Masa tak mampu memudar kasih,
Dendam tak dapat memadam sayang,
Benci tak bisa mengikis rindu,
Marah tak mungkin membuang cinta.
Lebih 5 tahun lalu,
“Oi… aku nak duit!” Selamba meminta duit dari isterinya tanpa sedikit
pun terbit rasa malu.
Nasuha memerhati dengan penuh geram. Kalau aku ni kuat dah lama aku
campak dia ni keluar dari rumah, tak ingin aku nak tengok muka lelaki tak guna
yang hidup hanya tahu bergantung ehsan dengan kudrat orang perempuan. Tak tahu
malu sungguh! Terkumat-kamit mulut berbicara tanpa suara. Kadang-kadang hilang
sabar juga melihat kerenah suami kepada emaknya itu
“Saya mana ada duit lagi bang. Semalamkan abang baru je ambik semua
duit saya? Manalah saya ada duit lagi dah sekarang ni.” Mak Salwa memberi
alasan. Memang dia masih ada sedikit lagi duit berbaki tapi duit itu untuk
digunakan membeli barang-barang dapur dan membayar bil air nanti. Kalau tak
dibayar bil itu nanti takut pula bekalan air di rumah akan dipotong. Susah pula
mereka sekeluarga nanti.
“Oiii jangan tipulah. Tadi aku nampak Si Alip tu hantar duit jualan
nasi lemak dan kuih yang kau letak dekat kedai dia. Mana duit tu? Bagi kat aku
cepat. Aku nak guna!” Bentaknya kasar.
“Duit tu nanti saya nak buat modal balik untuk berniaga. Kalau nak
harapkan abang bagi duit rasanya matilah kami ni.”
“Oh pandai kau nak mengata aku sekarang ni ya? Dah jangan nak bagi
alasanlah, bagi aku cepat duit tu!” Pintanya cuba merampas beg duit milik Mak
Salwa. Nasuha terkejut dengan kelakuan ayah tirinya. Sungguh tak tahu malu dan
sungguh tak layak menjadi lelaki, kaum yang sepatutnya melindungi perempuan
tapi kini sebaliknya pula.
“Pak cik ni tak tau malu ke? Dahlah malas nak kerja lepas tu minta duit
dekat emak pula, lelaki apa pak cik ni?” Dia bersuara, sabarnya hilang setelah
sekian lama marah dipendam hari ni terhambur juga.
Berdesing telinga mendengar teguran budak sementah Nasuha itu. Tercabar
ego. Budak ni memang nak mampus agaknya. Kecik-kecik lagi dah pandai nak ajar
orang tua. Pantas kaki diatur ke arah Nasuha.
Pang!!! Tangan melayang laju ke pipi anak gadis itu tanpa sebarang
amaran.
“Budak kurang ajar! Kecik-kecik tak nak mampus! Bila dah besar
menyusahkan pulak. Kau ingat kau siapa nak ajar aku ni?” Bukan sekali bukan dua
kali penamparnya hinggap malah berkali-kali sehingga anak itu lembik longlai.
“Sudahlah tu bang! Sudahlah! Ya ALLAH awak nak bunuh anak saya ke?
Kalau ya pun marahkan saya jangan lepaskan pada budak tu.” Mak Salwa
teresak-esak sambil cuba meleraikan perbuatan suaminya itu.
Sayu hati. Dia sendiri sebagai orang yang melahirkan tak pernah sekali
pun mengasari Nasuha. Tubuh anaknya itu dirangkul, ada darah yang mengalir di
pipi dan hidung Nasuha.
“Abang ambiklah duit ni. Pergilah ke mana abang nak pergi dan jangan
pukul dia lagi.”
“Heh.. kalau kau bagi dari awal tadikan lagi senang. Menyusahkan aku
je.” Tangan merentap kepingan duit kertas yang dihulurkan oleh isterinya itu.
