iklaneka

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Monday, October 14, 2013

Novel : Kau Yang Tak Diundang [Bab7] [Bab8]

Benci-benci membenih kasih,
marah-marah membaja sayang....

Bab 7

Hai tak sempat cakap apa papa dah pergi, baru jam 7.45 pagi. Apa kes papa ni sampai perlu begitu bergegas? Dia menggomel perlahan. Tak puas hati sebab hanya sempat melihat bontot kereta Jaguar hitam tu saja yang semakin menghilang daripada pandangan matanya. Dia menghempaskan duduknya pada sofa yang terdapat di ruang tamu.

“Sudah lebih seminggu tuan besar tidak sarapan di rumah Rio.” Mak Awe si pembantu rumah merangkap pengasuhnya daripada dia kecil itu memberitahunya tanpa diminta.

“Hah lebih seminggu? Biar betul Mak Awe? Rio rasa papa tak ada appointment awal pagi pun.” Dia mengerutkan dahinya.

Apa aktiviti yang papa sembunyikan sampai papa sanggup korbankan waktu sarapan di rumah ni? Dia kehairanan. Pelbagai persoalan mula timbul dibenaknya.

Mak Awe mengangguk mendengar pertanyaannya.

“Err Rio nak bersarapan sekarang ke? Biar Mak Awe siapkan ya?” Wanita separuh usia yang sudah berkhidmat lebih daripada usianya itu bertanya.

Wanita itu bukan saja pembantu rumahnya tapi sudah dianggap seperti keluarganya. Mana taknya bila arwah mamanya Aisyah Hannan terlantar sakit akibat kanser pangkal rahim lebih 20 tahun lalu, Mak Awelah yang mengambil tugas menjaga dirinya, menyediakan makan pakainya. Mak Awe menjadi tempat dia bermanja. Mak Awe jugalah yang menjadi peneman arwah mama sehingga ke akhir hayatnya di saat papanya sibuk memikul tanggungjawab mencari nafkah untuk mereka sekeluarga.

Sayangnya pada Mak Awe lebih dari sayang sebagai seorang majikan kepada pekerjanya. Berkali-kali juga Mak Awe minta untuk berhenti kerja dengan alasan sudah terlalu tua untuk berkerja sebagai pembantu rumah. Mahu kembali ke kampungnya di selatan Thailand tapi dia menegah. Katanya dia mahu Mak Awe tinggal di sampingnya sehingga ke akhir hayatnya. Katanya dia tak mahu Mak Awe berkerja lagi memadailah kalau Mak Awe terus berada di sampingnya dan sebab itulah dia sanggup menggajikan Sarti, pembantu dari Indonesia untuk membantu Mak Awe, menjadi peneman Mak Awe di rumah tapi sayang Sarti tak macam Mak Awe. Belum pun sampai sebulan Sarti di rumah ni, Sarti dah mula buat perangai. Pandai membawa balik lelaki ke biliknya di rumah belakang yang disediakan untuk pembantu rumahnya secara senyap-senyap. Sudahnya Sarti terpaksa dipecat. Kini tinggallah Mak Awe seorang diri. Ingin diambil sekali lagi pembantu dari seberang dia serik. Takut kejadian sama berulang lagi.

“Rio, Mak Awe cakap dengan Rio ni, yang pergi termenung tu kenapa?” Mak Awe menegur hairan bila bicaranya tidak dibalas.

“Hah Mak Awe cakap apa dengan Rio tadi?” Dia sedikit tersentak. Kalut membalas teguran Mak Awe itu. Itulah sibuk sangat melayan lamunan.

“Mak Awe cakap kamu nak bersarapan ke? Kalau nak Mak Awe hidangkan sekarang. Mak Awe buat nasi goreng je hari ni. Lebihan nasi semalam masih banyak sayang nak dibuang.” Becok mulut wanita itu memberitahu.

“Alah Mak Awe ni, hidang jelah tak payah tanya. Mak Awe masak apa saja pun Rio makan, tolak batu dengan kayu saja.”

******

“Bonda janganlah risau, Ri janji, Ri akan berumah tangga dalam waktu yang terdekat ni. Ri sanggup buat apa saja untuk penuhkan permintaan bonda tu.” Wajah pucat Wan Zuraidah itu dipandangnya.

