iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Showing posts with label Cinta Yang Tertunda. Show all posts
Showing posts with label Cinta Yang Tertunda. Show all posts

Monday, December 12, 2016

Novel : Cinta Yang Tertunda[2]


Masa tak mampu memudar kasih,
Dendam tak dapat memadam sayang,
Benci tak bisa mengikis rindu,
Marah tak mungkin membuang sayang.

Hari terakhir STPM hari ini. Akhirnya berjaya juga dia untuk sampai ke penghujung apa yang dia mulakan. Nasuha tersenyum girang sambil kaki laju mengayuh basikal miliknya. Tak sabar ingin sampai ke rumah melepaskan lelah. Hari ini kalau diikutkan kertasnya sudah selesai pagi tapi sengaja dia pulang lewat untuk menghabiskan detik-detik terakhir zaman persekolahan. Usai menjawab kertasnya tadi dia sempat berbual-bual dengan teman-teman bertukar-tukar cerita dan impian sehingga tak sedar hari yang telah beranjak petang. Sempat dia mengucapkan selamat tinggal kepada teman-temannya sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Kayuhan basikal semakin pantas dengan wajah yang tersenyum riang menghirup udara petang sehingga terleka tak sedar ada tubuh yang sedang ingin melintas jalan, Alamaknya! Dia pucat. Brek tangan dicengkam sekuat-kuat hati namun… aduh lupa basikal aku tak ada brek! Talinya sudah lama putus! Dalam kalut mengawal basikal Nasuha terbabas ke dalam semak lalang yang tumbuh meliar di tepi jalan. 

Toing-toing-toing! Kunang-kunang pandangan. Rasa sedikit berpinar kepala akibat terhentak pada tanah. Nasib baik aku tak pengsan sekali. Dia mengaduh perlahan.

“Awak tak apa-apa ke tu?” Tegur satu suara yang agak garau sehingga membuatkan dia tersentak.
Ceh lagi mahu tanya ka? Dah tengok aku tertonggeng ni mestilah aku ada apa-apa. Lain kali nak melintas tu tengoklah kiri dan kanan dulu. Ini tak main terjah saja, macam jalan ni ayah dia yang punya sendirian berhad! Tengok siapa yang jadi mangsa keadaan? Aku juga… Siapa yang cedera? Aku juga...
 
“Tak.. err saya tak apa-apa. Saya tengah bersantai dalam semak ni.” Dia menjawab geram sengaja menyindir lelaki itu.

“Oh bersantai ya? Seronok ke dekat dalam tu? Tak miang ke dengan daun lalang tu. Nanti gatal pula kulit awak tu.” Kita tanya elok-elok dia boleh jawab main-mainkan. Kau loyar buruk aku lagi loyar buruk tau. Balas hati Tengku Aniq Afnan.

Wajah lelaki itu direnung geram. Rasa nak hadiahkan penampar sulong dekat mulut yang menyindir itu, tapi.. hai sabar Suha. Dia lelaki kau perempuan mesti kau tak mampu nak lawan kekuatan dia nanti kalau dia apa-apakan kau tu. 

Habis kotor baju sekolah aku ni. Nasib baik ni hari terakhir aku bersekolah dan tak sangka aku berjaya mengutip kenangan yang tak berapa nak indah dalam hidup aku pada hari terakhir di zaman persekolahan ni. Tak apa, tak apa. Kalau lain kali aku nampak wajah kau lagi memang aku tolak kau terus masuk dalam parit tepi jalan ni biar kering kena sedut darah dengan pacat. 

Muka lelaki itu dipandang sekilas lalu. Nampak macam bukan orang sini. Mesti takut dengan pacat ni kalau dia orang bandar. Wajah mencebik-cebik menganalisa lelaki itu. Terkial-kial dia bangun dan tak sangka lelaki itu bermurah hati untuk membantu siap memegang kedua lengannya lagi.
 
“Hisy tepilah.” Tangan lelaki itu ditepis kasar. Kau ingat ni dekat bandar ke suka-suka nak sentuh anak gadis orang. Nanti tak pasal-pasal bertelur kepala kau dek penangan orang-orang kampung ni tau. Dia mendengus geram. Membebel-bebel hatinya.

“Eh.. eh.. kita dah tolong dia bukan nak ucap terima kasih. Cik adik cikgu awak tak ajar ke subjek moral sampai orang berbudi pun awak tak tahu nak hargai?” Soal lelaki itu bernada sindiran.

