iklaneka

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Thursday, October 10, 2013

Novel : Kau Yang Tak Diundang [Bab6]

Benci-benci membenih kasih,
Marah-marah mencambah sayang..


Leila Suria
Langit hari-hariku,
Cerah dengan lirikan indah matamu itu.

R…

Kad kecil yang berada di tangannya direnung lagi untuk ke sekian kalinya. Yalah tu, langit hari-hariku penuh dengan mendung siap berserta ribut petir lagi semenjak kehadiran kau dalam hidup aku ni. Tak tenang sentiasa. Ada saja haru birunya. Dia menggetap bibir. Geram! Sebab dia buntu untuk memikirkan atau dengan lebih tepat lagi mencari jawapan yang pasti siapa di sebalik ‘R’ si pengirim bunga itu.

Minggu lepas 5 hari berturut-turut dia menerima kiriman bunga sampaikan telinganya sendiri naik panas menerima usikan daripada Rabiah. Itu belum lagi termasuk dengan sindiran dari Rio si boss keciknya itu yang menuduh dia kononnya sengaja hendak menunjuk. Sakit hatinya mendengar tuduhan yang tak masuk akal yang keluar daripada mulut lelaki itu pagi jumaat lepas.

“Alah Abby, apa yang dihairankan dengan dapat bunga tu. Bukannya boleh kaya pun. Kalau dapat bunga emas tu lainlah ini tak bunga biasa saja, simpan dua tiga hari dah layu. Tak berkekalan. Itupun nak dibangga, ditunjuk dan diusung ke sana sini macam beruk dapat bunga je gayanya.” Sindir lelaki itu pedas. Tiba-tiba menyampuk perbualan dirinya dan Rabiah serta Regina Ray yang sedang bersusah payah meneka-neka siapa si ‘R’ itu.

“Uikh you ni apa cakap macam tu. You tu lelaki apa tau pasal perasaan perempuan ni. Perempuan ni lain sikit, walaupun diberikan barang yang tak berharga pun, kalau dah dinamakan pemberian daripada orang, perempuan tu tetap akan hargai pemberian tu apa adanya.” Bidas Regina Ray yang agak tidak puas hati dengan sindiran lampos dari Rio itu.

“Alah Regina, I bukan apa, I mula curious tau, jangan-jangan dia sendiri tau yang kirimkan bunga pada diri dia. Yalah malu orang kata dia tak laku, tu yang dia buat macam tu. Nak tunjuk sikit dekat orang yang dekat pejabat ni dia pun laku juga, macam orang lain. Malulah tu umur dah hujung 20 tahun tapi masih sendiri tak ada teman lelaki.” Lantang dia memberi tuduhan.

Leila Suria yang pada mulanya buat tak tahu saja dengan kehadiran lelaki itu tersentak. Terkejut mendengar tuduhan tak berasas daripada lelaki itu. Berpandangan seketika dia dengan Rabiah. Dilihatnya kerutan jelas tertera di wajah Rabiah yang sedang memandang ke arah dirinya itu. Ingin penjelasan. Tagih penjelasan atas tuduhan boss keciknya itu.

Leila Suria menarik nafas panjang. Dia mengeleng-gelengkan kepala beristighfar di dalam hati. Apa kenalah dengan lelaki ini, suka-suka saja cakap orang macam tu. Tak akan sebab kes dekat pantry tu sampai dia simpan rasa tak puas hati dengan aku sehingga sekarang ni? Macam budak-budaklah, tapi dia memang budak pun daripada aku ni.

“Hehe risau juga Encik Rio dengan status tak laku diri saya ni ya? Sampai ambil tahu segalanya tentang saya ni ya? Jangan-jangan Encik Rio ni kut pengirim bunga tu. R nama samaran pengirim tu dan dalam masa yang sama nama Encik Rio pun bermula daripada R juga. Eh tak sangka pula yang dalam diam Encik Rio puja saya rupanya.” Entah kenapa lain yang ingin dicakapkannya lain pula yang terkeluar daripada mulutnya. Mulutnya itu seolah nakal ingin mengusik amarah tuan keciknya itu.