Beberapa hari ini tahap kesihatan bondanya memang sudah jatuh merudum. Doktor peribadinya juga sudah menasihatkan agar dia sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakalan terjadi.

“Bonda takut bonda tak sempat.”

Sejak akhir-akhir ini kerap benar perkataan tak sempat itu kedengaran di telinganya sehingga membuatkan dirinya barasa serba salah. Bukan tiada gadis-gadis yang menawarkan diri untuk menjadi isterinya selain dari gadis itu. Tapi dia tak mahu! Dia cuma mahukan gadis itu tapi sayang keluarga gadis itu memberikan syarat yang melambatkan rancangannya saja.

“Bonda jangan cakap begitu.”

“Kenapa? Ri risau bonda tak sempat dan takut bonda mengotakan janji bonda seperti yang bonda katakan pada Ri hari tu?”

“Tak adalah…” Mulut memang berkata tidak tapi di dalam hatinya dia sangat takut apa yang diperkatakan oleh bondanya hari itu menjadi kenyataan.

“Bonda terpaksa buat begitu sebab itulah wasiat arwah bapa kamu tu dahulu sebelum dia pergi. Dia mahu keturunan keluarga kita berkesinambungan itu sebab dia meletakkan syarat sebegitu. Jangan kamu cakap arwah bapa dan bonda ni kejam pula sebab sanggup buat kamu macam tu.”

Bonda ni macam tahu pula apa yang sedang aku fikirkan ni. Bisik hatinya. Wan Zubaidah macam dapat membaca segala isi fikirannya.

“Ri tak kata apa-apa pun bonda.” Dia cuba menafikan walaupun hakikatnya tuduhan bondanya itu hampir seratus peratus mengena tepat.

“Kalau tak banyak mesti ada sikit rasa begitu dalam diri Ri kan? Bonda ni orang tua, lebih lama makan garam dari kamu. Sekilas tengok ikan di air bonda dah tahu jantan betinanya. Raut wajah kamu tu dah mendahului bicara kamu tu. Berat sangat ke permintaan bonda ni Ri?” Dia perasan semenjak dia menyampaikan amanat arwah suaminya itu beberapa hari yang lalu perangai anaknya itu mula berubah. Menjadi sedikit dingin bila berbicara dengannya tidak seperti yang selalunya.

“Memang Ri sedikit tak puas hati dengan permintaan bonda tu. Ri masih muda bonda, mengapa perlu diikat kebebasan hidup Ri ni dengan sebuah tanggungjawab? Ri boleh hidup sendiri walaupun kalau bonda sudah tiada. Ri masih tak bersedia sebenarnya.”

“Hah senangkan nak tahu rasa sebenar hati Ri tu. Bonda desak sedikit saja Ri dah buka mulut akhirnya. Ri ada sebabnya kami buat begitu. Semuanya demi kebaikan Ri.”

“Asyik-asyik demi kebaikan Ri. Itu saja yang bonda cakapkan berulang kali dari hari tu sampai Ri naik jemu mendengarnya. Jelak!”

“Apa yang kamu rasa jemu dan jelak inilah yang akan kamu kenang bila kamu bersendirian nanti Zafri!” Wan Zubaidah sedikit mengeraskan suaranya.

Begitulah perangai anak tunggalnya ini. Sering kali nasihatnya dipandang enteng diambil mudah. Kita tu risaukan dia. Takut apa-apa jadi pada dia bila kita tak ada nanti. Sekurang-kurangnya bila dia dah berteman, dia tak akan bersendirian bila berada di dalam saat-saat sukarnya itu nanti. Semuanya untuk kebaikan diri dia juga.

“Bonda, tolonglah… Ri kalau boleh tak mahu tinggikan suara pada bonda dalam keadaan bonda macam ni.”

“Bonda sayangkan kamu Zafri.”

“Ri tahu bonda… Ri pun sama juga tapi…”

“Tapi apa Ri?”

“Permintaan bonda ni menyesakkan dada Ri.”

“Ini sajalah satu-satunya permintaan bonda sebelum bonda menutupkan mata ni selama-lamanya Ri. Ini amanat arwah bapa kamu juga. Terpulanglah kalau kamu mahu turutkan atau tak, semuanya atas budi bicara diri kamu. Bonda tak akan memaksa. Kalau kamu rasa kamu tak sanggup, kamu tak mampu… katakan saja pada bonda. Boleh bonda telefon Encik Nazir sekarang ni.”

