iklaneka

Followers

Segala karya dalam BLOG ini adalah milik penuh Nuril Bahanudin dan penulis langsung TIDAK pernah memberi kebenaran kepada mana-mana penulis di blog lain untuk mengulang cetak karya di dalam blog ini untuk disiarkan di blog MEREKA, Jadi kepada penulis2 blog yang telah mengambil, menyalin, atau mencetaknya semula, diharaplah dapat MEMADAMKANnya daripada blog anda, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil kepada anda. Terima Kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.

Pageviews

Tuesday, December 13, 2016

Novel : Bahagia Yang Jauh[Prolog]


Izinkan aku mendakapmu....



Pang! Laju tangan yang gempal itu melayang hinggap ke pipi. Tak diduga walaupun bukan kali yang pertama dia pernah kena. Langsung tak sempat dielak. Berdesing terasa telinga seketika. Pijar terasa pipi. Perit.

“Tak pernah berlaku di dalam keluarga aku, ditalakkan dengan talak 3 sekali gus! Kau ni betul-betul tak berguna. Dari kecil sampai ke besar tak habis-habis menconteng arang di muka aku ni. Kecik-kecik dahulu dengan otak bebal kau, ni bila dah besar dan berkahwin kemudian diceraikan pula!” Jari menunjal geram wajah di hadapannya itu. Panas hati panas juga badannya. Ikutkan hati mahu sahaja tubuh yang sedang menunduk sambil sebelah tangan menggosok pipi yang merah kesan dari tangan kanannya tadi itu diganyang sepuas-puas hati. 

Bergegas dia pulang dari bercuti sebaik saja dikhabarkan oleh Zya. Sempat membebel juga dia sebab hanya diberitahu oleh Zya selepas beberapa hari. Sepanjang dalam penerbangan, marah dia membuak-buak dan sangat sukar ditahan. Beberapa kali jugalah pramugari menjadi mangsa tempat dia melepaskan marah bila makanan dan hidangan langsung tak menepati citarasa kononnya.

“Maafkan Vee mama. Ampunkan Vee…”

“Sudah berambus kau! Angkut semua kain baju kau. Aku tak mahu tengok muka kau lagi! Tak habis-habis bawa sial.” Dia menghalau. Sungguh diri tak sudi menerima panggilan yang keluar dari mulut itu. Jijik!

“Ma….”

“Berambus aku kata berambus!” Hilang sabar. Rambut panjang mengurai itu dia sentap. Heret hingga ke muka pintu. Menolak kasar ke arah luar!

“Anggun ma….” Teringat pada anak kecilnya yang sedang lena di dalam buaian yang diletakkan di dalam bilik. Kalaupun betul mahu dia keluar. Biar dia bawa sekali permata hatinya yang satu itu.

Semenjak dilepaskan oleh Fayyad dia kembali ke rumah ini. Tak mahu jejakkan kaki ke rumah Datin Rosnah lagi. Walaupun belum pernah bersua lagi dengan wanita itu setelah peristiwa dilepaskan olef Fayyad. Apalah nanti penerimaan wanita itu?

“Biarkan budak tu dengan aku. Aku nak dia.”

“Tak boleh ma. Kalau mama mahu Vee pergi. Baik Vee akan pergi dari rumah ini tapi Vee akan bawa Anggun sekali. Dia anak Vee.” Bertegas. Susah senang biar dia bersama anak itu. Jangan dipisahkan. Tidak sanggup rasanya teruskan hidup tanpa anak itu. Anggunlah satu-satunya sumber kekuatan pada waktu ini untuk dia terus hidup dan tabah menghadapi perceraian yang menyakitkan ini. Sampai hati lelaki itu.

“Oi cacat tak sedar diri! Macam mana kau nak bawa budak tu, jaga budak tu sedangkan diri kau sendiri pun kau tak terurus. Itu sebab kau kena tinggal oleh suami kau! Kau tak sedar diri lagikah? Masih lagi nak bermimpi?” Mengherdik kuat. Lantang dekat telinga. Menyedarkan.

“Bukan Vee pinta jadi cacat begini mama. Tolonglah benarkan Vee bawa Anggun sekali.” Dia merayu. Apa pun yang terjadi Anggun adalah miliknya.

“Tidak!” Tega menolak permintaan itu tanpa langsung mempertimbangkan. Puan Sharina peluk tubuh sendiri dengan kedua tangan. Sedikit pun tak tercuit dengan wajah sayu Vee itu.

“Oii perempuan cacat! Kau tak faham bahasakah? Mama dah kata tak boleh tu tak bolehlah! Apa kau tunggu lagi? Dah berambus cepat. Aku nak tengok tv pun tak senang. Terganggu dengan suara kau yang memekak tu! Bingit tahu tak!” Satu suara serak-serak tiba-tiba menjerkah kuat. Terganggu sungguh dengan pertelingkahan antara Vee dan Puan Sharina. Lewat kebelakangan ini dia kurang sihat. Asyik diserang demam sahaja. Sudah bermacam ubat dimakan namun demam tetap berulang juga.

“Tia kakak….”

“Eh jijiklah dengar kau bahasa kakak dengan aku ni. Aku tak pernah anggap kau kakak aku! Aku tak inginlah ada kakak macam kau. Bebal! Bengap! Bodoh! Lembab tu yang sampai kena cerai.” Dari kecil lagi dia tak pernah gembira memiliki kakak seperti Vee. Segala-galanya tentang Vee menyakitkan hati dan kalau boleh dia tak mahu dikaitkan langsung dengan Vee.

“Sudah Atia, jangan dilayan dia tu. Tutup pintu tu.” Mengarah. Baginya rayuan Vee itu tak berguna, tak bernilai untuk dipertimbangkan sekarang ini. Manalah dia akan sorokkan muka andai berita perceraian ini tersebar luas? Tak guna punya Vee, tak habis-habis mencipta masalah. Mesti selepas ini telinganya akan habis nipis disindir dan dikata oleh rakan-rakan persatuannya. Mesti selepas ini hubungan dia dan kawan baiknya, si Datin Rosnah akan keruh. Rasanya keruh yang tak akan menjadi jernih balik.

Bam! Pintu kayu itu ditutup kuat! Hampir sangat mengenai batang hidung Vee yang masih berdiri di muka pintu.

“Mama… tolong buka pintu ni ma. Vee nak bawa Anggun sekali. Kalau betul mama nak Vee pergi, Vee akan pergi tapi biar Vee bawa Anggun sekali. Mama… mama tolonglah ma….” Dia menepuk-nepuk pintu kayu itu sehinggalah tangannya terasa sakit, dan hanya berhenti bila kepenatan. Seluruh tenaga terasa seolah lesap hilang. Tubuh melurut jatuh. Tongkat yang terselit di ketiak kanan turut terjatuh sekali. Dia menangis tersedu-sedu. Bersandar lesu pada muka pintu. Sayu sungguh rasa hati bila rayuan langsung tak dihirau. Hina sungguhkah dia? Berdosa sangatkah dia sampai dia perlu dihukum sebegini, diperlakukan sebegini ibarat dia tiada perasaan?
 

No comments: