iklaneka

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Thursday, October 17, 2013

Novel : Kau Yang Tak Diundang [Bab9]

Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah membaja sayang...

“Mari duduk sini, ibu dengan ayah ada benda nak cakap dengan Suri.” Mak Lydia menepuk kusyen di sebelah tempat duduknya. Memberi isyarat agar si anak mengikut kehendaknya.

Leila Suria yang pada mulanya ingin berjalan menuju ke biliknya untuk berehat, akur melabuhkan duduk di sisi ibunya. Err aku ada buat silap besar ke beberapa hari ini? Raut wajah serius yang dipamerkan oleh kedua ibu bapanya mengusik tenangnya.

“Ada apa ibu, ayah?” Dia bertanya perlahan-lahan, lambat-lambat.

“Ni ibu nak cakap dengan kamu, adik kamu Lily Serina nak berkahwin.”

Oh itu rupanya yang mereka nak bagi tahu aku. Ingatkan hal apa tadi. Risau juga kut-kut kalau aku ada buat kesilapan dalam tak sedar sampai menyinggung perasaan ibu dan ayah ni. Dia menarik nafas lega mendengar berita yang baru disampaikan oleh Mak Lydia itu.

“Oh baguslah tu bu. Adik dah jumpa calon pilihan yang tepatlah maknanya tu.”

“Memanglah bagus, ibu pun gembira dengar adik kamu cakap macam tu tapi…”

Eh kenapa ada tapi pulanya ni? Ini yang buat aku risau ni.

“Tapi apa bu?” Buru-buru dia bertanya.

“Ibu dan ayah dah buat keputusan.” Ucap Mak Lydia sambil matanya memandang ke arah Pak Salleh dan lelaki itu mengangguk-anggukkan kepalanya seolah memberi kebenaran untuk dia menuturkannya.

“Hai keputusan apa pula ni bu, ayah?” Kedua wajah orang tuanya dipandang bergilir-gilir.

“Ada syaratnya kalau Lily Serina nak berumah tangga sekarang ni.”

“Lah kalau ya pun ada syaratnya kenapa bagitahu dekat Suri pula? Bagilah tahu dekat adik tu.” Haisyy adik yang nak kahwinkan? Jadi adiklah yang kena dengar syarat daripada ibu ayah ni. Apa kena mengena dengan aku ni. Dia mengeleng-gelengkan kepala tersenyum sendiri. Macam-macamlah ibu dengan ayah ni. Buat aku suspen saja.

“Syarat ni ada kena mengena dengan kamu tu sebabnya kami bagitahu dengan kamu nak dengar apa mulut kamu cakap.” Akhirnya selepas puas main mata dengan Mak Lydia, Pak Salleh bersuara.

“Ada kena mengena dengan Suri? Aiysh lain macam pula Suri dengar ni ayah. Takut jadinya.” 

Wajah separuh usia pesara guru itu dipandangnya. Raut wajah Pak Salleh yang selalu serius itu membuatkan dia selalu tak berani bertentang mata dengan ayahnya itu walaupun dia tidak melakukan salah apa-apa.

“Ayah cakap dengan Lily Serina kalau dia nak berumah tangga boleh, tapi selepas kamu berumah tanggalah.”

“Ha baguslah kalau ayah dan ibu tak ada halangan untuk adik berumah tangga, ha… apa?” Terkejut baru dia sedar akan kelainan di penghujung ayat yang baru dituturkan oleh ayahnya itu.

“Kenapa?” Pak Salleh menyoal bila melihat dia terdiam dengan riak penuh terkejut.

“Ayah… ayah mana boleh letak syarat macam tu pada adik.” Ujarnya lemah. Antara dengar tak dengar saja suaranya.

“Kenapa pula ayah tak boleh letak syarat macam tu? Cuba Suri cakap mana silapnya syarat ayah tu? Ini untuk kebaikan Suri juga tau.”

“Ibu tolonglah Suri ni…”

“Ibu tak mahu masuk campur. Ibu sokong saja syarat ayah tu. Ibu tak nampak mana salahnya syarat ayah tu pada Suri kan ayahnya?”

Pak Salleh hanya menganggukkan kepalanya.

“Tak kasihan ke pada adik tu ayah, ibu? Sampai sanggup letak syarat yang begitu berat pada adik.”

“Soalan tu kamu sepatutnya tanya pada diri kamu tu sendiri Suri.”

“Ayah dan ibu mesti tahukan hakikat keadaan Suri ni?”