Duit itu dibawa ke wajah dicium. Wajah yang kusam garang tadi kembali ceria
kini. Pantas dia melangkah keluar dari rumah tak peduli lagi apa yang berlaku
selepas ini.
“Maafkan mak sayang, mak yang buat silap. Kalau mak tak kahwin dengan
dia dulu tentu hidup kita tak merana macam ni, tak sukar macam ni.” Hiba hati
sebab tak mampu menyediakan kebahagiaan buat anak itu. Semua salah aku, silap
buat percaturan hidup. Bisik hati kesal yang sangat-sangat..
Nasuha hanya menggeleng lemah. Dia benci mendengar Mak Salwa tak
putus-putus menyalahi diri sendiri.
“Bukan salah mak, bukan salah siapa-siapa mak, cuma inilah dugaan hidup
kita mak. ALLAH nak tengok sejauh mana kita boleh bersabar dengan ujianNYA.”
Bisiknya perlahan memujuk lara di hati emaknya itu.
Tubuh Nasuha dipapah perlahan menuju ke biliknya. Tuala kecil dicapai
dan dibasahkan untuk mencuci luka di wajah anaknya itu. Air mata tak
putus-putus mengalir di pipi cengkungnya itu. Sayu melihat wajah si anak
berkerut menahan kesakitan dek penangan suami itu sendiri.
“Mak… maafkan Suha, Suha tak dapat tahan sabar tadi. Suha benci tengok
pak cik tengking-tengking, marah-marah mak begitu.” Tangan Mak Salwa dipegang
dikucup perlahan. Air mata yang mengalir di wajah tua milik Mak Salwa itu
diseka dengan hujung jari.
“Mak janganlah sedih, Suha tak ada apa-apa. Sikit je ni. Lagipun Suha
puas dapat cakap macam tu pada dia. Suha harap pak cik berubah satu hari
nanti.” Sambungnya lagi bila melihat Mak Salwa hanya diam membisu. Cuba diukir
senyum di wajah walaupun terasa sedikit pedih di hujung bibir.
“Suha tak salah apa-apa, tak payah minta maaf dengan mak. Suha rehatlah
ya, cuma lain kali mak harap sangat Suha jangan buat macam ni lagi. Mak tak
mahu tengok Suha dicederakan, kena pukul dengan pak cik lagi.” Mak Salwa
mengusap perlahan rambut milik puteri tunggalnya itu.
“Janji dengan mak. Walau apa pun yang jadi selepas ni, Suha jangan
masuk campur kalau pak cik marahkan mak ya nak? Mak tak mahu apa-apa jadi pada
Suha. Mak tak mahu benda ni berulang lagi.” Pintanya. Jangan sebab dia
bertengkar dengan suami, anaknya itu pula yang jadi mangsa keadaan. Luka-luka
dipukul dibelasah tanpa belas.
“Suha tak boleh janji untuk tak masuk campur.” Dia menggetap bibir
geram bila ingatannya teringat akan tingkah Pak Mail itu.
Terdiam Mak Salwa mendengarnya. Suha memang anak yang keras hati.
Nampak saja macam lembut orangnya, tapi kalau hati dah tekad membenci, maka
bencilah dia.
“Dahlah… Suha tidur ya nak” Dikucup perlahan dahi milik anak itu, sedih
melihat Nasuha yang kesakitan.
Entah kemanalah lelaki itu sudah pergi dengan duitnya tu. Mungkin
berjudi di hujung simpang kampung atau sedang asyik mabuk-mabuk meneguk air
kencing syaitan yang dibeli di kedai Ah Thong. Ada suami pun macam tiada suami.
Kalau dia tahu macam ni akan jadi hidupnya kini, lebih baik dia bersendiri saja
terus untuk besarkan Nasuha. Selama ini pun dia yang menanggung hidup lelaki
itu dan Pak Mail hanya tahu menghabiskan harta benda saja.
No comments:
Post a Comment