alasan budak-budak.”
“Tuan, please…”
“Mulai
hari ini awak bukan perkerja di sini lagi. Nah ni gaji sebulan awak. Sekarang
awak boleh keluar. Saya tak mau tengok muka awak lagi dekat sini.”
Satu sampul
surat berwarna coklat dilemparkan kepadanya. Jatuh tersasar di hujung kasut
hitam berkilatnya. Memang peraturan di pejabat ini semua perkerja wajib
berpakaian kemas dan bersih.
Hatami
terkejut melihat tindakan majikannya itu.
“Tuan.”
“Dah
keluar. Keputusan saya muktamad.”
“Tuan… ah
tak apalah kalau tuan dah kata macam tu. Saya minta maaf kalau sepanjang
berkerja di sini saya ada buat salah dengan tuan, buat tuan marah.” Dia
menghulurkan tangan kepada lelaki itu.
“Awak nak
buat apa?” Soal Zaif Affendy hairan dengan tindakan Hatami itu. Dia nak
cederakan aku ke apa?
“Err saya
nak salamlah tuan. Minta dihalalkan segalanya ya sepanjang tempoh saya berkerja
di sini.”
“Oh ok.”
Dia hanya menyambut huluran salam dengan hujung jarinya sahaja. Tercebik-cebik
bibirnya. Jijik. Bukan gaya aku bersalam dengan orang miskin.
Hatami
dilihat meninggalkan ruang pejabat peribadinya dengan langkah longlai. Dia
hanya memandang tanpa perasaan. Sedikit pun tiada rasa belas mahupun rasa
bersalah atas keputusan yang baru dibuat tadi. Huh tulah orang miskin, selalu
sambil lewa dengan masa. Berapa kali nak cakap, dalam perniagaan masa tu ibarat
emas. Macam-macam boleh terjadi kalau lambat walaupun seminit.
Cepat-cepat
tangan menarik laci meja bila melihat kelibat Hatami sudah hilang dari
pandangan mata. Sebotol kecil Dettol Hand Sanitizer dikeluarkan. Penutup dibuka
pantas dan isinya dituangkan sedikit ke tapak tangan. Kena cepat sebelum aku
terjangkit kuman dari tangan Hatami itu. Orang miskin ni biasanya bukan tahu
menjaga kebersihan sangat. Gopoh dia menggosok cecair penghalang kuman itu ke
kedua tangannya. Silap-silap boleh jatuh sakit aku kalau berlengah!
******
“Mak!” Dia
yang baru terjaga dari tidur terjerit kecil. Bingkas dia bangun. Terperanjat
bila melihat sesusuk tubuh dengan rambut panjang menutup hampir ke seluruh
wajah sedang duduk sambil memeluk lutut di hujung tilam. Ada esakan halus yang
kedengaran.
Ah sudah
hantu siapa pula yang sesat ni. Dia menggaru kepalanya yang tak gatal itu.
Masih berada dalam mamai sebab bangun dalam keadaan terkejut beberapa minit
tadi.
“Mak? Err
mak ke… tu? Mak kenapa mak?” Hampir 5 minit dia memerhati barulah dia perasan
susuk tubuh di hujung tilam itu adalah milik emaknya. Melati Binti Dollah.
Segar matanya serta merta. Hilang terus rasa mengantuk. Kenapa dengan emak?
Kenapa nampak sedih benar emak kala ini? Apa yang sudah terjadi? Bertubi-tubi
soalan timbul di dalam benaknya.
“Ayah…
ayah kamu Chomel.”
“Ke…
kenapa dengan ayah mak?”
Hati mula
digayut risau. Adakah sebab semalam dia meronta-ronta untuk pulang awal ke
rumah kerana tiba-tiba hadir rasa rindu yang membuak-buak, untuk menatap wajah
ayahnya membawa pertanda yang dia sendiri tak jangka? Pelik bila rasa itu
hilang sebaik sahaja dia dapat menatap wajah ayah yang sedang menonton televisyen
semalam. Lega perasaan. Tenang terus jiwa. Hingga mudah matanya lelap malam
tadi.
Jangan-jangan….
Perasaan secara tiba-tiba rasa seperti sebiji pasu kaca yang jatuh terhempas ke
lantai dan pecah berderai sehingga tak nampak rupa.
“Mak cakap
mak.. kenapa, apa sebenarnya yang dah jadi dengan ayah mak?” Bahu Mak Ati
digoncang kuat, bertambah risau bila melihat kelibat Jelita, adik nombor tiga
dan Iman adik nombor empatnya sugul di depan pintu bilik.
“Ayah kamu
dah tak ada Chomel...." Lirih dan sayu benar nadanya.
Hah?
Seperti disambar halilintar yang bervoltan tinggi, dia tersentak terkejut.
Beberapa saat dia terpempan seolah kehilangan semua kata-kata. Terkelu lidah
mendengar berita yang tak pernah dijangka itu. Seolah tak mahu percaya dengan
apa yang didengar, dengan apa yang baru meluncur keluar daripada mulut emaknya.