“Suri tak perlu beri pelbagai alasan. Kalau Suri rasa syarat ini tak adil pada adik tu, Suri kena bertindak, jangan asyik mempersoalkan apa rasionalnya ibu dan ayah bagi syarat begini. Suri kena tanya diri Suri sendiri. Sebab Suri ada jawapannya.”

“Ayah dan ibu sayangkan Suri.”Sambung Pak Salleh lagi bila melihat dirinya yang hanya diam seolah mengelamun mendengarkan kata ayahnya itu.

“Tak akan hanya kerana Suri dah berumur 29 tahun ayah dan ibu letakkan syarat begitu pada adik? Adik yang nak berumah tangga, biarlah adik laksanakan impiannya tu tanpa syarat yang membebankan dia ayah.” Lembut masih cuba berkompromi, berdoa supaya ke dua orang tuanya mengubah fikiran.

“Itu pun salah satu sebabnya Suri, tapi ayah dan ibu ada sebab yang lebih utama daripada umur kamu yang semakin lanjut tu.”

“Sebab yang lebih utama?”

“Ya. Kami ni umur semakin lama semakin tua, bila-bila masa saja akan pergi dijemput oleh-NYA. Sekurang-kurangnya bila kami letakkan syarat begini kami dapat pergi dengan tenang sebab sudah ada yang boleh menjaga kamu selepas kami tak ada nanti.”

Tersentak. Sayu hatinya bila mendengar kata ayahnya itu. Tak sangka sampai begitu sekali pemikiran ayahnya tentang dirinya.

“Ayah… Suri janji Suri akan berumahtangga, tapi bukan dengan cara begini.”

“Ini saja caranya yang dapat memaksa kamu berkahwin. Tak ada cara lain dah. Kalau nak tunggu masa kamu, entah bilanya akan tibanya. Jangan-jangan selepas ibu dan ayah ni menutup mata. Kempunan kami nanti.”

“Suri mana ada calon ayah, kawan lelaki pun tak ada.” Dia berterus-terang.

“Tengok, kan betul agakan ayah ni. Kamu terlalu beri fokus pada kerja sampai soal diri kamu, hidup kamu, kamu ambil mudah saja.”

“Aduhai ayah… Tak ada orang nakkan Suri ni. Suri tak secantik adik.”

“Kalau kamu kata kamu tak ada teman lelaki, ibu boleh carikan untuk kamu. Diraz anak tok ketua kampung kita Haji Deraman tu ada juga bertanya tentang kamu tu. Dia macam berkenan dengan kamu saja gayanya.” Mak Lydia memberitahu.

“Diraz???” Bulat matanya terkejut. Semerta ingatannya terputar pada satu susuk sasa seorang pemuda yang sering menghalang laluan pulangnya sewaktu dia kecil dahulu. Diraz Hakimi Haji Deraman. Lelaki yang suka melemparkan lipas, ulat bulu dan apa jua serangga yang dijumpainya semata-mata untuk menakutkan dirinya. Berkerut-kerut wajahnya. Geli geleman, meremang bulu romanya bila teringatkan lelaki itu. Laju kepalanya menggeleng. Tidak, tak akan dah tak boleh aku bersama dengan lelaki itu. Tak sanggup aku!

“Errr kalau dengan dia tak apalah ibu. Biar Suri cari sendiri.”

“Pulak, tadi kata tak ada calon, ini ibu dah bagi kamu tak mahu pula. Diraz tu budaknya baik apa, hormat dengan orang tua pula tu. Kerja pun bagus dekat bandar tu. Ibu dengar dia arkitek yang berjaya sekarang ni tau. Kalau kamu dengan dia, ibu dengan ayah mesti sangat gembira.”

Huh daripada dengan lelaki itu, Suri tak berkahwin pun tak apa ibu, ayah… Jawabnya tapi hanya sekadar terluah di dalam hatinya sahaja.

Masih teringat dulu bertapa bencinya dia dengan lelaki itu. Lelaki yang banyak membuatkan dirinya menangis. Bukan menangis apa, menangis kerana benci dengan perbuatan lelaki itu padanya. Ada saja modalnya untuk mengusik dirinya. Nasib juga selepas habis tingkatan 5 lelaki itu dapat tawaran belajar ke luar negara, maka terputuslah ‘perhubungan’ dia dengan lelaki itu. Lelaki yang tua 2 tahun daripada umurnya.