Hening seketika suasana yang riuh tadi. Tiga pasang mata serentak memandang ke arahnya tajam. Terkejut barangkali mendengar kenyataan berani mati yang datang daripada dirinya itu.

What? Gila ke apa you ni! Statement you tu boleh jatuhkan reputasi I di pejabat ni tau. Prinsip I, I tak akan jatuh cinta dengan orang satu pejabat. That is ridiculous!” Nafinya tegas sedikit berang. Merah kulit wajahnya menahan marah dan malu.

Leila Suria mengulum senyum. Ha tau kau marah. Tadi tu kau cakap aku bukan-bukan tak fikir pula menjatuhkan reputasi aku ni kan.

“Hah tahu pun benda ni tak masuk akal Encik Rio. I boleh cakap apa saja sama macam you cakapkan pada I tadi tu. Ada you fikir perasaan I sebelum you cakap pendapat tak berasas you tadi tu? Tak adakan. I yakinlah you tulah si pengirim bunga tu. Memuja I dalam diam walaupun mulut you tu beria menafikan.” Dia tersenyum sinis. Marah yang cuba dibendung habis terburai. Sabarnya hilang berterbangan kini.

Regina Ray dan Rabiah melopong mulut melihat keberanian Leila Suria ‘membasuh’ boss kecik mereka itu. Tak sangka Leila Suria yang sering digelar tak berperasaan ini pandai marah. Selama dengan mereka 6 tahun ini tak pernah sekali pun dia melihat gadis itu melenting walau macam mana pun keadaan, kesilapan atau masalah yang mendatang, gadis itu sentiasa tenang saja menerima dan menyelesaikannya, tapi hari ini luar biasa. Mereka berpandangan.

“Sudahlah malas I mahu layan you ni Leila. I kirim bunga dekat you? Heh kirim salam pun I tak kuasa apatah lagi nak kirimkan bunga. Gila perasan you ni!” Tempelaknya ke muka gadis itu sebelum berlalu.

Sakit hatinya. Hajat hati nak sakitkan hati gadis itu dengan kesimpulan otaknya tentang pengirim bunga misteri itu tapi sebaliknya yang telah terjadi kini. Dia punya hati yang disakitkan pula.

“I tak suruh pun you layan I ni. You tu yang datang menyibuk siapa suruh? Menyampuk tiba-tiba perbualan I dengan Gina dan Abby tadi.” Balasnya lancang.

Rio melajukan langkahnya. Mahu menjauh secepat mungkin, malas mahu mendengar suara gadis itu. Terlalu sumbang suara itu dipendengarannya baginya sampai dia tak sanggup untuk mengorbankan telinganya mendengar suara itu.
           
“Hoi! Sakan kau termenung sampai aku tegur pun kau buat tak tahu saja ek?” Tepukan kuat di mejanya menyedarkan dirinya daripada lamunannya tentang peristiwa beberapa hari yang lepas.

“Apa woi, woi ni? Kau tak reti nak bagi salam dulu ke sebelum tegur aku ni Gina?” Sedikit marah bila lamunannya diganggu.

“Eh sejak bila aku boleh bagi salam dengan kau?” Regina Ray memandang ke arahnya keliru.

Leila Suria menepuk dahi. Alamak! Lupalah, dia bukan satu agama dengan aku ni. Wajah sepet di depannya dipandang sekilas.

“Ops sorry aku salah cakap, maksud aku sekurang-kurangnya kau hello-hello aku ni dulu sebelum kau nak sergah aku ni.” Balasnya perlahan cuba menutup silap cakapnya.

“Oh, aku ingatkan aku boleh bagi salam dengan kau macam kau orang selalu cakap tu kalau berjumpa dengan kawan-kawan ucap assalamualaikum… hah begitukan?” Lancar gadis Cina itu menuturkan sedikit pun tak silap.