“Ayah tak
ada? Ayah pergi mana mak?” Masih tak mahu memahami maksud ayat yang disampaikan
oleh emaknya itu walaupun sudah sedikit-sedikit mula tercerna dalam akal
warasnya.
“Kak Chom
ayah kita dah tak ada…” Meluru Jelita Mellina dan Iman Mukmin memeluknya. Erat
dan adik yang berdua itu bertangisan serentak.
“Ayah kena
langgar kereta waktu melintas jalan dekat traffic
light depan sekolah teknik tu waktu nak pergi kerja tadi Chom.”
Beritahu Mak Ati dalam sedu yang rancak berlagu
“ALLAH,
betul ke ni? Mak jangan main-main. Chom tak percaya. Mak berguraukan? Mak saja
nak bagi Chom bangun awal, bagi Chom tak bangun meninggi harikan? Cakap mak,
cakap yang semua ni hanya gurauan saja dengan Chom ni mak.” Air mata mula
bertakung banyak di ruang tubir mata dan sedaya upaya ditahan dari jatuh luruh.
“Chom hal
kematian masakan mahu dibuat bergurau nak. Mak pun kalau boleh tak mahu
percaya. Tapi pakcik Rahman kamu, ayah si Rina sendiri nampak kejadian tu depan
mata dia Chom. Dia yang datang beritahu mak nak....”
“Mak
kenapa?” Soalan sengaja dibiarkan tergantung. Tak daya mahu dihabiskan.
“Sabarlah
nak, ALLAH lebih sayangkan dia.”
“Dah tu
sekarang jenazah ayah di mana?”
“Di
hospital. Bersiaplah kamu, kita ke hospital sekarang. Hal kematian kita kena
uruskan cepat.”
******
“Hai awal
lagi kau dah menjelma dekat gerai aku ni. Kau tak kerja ke Tami? Mengelat?”
Soya menegur bila perasan akan kelibat Hatami yang melangkah longlai
menghampirinya.
“Bukan tak
kerjalah Soya, tapi tak dibagi kerja.” Dia duduk pada bangku plastik berwarna
merah yang terdapat di situ.
“Tak
dibagi kerja? Hai hebat, tinggi sangat ke pangkat kau dekat pejabat tu sampai
kau tak dibagi buat kerja? Setahu aku kau belajar sampai paras SPM sajakan?”
Lain macam saja nada Hatami ni. Apa pula masalah dia? Semalam elok saja
cerianya.
“Kau ni
Soya, cuba cakap jangan menyindir aku boleh tak?”
“Aik ada
nada sindiran ke nada aku tu Tami? Dah kau ni kenapa sebenarnya? Muka dah macam
soya basi saja. Awek lari? Eh kau ada awek ke? Setahu aku kau tak ada awek
lagi.”
“Soya! Aku
tahulah kau jual air soya tapi janganlah samakan muka aku ni dengan air soya
kau yang basi dan tak habis dijual tu. Jauh benar bezanya tau. Macam langit
dengan bumi saja.”
“Hahaha itu
pun mau sentap ke? Tenanglah Tami… aku usik kau saja. Jangan kau nak buat ayat
terasa mengalahkan kau ni makhluk spesis perempuan.”
“Hisy
bisinglah kau ni. Patutlah si Chom selalu panggil kau mak nenek. Hari ini baru
aku tahu. Kau memang banyak mulut.” Dia berdiri mencapai satu gelas kosong
plastik lutsinar. Selamba mencedok air soya yang berisi dalam bekas jernih
empat segi itu, memenuhkan gelasnya tanpa meminta izin daripada tuan empunya.
“Amboiii
minum free saja ke? Bak sini seringgit. Kau
ingat aku modal air soya ni guna daun kering saja ke?”
“Alah kau
ni dengan aku pun nak berkira ke?”
“Ini bukan
soal berkira atau apa. Ini soal berniaga. Soal untung rugi.”
“Huh kau
ni ada sajalah jawabnya.” Saku seluar diseluk. Sekeping not berwarna biru
dikeluarkan dan dihulurkan kepada temanya.
Soya
sambut dengan senyum lebar.
“Kau
kenapa sebenarnya ni Tami?”
“Boss aku
tulah.” Berhenti seketika. Menarik nafas yang agak panjang. Sungguh sakit
hatinya bila mengenangkan apa yang baru saja terjadi dalam hidupnya sebentar
tadi.
“Kenapa
pula dengan boss kau?”
“Dia buang
aku.” Pendek jawapannya. Haisyh jadi penganggurlah aku nampaknya. Macam mana
mahu aku kirim duit pada keluarga di kampung? Galau hatinya bila teringat yang
dirinya sudah hilang punca pendapatan kini.