“Saya tak suruh awak berbudi pun. Lagipun kerana awaklah saya tertonggeng jatuh tau. Dah buat kita terjatuh lepas tu ada hati nak menabur budi pula. Budi awak tak laku dengan saya ni tau.” Dia membalas pedas. Geram! Dahlah banyak cakap. Apa dia ingat muka dia yang putih siap ada lesung pipit tu boleh buat aku cair tertarik, menarik dan lembut hati? Boleh jalanlah..

“Agaknya macam nilah kut sikap orang-orang kampung ya? Orang tolong dia, dia marah kita balik... isk.. isk.” Ucap lelaki itu sambil menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah benar-benar kesal.

Hek eleh.. gaya dah macam wakil rakyat pula. Eh mamat sewel ni sebenarnya anak siapa? Terlepas dari mana? Kita marah dia, dia boleh buat tak tahu. Bahkan dia buat kita bertambah marah dengan sikap dia dan mulut lancangnya adalah. Sekarang ni siapa yang mangsa ni? Aku ke dia?

Basikal yang berada di tangan lelaki itu diambil. Ops dengan bahasa tepatnya dirampas. Tak ada masa berbudi bahasa dengan orang separa ni!

“Tepilah.. saya nak lalu ni. Sibuk saja. Lain kali mata tu letak dekat tempat yang sepatutnya bukan letak dekat tapak kaki. Nak melintas tu tengok-tengoklah dulu. Menyusahkan orang saja.” Dia membebel.

“Saya rasa mata saya ada saja terletak elok dekat sini. Ke awak tu yang naik basikal macam orang tengah makan angin. Berangan memanjang. Huh mesti teringatkan pakwelah tu kan? Saya faham budak-budak yang baru nak meningkat naik macam awak ni.” Lelaki itu membidas.

“Malaslah nak layan orang sewel macam awak ni. Saya nak balik. Hari dah gelap nanti susah. Awak tu pun mesti nak kena balik rumah nanti tercari-cari pula orang tua awak tu. Eh awak ingat tak jalan nak balik rumah awak tu?” Sengaja dia menyoal menyakitkan hati lelaki itu. Biar dia bengang bisik hati kecilnya agak nakal.

“Kata orang, entah-entah dia takut mak dia cari dia tu yang dia kata nak balik lepas tu bagi alasan hari dah malam.”

Huh malas aku nak layan dia ni makin aku layan makin aku pula yang sakit hati. Sebelum aku berjangkit kesewelannya baik aku pulang. Lagipun senja-senja ni tak elok ikut emosi, senang tersampuk pula nanti. Tanpa pamitan Nasuha mengayuh basikal berlalu meninggalkan pemuda yang telah mengacau dan merosakkan ketenangan petangnya.

“Hati-hati mengayuh basikal ya cik adik jangan berangan buat macam jalan tu hak milik pakwe awak pula.” Sempat lagi dia mendengar lelaki itu menyindir.

Grr.... Geramnya mendengar sindiran lelaki itu. Pantas dia menoleh menghadiahkan jelingan maut siap menayangkan penumbuk yang tidaklah sebesar mana pun dan lelaki itu hanya tertawa melihat telatahnya. Menggeleng-geleng kepala. Aik aku ada buat lawak ke? Nasuha kehairanan. Macam-macam hal.

******

“Macam manalah boleh jatuh ni Suha? Hairan mak ni tau tak? Dah besar-besar begini pun tunggang basikal sampai boleh terjatuh.” Bebel Mak Salwa. Terkejut dia bila dikhabarkan oleh si anak yang dia telah terjatuh dari basikal sehingga mendapat lebam-lebam di tubuh.

“Aa.. err ada lembu besar terlepas dan tiba-tiba melintas mak, Suha terkejut tak sempat nak elak, tu yang terus terbabas tertonggeng dalam semak tepi jalan.” Tergelak membayangkan lembu yang dimaksudkan itu.

“Lembu terlepas? Bahaya tu, lembu siapa tu? Nasib baiklah dia tak sondol kamu dengan tanduknya. Risau pula mak.” Soal wanita itu sambil jari jemarinya lincah mengurut kaki Nasuha yang sedikit sengal itu. Berkerut-kerut wajahnya menahan sakit.

“Lembu Pak Awanglah Suha rasa mak, sebab tadi Suha nampak sibuk dia mencari lembunya.” Kesian Pak Awang, tak pasal-pasal termasuk dalam ceritanya ni. Pak Awang memang terkenal di kampung kerana memiliki lembu yang agak banyak dan hanya nama lelaki itu pula terlintas di fikiran ketika Mak Salwa menyoal. Tak apalah bohong sunat kut. Yalah tak akan nak diberitahu akan perkara yang sebenarnya? Mesti dia akan dileteri lagi panjang konon tak berhati-hatilah, itulah, inilah.

