Bila cinta yang berkuasa, benci pun boleh jadi suka...
“Mulia nak
buat apa dengan duit sebanyak itu?”
“Mulia nak
beli handphone baru mak. Kawan-kawan Mulia semua
pakai handphone canggih-canggih, Mulia sorang saja
yang masih pakai handphone macam ni.
Mereka selalu ejek Mulia, pakai handphone buruk.
Ketinggalan zaman.” Adunya sungguh-sungguh. Biar emak turuti kehendaknya.
Penuhi kehendaknya.
“Alah
pedulikanlah apa orang nak kata Mulia.”
“Tak mau,
Mulia tak kira, Mulia nak juga tukar handphone baru.
Mak…”
“Mulia…
Mak bukan ada duit, ayah kamu baru saja meninggal. Mak pula tak berkerja. Kak
Chom seorang saja yang dah berkerja. Mulia kan dah besar, sepatutnya boleh
berfikir akan keadaan mak ni. Tak akan tergamak Mulia nak susahkan mak lagi.
Tak kasihan ke pada mak?”
“Mak tu
yang sepatutnya tanya dekat diri sendiri. Tak kasihan ke mak pada Mulia ni?”
“Astaghfirullahalazim,
kenapa Mulia cakap macam tu? Mak kasihkan anak mak. Apa maksud Mulia sebenarnya
ni?” Terkejut bila anak bujangnya itu mengherdik secara tiba-tiba. Memang
diakui, semenjak mendapat tawaran belajar di sebuah kolej swasta terkemuka di
ibu negara, perangai anak lelakinya itu banyak berubah. Suka memberontak kalau
tak dapat apa yang dia ingini.
“Yalah mak
tak malu ke? Mak ayah orang lain semua mampu berikan apa yang anak dia nak,
anak dia minta. Tapi mak… langsung tak. Mulia rasa malu sangat dengan
kawan-kawan Mulia sebab ada keluarga macam ni, yang langsung tak mampu membelai
Mulia. Mulia minta berapa ratus ringgit je pun payah mak nak beri. Bukan banyak
mana pun. Tu belum lagi Mulia minta belikan kereta atau apa ke.”
“Ya ALLAH
kamu sedar tak kamu cakap apa ni Mulia? Kamu sedar tak keluarga kita ni macam
mana sampai kamu nak samakan dengan keluarga orang lain?”
“Semua ni
salah mak dengan ayah. Kalau mak dan ayah tak malas kerja dulu, mesti kita tak
susah macam ni tau.”
“Mulia!”
“Mulia tak
salah cakapkan? Mak tak payah nak herdik-herdik Mulia, saya dah besar tau tak?
Bukannya budak kecil lagi!” Bentaknya kembali. Sedikit pun tidak rasa gentar
atau takut dengan nada keras yang keluar daripada mulut emaknya itu.
“Sampai
hati kamu cakap macam tu. Kalau arwah ayah kamu masih ada, mesti dia kecewa
dengan sikap kamu Mulia. Ayah dah berusaha sehabis mungkin untuk mencari rezeki
untuk kita semua. Mengubah nasib keluarga kita ni.” Sebak hati. Hampir luruh
air mata dengan sikap biadab yang ditonjolkan oleh Mulia itu.
“Sudahlah
mak, tak payah mak nak berlakon menangis depan Mulia. Mulia benci nak tengok.”
Dia mencebik bibir. Langsung tak ada terbit rasa bersalah bila melihat air mata
Mak Ati yang tumpah keluar itu.
“Kamu…”
“Apa yang
bising-bising dari luar ni?”
“Kamu dah
balik Chomel?” Cepat-cepat mengesat air mata yang mula jatuh ke pipi itu.
“Ya mak,
eh mak kenapa? Menangis?” Hairan dia melihat riak keruh yang tertera di wajah
tua Mak Ati itu.
“Tak
adalah… mata masuk habuk.” Laju dia menafikan. Dia tak mahu Chomel tahu yang
hatinya terhiris luka dengan perangai Mulia itu kala ini.
“Oh… ha Mulia,
kamu nak ke mana pula tu?” Tegurnya. Hairan melihat Mulia sepertinya sedang
bergegas.
“Nak balik
kolej, ada keluarga pun macam tak ada. Langsung tak boleh diharap!” Tanpa
pamitan dan tanpa bersalam dengan emaknya, Mulia berlalu. Tersentak Chomel melihat
perlakuan tidak beradab adik lelaki nombor duanya itu. Berkerut dahi. Mula
mengesan ada perkara yang tidak kena telah berlaku.
“Mak?”
Panggilnya, ingginkan penjelasan atas sikap luar biasa yang ditonjolkan oleh
Mulia itu.
“Biarlah
dia… Dia tengah marah. Salah mak.” Perlahan, hampir tak kedengaran Mak Ati
memberitahu.
“Sabarlah
mak.” Pujuknya. Bukan dia tak faham perangai adik yang seorang itu. Mesti ada
yang dia minta pada emak yang tak dapat dipenuhi. Sedari dulu dia memang tak
berkenan dengan perangai adiknya yang seolah tak pernah nak faham akan
kesempitan hidup keluarga mereka. Suka sangat meminta-minta benda yang bukan
menjadi keperluan.
“Kamu dah
makan ke Chom? Kalau belum makan mak ada masak asam pedas ikan kembong.
Pergilah makan dekat dapur sana.”
“Belum
mak.” Dia menghempaskan duduk pada sofa separuh usang yang terdapat di ruang
tamu sempit rumahnya itu. Melepaskan lelah di situ.
Keletihan
menjalari segenap ruang tubuh. Agaknya macam inilah yang arwah ayah rasa
dahulu. Berkerja sehingga malam demi menyara kami sekeluarga. Tak apalah ayah….
Rehatlah dengan tenang di sana. Chom akan jaga keluarga kita. Ayah janganlah
risau.
“Chom…
Haisyh termenung pula dia. Kita bercakap dengan dia.”
“Ya mak?
Maaf apa dia?”
“Mak kata
pergilah makan kamu tu. Nanti perut tu masuk angin. Sakitkan susah.”
“Baik mak…
Mak dah makan ke? Kalau belum jomlah makan dengan Chom ni. Dah lamakan kita tak
makan sekali.”
“Kamu
makanlah dulu Chom. Mak nak tidurkan si Chantik ni. Meragam saja adik kamu ni
hari ni. Merengek saja dari tadi. Rindukan ayah dia kut.”
******
“Lya
tolonglah jangan buat macam ni.” Hilang sudah rasa malu. Walaupun sakit hati
dengan perbuatan gadis itu masih tak hilang, dia cuba ketepikan dahulu perasaan
itu. Dia cuba buang ego. Cuba juga meraih kembali kasih gadis itu yang sudah
sirna terhadapnya.
Catilya
hanya mematungkan diri seolah pujukan lelaki itu sedikit pun tak menggoyahkan
keputusan yang dia telah buat. Dia duduk sambil memeluk tubuh. Membuang pandang
ke arah luar restoran. Tembus pandangannya pada dinding kaca jernih itu.
Rintik-rintik hujan yang jatuh dari dada langit yang gelap diperhati. Sama
langit itu menangis seperti mana hati dan jiwanya yang sedang menangis.
Tersepit antara kasih dan belas. Tersepit antara cinta dan ihsan.
“I dah tak
ada apa dengan you Zaif.”
“Tak akan
semudah itu you buang kasih yang selama 3 tahun you semai untuk I Lya? Sekelip
mata Lya…. Tega you kan?”
“Tega? You
sepatutnya tanya balik dekat diri you Zaif, sebelum you ajukan soalan tu pada
I. Cukuplah….” Sungguh dia rasa terdera dengan tuduhan lelaki itu. Ah lelaki
itu memang tak akan pernah mahu sedar yang segalanya datang dari diri dia
sendiri. Asyik-asyik mahu letakkan salah pada aku saja.
“Cukuplah?
Maksud you?” Seolah tak faham dia bertanya.
“Cukuplah
3 tahun masa I terbazir dengan you Zaif.”
“Terbazir?
Macam tu sekali sanggup you kata? Eh Lya you sengajakan nak sakitkan hati I?”
Nada bertukar menjadi keras.
“Tak I….
Biar I berterus terang. 3 tahun I harap sangat masa mematangkan you. 3 tahun I
harap sangat you berubah tapi hampa. Sebaliknya, you semakin tak terkawal.
Perangai cemburu buta you tu betul-betul menjerut hati I ni. Benda kecil pun
kadang tu you buat bahan untuk you bebelkan I sepanjang hari, malah bukan
sehari bahkan kadang tu berlanjutan berhari-harian sampaikan I kena merayu
dengan you supaya you maafkan I macam kesalahan yang I buat terlalu besar
sampai tak terampun oleh you.”
“Lya I….”
“Zaif kita
belum ada apa-apa ikatan tapi I dah betul-betul terseksa dengan perangai you
ni. I tak akan dapat nak bayangkan andai kita dah berumah tangga nanti. Agaknya
macam mana layanan you pada I hurmmm?”
“I akan
berubah. I minta maaf. Tolong terima permohonan I ni Lya.”
Kotak
kecil berbalut kemas berwana purple yang
disembunyikan di dalam saku jacket kulit
hitamnya dikeluarkan. Disorong ke hadapan Catilya.
“I tak
akan berganjak kali ini Zaif. Maaf.” Kotak Pandora di hadapannya dipandang
kosong tanpa sedikitpun rasa teruja. Jika sebelum ini dia pasti penuh gembira
menerima segala pemberian lelaki itu, tetapi tidak pada hari ni. Dia akui
lelaki itu memang pemurah bila dengan insan yang lelaki itu sayang.
“I tak
dapat bayangkan hidup I tanpa you Lya.”
“…. Dan I
pula tak mampu nak bayangkan jika I terpaksa teruskan hidup bersama dengan you
Zaif.” Laju Catilya membalas.
“Lya
sekali lagi I kata. I boleh berubah Lya, you kena bagi I peluang.” Tak
jemu-jemu merayu.
“Peluang
untuk you dah tertutup Zaif. Tolonglah mengerti. Tolonglah faham dan janganlah
you rayu I lagi.” Menggeleng.
Zaif
pandang wajah Catilya itu. Kacau hatinya mendengar apa yang baru meluncur
keluar daripada mulut gadis itu. Dia akui memang silapnya. Gadis itu sangat
baik untuk disakiti atau dikecewakan.
“Bye Zaif.”
Gadis itu berdiri tiba-tiba. Kotak yang disuakan tadi nampaknya langsung tak
menarik minat Catilya. Kotak itu masih terdampar tak berusik. Lesu di tempat
yang dia letakkan tadi.
“Catilya….”
Serunya.
“I harap
ini pertemuan kita yang terakhir Zaif. I mahu bahagia dan I yakin I tak akan
dapat bahagia tu jika I harapkan dari you. Buat apa I terus bersama dengan
orang yang tak tahu menghargai kehadiran I di sisi dia selama ini? Biarlah I
bersama dengan orang yang boleh I kongsi tawa tangis bersama, yang dapat
menghargai diri I seadanya.” Wajah Khairi Razi mula terbayang di ruang mata.
Entah kenapa hati serta merta berbunga bahagia bila teringatkan lelaki itu.
“Catilya
jangan tinggalkan I sayang…”
Dia hanya mampu
merintih. Lemah lutut untuk melangkah mengejar kelibat gadis itu yang semakin
menghampiri pintu keluar restoran bertaraf 5 bintang yang ditempahnya
semata-mata demi pertemuan ini. Pertemuan yang diharapkan mampu untuk menautkan
kembali ikatan cinta yang terlerai kerana sikap yang melulu.
“Bagaimana
harus I teruskan hidup ini tanpa diri you Lya? Nak hela nafas pun I tak mampu
bila I tahu you sudah pergi dari sisi I ni.”
3 tahun
dia tak pernah izinkan mata untuk melihat gadis lain selain Catilyanya. Nampaknya
setia itu kini sudah tak bererti bila sikap terlanjur menyakiti gadis itu tanpa
dia sedar.
“Lya
jangan tinggalkan I!” Dia memanggil lantang. Hampir 5 minit berteleku lesu di
meja ruang tengah restoran itu dia seolah diberi kekuatan. Bingkas bangun.
Dia tak
boleh mengalah sebegitu saja! Besar langkah dibuka namun hanya seketika sebelum
terhenti bila melihat si gadis yang dipuja berpimpin tangan dengan seorang
lelaki yang tak kurang gaya kacaknya menuju ke arah sebuah kereta Audi R8
berwarna merah garang yang terparkir tidak jauh daripada mereka. Lelaki itu
dilihat membukakan pintu kereta dengan gaya penuh budiman. Catilya tenggelam
dalam perut kereta.
Tak pernah
terfikir ini akan terjadi di dalam hidupnya. Macam dalam drama sinetron pula
rasanya bila melihat kekasih hati pergi ke lelaki yang lain.
No comments:
Post a Comment