“Wah pandai kau menyebutnya Gina?” Dia mengangkatkan keningnya, kagum.

“Alah bukan susahlah weh, alif ba ta pun aku tau, tau. Aku dulukan sekolah melayu selalu curi-curi masuk kelas pendidikan islam kalau mereka ada kelas. Kawan-kawan aku pun ramai beragama islam walaupun ada satu orang tu macam terlupa diri dia tu melayu yang beragama islam. Dress up mengalahkan minah salleh.” Sengaja dikuatkan ayatnya yang akhir supaya dapat didengari oleh Rabiah yang sibuk tertonggeng-tonggeng di mejanya kalut mencari kunci keretanya yang terjatuh.

“Woii, aku dengar tu Gina!” Jerit gadis itu.

Leila Suria hanya ketawa kecil menggeleng, biasa sudah dengan situasi begitu. Usik mengusik antara mereka. Macam dia tak tahu hubungan rapat antara mereka. Kalau setakat sindiran begitu memang langsung tak meninggalkan bekas di hati.

“Baguslah kalau kau dengar sebab aku memang sengaja nak bagi kau dengar Abby. Cubalah kau belajar pakai sopan-sopan macam si Leila ni Abby, sejuk mata memandang. Terjamin keselamatan.”

“Weh sejak bila pula kau jadi ustazah ni Gina? Mak aku tak bising pun. Asal aku pakai pakaian sudahlah. Kau tu pun apa kurangnya, pakai saja panjang tapi terbelah sana sini, kainnya jarang pula tu.” Sedikit keras nada Rabiah membalas sindiran Regina Ray itu.

“Aku ni lainlah, manalah boleh samakan dengan situasi kau tu. Eh bukan agama kamu tak kasi ke dedah-dedah tubuh ni? Kena tutup surat, eh urat eh apa ah yang kaum perempuan kena jaga daripada lelaki? Apa tu Leila?” Soalnya pada Leila Suria meminta bantuan.

“Auratlah sayang hahaha…” Tawanya terburai. Kelakar bila seorang yang sangat asing dengan agamanya menegur tentang aurat. Kalau dirinya yang ditegur mesti dia tak tahu mana nak diletak mukanya itu. Malu.

“Ah sibuklah kau, nanti aku dah kahwin aku tutuplah segala yang terdedah ni. Sekarang kalau aku tutup nanti tak ada lelaki nak ngorat aku ni.”

“Eh si Leila ni yang tak kahwin lagi dah tutup semua, sampai kepala pun tutup sekali apa pasal pula kau nak tunggu bila dah kahwin? Leila yang tutup-tutup begini ada je yang datang mengorat dia. Siap kirim-kirim bunga lagi apa.”

Semakin hangat!

“Aaa… jangan babitkan aku sekali ya. Abby aku tak sokong sesiapa ya.” Dia mengangkat kedua tangannya bila melihat debat antara kedua temannya semakin hangat. Jangan mereka bertekak betul sudahlah.

“Gina!”

“Ok Gina, menutup aurat tu memang wajib bagi kami kaum wanita ni, tapi kena buat dengan hati yang ikhlas bukan sebab terpaksa. Kalau buat kami dapat pahala, kalau tak buat dapat dosa. Eh cukuplah Gina sampai setakat ini saja. Aku bukan arif sangat untuk terangkan kepada kau ni. Karang kalau aku salah terang, salah pemahaman kau, aku pula yang berdosa. Kalau Abby tak tutup aurat itu terpulang pada dia. Sebab dosa tu dia yang tanggung.” Akhirnya dia menyampuk. Bimbang pula pada Rabiah yang kemungkinan besar akan kehilangan sabarnya dek kerana ‘kemuraian’ Regina Ray hari ini.

“Kau faham tu Leila kata tu, Gina? Dah jangan kau ungkit lagi perkara ni lepas ni kalau kau tak mahu aku putus kawan dengan kau.” Rabiah menokok.

“Yalah-yalah Abby, aku cuma cakap apa yang aku tahu dan faham tentang agama kau orang tu.”

Hai beginilah mereka berdua ni. Kalau tak ada sunyi bila ada, mesti ada saja benda yang nak digaduhkan.

So?”

So apanya Gina?” Hairan bila tiba-tiba Regina Ray memberi fokus kepada dirinya pula seolah ada perbualan antara mereka yang masih tergantung.

So apa gerangan lagi yang membuatkan wajah Cik Leila kita ni bermuram durja macam menggalas masalah yang terlalu memberat saja laksananya?”

Hah tu dia, terkelu lidah bila mendengar anak Cina menggunakan Bahasa Melayu yang bagus. Formal bercampur bahasa istana. Kagum dia dengan kebolehan Regina Ray menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Orang melayu pun belum tentu mampu berbahasa sebaik dia, malah ada bangsanya sendiri yang malu untuk bertutur menggunakan bahasa kebangsaanya itu. Tidak standat kononnya kata mereka.

“Errr…”

“Abby! Kawan kita ni dilamun cinta. Mari sekolahkan dia tentang cinta.” Rabiah yang sedang duduk di mejanya membalas mesej di telefon bimbitnya digamit.

“Jangan mengarutlah Gina. Aku mana ada dilamun cinta pun.”

“Dah tu apa? Lain macam saja muka kau pagi ni.”

“Errr a…ku, aku nak kahwinlah Gina…”

“Kau… what?? Kahwin? Er Abby aku tak salah dengarkan?” Regina Ray terkejut mendengar kata Leila Suria itu sampai sangat sukar dia ingin mempercayainya.

“Aa… aku baru nak tanya yang sama pada kau Gina. Err kau biar betul ni Leila. Angin tidak, ribut pun tidak tiba-tiba cakap pasal nak kahwin. Ada yang datang meminangkan kau ke cuti dua hari lepas?” Soal Rabiah.

Leila Suria perlahan mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Dah tu kenapa tiba-tiba pula ni?”

“Panjang ceritanya aku nak cakapkan.” Dia menjawab lemah. Sungguh bila teringat kembali rayuan Lily Serina itu perasaannya jadi serba salah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dia tersepit! Buntu.

“Ceritalah. Mana tau kami berdua boleh membantu ke. Paling tidak pun akan melegakan sikit perasaan kau yang sedang serabut tu.”

“Macam mana aku nak mulakan ya, aku sendiri pun masih tak percaya sebenarnya dengan apa yang terjadi dalam hidup aku dua tiga hari ni.”

“Cuba… jangan kau lupa kami ni ada sebagai sahabat kau untuk dengar masalah kau tu. Tak akan sebab kau terima kiriman bunga tu sampai kau terfikir nak berumah tangga?”

Dia mengeleng-gelengkan kepala. Menafikan.

“Bukan sebab itulah.”

“Dah tu?”

“Err… macam mana nak cakap ya. Aku… aku…”

Interkom berbunyi tiba-tiba, mereka bertiga berpandangan.

“Abby masuk bilik I.” Terdengar suara majikan mereka, Rolland Fikry memberi arahan.

“Alahai boss ni kacaulah, pagi-pagi lagi ni. Jangan cerita dulu. Tunggu aku tau.” Rabiah berpesan sebelum bergegas.

Leila Suria mengangguk, tangan kanannya diangkat untuk mengurut pelipisnya yang terasa sakit berdenyut tiba-tiba itu.



4 comments:

Ryia Sakura said...

Rasa dh tahu la sapa bg bunga tu..entah2 ayah si rio tu x???

Nuril Razi said...

salam Ryia Sakura... uikkk pandainya dia teka... kita tengok next entry ya, betul ke tak tekaan awak tu... ^_^

norihan mohd yusof said...

cer citer leila...akk pn nk gak tumpang dengar...hehe

Nuril Razi said...

Leila tengah gubra tu kak Chez... hehe