Haisy macam manalah keadaan Diraz itu sekarang? Adakah masih seperti dulu rupanya, gelap sebab terlalu berjemur kerana aktif sukan padang atau sudah bertukar cerah kulitnya kerana lama berada di luar negara. Masakan tempoh masa lebih 10 tahun tak mengubah dia. Eh yang aku asyik teringatkan dia ni kenapa pula? Tak akan pula aku ambil serius kut dengan saranan ibu tu? Tak ingin aku eh hidup dengan lelaki tu. Tak sanggup! Mahu aku mati cepat kut kalau dah hari-hari dihadiahkan katak, lipas, ulat bulu dan segala jenis serangga yang menggelikan akulah.

******

Dia duduk mengelamun menanti kedatangan temannya. Hampir satu jam, tapi batang hidung temannya langsung tak muncul-muncul juga. Sudahnya dia mula naik bosan, pandangan matanya jatuh pada sepasang kekasih yang duduk tidak jauh berselang meja dari mejanya. Dari tadi dia mencuri memerhati telatah pasangan itu. Dia berkerut dahi.

Huh betullah sekarang ni Malaysia dah terlebih barat daripada negara barat. Terkumat-kamit mulutnya membebel sendirian. Pasangan itu memang tidak segan silu memadu asmara di tempat awam begini dengan tangan si lelaki tak lepas-lepas mengusap belakang tubuh gadis itu dan tubuh si gadis ibarat tak punya tulang, melentok manja pada tubuh si lelaki. Ceh! Budak-budak sekarang ni memang tak tahu pilih port kalau nak bercengkerama! Dia mencebik bibir geli dengan aksi yang terbentang di depan matanya.

“Hoi dude! Sorrylah aku lambat.” Terasa bahunya ditepuk kuat dari arah belakang. Tak perlu menoleh untuk melihat dia sudah tahu siapa pemilik suara itu.

“Huh kalau tak lambat tu bukan kaulah Kryll oi!” Dia membalas selamba.

“Ahaha si Nancy buat hal nak mengikut aku ni, aku cakaplah tak boleh sebab ni hal orang lelaki. Hah apa lagi, melalaklah dia dekat rumah tu. Siap tuduh aku nak keluar mencurang dengan orang lain. Sakit kepala aku dengan kerenah dia. Aku ni bukan apa, aku kesian dengan dia. Dalam keadaan dia yang sarat macam tu aku mahu dia dapat rehat secukupnya dekat rumah tu, bukannya ikut aku ke sana sini.” Kryll Moses tanpa diminta terus memberi tahu akan sebab kelewatannya.

“Hah padan dengan muka kau Kryll. Tulah gatal sangat nak berkahwin awal, kan dah kena ikat langkah kaki tu.”

Wajah sepupu merangkap sahabat baiknya itu dipandangnya. Kryll Moses Bin Noah Abdullah nama macam orang bukan Melayu, rupanya pun jauh sangat daripada peranakan Melayu walaupun emaknya berbangsa Melayu, nampak sangat gen Mat Salleh banyak mempengaruhi struktur tubuh sepupunya itu.

“Heh… weh itu bukan gatal namanya tapi sudah jodoh. Tak apa aku faham, pembawaan budak memang begitu.” Senyum lebar memekar di wajahnya saat terkenangkan keadaan isterinya yang sedang sarat mengandungkan cahaya cinta mereka yang pertama. Tak sabar rasanya menantikan kehadiran orang baru di dalam hidup mereka.

“Ha’ah pembawaan budak. Eh macam cepat sangatkan masa tu berlalu. Rasa macam baru semalam kau orang berdua berkenal-kenalan. Malu-malu kucing tapi mahu. Bercinta dan akhirnya berumah tangga. Sekarang tak sangka kalian sedang menunggu anak yang pertama. Terus terang aku gembira dengan kau orang tapi kau orang kena berterima kasih dengan akulah. Kalau tak kerana aku ni tentu sekarang ni belum tentu kau orang dah hidup bersama.”

“Yalah, terima kasih banyak-banyak bro, kalau tak kerana kau tak mustahil sekarang aku dan Nancy masih tak bersama.”

Ya semuanya kerana banyak pertolongan daripada dirinya. Dia sendiri yang mula membuka mulut kepada Nancy Nur Jannah Abdullah tu, menyatakan yang si Kryll ni ada hati dengan wanita itu dan tak sangka perasaan berbalas. Rupa-rupanya masing-masing menyimpan perasaan cuma tak tahu nak mulakan bagaimana. Semenjak itu mulalah kehidupan mereka sebagai insan bercinta selama lebih 5 tahun sebelum mengikat cinta mereka dengan pernikahan.