“Oh.. esok mak nak pergi jumpa Pak Awanglah kalau macam ni. Nak nasihat sikit supaya dia jaga lembunya elok-elok. Jangan biarkan lepas bebas tak bertambat.” Putus Mak Salwa. Dia tak mahu kejadian yang menimpa anaknya itu berulang kepada orang lain pula. Ini baru jatuh basikal dah lebam sana-sini. Kalau motor mesti dah patah riuk tak pun hilang nyawa. Bahaya tu.

Tercengang Nasuha bila mendengar ayat yang terlahir dari mulut Mak Salwa itu. Alamak! Mak ambil serius pula perkara ni. Macam mana ni….

“Eh tak payahlah mak, lagipun dia dah berjaya tangkap lembunya tu balik. Tak perlulah mak ambil serius, panjang-panjangkan cerita.. nanti lain pula jadinya.”

“Mak bukan apa Suha, mak takut kejadian ni berulang kepada orang lain. Eh tapi kalau kamu kata macam tu tak apalah.” Membatalkan niat.

“Hah dah kurang sikit sengalnya.. Pandai mak urut terima kasih ya mak.” Ucapnya. Fuh! Menghembuskan nafas lega bila mendengar Mak Salwa berkata begitu. Nasib mak jenis yang lembut hati, mudah dipujuk, kalau jenis yang keras hati mahu mak berkeras juga nak jumpa Pak Awang. Nanti tak pasal-pasal timbul salah faham. Silap hari bulan bergaduh pula dengan Pak Awang, bermasam muka. Sebab lelaki tu memang tak ada buat salah apa.

“Baru tahu ke emak ni pandai mengurut? Arwah nenek kamu dulu tu tukang urut dekat kampung kita ni.” Balas Mak Salwa sambil tersenyum mendengar ucapan anaknya itu. Anak yang baik. Tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih kepadanya andai dia melakukan sesuatu untuk anaknya itu.

“Tengok mak ni, puji sikit dah perasan.” Nasuha menggiat.

“Eh mak bukan perasan. Kenyataan tau.”

“Yalah tu mak. Suha nak masuk tidur dululah. Nak ganti tidur-tidur yang tak cukup sepanjang peperiksaan ni.” Memang tidurnya tidak pernah cukup semenjak menjelang STPM ni.

“Ha.. tidur tu jangan lupa nak ambil wudhuk pula sebelumnya. Biar tidur tu berkat dan tak adalah mengigau yang bukan-bukan pula nanti.” Sempat menitipkan pesan.

“Tak lupa mak.. kan tiap-tiap malam mak selalu ingatkan Suha. Selamat malam mak.” Ucapnya sambil mengucup pipi Mak Salwa. 

Pssttt : Novel ni dah berada di pasaran serata Malaysia pada September 2016. Kalau ada yang berkenan boleh direct order ke Penerbitan LOveNovel atau dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Wednesday, November 30, 2016

Novel : Cinta Yang Tertunda[1]


Masa tak mampu memudar kasih,
Dendam tak dapat memadam sayang,
Benci tak bisa mengikis rindu,
Marah tak mungkin membuang cinta.

Lebih 5 tahun lalu,
“Oi… aku nak duit!” Selamba meminta duit dari isterinya tanpa sedikit pun terbit rasa malu.

Nasuha memerhati dengan penuh geram. Kalau aku ni kuat dah lama aku campak dia ni keluar dari rumah, tak ingin aku nak tengok muka lelaki tak guna yang hidup hanya tahu bergantung ehsan dengan kudrat orang perempuan. Tak tahu malu sungguh! Terkumat-kamit mulut berbicara tanpa suara. Kadang-kadang hilang sabar juga melihat kerenah suami kepada emaknya itu

“Saya mana ada duit lagi bang. Semalamkan abang baru je ambik semua duit saya? Manalah saya ada duit lagi dah sekarang ni.” Mak Salwa memberi alasan. Memang dia masih ada sedikit lagi duit berbaki tapi duit itu untuk digunakan membeli barang-barang dapur dan membayar bil air nanti. Kalau tak dibayar bil itu nanti takut pula bekalan air di rumah akan dipotong. Susah pula mereka sekeluarga nanti.

“Oiii jangan tipulah. Tadi aku nampak Si Alip tu hantar duit jualan nasi lemak dan kuih yang kau letak dekat kedai dia. Mana duit tu? Bagi kat aku cepat. Aku nak guna!” Bentaknya kasar.
“Duit tu nanti saya nak buat modal balik untuk berniaga. Kalau nak harapkan abang bagi duit rasanya matilah kami ni.”