“Hah kau
kena buang kerja? Biar betul? Kenapa sampai kena buang? Tak ada angin tak ada
ribut tak akan tiba-tiba kena pecat. Eh kau ada buat dia marah ke? Ke kau cuba
mengorat awek boss kau ni?” Soal Soya bertubi-tubi seolah-olah apa yang
diberitahu oleh Tami itu bukan hal yang betul saja gayanya.
“Gila apa
nak mengorat awek boss aku tu. Aku rasa kalau aku ni sebelah mata pun awek dia
tak pandang tau.”
“Dah tu?”
“Aku
datang lambat. Dia marahkan aku ni. Bukan lambat mana pun sebenarnya. Alasan
dia buang aku macam tak masuk akal saja gayanya.”
“Alasan
tak masuk akal kau kata Tami? Kalau aku jadi boss pun aku marah kalau pekerja
aku datang lambat Tami oi.”
“Masalahnya
aku cuma lambat 3 minit je kut Soya.”
“Hah?
Lambat 3 minit saja sudah kena buang. Eh seram pula aku dengan boss kau. Sukar
aku nak percaya ada boss terlalu punctual macam
tu.”
“Bekas
boss ok.” Dia membetulkan sebutan Soya.
“Dah tu
apa rancangan kau sekarang ni Tami?”
“Entahlah…
serabut aku weh. Tu adik-adik aku kat kampung tu aku nak hantar belanja sekolah
macam mana kalau aku tak kerja.Sudahlah aku yang tanggung mereka semua tu
selama ini. Masakan nak harap semuanya pada mak dan ayah aku. Kerja kampung
berapalah sangat pendapatannya.” Bila tiba-tiba hal yang tidak dijangka
berlaku, sungguh dia rasa tak tahu nak fikir apa.
“Beginilah
Tami, apa kata kau ikut saja aku ni berniaga. Jual air tepi jalan ni walaupun
orang pandang rendah, tapi janji halal apa sumbernya. Sekurang-kurangnya dapat
juga kau hantar duit belanja bulanan untuk keluarga kau.”
“Ikut kau
berniaga? Kau serius ke Soya?” Soalnya macam tak percaya. Baru tadi dia dibuang
kerja, kini dia ditawarkan kerja baru dari sahabat baiknya sendiri pula tu.
“Seriuslah.
Soal kerja aku tak pandai nak main-main tau Tami.” Sekejapan raut wajahnya
bertukar serius.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapinya Tami. Untung kita bagi
dua. Kalau hari ni untung RM100 lepas habis tolak modal, kita bahagilah pada
dua jadi dapatlah kita sorang RM50.”
“Err kau
tak kisah ke kena bagi dua untung?”
“Kisahkan
apa? Aku percaya Tuhan akan lagi murahkan rezeki aku ni kalau aku baik hati.”
Bahu Tami ditepuk.
“Terima
kasih Soya. Lapang hati aku dah tak adalah seserabut tadi. Untung aku ada kawan
macam kau ni.”
“Tak apa
sekarang waktu kau susah, mana tahu akan datang masa aku pula, hidup ni kena
ada saling membantu. Eh tu handphone kau
berbunyi tu tak nak jawab ke?”
“Aku nak
jawablah ni.”
Dia lihat
raut wajah Tami yang tadinya keruh walaupun sudah bersinar sikit bila dia
tawarkan jalan menjadi bertambah keruh bila bercakap dengan si pemanggil itu.
Serta-merta perasaannya menjadi tidak enak.
“Kenapa?
Siapa call kau Tami?” Soalnya bila melihat Tami
sudah menamatkan perbualan di telefonnya.
“Rina…”
Sepatah dan sedikit hiba nadanya.
“Rina?
Kenapa dengan Rina?” Buru-buru dia bertanya. Tak sedap pula hatinya bila
melihat mata Hatami yang tiba-tiba basah berkaca seolah-olah ingin menangis.
Masakan suka-suka seorang lelaki mahu menangis kalau diberitahu tentang hal-hal
yang biasa-biasa saja.
“Chom…
Soya…”
“Chom?
Kenapa dengan Chom? Apa yang jadi dengan Chom?” Tak keruan perasaannya bila
nama Chomel yang meluncur dari mulut Tami. Janganlah apa-apa yang buruk terjadi
pada gadis itu. Sempat dia berdoa di dalam hatinya.
“Ayah dia
dah tak ada. Ayah dia dah meninggal.” Beritahunya lemah. Hubungan persahabatan
yang akrab antara dia dan Chomel membuatkan dia pun turut terasa tempias
kehilangan itu. Pedih rasanya untuk menerima berita yang baru Rina sampaikan
itu.
“Innalillahiwainnailaihirajiun…
kenapa?”
“Kemalangan
katanya. Eh jomlah kita pergi melawat jenazah.”
“Kalau
begitu kejap. Tolong aku kemas barang Tami. Masuk dalam van. Tak akan aku nak
tinggalkan gerai aku ni macam ni saja.”
No comments:
Post a Comment