Bukan calang-calang percintaan mereka ni. Banyak sangat tembok halangan apatah lagi Nancy bukan satu agama dengan mereka. Untuk meyakinkan keluarga Nancy juga begitu sukar. Kryll sendiri nyaris menjadi mangsa muncung pistol Mr Rodrigo, lelaki Serani yang berang bila mendapat tahu yang anak gadisnya bercadang meninggalkan agama anutannya semata-mata untuk bersama dengan Kryll.

Berkat kesabaran sepupunya itu akhirnya sedikit demi sedikit berjaya melembutkan lelaki itu untuk menerima Kryll sebagai menantunya dan sekarang setahunya hubungan antara mentua dan menantu itu sudah agak akrab apatah lagi dengarnya mereka mempunyai minat yang sama. Snokerling! Ah manusia ni memang cepat berubah hatinya. Kalau dahulu benci tak semestinya sekarang masih benci. Begitulah sifat manusia yang kompleks.

“Ni yang kau ajak aku lepak ni apa hal Rio? Tak akan hanya sebab nak temankan kau termenung pula? Dari tadi asyik mengelamun. Kau ada masalah ke apa?” Teguran Kryll itu menarik dia kembali ke alam nyata. Lamunannya tentang kisah sepupunya pecah bertebaran.

Lain macam pula dia tengok telatah sepupunya hari ni. Tak banyak cakap macam biasa. Biasa tu mulut tu tak reti nak duduk diam. Pantang ada gadis cantik lalu depan matanya pasti galak lelaki itu mengusik, paling tidak pun bersiul tapi hari ini agak sepi, diam tak berbunyi macam dalam mulut tu ada bertan-tan batu. Berat.

“Hurm…”

“Apa halnya? Cuba cerita dengan aku ni?”

“Papa dah berubah Kryll.” Pendek jawapannya.

“Berubah? Uncle berubah macam mana pula Rio?” Soalnya hairan. Setahunya abang kepada daddynya itu baik orangnya dan sentiasa bertanggungjawab. Masakan dia mengabaikan tanggungjawabnya pada Rio? Eh tapikan sepupunya bukan anak kecil lagi. Sudah mampu hidup sendiri apa.

“Entah Kryll. Aku pun dah semakin tak faham dengan dia sebenarnya. Sejak dua menjak ni dia dah pandai bergaya. Maksud aku bukan sebelum ni dia tak pandai bergaya, tapi sekarang ni dah terlebih bergaya. Melaram sentiasa.” Sakit kepalanya bila memikirkan perubahan papa lebih seminggu ini. Sudahlah puas diintip siapa buah hati papa tapi dia sendiri tak berjaya. Intipan tak menjadi. Hasilnya hampa.

“Baguslah kalau uncle pandai bergaya, melaram. Uncle muda lagi apa Rio. Apalah nak dihairankan.”

“Masalahnya Kryll, papa dah berani ugut-ugut aku. Kalau sebelum ni aku habiskan duit dia banyak mana pun dia buat tak tahu saja tapi sekarang ni lain. Dia dah pandai berkira dengan aku ni.”

Uncle pandai dah ugut-ugut kau? Dia ugut macam mana Rio?” Macam tak percaya pula.

“Dia ugut nak keluarkan nama aku ni daripada senarai penerima wasiat daripada dia.” Lemah nadanya.

Kryll Moses ketawa besar mendengar kata-kata Rio itu. Seolah kata yang keluar daripada mulut sepupunya adalah satu lawak jenaka yang menggelikan hatinya.

“Hahaha! Mengarutlah Rio. Aku tak percayalah uncle sanggup buat begitu pada kau.”

Memang setahunya perangai sepupunya ini agak licik. Begitu ringan tangan membantu pak ciknya itu mengurangkan asset simpanannya yang ada. Rio memang berani dalam bab-bab membelanjakan harta unclenya itu untuk berfoya-foya dengan teman-teman wanitanya dan dalam masa yang sama harta yang digelapkan oleh Rio itu jarang dapat dikesan olehnya unclenya itu.

“Memanglah aku pun tak percaya pada mulanya Kryll. Tapi…”

“Tapi apa Rio? Kau kan satu-satunya anak uncle, satu-satunya waris yang dia ada apa. Kalau tak kepada kau pada siapa lagi harta-harta dia yang menimbun ni akan jatuh? Tak akan pada aku kut? Aku pun tak perlu rasanya. Harta daripada syarikat perkapalan daddy tu pun dah lebih dari cukup buat aku ni.” Memang keluarga mereka jenis keluarga yang berada.