“Oh pandai kau nak mengata aku sekarang ni ya? Dah jangan nak bagi alasanlah, bagi aku cepat duit tu!” Pintanya cuba merampas beg duit milik Mak Salwa. Nasuha terkejut dengan kelakuan ayah tirinya. Sungguh tak tahu malu dan sungguh tak layak menjadi lelaki, kaum yang sepatutnya melindungi perempuan tapi kini sebaliknya pula.

“Pak cik ni tak tau malu ke? Dahlah malas nak kerja lepas tu minta duit dekat emak pula, lelaki apa pak cik ni?” Dia bersuara, sabarnya hilang setelah sekian lama marah dipendam hari ni terhambur juga.

Berdesing telinga mendengar teguran budak sementah Nasuha itu. Tercabar ego. Budak ni memang nak mampus agaknya. Kecik-kecik lagi dah pandai nak ajar orang tua. Pantas kaki diatur ke arah Nasuha.

Pang!!! Tangan melayang laju ke pipi anak gadis itu tanpa sebarang amaran. 

“Budak kurang ajar! Kecik-kecik tak nak mampus! Bila dah besar menyusahkan pulak. Kau ingat kau siapa nak ajar aku ni?” Bukan sekali bukan dua kali penamparnya hinggap malah berkali-kali sehingga anak itu lembik longlai.

“Sudahlah tu bang! Sudahlah! Ya ALLAH awak nak bunuh anak saya ke? Kalau ya pun marahkan saya jangan lepaskan pada budak tu.” Mak Salwa teresak-esak sambil cuba meleraikan perbuatan suaminya itu. 

Sayu hati. Dia sendiri sebagai orang yang melahirkan tak pernah sekali pun mengasari Nasuha. Tubuh anaknya itu dirangkul, ada darah yang mengalir di pipi dan hidung Nasuha.

“Abang ambiklah duit ni. Pergilah ke mana abang nak pergi dan jangan pukul dia lagi.” 

“Heh.. kalau kau bagi dari awal tadikan lagi senang. Menyusahkan aku je.” Tangan merentap kepingan duit kertas yang dihulurkan oleh isterinya itu. Duit itu dibawa ke wajah dicium. Wajah yang kusam garang tadi kembali ceria kini. Pantas dia melangkah keluar dari rumah tak peduli lagi apa yang berlaku selepas ini.

“Maafkan mak sayang, mak yang buat silap. Kalau mak tak kahwin dengan dia dulu tentu hidup kita tak merana macam ni, tak sukar macam ni.” Hiba hati sebab tak mampu menyediakan kebahagiaan buat anak itu. Semua salah aku, silap buat percaturan hidup. Bisik hati kesal yang sangat-sangat..
Nasuha hanya menggeleng lemah. Dia benci mendengar Mak Salwa tak putus-putus menyalahi diri sendiri.

“Bukan salah mak, bukan salah siapa-siapa mak, cuma inilah dugaan hidup kita mak. ALLAH nak tengok sejauh mana kita boleh bersabar dengan ujianNYA.” Bisiknya perlahan memujuk lara di hati emaknya itu.

Tubuh Nasuha dipapah perlahan menuju ke biliknya. Tuala kecil dicapai dan dibasahkan untuk mencuci luka di wajah anaknya itu. Air mata tak putus-putus mengalir di pipi cengkungnya itu. Sayu melihat wajah si anak berkerut menahan kesakitan dek penangan suami itu sendiri.

“Mak… maafkan Suha, Suha tak dapat tahan sabar tadi. Suha benci tengok pak cik tengking-tengking, marah-marah mak begitu.” Tangan Mak Salwa dipegang dikucup perlahan. Air mata yang mengalir di wajah tua milik Mak Salwa itu diseka dengan hujung jari.

“Mak janganlah sedih, Suha tak ada apa-apa. Sikit je ni. Lagipun Suha puas dapat cakap macam tu pada dia. Suha harap pak cik berubah satu hari nanti.” Sambungnya lagi bila melihat Mak Salwa hanya diam membisu. Cuba diukir senyum di wajah walaupun terasa sedikit pedih di hujung bibir.

“Suha tak salah apa-apa, tak payah minta maaf dengan mak. Suha rehatlah ya, cuma lain kali mak harap sangat Suha jangan buat macam ni lagi. Mak tak mahu tengok Suha dicederakan, kena pukul dengan pak cik lagi.” Mak Salwa mengusap perlahan rambut milik puteri tunggalnya itu.

“Janji dengan mak. Walau apa pun yang jadi selepas ni, Suha jangan masuk campur kalau pak cik marahkan mak ya nak? Mak tak mahu apa-apa jadi pada Suha. Mak tak mahu benda ni berulang lagi.” Pintanya. Jangan sebab dia bertengkar dengan suami, anaknya itu pula yang jadi mangsa keadaan. Luka-luka dipukul dibelasah tanpa belas.

“Suha tak boleh janji untuk tak masuk campur.” Dia menggetap bibir geram bila ingatannya teringat akan tingkah Pak Mail itu.

Terdiam Mak Salwa mendengarnya. Suha memang anak yang keras hati. Nampak saja macam lembut orangnya, tapi kalau hati dah tekad membenci, maka bencilah dia.

“Dahlah… Suha tidur ya nak” Dikucup perlahan dahi milik anak itu, sedih melihat Nasuha yang kesakitan.

Entah kemanalah lelaki itu sudah pergi dengan duitnya tu. Mungkin berjudi di hujung simpang kampung atau sedang asyik mabuk-mabuk meneguk air kencing syaitan yang dibeli di kedai Ah Thong. Ada suami pun macam tiada suami. Kalau dia tahu macam ni akan jadi hidupnya kini, lebih baik dia bersendiri saja terus untuk besarkan Nasuha. Selama ini pun dia yang menanggung hidup lelaki itu dan Pak Mail hanya tahu menghabiskan harta benda saja.


Monday, November 28, 2016

Novel : Cinta Yang Tertunda[Prolog]


Masa tak mampu memudar kasih,
Dendam tak dapat memadam sayang,
Benci tak bisa mengikis rindu,
Marah tak mungkin membuang cinta.


Sekali lagi dia menjejakkan kaki di tanah ini. Hembusan nafas berat dilepaskan. Menjejakkan kaki ke sini ibarat membuka kembali jahitan luka yang baru saja ingin tertutup rapat. Membuatkan luka yang baru saja ingin sembuh berdarah kembali.
Sampai bila nak bawa diri? Baliklahbantu ayah di sini. Hotel ni perlukan kamu.
Pujukan lembut itu terngiang jelas di telinga. Kerana rasa kasih dan hormat dia ketepikan diri. Dia langgar sumpah sendiri. Sumpah yang dia tak akan kembali lagi ke sini ditarik balik. Pujuk hati sendiri, membawa kaki kembali lagi ke bumi Malaysia yang sudah hampir 6 tahun dia tinggalkan.
Gara-gara wanita itu, hatinya betul-betul berkecai. Bahagia yang diharapkan menjadi merana yang tak berpenghujung. Cinta hancur tanpa kata putus. Diri dihukum tanpa tahu apa salahnya. Dia suami tapi tanpa isteri di sisi. Tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Ada isteri tapi tak tahu di mana. Isteri menghilang tanpa meninggalkan jejak, hadir menyinggah dalam hidup secara tiba-tiba dan pergi juga tiba-tiba ibarat angin lalu.
“Akhirnya balik juga kamu ke sini.”
Terkejut bila ditegur oleh satu suara garau. Suara yang amat dikenalinya. Tak sedar dalam asyik mengelamun, kakinya sudah dibawa melangkah sehingga keluar dari kesesakan bangunan itu. Laju dia berpaling. Senyum terukir mendadak. Wajahnya yang kelat cuba dimaniskan semanis mungkin. Sungguh semenjak badai duka yang melanda dalam hidupnya dahulu, dia sudah lupa makna gembira. Dalam betul luka yang kau hadiahkan padaku. Hati merintih hiba…. Degil betul ingatan ni. Kenapalah sampai sekarang ni pun aku tak berjaya melupakan kau?
“Ayah…” Tangan lelaki itu disalam penuh hormat.
“Ayah takut sangat kamu batalkan penerbangan kamu di saat-saat akhir.” Bahu anak itu ditepuk mesra. Nampak sedikit susut tubuh yang berisi dahulu itu. Kematangan semakin tergaris jelas di wajah anak itu.
“Tak akanlah saya nak mungkir janji ayah.”
“Manalah tahukan, kamu berubah fikiran.” Nafas dihembus lega. Lega sebab anak itu menunaikan janji.
“Jomlah ayah. Tercongok begitu kenapa? Tak mahu bawa saya balik ke? Fikir-fikir kembali, tempat ini tetap dirindui.”
“Tak ada sesiapa yang menegah kamu untuk pulang ke sini. Kamu saja yang tak mahu.”
“Bukan tak mahu ayah, cuma tak ada kekuatan untuk kembali.” Bukan senang nak balut hati yang dah hancur berkecai dek kerana pengkhianatan itu.