“Nak telefon Encik Nazir buat apa bonda?” Terkejut bila nama peguam keluarganya disebutkan oleh Wan Zubaidah.

“Untuk bagi tahu dia tentang ubah wasiat tu siap-siap. Supaya tak kelam kabut bila tiba waktunya nanti.”

“Jangan! Tak usah bonda.”

“Hah kenapa pula? Kamu....”

“Saya janji dalam dua bulan lagi saya akan berkahwin bonda.” Laju dia membuat keputusan. Itu saja pilihan yang dia ada.

“Dengan siapa?” Senyuman sinis tersungging di bibir wanita separuh usia itu.

“Dengan gadis yang Ri tunjukkan pada bonda hari tu.”

“Dia? Tak ada pilihan lain ke? Muktamad ke pilihan kamu tu?”

“Aa… kenapa bonda cakap macam tu?”

“Bukan kamu ramai teman wanita ke? Kenapa gadis kampung tu juga yang kamu pilih akhirnya?” Pelik, mana hilang gadis-gadis bandar dan bergaya moden yang sering diusung ke sana sini oleh anak bujangnya itu selama ini.

“Muktamad bonda. Dia, sebab dia saja pilihan yang Ri rasa sangat tepat buat diri Ri ni.” Yakin dia memberi tahu sedangkan dia sebenarnya ada rancangan dan sebab tersendiri mengapa dia pilih gadis itu. Ah tapi sebab itu biarlah hanya dia sendiri saja yang tahu. Bonda tak boleh tahu dan tak perlu tahu! Putus hatinya.

“Baiklah kalau gadis itu yang kamu mahu. Bonda tak akan kata apa lagi.” Wan Zuraidah memberi kata putus. Baginya siapa pun pilihan anak itu dia tidak kisah asalkan mampu membawa bahagia dalam kehidupan anak itu sudah memadai buat dirinya.




Bab 8

Dia bersiul-siul kecil sambil tangan sebelahnya memegang sejambak mawar merah dan meletakkan ke atas meja tak berpenghuni itu. Seperti selalunya inilah rutinnya semenjak lebih seminggu ini. Sungguh riang hatinya. Pemberiannya langsung tidak disiakan oleh si penerimanya. Sering hatinya berlagu riang bila melihat kuntuman mawar pemberiannya mula menjadi hiasan di sekeliling pejabat itu.

I love you very much! Harap kau fahamlah bisik kata hatiku ini di sebalik simbolik pemberian mawar berkuntum-kuntum ini. Sempat hatinya berbisik sebelum berlalu. Perlu pergi sebelum ada yang datang dan melihat perbuatannya.

Hanya beberapa langkah, sebelum dia kembali berpatah balik mendekati meja itu. Dia perasan tadi sebelum dia meletakkan jambangan bunga itu matanya tertancap pada sekeping kertas kecil yang seolah sengaja diletakkan di situ. Macam ditujukan untuk dirinya. Yakin kata hatinya.

Tangannya dipanjangkan mengambil kertas kecil itu. Isi kertas itu dibaca. Bulat matanya. Biar betul? Berkali-kali dia mengenyehkan matanya. Memastikan apa yang dia lihat apa yang dia baca adalah betul dan tak salah.

Eh bukan ini yang aku tunggukan ke selama ini? Soal hatinya kembali. Yalah tapi tak adalah semendadak ini. Ke dia hanya nak main-mainkan aku. Sengaja menguji supaya aku menonjolkan diri? Tapi betul juga. Sampai bila aku mahu bersembunyi kalau betul aku mengimpikan dia dalam hidupku. Apa aku nak buat sekarang ni? Tiba-tiba dia rasa dia tak tahu apa rasa yang dia rasakan. Nak kata gembira, betul memang dia gembira. Nak kata dia terkejut, sungguh memang dia sangat terkejut! Jadi apa aku nak buat sekarang ni?

Tiba-tiba dia rasa seperti hilang arah. Tak tahu nak buat apa. Bergegas dia berlalu sebelum ada yang  tiba menangkap perbuatannya, tapi mahu ke mana? Ah ikut saja langkah kaki. Putusnya.

1 comment:

norihan mohd yusof said...

be gentle lh bro..tk best lh cam nih..sat terlepas makan ati plak...hehe