“Tulah aku pun cakap macam tu pada dia. Kau tahu dia balas apa dengan aku ni?”

“Apa dia Rio?”

“Dia cakap, Buat masa sekarang memang kamulah satu-satunya anak papa, tapi masa akan datang siapa taukan? Papa ni masih mampu lagi tau kalau nak menambah anak.” Masih terngiang jelas kata-kata Tuan Rolland Fiqry itu di ingatannya. Betul-betul merobek tangkai perasaannya.

“Oh jadi fahamlah aku. Uncle mungkin dah jumpa pengganti tempat arwah auntie ni. Akhirnya setelah sekian lama uncle hidup sendiri…” Bercahaya wajah Kryll Moses ketika itu. Tumpang gembira andai agakannya itu betul terhadap bapa saudaranya itu.

“Oiii aku tak suruh kau gembira Kryll oi. Kau sepatutnya simpati atas nasib aku ni.”

“Nak simpati kenapa pula Rio? Bukannya berita sedih pun.” Balasnya selamba langsung tidak dapat menangkap maksud yang tersirat di sebalik berita yang dikhabarkan oleh Rio itu.

“Bukan berita sedih kepala otak kau Kryll.”

“Amboii ayat kau, ‘manisnya’ sampai aku rasa nak tomoi kepala otak kau pula Rio.” Marah dengan bahasa kasar yang digunapakaikan oleh sepupunya itu.

“Ops sorry bro, aku tersasul cakap.”

“Hah tak apa. Aku masih tak faham maksud apa yang kau cuba sampaikan Rio. Jelaskan pada aku ni.”

Bukan sepatutnya Rio harus gembira ke bagi pihak papanya itu? Almaklumlah setelah sekian lama hidup sendiri dari Rio kecil tak tahu apa-apa sampai pandai berdikari, akhirnya baru kini terbuka pintu hati lelaki itu untuk menamatkan zaman dudanya.

“Kau sanggup ke tengok sepupu kau ni papa kedana kalau betul jadi papa aku tu berkahwin lagi?”

“Lah uncle yang berkahwin kenapa pula kau jadi papa kedana ni Rio? Tak fahamlah aku ni dengan kau.”

“Kau ni betullah Kryll. Lembab tau tak menangkapnya. Aku ni walaupun separuh Melayu macam kau tapi tak adalah selembab pemikiran kau tu untuk berfikir. Cepat saja menangkapnya walaupun disampaikan melalui kiasan ni. Kalau papa kahwin lagi mesti harta-harta dia tu jatuh pada bini barunya dan selepas tu jatuh pula pada anak-anak yang bakal lahir nanti. Aduh tak sanggup aku bayangkan kalau hal ini betul-betul terjadi. Rela aku mati daripada hidup tak punya apa-apa.”

Berkerut-kerut dahinya membayangkan andai apa yang dijangkakan menjadi kenyataan. Beberapa malam ini lenanya tidurnya asyik terganggu saja. Sering kali dalam mimpinya dia melihat dirinya kehilangan segala yang dimiliki. Dia melihat dirinya berpakaian compang camping mengisi perut dengan mengorek sampah di dalam tong sampah. Seram sejuk tubuhnya sehingga membuatkan dia takut untuk melelapkan matanya. Tak sanggup melihat dirinya yang merempat, terbuang dan hina. Arghhhh!

“Jadi kau nak aku buat apa Rio? Cari siapa teman wanita uncle tu?”

“Kau boleh ke cari? Aku yang satu rumah ni pun sampai sekarang tak sahu siapa perempuan tu.”

“Haiy kerja mudah je kut. Upah je penyiasat persendirian. Susah apa, kau kan banyak wang, bayar saja dan biarkan dia buat kerja dia.”

“Berbaloi ke Kryll?”

“Lah tanya aku pula. Terpulang pada kaulah. Kata tadi risau segala harta takut jatuh pada dia. Kalau tak nak ikut apa yang aku cakapkan ni. Jangan kau menyesal di kemudian hari sudahlah. Waktu tu kau jangan cari aku, menangis mengongoi-ngogoi ya.”

“Weh kau ingat aku budak kecik ke apa sampai nak menangis segala bagai macam tu. Paling tidak pun aku bawa diri jelah. Yalah papa dah ada orang lain mesti dia tak mahu dah dengan aku ni.” Lirih nadanya. Sendu.

