Masa tak mampu memudar kasih,
Dendam tak dapat memadam sayang,
Benci tak bisa mengikis rindu,
Marah tak mungkin membuang sayang.
Hari terakhir STPM hari ini. Akhirnya berjaya juga dia untuk sampai ke
penghujung apa yang dia mulakan. Nasuha tersenyum girang sambil kaki laju
mengayuh basikal miliknya. Tak sabar ingin sampai ke rumah melepaskan lelah.
Hari ini kalau diikutkan kertasnya sudah selesai pagi tapi sengaja dia pulang
lewat untuk menghabiskan detik-detik terakhir zaman persekolahan. Usai menjawab
kertasnya tadi dia sempat berbual-bual dengan teman-teman bertukar-tukar cerita
dan impian sehingga tak sedar hari yang telah beranjak petang. Sempat dia
mengucapkan selamat tinggal kepada teman-temannya sebelum masing-masing membawa
haluan sendiri.
Kayuhan basikal semakin pantas dengan wajah yang tersenyum riang menghirup
udara petang sehingga terleka tak sedar ada tubuh yang sedang ingin melintas
jalan, Alamaknya! Dia pucat. Brek tangan dicengkam sekuat-kuat hati namun… aduh
lupa basikal aku tak ada brek! Talinya sudah lama putus! Dalam kalut mengawal
basikal Nasuha terbabas ke dalam semak lalang yang tumbuh meliar di tepi jalan.
Toing-toing-toing! Kunang-kunang pandangan. Rasa sedikit berpinar
kepala akibat terhentak pada tanah. Nasib baik aku tak pengsan sekali. Dia
mengaduh perlahan.
“Awak tak apa-apa ke tu?” Tegur satu suara yang agak garau sehingga
membuatkan dia tersentak.
Ceh lagi mahu tanya ka? Dah tengok aku tertonggeng ni mestilah aku ada
apa-apa. Lain kali nak melintas tu tengoklah kiri dan kanan dulu. Ini tak main
terjah saja, macam jalan ni ayah dia yang punya sendirian berhad! Tengok siapa
yang jadi mangsa keadaan? Aku juga… Siapa yang cedera? Aku juga...
“Tak.. err saya tak apa-apa. Saya tengah bersantai dalam semak ni.” Dia
menjawab geram sengaja menyindir lelaki itu.
“Oh bersantai ya? Seronok ke dekat dalam tu? Tak miang ke dengan daun
lalang tu. Nanti gatal pula kulit awak tu.” Kita tanya elok-elok dia boleh
jawab main-mainkan. Kau loyar buruk aku lagi loyar buruk tau. Balas hati Tengku
Aniq Afnan.
Wajah lelaki itu direnung geram. Rasa nak hadiahkan penampar sulong
dekat mulut yang menyindir itu, tapi.. hai sabar Suha. Dia lelaki kau perempuan
mesti kau tak mampu nak lawan kekuatan dia nanti kalau dia apa-apakan kau tu.
Habis kotor baju sekolah aku ni. Nasib baik ni hari terakhir aku
bersekolah dan tak sangka aku berjaya mengutip kenangan yang tak berapa nak
indah dalam hidup aku pada hari terakhir di zaman persekolahan ni. Tak apa, tak
apa. Kalau lain kali aku nampak wajah kau lagi memang aku tolak kau terus masuk
dalam parit tepi jalan ni biar kering kena sedut darah dengan pacat.
Muka lelaki itu dipandang sekilas lalu. Nampak macam bukan orang sini.
Mesti takut dengan pacat ni kalau dia orang bandar. Wajah mencebik-cebik
menganalisa lelaki itu. Terkial-kial dia bangun dan tak sangka lelaki itu bermurah
hati untuk membantu siap memegang kedua lengannya lagi.
“Hisy tepilah.” Tangan lelaki itu ditepis kasar. Kau ingat ni dekat
bandar ke suka-suka nak sentuh anak gadis orang. Nanti tak pasal-pasal bertelur
kepala kau dek penangan orang-orang kampung ni tau. Dia mendengus geram.
Membebel-bebel hatinya.
“Eh.. eh.. kita dah tolong dia bukan nak ucap terima kasih. Cik adik
cikgu awak tak ajar ke subjek moral sampai orang berbudi pun awak tak tahu nak
hargai?” Soal lelaki itu bernada sindiran.
“Saya tak suruh awak berbudi pun. Lagipun kerana awaklah saya
tertonggeng jatuh tau. Dah buat kita terjatuh lepas tu ada hati nak menabur
budi pula. Budi awak tak laku dengan saya ni tau.” Dia membalas pedas. Geram!
Dahlah banyak cakap. Apa dia ingat muka dia yang putih siap ada lesung pipit tu
boleh buat aku cair tertarik, menarik dan lembut hati? Boleh jalanlah..
“Agaknya macam nilah kut sikap orang-orang kampung ya? Orang tolong
dia, dia marah kita balik... isk.. isk.” Ucap lelaki itu sambil
menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah benar-benar kesal.
Hek eleh.. gaya dah macam wakil rakyat pula. Eh mamat sewel ni
sebenarnya anak siapa? Terlepas dari mana? Kita marah dia, dia boleh buat tak
tahu. Bahkan dia buat kita bertambah marah dengan sikap dia dan mulut
lancangnya adalah. Sekarang ni siapa yang mangsa ni? Aku ke dia?
Basikal yang berada di tangan lelaki itu diambil. Ops dengan bahasa
tepatnya dirampas. Tak ada masa berbudi bahasa dengan orang separa ni!
“Tepilah.. saya nak lalu ni. Sibuk saja. Lain kali mata tu letak dekat
tempat yang sepatutnya bukan letak dekat tapak kaki. Nak melintas tu
tengok-tengoklah dulu. Menyusahkan orang saja.” Dia membebel.
“Saya rasa mata saya ada saja terletak elok dekat sini. Ke awak tu yang
naik basikal macam orang tengah makan angin. Berangan memanjang. Huh mesti
teringatkan pakwelah tu kan? Saya faham budak-budak yang baru nak meningkat
naik macam awak ni.” Lelaki itu membidas.
“Malaslah nak layan orang sewel macam awak ni. Saya nak balik. Hari dah
gelap nanti susah. Awak tu pun mesti nak kena balik rumah nanti tercari-cari
pula orang tua awak tu. Eh awak ingat tak jalan nak balik rumah awak tu?”
Sengaja dia menyoal menyakitkan hati lelaki itu. Biar dia bengang bisik hati
kecilnya agak nakal.
“Kata orang, entah-entah dia takut mak dia cari dia tu yang dia kata
nak balik lepas tu bagi alasan hari dah malam.”
Huh malas aku nak layan dia ni makin aku layan makin aku pula yang
sakit hati. Sebelum aku berjangkit kesewelannya baik aku pulang. Lagipun
senja-senja ni tak elok ikut emosi, senang tersampuk pula nanti. Tanpa pamitan
Nasuha mengayuh basikal berlalu meninggalkan pemuda yang telah mengacau dan
merosakkan ketenangan petangnya.
“Hati-hati mengayuh basikal ya cik adik jangan berangan buat macam
jalan tu hak milik pakwe awak pula.” Sempat lagi dia mendengar lelaki itu
menyindir.
Grr.... Geramnya mendengar sindiran lelaki itu. Pantas dia menoleh
menghadiahkan jelingan maut siap menayangkan penumbuk yang tidaklah sebesar
mana pun dan lelaki itu hanya tertawa melihat telatahnya. Menggeleng-geleng
kepala. Aik aku ada buat lawak ke? Nasuha kehairanan. Macam-macam hal.
******
“Macam manalah boleh jatuh ni Suha? Hairan mak ni tau tak? Dah
besar-besar begini pun tunggang basikal sampai boleh terjatuh.” Bebel Mak
Salwa. Terkejut dia bila dikhabarkan oleh si anak yang dia telah terjatuh dari
basikal sehingga mendapat lebam-lebam di tubuh.
“Aa.. err ada lembu besar terlepas dan tiba-tiba melintas mak, Suha
terkejut tak sempat nak elak, tu yang terus terbabas tertonggeng dalam semak
tepi jalan.” Tergelak membayangkan lembu yang dimaksudkan itu.
“Lembu terlepas? Bahaya tu, lembu siapa tu? Nasib baiklah dia tak
sondol kamu dengan tanduknya. Risau pula mak.” Soal wanita itu sambil jari
jemarinya lincah mengurut kaki Nasuha yang sedikit sengal itu. Berkerut-kerut
wajahnya menahan sakit.
“Lembu Pak Awanglah Suha rasa mak, sebab tadi Suha nampak sibuk dia
mencari lembunya.” Kesian Pak Awang, tak pasal-pasal termasuk dalam ceritanya
ni. Pak Awang memang terkenal di kampung kerana memiliki lembu yang agak banyak
dan hanya nama lelaki itu pula terlintas di fikiran ketika Mak Salwa menyoal.
Tak apalah bohong sunat kut. Yalah tak akan nak diberitahu akan perkara yang
sebenarnya? Mesti dia akan dileteri lagi panjang konon tak berhati-hatilah,
itulah, inilah.
“Oh.. esok mak nak pergi jumpa Pak Awanglah kalau macam ni. Nak nasihat
sikit supaya dia jaga lembunya elok-elok. Jangan biarkan lepas bebas tak
bertambat.” Putus Mak Salwa. Dia tak mahu kejadian yang menimpa anaknya itu
berulang kepada orang lain pula. Ini baru jatuh basikal dah lebam sana-sini.
Kalau motor mesti dah patah riuk tak pun hilang nyawa. Bahaya tu.
Tercengang Nasuha bila mendengar ayat yang terlahir dari mulut Mak
Salwa itu. Alamak! Mak ambil serius pula perkara ni. Macam mana ni….
“Eh tak payahlah mak, lagipun dia dah berjaya tangkap lembunya tu
balik. Tak perlulah mak ambil serius, panjang-panjangkan cerita.. nanti lain
pula jadinya.”
“Mak bukan apa Suha, mak takut kejadian ni berulang kepada orang lain.
Eh tapi kalau kamu kata macam tu tak apalah.” Membatalkan niat.
“Hah dah kurang sikit sengalnya.. Pandai mak urut terima kasih ya mak.”
Ucapnya. Fuh! Menghembuskan nafas lega bila mendengar Mak Salwa berkata begitu.
Nasib mak jenis yang lembut hati, mudah dipujuk, kalau jenis yang keras hati
mahu mak berkeras juga nak jumpa Pak Awang. Nanti tak pasal-pasal timbul salah
faham. Silap hari bulan bergaduh pula dengan Pak Awang, bermasam muka. Sebab
lelaki tu memang tak ada buat salah apa.
“Baru tahu ke emak ni pandai mengurut? Arwah nenek kamu dulu tu tukang
urut dekat kampung kita ni.” Balas Mak Salwa sambil tersenyum mendengar ucapan
anaknya itu. Anak yang baik. Tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih
kepadanya andai dia melakukan sesuatu untuk anaknya itu.
“Tengok mak ni, puji sikit dah perasan.” Nasuha menggiat.
“Eh mak bukan perasan. Kenyataan tau.”
“Yalah tu mak. Suha nak masuk tidur dululah. Nak ganti tidur-tidur yang
tak cukup sepanjang peperiksaan ni.” Memang tidurnya tidak pernah cukup
semenjak menjelang STPM ni.
“Ha.. tidur tu jangan lupa nak ambil wudhuk pula sebelumnya. Biar tidur
tu berkat dan tak adalah mengigau yang bukan-bukan pula nanti.” Sempat
menitipkan pesan.
“Tak lupa mak.. kan tiap-tiap malam mak selalu ingatkan Suha. Selamat
malam mak.” Ucapnya sambil mengucup pipi Mak Salwa.
Pssttt : Novel ni dah berada di pasaran serata Malaysia pada September 2016. Kalau ada yang berkenan boleh direct order ke Penerbitan LOveNovel atau dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran anda.
No comments:
Post a Comment