“Woi apa mengarut kau fikir ni? Uncle memang dah ada orang lain tapi hakikatnya kau tetap waris dia juga. Tu dalam badan kau tu mengalir darah dia tau. Kenyataan yang dia sendiri tak boleh nafikan. Masakan uncle akan bertindak sekejam itu Rio. Aku rasa uncle tu pun tak sampai hati. Aku rasa dia mengugut saja. Tak mahu kau punya perangai tu makin melampau kut.”

Kalau papa hanya mengugut saja, legalah dia. Tapi kalau papa buat betul-betul macam mana? Habislah dia. Tak boleh tidak dia mesti mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah yang melanda hidupnya sekarang ni. Dia mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Habis serabut rambutnya yang tadinya elok terletak ditrim rapi.

“Apa aku nak buat ni Kryll?”

“Buat apa lagi Rio? Buat don’t know sudahlah.”

“Senangnya bercakap. Tak kena pada kau memanglah kau boleh cakap macam tu. Cuba terkena, mesti dah gubra tahap kronik macam aku ni.”

“Ok Rio kita serius sekarang ni. Andai kata kau tahu siapa kekasih hati uncle tu kau nak buat apa? Nak bunuh dia ke? Kasi dia lenyap terus dari dunia ni jadi dia tak adalah jadi saingan yang menyusahkan kau. Semua tu tak akan berkesudahan, uncle mesti akan cari wanita lain pula. Habis tak akan nak bunuh mati semua perempuan dekat atas muka bumi ni.”

“Gila! Tak akanlah sampai masuk tahap nak membunuh kut Kryll. Aku bukanlah pembunuh.” Terbeliak matanya. Gila betul sepupu aku ni, ingat aku segila itu sampai nak tukar profession nak jadi pembunuh.

“Dah tu itu saja cara yang terbaik yang aku nampak boleh selesaikan masalah kau ni. Masakan kalau kau dah tahu kau nak buat tak tahu saja Rio? Serupa juga kalau kau tak tahu sebab tahu pun kau tak buat apa-apa lagi.”

“Alah sekurang-kurangnya kalau aku dah tahu, mungkin lega dah sikit hati aku ni Kryll ni.”

“Tapi kau kena fikirkan macam mana nak singkirkan perempuan tu supaya diri kau tu tak tergugat.”

“Nak singkirkan macam mana Kryll?”

“Alah kau ni Rio, mana hilangnya perangai Don Juan kau tu? Kau godalah perempuan tu. Kalau betul dia ikhlas nakkan uncle tu mesti dia tak akan tergugat dengan godaan kau tu tapi kalau sebaliknya, kau sudah tahulah jawapannya nanti.”

“Goda dia? Eh bernas juga cadangan kau tu Kryll. Kenapa aku tak terfikir awal-awal ek? Nasib juga kau bagi tahu aku ni.” Bersinar wajahnya mendengar cadangan sepupunya.

Goda perempuan tu? Itu kerja senang saja bagi aku. Eh kenapa aku tak terfikir daripada awal ek tentang hal ini? Kasi uji sikit perempuan tu. Ikhlas ke dia sukakan papa atau ada-ada? Kasi papa rasa sikit… huhu sorry papa, kalau papa tak ugut-ugut Rio mesti Rio tak akan buat macam ni pada papa. Serba salah juga sebenarnya dia atas tindakan yang bakal dia lakukan itu tapi dia tak ada pilihan lain.

Ah wanita biasanya memang kalah dengan godaan kalau tak, tak adalah timbul satu kata yang wanita sanggup berikan segalanya untuk mendapatkan cinta dan lelaki sanggup berikan cinta untuk mendapatkan segalanya. Senyuman jahat mula tersungging di bibirnya. Mari kita tengok langit tu tinggi ke rendah ya perempuan. Siapa suruh kau curi hati papa aku? Kalau kau tak mulakan mesti aku tak akan ambil tindakan begini.

“Haha lain kali kalau bab-bab bermasalah ni kau carilah abe, biar abe tolong selesaikan untuk kau.” Ujar Kryll mula membangga diri.

“Eleh kau baru satu ni je kut masalah aku yang kau tolong selesaikan dah over act!” Bidasnya. Bukan apa selama ini dia lebih banyak perah otak untuk menyelesaikan masalah Kryll Moses yang hadir bertali arus itu.

Lelaki itu hanya ketawa besar mendengar bidasan dari dirinya itu. Sedikit pun tak ambil hati.



No comments: